Khamis, 5 September 2013
Berjimat suruhan Islam, bukan kerana defisit tinggi
i
Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 05 Sep 2013 |
Barangkali Tun Dr Mahathir baru sedar bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak membazir di dalam perbelanjaannya. Apabila minyak terpaksa dinaikkan 20 sen hanya untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM3.3 billion yang lebih daripada itu dihabiskan untuk tujuan lain, barulah Tun bersuara.
Suka untuk saya menyebut bahawa berjimat cermat ini ialah perintah Islam. Ia bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Bacalah teguran Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bernama Saad Radhiallahuanhu ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad Radhiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabada :
مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Yang bermaksud : Apakah pembaziran in? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.
Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.
Ketika saya mula-mula mentadbir negeri Kelantan pada tahun 1990, dasar jimat cermat inilah yang saya arah digunapakai dalam semua urusan kerajaan. Gaji bulanan Menteri Besar, ahli exco dan wakil rakyat kerajaan dipotong, sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk parti. Saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu.
Saya menolak peruntukan untuk keraian Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula tahun 1990. Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi mengelakkan perbelanjaan mengurustadbir rumah tersebut dan menyelamatkan kantung kerajaan. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.
Bahkan masih terngiang-ngiang di telinga saya tuduhan yang menyatakan bahawa amalan memberikan cuti dua hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri hanya akan menyebabkan mereka menjadi malas. Tanpa segan dan tanpa silu, itulah yang ditiru kemudiannya oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Dari sudut penjimatan, tambahan cuti sehari dalam seminggu ini menjimatkan banyak bekalan eletrik yang digunakan di pejabat-pejabat kerajaan.
Saya sokong saranan Tun Dr Mahathir agar kerajaan berjimat. Ia bagus namun agak lewat. Tetapi lewat itu lebih baik dari langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip better late then never. Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit kepada Islam.
Ertinya, berjimat cermat bukan hanya kerana defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat tetapi berjimat cermat kerana itulah suruhan agama. Saya tidak rasa lidah kita terlalu kekok sehingga menghalang untuk menyebut Islam.
Itulah Islam, agama yang syumul dan menyeluruh. Islam bukan hanya agama kopiah dan serban sahaja. Inilah yang wajib diketahui oleh pemimpin parti politik sekular yang hari ini dilihat banyak memakai kopiah dan menghiasi dada-dada akhbar dengan gambar berkopiah mereka.
Sekian.
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)
Q&A: Bolehkah taja haji guna wang zakat
Ustaz Hamizul Abdul Hamid, | 05 Sep 2013 |
Jawapan: Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi ‘dhuyufur rahman’ mendapat anugerah haji yang mabrur, amin. Dalam pada itu juga, memang timbul persoalan seperti ini di kalangan masyarakat awam. Tahniah juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.
Demi menjawab soalan ini, kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.
Ada pun syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Mampu (istita’ah). Yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.
Allah SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka.” (surah Ali-Imran : ayat 97)
Maka, secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu daripada aspek kewangan untuk ke sana.
Dalam hal ini, saudara menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?
Suka saya paparkan perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, susunan Dr Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji, diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan hajat berkenaan.
Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut: “Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah, sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji yang dilakukannya.’ (rujuk hal. 147)
Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.
Janganlah kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih menepati keperluan. Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat harta ma’din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua inil lebih sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.
Bahkan Ibn Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah, at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.
Seandainya kita meneliti lebih lanjut, maka pandangan fuqaha mengenai fisabilillah sebenarnya tidaklah terbatas kepada aspek peperangan semata-mata. Hal ini ada dikemukakan oleh T.M Hasbi as-Shiddieqy di dalam kitabnya, Pedoman Zakat dengan menyajikan pelbagai definisi fisabilillah oleh pelbagai fuqaha (rujuk hal. 169-172).
Umumnya, fuqaha menyatakan bahawa fisabilillah adalah bermaksud mempertahankan agama Islam dan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah). Maka, boleh jadi dalam mendefinisikan maksud taqarrub ilallah inilah, ada yang berpandangan bahawa orang yang mahu mengerjakan haji wajar dibantu, kerana mereka memang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sedangkan, jika diteliti lebih mendalam, maksud taqarrub ilallah yang lebih tepat ialah, segala aktiviti yang bersifat kepentingan umum, misalnya untuk tujuan dakwah Islamiyah, menganjurkan program Islami, menerbitkan risalah penerangan Islam dan menangkis tohmahan musuh-musuh Islam, memperkukuhkan institusi-institusi keIslaman dan sebagainya.
Jika orang yang dalam proses menunaikan haji dan mereka kehabisan belanja untuk kembali ke tanah air, hakikatnya bagi mereka memang sudah tersedia peruntukan khusus buat menangani keperluan itu, iaitu di bawah asnaf ibn sabil.
Manakala dalam konteks semasa, di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, dana fisabilillah ini dimanfaatkan sama ada untuk tujuan pemerkasaan institusi agama dan juga menaja individu muslim menyudahkan sesuatu pekerjaan yang mana, natijah akhirnya kelak akan kembali kepada umat Islam secara umum.
Maka, berdasarkan pandangan dan huraian ini, menyalurkan wang zakat sebanyak RM10 ribu itu untuk menaja individu yang miskin menunaikan haji, dianggap tidak menepati kehendak dalam amalan haji itu sendiri, iaitu mestilah ‘mampu’. Manakala, di sisi zakat, terdapat asnaf lain yang lebih utama (asnaf muqaddam, seperti fakir dan miskin) yang wajar disantuni terlebih dahulu sebelum menyalurkannya terus kepada asnaf fisabilillah.
Maka, berdasarkan perbincangan di atas, pandangan fuqaha bahawa tidak boleh disalurkan wang zakat bagi menunaikan haji lebih menepati kehendak zakat dan syariat. Lalu, adalah disarankan agar saudara mengeluarkan wang lain bagi menaja individu berkenaan menunaikan haji, dan tidaklah menggunakan wang zakat. Andai setelah diberikan RM10 ribu (katakan diambil dari wang simpanan dan diberikan bukan atas nama zakat kepada individu berkenaan) dan dengan sebab itu wang simpanan saudara juga menyusut dan menyebabkan zakat juga menyusut, maka ia tidaklah menjadi apa-apa kesalahan di sisi Islam.
http://www.hamizul.com/
Langgan:
Catatan (Atom)