Sabtu, 5 Oktober 2013

Tazkirah sirah: Penghakiman paling aneh di dunia


Tuan Ibrahim Tuan Man, 05 Okt 2013
Selepas Samarkand jatuh ke tangan tentera Islam, padri besar negeri itu mengutus surat kepada khalifah Islam, Amirul-Mu’minin Umar bin Abdul Aziz.

Di dalam surat tersebut dia mendakwa panglima tentera Islam, Qutaibah serta angkatan tenteranya telah memasuki Samarkand tanpa amaran dan tanpa seruan dakwah kepada Islam.

Umar mengarahkan hakim yang dilantik untuk bertugas di Samarkand bernama Jumay’ supaya membicarakan kes yang didakwa oleh padri besar tersebut.

Hakim memanggil kedua-dua pihak, pendakwa (padri besar Samarkand) dan yang didakwa (Qutaibah, panglima angkatan tentera Islam). Qutaibah dipanggil oleh petugas mahkamah atas nama peribadinya, tanpa dikaitkan dengan sebarang gelaran.

Datanglah Qutaibah ke mahkamah. Dia duduk bersebelahan paderi besar Samarkand di hadapan hakim Samarkand yang muslim.

Hakim memulakan perbicaraannya dengan mengajukan soalan kepada paderi besar Samarkand:-

Hakim: Apakah dakwaan kamu wahai orang Samarkand?

Paderi: Qutaibah dan tenteranya telah memasuki dan menakluki negeri kami tanpa menyeru kami kepada Islam terlebih dahulu dan memberi tempoh kepada kami untuk kami membuat keputusan mengenai pendirian kami!

Hakim berpaling kepada Qutaibah seraya bertanya:- Apa jawapan kamu terhadap dakwaan ini wahai Qutaibah?

Qutaibah: Peperangan adalah tipu muslihat. Samarkand merupakan negeri yang besar. Semua negeri-negeri di sekitarnya melawan kami. Mereka tidak menerima Islam dan tidak mahu membayar jizyah.

Hakim: Wahai Qutaibah! Adakah kamu telah menyeru mereka (penduduk Samarkand) kepada Islam atau membayar jizyah atau perang?

Qutaibah: Tidak! Sebaliknya kami terus serang mereka secara mengejut dengan alasan yang telah saya sebutkan tadi.

Hakim: Aku mendapati kamu telah mengaku. Dan apabila pihak yang didakwa mengaku, selesailah perbicaraan. Wahai Qutaibah! Allah tidak menolong umat ini melainkan dengan (berpegang kepada) agama, menjauhi tipu daya dan menegakkan keadilan.

Kemudian hakim mengisytiharkan keputusan penghakimannya:

Hakim: Kami memutuskan supaya semua orang Islam dikeluarkan dari bumi Samarkand, merangkumi pemerintah, tentera, orang-orang lelaki, kanak-kanak dan wanita. Mereka hendaklah mengosongkan kedai-kedai dan rumah-rumah mereka. Jangan ada seorangpun orang Islam yang tinggal di Samarkand!

Paderi besar terpinga-pinga,tidak percaya dengan apa yang dilihat dan didengarnya. Tanpa bukti, tanpa saksi, perbicaraan selesai dalam masa beberapa minit sahaja.

Paderi besar dan orang-orang Samarkand yang turut hadir dalam mahkamah ketika itu, tidak menyedari bahawa perbicaraan telahpun selesai kecuali setelah melihat hakim, Qutaibah dan para petugas bangun dan beredar.

Hanya beberapa saat saja selepas itu, penduduk Samarkand mendengar deringan suara loceng memenuhi angkasa, debu-debu berterbangan memenuhi setiap ruang dan bendera-bendera kelihatan berkibaran di sebalik debu-debu yang bertiupan. Mereka tertanya-tanya kehairanan, apa yang telah terjadi?

Lalu diberitahu kepada mereka bahawa pemerintahan Islam telah ditamatkan dan angkatan tenteranya telah ditarik keluar. Satu pemandangan yang sungguh menakjubkan dan menggemparkan.Dan terbenam sahaja matahari pada hari itu, anjing-anjing berkeliaran di jalan-jalan yang sunyi, suara-suara tangisan bersahutan dari setiap rumah menangisi pemergian satu umat yang adil lagi penyayang dari negeri mereka.

Lantas paderi besar dan seluruh penduduk Samarkand tidak dapat menahan diri lebih lama lagi. Mereka keluar berarak beramai-ramai dikepalai paderi besar menuju ke arah angkatan tentera Islam sambil melaungkan syahadah bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah.Ya Allah!

Betapa hebatnya kisah ini. Betapa gemilangnya lembaran sejarah Islam yang agung.Pernahkah anda dengar satu angkatan tentera menakluk sebuah kota, kemudian penduduk kota itu membuat dakwaan ke atas tentera yang menakluk, dan akhirnya tentera yang menakluk itu kalah dalam perbicaraan dan diperintahkan keluar dari kota yang telah ditakluknya?

Demi Allah! Kita tidak akan temui kisah serupa ini dalam sejarah mana-mana umat di dunia ini selain dari umat Islam!

Dipetik dari buku ‘Qasas min at-Tarikh’ oleh Syaikh Ali at-Tantawi

PCA: Islam larang lawan jahat dengan jahat- Shura


Harakahdaily, 05 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Islam melarang umatnya melawan kejahatan dengan menggunakan kejahatan dan di dalam Islam, matlamat tidak sesekali menghalalkan cara.

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura) berpendapat,  Undang-Undang Pencegahan Jenayah (Pindaan dan Pemerluasan) 2013 (PCA) yang diluluskan kerajaan dilihat mirip kepada kaedah tersebut iaitu "membalas kejahatan dengan  kejahatan".

Pengerusinya Abdul Ghani Shamsuddin berkata, penahanan tanpa bicara dalam PCA bukan sahaja jelmaan semula Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), malah membuka ruang kepada pemerintah menyalahgunakan kuasa demi kepentingan politik.

“Kita tidak boleh lawan kejahatan dengan kejahatan, keburukan dengan keburukan yang barangkali kita membuka pintu untuk orang lain membuat jahat, zalim kepada orang lain yang sudah pasti tidak menyelesaikan masalah.

“Buat jahat suatu kezaliman, tetapi memperuntukkan kemudahan bagi orang menyalahgunakan kuasa juga merupakan satu kezaliman yang besar,” katanya seperti dilapor Selangorku.

Menurut Abdul Ghani lagi, kegagalan membawa tertuduh ke muka pengadilan menyebabkan berlaku penyalahgunaan kuasa, kezaliman dan penganiayaan terhadap tertuduh.

Keadaan itu katanya bercanggah dengan perinsip keadilan Islam yang mensyaratkan tertuduh diadili sebelum dijatuhi hukuman.

“Orang ini tiada tempat untuk mendapatkan perlindungan dan ini menjadikan masyarakat kita bertambah zalim lagi,” katanya.

Lulus PCA, Malaysia mengundur ke belakang


Harakahdaily, 04 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menyifatkan tindakan kerajaan Malaysia meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Jenayah (Pindaah dan Pemerluasan) 2013 atau Prevention of Crime Act (PCA) sebagai tindakan mengundur ke belakang.

Presidennya, Christopher Leong, berkata ianya sesuatu yang menyedihkan bagi negara ini apabila undang-undang penahanan tanpa bicara dikembalikan semula.

Undang-undang yang turut mengurangkan kuasa mahkamah yang diluluskan Dewan Rakyat itu juga ujarnya, memberikan pukulan hebat kepada kedaulatan undang-undang negara ini.

“Jenayah keganasan yang berlaku perlu mengikuti prinsip, seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Pindaan PCA itu akan menafikan hak asasi manusia yang dijamin Perlembagaan Persekutuan,” kata Christopher dalam satu kenyataan.

PCA diluluskan di Dewan Rakyat lewat malam semalam selepas menjalani perbahasan hangat sejak ianya dibentangkan.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menentang keras undang-undang ini yang disifatkan bertentangan dengan keadilan sejagat dan cenderung untuk disalahgunakan.