Isnin, 24 Jun 2013

Ibnu Hasyim: Husam Bebas. 15 Penceramah Sambut & Solat Hajat Le...

Ibnu Hasyim: Husam Bebas. 15 Penceramah Sambut & Solat Hajat Le...:     KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa yang ditahan sejak awal pagi semalam di lokap Ibu p...

Ibnu Hasyim: Datuk Husam Musa, Terbilang Tapi Terbuang?? -Datu...

Ibnu Hasyim: Datuk Husam Musa, Terbilang Tapi Terbuang?? -Datu...: Wan Rahim YDP PAS Kota Baru : Orang-orang muda kena jaga Husam Musa   Ucapan bersemangat Dato Wan Rahim, YDP PAS Kota Baru sewaktu soli...

Secawan air sekeping roti


Dato' Tuan Ibrahim bin Tuan Man , 24 Jun 2013
1. Manusia yang hidup senang tanpa melalui kesusahan
2. Manusia yang hidup sihat tanpa pernah jatuh sakit
3. Manusia yang sentiasa gembira, seronok tanpa merasai sedih, duka, kecewa dan pilu.

Ketiga-tiga situasi di atas, bukan sahaja membuatkan seseorang yang beriman lupa pada Allah, bahkan ia akan melawan Allah.

Mengapa banyak berlakunya peristiwa buang bayi, zina - semua kerana dalam keseronokan, manusia lupakan Allah. Jika dia teringat Allah, nescaya, perkara itu tidak terjadi.

Sakit, sedih, susah, miskin - tanpa semua ini, manusia akan lupakan Allah. Apabila mengharungi perkara-perkara sedemikian, kita akan merasai bahawa kita lebih dekat dengan Allah berbanding mereka yang tidak pernah diuji. Itulah nikmatnya kerana masa kesusahan, yakni doa kita lebih ikhlas memohon bantuan daripada Allah.

Asalkan kita mempunyai air, sekeping roti dan tempat berteduh, sebenarnya yang lain ialah lebihan - sekiranya anda mempunyai ketiga-tiga ini bersyukurlah kerana Allah telah memberikan secukupnya untuk anda meneruskan kehidupan di bumi ini.

Seterik-terik matahari, penyelesaiannya hanya satu tempat berteduh.

Sehaus-haus tekak waktu tengahari, penyelesaiannya hanya secawan air bersih.

Selapar-lapar perut, penyelesaiannya hanya sekeping roti panas.

Sebimbang-bimbang manusia sehingga tidak dapat tidur, pe-nyelesaiannya hanya mencari ketenangan daripada Allah.

Sesakit manusia, kesakitannya akan dilupai apabila sihat semula.

Yang diperlukan hanya sentiasa mengingati Allah, berdoa pada-Nya dan kesabaran, peringatan bahawa semuanya hanyalah sebahagian ujian-Nya.

Segala yang susah, selepas diharungi, akan terasa nikmat kelegaan, nikmat perasaan bahawa Allah sentiasa di sisinya dan pencerahan.

“Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala makhluk yang ada di atasnya; dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.” (Surah Maryam : ayat

Panduan menghadapi jerebu


Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 24 Jun 2013
Saya selaku Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia menyarankan orang ramai supaya menjaga kesihatan masing-masing semasa kita menghadapi situasi jerebu ini dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Saya juga mohon jasa baik semua untuk sama-sama berkongsi ("share") maklumat yang dimuatkan di dalam Facebook ini dari semasa ke semasa sebagai tanda kita sebagai satu masyarakat mengambil berat terhadap satu sama lain.

GOLONGAN ORANG YANG BERISIKO TINGGI SEMASA JEREBU

Keadaan jerebu yang berterusan akan mendatangkan kesan buruk kepada semua orang terutama yang berisiko tinggi seperti kanak-kanak, orang tua, wanita mengandung , pesakit jantung dan respiratori juga mereka yang sensitive kepada habuk, orang yg merokok termasuk mereka yang sentiasa bekerja di luar pejabat atau rumah

NASIHAT KESIHATAN SECARA UMUM UNTUK MENCEGAH PENYAKIT AKIBAT JEREBU

i. Orang ramai dinasihatkan supaya, sejauh mana yang boleh, berada di dalam bangunan.

ii. Kurangkan aktiviti lasak di luar rumah.

iii. Orang ramai dinasihatkan supaya kerap membasuh muka dan bahagian-bahagian yang terdedah kepada jerebu.

iv. Orang ramai dinasihatkan supaya minum banyak air.

v. Mereka yang menggunakan kenderaan yang berhawa
dingin hendaklah menghidupkan alat penghawa dingin (mod: kitaran dalam) dan menutup semua tingkap

vi. Penutup hidung dan mulut hendaklah digunakan oleh mereka yang melakukan aktiviti di luar terutamanya mereka yang berisiko tinggi.

vii. Mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik hendaklah datang ke klinik dengan seberapa segera jikalau keadaan penyakit bertambah teruk.

viii. Perokok dinasihatkan supaya berhenti merokok.

ix. Sentiasa mendapatkan maklumat terkini daripada media massa dan mengikut nasihat daripada pihak berkuasa.


* Penulis adalah Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia.

Ramadan menghampiri, jangan lupa kurma


selamatkanpahang.blogspot, 24 Jun 2013
Tujuh Khasiat Kurma yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Kurma (Phonex dactylifera) atau Tamar merupakan sejenis tumbuhan yang berbuah dan boleh dimakan sama ada ketika sudah masak atau masih mentah. Kurma dikatakan tumbuhan yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan dan sebahagian daripadanya sudah terbukti secara saintifik. Malah dalam kitab suci al-Qur’an sahaja terdapat 21 ayat yang menyebut tentang kurma. Baginda Rasulullah SAW juga sendiri telah beberapa kali menyebut perihal kurma dan khasiatnya, dan amat sinonim dengan kisah sirah baginda.

“Kemudian, Kami tumbuhkan untuk kamu dengan air itu, kebun-kebun tamar (kurma) dan anggur. Kamu beroleh dalam kebun-kebun itu (berbagai jenis lagi) buah-buahan yang banyak dan dari kebun-kebun itulah kamu beroleh rezeki penghidupan kamu.” (Surah al-Mukminah : ayat 19)


“Sesiapa yang memakan tuju biji tamar ‘Ajwah’, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu“
. Sabda Rasulullah SAW.

Manakala dari sudut sains pula mengatakan, kandungan protein dalam kurma adalah lebih kurang 2.5 peratus, serat 8.0 peratus manakala kandungan gulanya pula adalah sangat tinggi, yakni sehingga 63 peratus, majoritinya adalah glukosa. Lemak yang terkandung di dalamnya pula adalah sangat sedikit iaitu sekitar 0.4 peratus sahaja. Kurma juga terkenal dalam dunia perubatan tradisional kerana kaya denga zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potassium, vitamin A, C dan niasin.

Apakah antara khasiat utama kurma?

1. Paling pantas diproses dan diserap, sekaligus memberikan tenaga segera. Memandangkan kandungan gula ringkasnya (monosaccharide) yang sangat tinggi malah lebih tinggi daripada pisang, kurma berupaya memberikan “tenaga segera” yang akan diserap oleh tubuh serta-merta. Berbeza dengan kebanyakan buah-buahan lain yang mengadungi sukrosa (disaccharide). Disaccharide seperti sukrosa harus dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi monosaccharide lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

“Rasulullah SAW berbuka puasa dengan beberapa biji buah kurma sebelum sembahyang. Sekiranya tiada kurma, maka Baginda akan berbuka dengan beberapa biji anggur. Sekiranya tiada anggur, maka Baginda meminum beberapa teguk air.” Hadis riwayat Ahmad.

Makan kurma ketika berbuka puasa amat bagus kerana pada waktu ini, kita perlukan tenaga segera, dan bukannya tenaga yang “lambat untuk dicerna” seperti yang terkandung dalam kebanyakan makanan berlemak dan bergoreng yang lain.

2. Kaya dengan serat dan potasium. Kurma dimakan tanpa perlu membuang kulitnya dan pada kulitnya itulah terkandung serat. Kurma adalah antara buah-buahan yang amat kaya dengan serat, serat larut mahupun tak larut. Kita sering menganggap buah-buahan seperti pisang itu mengandungi serat yang tinggi, tetapi tahukah anda, dalam 100g Kurma terdapat 8g serat sedangkan dalam 100g Pisang hanya terdapat 2.6g serat sahaja? Tinggi serat amat baik untuk sistem pelawasan.

Selain itu, kurma kaya dengan Potasium dan beberapa zat galian yang lain. Potasium adalah elektrolit yang akan menyeimbangkan kembali kandungan air dalam tubuh badan apabila kita kehilangannya, terutama sepanjang tempoh berpuasa. Tidak perlu membeli 100 Plus sekiranya khuatir akan kekurangan elektrolit ketika berbuka, memadai dengan beberapa biji kurma dan air suam. Potasium juga membantu dalam pembinaan otot termasuk otot jantung dan mampu memelihara sistem saraf.

3. Penguat memori. Ramai yang berfikiran hanya kismis yang baik untuk menguatkan daya ingatan, namun hakikatnya kurma juga tidak kurang hebatnya. Ia amat sesuai untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

4. Baik untuk wanita mengandung/bersalin. Masih ingat kisah Maryam yang hanya memakan buah kurma semasa melahirkan Nabi Isa AS? Menerusi malaikat Jibrail, Allah telah mewahyukan kepada ibu Isa iaitu Maryam binti Imran supaya menggegar pohon kurma sehingga gugur lantas memakannya tatkala lemah selepas bersalin.

“Dan goncangkan batang kurma itu kepadanya, nanti ia gugurkan atasmu kurma yang masak.” (Surah Maryam : ayat 25)

Dan menurut sebuah laman web, buah kurma amat baik untuk wanita mengandung dan akan memudahkan wanita untuk melahirkan anak serta akan mengurangkan pengaliran darah semasa proses kelahiran. Malah anak yang dilahirkan kelak dipercayai akan mempunyai sifat-sifat yang baik, penyabar, bersopan santun serta cerdas pemikirannya.

5. Penawar Racun. Diriwayat oleh Aishah RA, “Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan.”

6. Merawat penyakit. Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus seperti serbuk teh. Ia direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

7. Mengubati gangguan usus dan sembelit. Ketidakserasian dengan gluten menghalang penyerapan zat-zat makanan secara sempurna. Kurma mencegah ini daripada berlaku.

http://selamatkanpahang.blogspot.com

Puasa elak penyakit tingkatkan taqwa


Ahmad Baei Jaafar, 24 Jun 2013
Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.

Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.

Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.

Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut, “Dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.

Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.

Hubungan dengan Allah

Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.

Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.

Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isyak berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.

Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.

Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia

Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.

Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.

Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.

Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.

Diariku dari parlimen: 24 Jun 2013


Nasrudin Hassan, 24 Jun 2013
Jam 9.20 am saya mula melangkah kaki memasuki dewan mesyuarat di bangunan Parlimen. Satu detik bersejarah bagi diri saya sebagai ahli parlimen yang baru dari P.088 Temerloh. "Pertama kali" adalah detik debar yang akan dirasai oleh saya dalam apa jua aktiviti dan penglibatan. Apatah lagi "pertama kali" itu adalah majlis rasmi yang penuh formal dan mempunyai tatacara yang tersendiri.

Masih segar dalam lipatan sejarah, bagaimana pertama kali saya masuk sekolah, pertama kali saya masuk Madrasah Muhammadiah Sungai Durian dan kemudiannya Madrasah Ad Diniah Al Bakriah, pertama kali saya memasuki Maahad Fathul Islami di Syria dan pertama kali saya melangkah kaki ke gerbang Universiti al Azhar dan kini memasuki Dewan Rakyat dengan gelar sebagai Ahli Yang Berhormat sangat mendebarkan.

Situasi serupa saya alami semasa mula-mula ke gerbang perkahwinan, pertama kali diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dan kini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen bagi sessi parlimen ke 13.

Sejuk dinginnya suhu dewan parlimen ini tidak mampu meredakan debaran pertama ini. Perasaan saya berbaur antara gementar kerana tidak biasa dan berdebar kerana tidak sabar untuk menyertai perbahasan sebagai ahli parlimen yang baru.

Mengakui bahawa hati ini sangat teruja terutama melihat kelibat dan gelagat rakan-rakan ahli parlimen senior yang membawa pelbagai wajah dan rentak sesekali mamanaskan dewan.

Hari pertama parlimen bermesyuarat bagi edisi 2013 yang berlangsung hari ini telah menyaksikan kekecohan melibatkan proses pengundian untuk memilih Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Kertas undi diedar tetapi tidak rahsia kerana pengundinya mesti menulis nama dan menandatangani kertas undi tersebut.

Dua calon Yang Di Pertua Dewan telah dikemukakan. Pertama ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas cadangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan disokong oleh Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin. Sementara calon kedua ialah Datuk Abdul Kadir Sulaiman atas cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim dan disokong oleh YB Karpal Singh.

Tan Sri Pandikar Amin terpilih sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat dengan memperolehi 133 undi berbanding Datuk Abdul Kadir memperolehi 89 undi.

Lebih menarik pada hari ini apabila Tan Sri Pandikar Amin selaku YDP Dewan Rakyat memashyurkan slogan "Ubah" dan "Ini kali lah" sebagai memulakan ucapan sulong beliau mengendali mesyuarat Ahli Parlimen.

Saat ini, jam telah menunjuk detik 11.40 am dan saya masih menunggu gilliran untuk mengangkat sumpah. Kini giliran ahli parlimen Barisan Nasional membaca teks angkat sumpah di hadapan Yang Di Pertua Dewan.

Semangat untuk terus memperjuangkan risalah perjuangan parti sekaligus membawa suara rakyat ke dewan parlimen ini makin berkobar...

PAS sesat bertahaluf dengan orang kafir?


Datuk Dr Haron Din, 24 Jun 2013
Datuk, mengapa PAS bertahaluf dengan DAP? Tidakkah DAP itu kafir? Mengapa PAS tidak bertahaluf dengan Umno? Umno jelas Islam, mana lebih baik bertahaluf sesama Islam atau bartahaluf dengan orang kafir? Penjelasan ini amat perlu khususnya dalam keadaan gawat seperti sekarang ini yang ditunjukkan oleh keputusan PRU13 yang boleh merugikan Islam.

Abdul Quddus Abdul Mukmin, Padang Jawa, Klang, Selangor.

PERKARA pertama yang perlu anda tahu dan faham, bahawa tahaluf itu adalah sesuatu yang diharuskan oleh hukum syara’ dengan syaratsyaratnya. Apa yang dilakukan oleh PAS dalam isu tahaluf dengan DAP, sebenarnya tidak bercanggah dengan syarat-syarat syarak.

Kedua tahaluf yang dilakukan bersama orang kafir, akan tetapi jika sesama Islam tidak pula dinamakan dengan tahaluf. Kerana asasnya umat Islam adalah bersatu pada asalnya, kerana umat Islam perlu bersatu dan tidak boleh berpecah-belah.

Ketiga, Rasulullah s.a.w. pernah bertahaluf dengan Yahudi Madinah apabila kabilah-kabilah Arab Musyrikin Makkah membuat onar dan menimbulkan penindasan dan kezaliman terhadap Rasulullah dan juga Yahudi, maka apa yang dilakukan oleh Rasulullah untuk bertahaluf menghadapi kezaliman Musyrikin adalah diharuskan.

Keempat, banyak kali berlaku pada Rasulullah s.a.w. bermuamalah dengan orang kafir sedangkan baginda boleh bermuamalah dengan orang Islam, contohnya ketika Rasulullah hendak berhijrah ke Madinah, baginda bermuamalah dengan Abdullah bin Uraiqit iaitu seorang musyrik, sedangkan pada waktu itu ramai lagi orang Islam yang boleh Rasulullah bermuamalah dengan mereka.

Begitu juga Rasulullah pernah bermuamalah dengan seorang Yahudi dengan menggadaikan baju besinya kepada Yahudi itu untuk mengambil bahan makanan bagi keluarganya.

Persoalannya di sini, mengapa dengan Yahudi Nabi bermuamalah? Mengapa tidak dengan orang Islam? Kalau dengan orang Islam, mungkin Nabi tidak perlu menggadai baju besinya atau tidak perlu membeli atau berhutang, mungkin orang Islam akan memberi sebagai satu hibah (pemberian) secara percuma kepada Nabi.

Namun demikian, Nabi meninggalkan orang Islam dan bermuamalah dengan orang Yahudi. Mengapa berlaku demikian? Kerana hendak menyatakan ada ketika-ketikanya dengan sebab-sebab tertentu umat Islam diharuskan bermuamalah atau bertahaluf dengan orang kafir dan tidak dengan orang-orang Islam.

Kelima, PAS pernah memasuki Pakatan Barisan Nasional dengan Umno pasca tragedi 13 Mei 1969, dengannya terselamat Umno daripada tumbang atas gelombang rakyat menolak Umno – Perikatan ketika itu. Dengan penyertaan PAS ke dalam Barisan Nasional (menggantikan Perikatan) ketika itu, maka selamatlah Umno, maka kuat semula Umno dan tegak semula BN.

Maka ia terselamat daripada tumbang dan ditumbangkan oleh rakyat. Selepas Umno kuat semula dan merasakan PAS tidak diperlukan, maka Umno memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN.

Banyak pihak yang mengetahuinya, maka PAS ditendang daripada BN, kesannya PAS berpecah dan bercelaru serta banyak ahlinya meninggalkan PAS, ada yang menubuhkan Parti Islam yang perlu menandingi PAS, PAS hampir terkubur ketika itu angkara perbuatan Umno, pengalaman itu amat pahit dan PAS berhempas pulas untuk bangun semula, dan sekarang sudah terbangun.

Sejauh ingatan saya, Umno tidak pernah menyatakan kekesalannya kerana memecat dan menghalau PAS keluar daripada BN, malah Umno tidak pernah meminta maaf kepada PAS hingga ke hari ini.

Kalau itulah sikap Umno, maka bagaimana orang PAS mahu memikirkan untuk mendampingi Umno semula seperti ada usaha membayangbayangkan isu itu, pengalaman amat pahit itu bagi PAS amat berguna.

Apabila PAS bertahaluf dengan Pakatan Rakyat khasnya dengan DAP, jelas PAS mengaut keuntungan yang ketara hasil daripada keputusan undi dalam PRU13 baru-baru ini, PAS semakin mendapat pertambahan pengundi dan penyokong.

Namun demikian, ramai orang menyedari, bahawa ‘Tahaluf Siayasi’ bukanlah satu perkara yang qat’ie, ini adalah satu hasil ijtihad daripada ahli-ahli PAS yang layak, hasil ijtihad itu diterima pakai dan namun demikian ia tetap terdedah kepada pelbagai kemungkinan, ijtihad boleh kekal selagi tidak ada keperluan untuk menyemaknya seperti timbul masalah.

Ada perkara-perkara penting yang menjadikan ijtihad itu lagho, maka barulah timbul keperluan untuk melihat semula perkara-perkara ijtihad yang lampau, atas dasar itulah persoalan mengapa PAS dan Umno tidak dapat disatukan yang dapat dilihat dari perkaraperkara yang telah saya sebutkan tadi, sekian wassalam.

Jerebu: Bencana Dukhan dan amaran Tuhan


http://saifulislam.com, 24 Jun 2013
Malaysia Haze
credit photo: .freemalaysiatoday.com
Kita mempunyai pilihan untuk sekadar melihat jerebu ini sebagai satu kejadian bencana alam yang penjelasannya berlegar pada laporan berita serta penerangan saintifik. Namun Allah SWT memberi peringatan bahawa bencana-bencana hasil perbuatan tangan manusia itu, adalah kejadian bermesej daripada-Nya.
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat). [Al-Rum 30:41]
Apa yang sedang Allah bicarakan dalam musibah?
Kerosakan itu hasil kerja tangan manusia sendiri. Dan bencana kerosakan yang dialami pula, baru sedikit. Tangan manusia mampu menghasilkan bencana yang berganda-ganda lagi. Bencana datang bukan untuk menghukum. Tetapi mahu menyedarkan.
Agar kita kembali.
Bagaimana pula dengan asap jerebu?
Langsung teringat kita kepada apa yang berlaku di zaman Nabi sallallahu alayhi wa sallam seperti yang disebut di dalam surah al-Dukhan:
dukhan
  • Oleh itu tunggulah (wahai Muhammad) semasa langit membawa asap kemarau yang jelas nyata (yang menyebabkan kebuluran yang dahsyat)
  • Yang akan menimpa seluruh keadaan manusia (yang kafir itu, sehingga mereka akan berkata: “Ini adalah azab yang sungguh menyakitkan”.
  • (Pada saat itu mereka akan merayu dengan berkata): “Wahai Tuhan kami! Hapuskanlah azab ini dari kami, sesungguhnya kami akan beriman!”.
  • Bagaimana mereka dapat beringat (menyempurnakan janji mereka hendak beriman itu)? Pada hal mereka telah pun didatangi seorang Rasul yang memberi keterangan-keterangan (yang cukup untuk mereka beriman)!
  • Sekalipun demikian, mereka juga berpaling ingkar daripada menerima keterangannya sambil berkata (sesama sendiri): “Dia seorang yang diajar (oleh bangsa asing), dia juga seorang yang gila!”
  • Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar).
  • (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).
BENCANA KAUM MUDHAR
bones
Berkenaan ayat 10 hingga 14, Al-Bukhari (hadith 4821) dan Muslim (hadith 2798) mendatangkan riwayat Ibn Mas’ud radhiyallahu anhu bahawa sesungguhnya kaum musyrikin Mudhar apabila mereka berkeras mengingkari seruan Nabi Muhammad sallallahu alayhi wa sallam dan menentang baginda dengan segala bentuk keangkuhan dan kekejian, Baginda telah mendoakan mereka kemarau yang pedih seperti yang pernah menimpa umat manusia di hari-hari pemerintahan Yusuf alayhi al-Salam. Lalu mereka ditimpa dengan kemarau yang teruk hingga ke tahap menampung makan dengan menjamah tulang.
Ketika itu, langit mereka diselubungi asap tebal yang menyeksa. Kaum Mudhir mendatangi Rasulullah sallallahu alayhi wa sallam merayu agar Baginda memohon kepada Allah agar diturunkan hujan untuk kaum Mudhar kerana sesungguhnya belenggu asap itu memusnahkan mereka.
Baginda telah memohon kepada Allah dan Allah memperkenankan permohonan baginda.
Hujan turun.
Al-Bukhari mendatangkan riwayat yang menyambung kisah tentang ayat ke 15 dan 16.
Setelah asap itu hilang, kehidupan kembali normal, mereka kembali kufur kepada Allah.
“Sesungguhnya (kalaulah) kami hapuskan azab itu barang sedikitpun, sudah tentu kamu akan kembali (kufur ingkar). (Ingatlah! Kalau kamu ulangi keingkaran kamu, kamu akan dibinasakan) semasa Kami timpakan (kamu dengan) paluan yang besar (dari pihak lawan kamu); sesungguhnya Kami tetap akan menyeksa (dengan azab yang seberat-beratnya).”
nilai
Datang musibah, ingat Tuhan.
Dilepaskan sedikit daripada kesusahan, kembali kufur dan lupakan Tuhan.
Duhai bangsaku, jangan sampai Tuhan ‘berdendam’ dengan kita!
Kembalilah!

Ibnu Hasyim: Kuliah Politik Presiden PAS: Era Khulafa' Ar-Rasyi...

Ibnu Hasyim: Kuliah Politik Presiden PAS: Era Khulafa' Ar-Rasyi...: Oleh YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang   ANTARA matlamat Allah mencipta manusia adalah agar mereka menjadi khalifah...

Tidakkah jerebu juga tentera Allah?


Subky Latif, 24 Jun 2013
APAPUN kerosakan di laut, di darat dan di udara seperti jerebu adalah justeru gatal tangan manusia, demikian kira-kira maksud ayat 41 surah ar-Rum.

Maka jerebu yang melanda Singapura, Malaysia dan apa lagi Sumatera sebagai pusat punca yang mengeluarkan asap itu adalah hasil perbuatan manusia rakus mahu memunggah kekayaan bumi Sumatera yang sebanyak-banyak secara senang melakukan pembakaran.

Siapa manusia itu tidak penting, biarlah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menunjukkannya.

Pembakaran yang mulanya untuk tujuan ekonomi telah bertukar menjadi bala umum bagi sekurang-kurangnya tiga buah negara Asean berbentuk asap. Asap yang banyak itu memenuhi udara menjadi jerebu siang sentiasa redup dan di setengah tempat siang itu sentiasa seperti senja.

Tidakkah jerebu itu pula satu bentuk tentera Allah yang dikirim-Nya bagi memberi amaran kepada manusia?

Seperti Allah menjadikan tentera-Nya dalam bentuk seekor nyamuk bagi membinasakan Namrud, maka jundullah dalam bentuk jerebu itu adalah amaran awal kepada kemaksiatan manusia dan ujian bagi orang yang amal soleh. Bala untuk umat Muhammad SAW tidaklah membinasakan manusia seluruhnya seperti yang dialami oleh umat sebelumnya, justeru janji Allah kepada baginda sebagai pengirimannya adalah rahmat kepada seluruh, maka umatnya tidak akan mengalami bala sepahit kaum Nuh, Aad, Tsamud dan lain-lain.

Tentera asap telah dirakamkan dalam al-Quran dalam surah Ad-Dukhan, betapa asal tebal berkepul-kepul telah melanda bumi mengancam musyrikin Makkah. Tentera asap itu bukan sekadar menyesakkan nafas manusia dan boleh mendatangkan penyakit, malah asap atau jerebu itu, memanaskan udara sekalipun redup, tetapi ia mengakibatkan kemarau bagi wilayah yang Allah hukum.

Apakah gara-gara yang dialami oleh kemarau? Tumbuhan dan tanaman tidak menjadi. Ia menyempitkan rezeki manusia dan binatang. Manusia putus minuman kerana tiada sumber air, putus bahan makanan kerana tanaman tidak menjadi. Apabila binatang baik ternakan dan yang liar mati kelaparan, akhirnya tiada apa yang manusia dapat makan kecuali pasir.

Tentera jerebu yang melanda tiga wilayah Asean itu mungkin memulakan proses kiamat. Ia mungkin dapat diatasi atas penguasaan manusia atas ilmu teknologi, dan atas doa orang-orang soleh, tetapi ia adalah ayat-ayat Allah sebagai amaran kepada kerakusan manusia.

Orang yang melakukan pembakaran itu tentulah berdosa. Mereka bukan sekadar dihukum Allah semasa di dunia dan di akhirat, kerajaan juga akan menghukum mereka. Tetapi dosa mereka yang membakar itu menimpa lain-lain orang yang tidak membakar dan orang yang tidak merebut kekayaan di Sumatera.

Orang miskin Singapura dan Malaysia tidak ada apa-apa kepentingan dengan pembakaran di Sumatera itu, tetapi apakah dosa mereka, maka mereka menerima azab dari kesan jerebu itu?

Pemimpin dan pemerintah ke tiga wilayah yang terlibat perlu bertanya apakah dosa masyarakat masng-masing, dosa kerajaan dan dosa para pemimpin itu sendiri menyebabkan Allah turunkan jerebu itu. Orang yang membakar hutan itu adalah penyebab kepada jerebu itu, jerebu itu adalah bala yang Allah turunkan berpunca dari pembakaran itu.

Kadang-kadang kebakaran bukan kerana ada pembakaran, tetapi oleh gara-gara pembuangan puntung rokok. Apakah manusia selain dari menghukum orang yang gatal tangan dan mengikhtiarkan kaedah mengatasinya, sedia muhasabah akan sebab Allah turunkan bala itu?

Pakar teknologi boleh menanam benih awan  dan hujan, orang soleh boleh solat minta hujan, tetapi apa peranan ulama dan sekalian orang yang beriman menyampaikan dakwah, bahawa jerebu itu bukan sekadar gara-gara Riau terbakar, tetapi ia adalah mesej Allah supaya manusia kembali kepada ajarannya. Sebelum yang tidak beriman mendapat petunjuk, orang yang beriman itulah yang mesti insaf dan taubat dulu.

Perang Hunain (I)


Ustaz Abu Muhammad Harits, 24 Jun 2013
Dengan pembebasan kota Makkah, jatuhlah sudah kerajaan berhala di tanah hijaz. Bangsa Arab mulai tunduk kepada Islam, dan mereka berduyun-duyun masuk ke dalamnya. Suku Hawazin yang mendengar peristiwa itu, merasa bimbang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam akan mengerahkan pasukan kepada mereka. Mereka pun bersatu untuk menyerang baginda. Peristiwa ini pun meletus di Hunain, sebuah lembah yang terletak antara Makkah dan Thaif, pada bulan Syawal tahun ke-8 Hijrah.

Sebab-sebab Peperangan


Setelah Allah Subhanahuwata’la memberi kemenangan kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kaum mukminin dengan takluknya Makkah, serta tunduknya masyarakat Quraisy, penduduk Tsaqif dan Hawazin pun ketakutan. Mereka yakin bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentu akan menyiapkan pasukan menyerang mereka. Maka sebelum itu terjadi, mereka bertekad untuk mendahului serangan.

Akhirnya mereka bersepakat untuk itu dan mengangkat Malik bin ‘Auf An-Nashry sebagai panglima perang. Dia seorang pemuda berusia sekitar 30 tahun dan dikenal sebagai ahli perang. Maka  berkumpullah suku Hawazin, Tsaqif, Bani Hilal, Bani Jusyam, dan lain-lain. Di antara mereka ada Duraid bin Ash-Shimmah yang terkenal sangat ahli dalam peperangan, pendapat dan taktiknya sangat jitu. Tetapi dia sudah sangat tua dan buta, sehingga hanya dapat memberikan saranan dan arahan.

Adapun strategi yang diatur oleh Malik, sangat berbeza dengan keinginan Duraid. Malik berpendapat agar mereka membawa serta semua anak dan isteri juga harta benda. Menurut Malik, apabila seorang perajurit mengetahui sesuatu yang berharga dalam hidupnya (keluarga dan harta) ada di belakangnya, kalaupun terjadi kekalahan, dia tidak akan mungkin meninggalkan mereka jatuh ke tangan musuh. Sehingga dia akan berjuang sampai mati mempertahankan harta dan keluarganya.

Ketika hal ini didengar oleh Duraid, dia bertanya kepada Malik: “Ada apa ini, saya mendengar suara anak-anak, kaum wanita, dan binatang ternak dalam pasukanmu?”

Kata Malik: “Saya ingin menempatkan di belakang setiap laki-laki ada anak, isteri, dan harta mereka agar dia berperang mempertahankannya.”

Duraid berkata mencemuh: “(Itulah) penggembala kambing, demi Allah. Bukan untuk perang. Apakah itu akan dapat membela orang yang kalah? Sungguh, kalau kamu menang, itu semua tidak berguna bagimu selain laki-laki dan senjata. Kalau kamu kalah, berarti kmu telah mempermalukan keluarga dan hartamu.”

Tetapi Malik tetap dengan pendiriannya. Bahkan mengancam: “Wahai masyarakat Hawazin, kalau kalian tidak mentaatiku, aku akan bunuh diri di depan kalian.”

Orang-orang Hawazin terkejut, mereka berbisik satu sama lain: “Kalau kita tinggalkan Malik, dia bunuh diri padahal dia masih muda. Tapi kalau kita ikuti Duraid, dia sudah tua, tidak ada lagi perang bersama dia.”

Akhirnya mereka memilih Malik. Kemudian Malik berpidato membakar semangat pasukannya: “Sungguh, Muhammad belum pernah berperang sama sekali sebelum ini. Selama ini dia hanya melawan orang-orang yang tidak tahu bagaimana berperang, sehingga dapat mengalahkan mereka. Maka jika kamu bertemu mereka, pecahkan sarung pedang kamu dan seranglah mereka secara serentak dan tiba-tiba!!”

Akhirnya mereka pun berangkat membawa serta puluhan ribu ekor unta. Malik memerintahkan agar kaum wanita dan anak-anak diletakkan di atas unta-unta tersebut. Dengan cara ini, Malik sudah menjatuhkan mental lawan yang melihatnya kerana mereka akan mengira di belakangnya ada ratusan ribu pasukan. Taktik ini adalah salah satu sebab kemenangan Hawazin pada awal pertempuran.

Malik membawa pasukannya hingga tiba di lembah Hunain. Daerah ini sudah sangat dikenal oleh Malik sehingga dia dengan mudah menempatkan pasukannya untuk memusnahkan kaum muslimin dengan sekali serangan.

Malik mulai membagi pasukannya. Lembah dan bukit-bukit di sekitarnya menjadi tempat persembunyian dan perangkap yang sangat baik. Apabila lawan termasuk ke lembah, maka pasukannya yang ada di kanan kiri bukit akan menghujani mereka dengan panah dan batu. Apalagi perajurit Hawazin terkenal sebagai ahli panah dan tombak.

Persiapan Kaum Muslimin

Sebelum berangkat, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menunjuk ‘Attab bin Usaid bin Abil ‘Uaish bin Umayyah yang ketika itu berusia sekitar 20 tahun tinggal di kota Makkah sebagai ketua dan Mu’adz bin Jabal sebagai pengajar bagi penduduk Makkah.

Setelah Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam mendengar rencana penyerangan Hawazin ini, beliau mengirim ‘Abdullah bin Abi Hadrad sebagai mata-mata mengintai sejauh mana kesiapan orang-orang kafir tersebut. Lalu berangkatlah ‘Abdullah dan tinggal di tengah-tengah mereka sehari semalam atau lebih.

Tidak lama kemudian, ‘Abdullah kembali menemui Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menceritakan apa yang dilihatnya. Tetapi boleh jadi maklumat yang disampaikannya tidak lengkap. Ada beberapa hal yang tidak tersampaikan oleh ‘Abdullah kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam termasuk taktik perang yang akan dilancarkan oleh Malik. Sehingga kurangnya maklumat ini menjadi salah satu sebab mundurnya pasukan muslimin pada awal pertempuran.

Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam mulai menyiapkan pasukan. Terkumpullah 10.000 orang yang sebelumnya ikut bersama beliau dari Madinah untuk membebaskan Makkah. Kemudian ditambah dua ribu orang daripada penduduk Makkah yang baru masuk Islam.

Beliau juga meminjam beberapa puluh baju besi dan senjata kepada Shafwan bin Umayyah dan Naufal bin Al-Harits yang ketika itu masih musyrik.

Kisah Dzatu Anwath


Dahulu, orang-orang kafir Quraisy dan bangsa Arab lainnya mempunyai sebatang pohon sidr (bidara) yang sangat besar bernama Dzatu Anwath. Kebiasaan mereka dahulu, selalu menziarahinya setiap tahun dan menggantungkan senjata mereka di atas pohon itu, mengharapkan berkahnya. Mereka juga melakukan penyembelihan haiwan korban dan bertafakur selama satu hari di bawah pohon itu.

Ketika Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam berangkat menuju Hunain, mereka melewati sebatang pohon yang dipuja oleh kaum musyrikin bernama Dzatu Anwath. Mereka menggantungkan di atasnya senjata-senjata mereka.

Maka mereka pun berkata: “Ya Rasulullah, buatkanlah untuk kami Dzatu Anwath sebagaimana mereka punya Dzatu Anwath.”

Mendengar perkataan ini, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berseru: “Subhanallah (Maha Suci Allah). Ini adalah ucapan yang sama seperti diucapkan Bani Israil: ’Buatlah untuk kami sebuah sesembahan sebagaimana mereka mempunyai beberapa sesembahan’.”

“Sungguh ini betul-betul sunnah. Kamu sungguh-sungguh akan mengikuti sunnah (jalan hidup) orang-orang sebelum kamu, sedemikian rapatnya.” (HR. At-Tirmidzi dan Ahmad)


Riwayat ini menunjukkan bahwa orang yang selama ini hidup di lingkungan yang rosak, lalu berpindah daripada lingkungan tersebut, masih tersisa dalam dirinya sebahagian daripada lingkungan buruk itu. Apalagi yang belum lama meninggalkan lingkungan buruk tersebut. Dan kita mesti ingat, kalau para sahabat yang baru masuk Islam saja demikian keadaannya, padahal mereka mendapat bimbingan langsung di bawah Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam. Maka bagaimana dengan orang-orang yang datang sesudah mereka, yang lebih jahil dan lemah daripada mereka.

Kenyataan ini juga menunjukkan kepada kita betapa jijiknya kejahilan (terhadap ilmu agama). Seseorang itu mungkin saja terjerumus ke dalam kesyirikan kerana kejahilannya.

Pernyataan Rasulullah  Shallallahu ‘alaihi wasallam bahwa perkataan mereka itu adalah sunnah yang pernah dijalani oleh umat sebelumnya, memberi pengertian pula bahwa sebab yang menjerumuskan mereka dalam perbuatan syirik ini adalah tasyabbuh (meniru) kepada apa yang dianut oleh kebanyakan orang ketika itu.

Dari kisah ini pula kita pahami batilnya tabarruk (meminta berkah) kepada pohon-pohn kayu dan batu, kerana itu semua adalah perbuatan syirik. Apalagi Nabi Musa ‘Alaihissalam berkata, sebagaimana firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud:

“Patutkah aku mencarikan sembahan untuk kamu yang selain daripada Allah.” (Surah al-A’raf : ayat 140)

Demikian pula ungkapan yang diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau menyamakan ucapan sebahagian sahabat yang baru masuk Islam itu sama seperti perkataan Bani Israil kepada Nabi Musa; kerana itulah hakikat kesyirikan meskipun lafaznya berbeza.

Seperti ini juga yang dilakukan oleh para penyembah kubur. Iaitu orang-orang yang meminta syafaat, berkah, rezeki, jabatan dan sebagainya kepada para penghuni kubur. Mereka mengatakan bahawa perbuatan mereka adalah tawassul dan mencintai wali, bukan syirik. Padahal sesungguhnya, para wali Allah Subhanahuwata’ala tidak redha diperlakukan demikian rupa oleh mereka.

Dari kisah ini juga kita lihat para sahabat dan Bani Israil tidak dikafirkan. Sebab, mereka segera berhenti dan tidak mewujudkan apa yang mereka minta kepada dua rasul yang mulia ini. Seandainya mereka tetap melanjutkan apa yang mereka minta, nescaya mereka jatuh kepada kekafiran.

http://www.salafy.or.id

jadual sholat jun 2013


WAKTU SOLAT TAHUN 2013 BAGI ZON
KLUANG DAN PONTIAN
DAN KAWASAN YANG SEWAKTU DENGANNYA
Tarikh Hari
Imsak
Subuh
Syuruk
Zohor
Asar
Maghrib
Isyak
01 Jun Sabtu 05:26 05:36 06:58 13:07 16:31 19:12 20:26
02 Jun Ahad 05:26 05:36 06:58 13:07 16:31 19:12 20:27
03 Jun Isnin 05:26 05:36 06:59 13:07 16:32 19:12 20:27
04 Jun Selasa 05:26 05:36 06:59 13:07 16:32 19:12 20:27
05 Jun Rabu 05:26 05:36 06:59 13:07 16:32 19:13 20:27
06 Jun Khamis 05:26 05:36 06:59 13:07 16:32 19:13 20:28
07 Jun Jumaat 05:26 05:36 06:59 13:08 16:33 19:13 20:28
08 Jun Sabtu 05:27 05:37 06:59 13:08 16:33 19:13 20:28
09 Jun Ahad 05:27 05:37 07:00 13:08 16:33 19:13 20:28
10 Jun Isnin 05:27 05:37 07:00 13:08 16:33 19:14 20:29
11 Jun Selasa 05:27 05:37 07:00 13:08 16:34 19:14 20:29
12 Jun Rabu 05:27 05:37 07:00 13:09 16:34 19:14 20:29
13 Jun Khamis 05:27 05:37 07:00 13:09 16:34 19:14 20:29
14 Jun Jumaat 05:27 05:37 07:01 13:09 16:34 19:14 20:30
15 Jun Sabtu 05:28 05:38 07:01 13:09 16:34 19:15 20:30
16 Jun Ahad 05:28 05:38 07:01 13:09 16:35 19:15 20:30
17 Jun Isnin 05:28 05:38 07:01 13:10 16:35 19:15 20:30
18 Jun Selasa 05:28 05:38 07:01 13:10 16:35 19:15 20:31
19 Jun Rabu 05:28 05:38 07:02 13:10 16:35 19:16 20:31
20 Jun Khamis 05:29 05:39 07:02 13:10 16:36 19:16 20:31
21 Jun Jumaat 05:29 05:39 07:02 13:11 16:36 19:16 20:31
22 Jun Sabtu 05:29 05:39 07:02 13:11 16:36 19:16 20:32
23 Jun Ahad 05:29 05:39 07:02 13:11 16:36 19:16 20:32
24 Jun Isnin 05:30 05:40 07:03 13:11 16:36 19:17 20:32
25 Jun Selasa 05:30 05:40 07:03 13:11 16:37 19:17 20:32
26 Jun Rabu 05:30 05:40 07:03 13:12 16:37 19:17 20:32
27 Jun Khamis 05:30 05:40 07:03 13:12 16:37 19:17 20:32
28 Jun Jumaat 05:30 05:40 07:04 13:12 16:37 19:17 20:33
29 Jun Sabtu 05:31 05:41 07:04 13:12 16:37 19:18 20:33
30 Jun Ahad 05:31 05:41 07:04 13:12 16:38 19:18 20:33