Akhir-akhir
ini ramai di antara pemimpin-pemimpin BN berkata yang UMNO sudah pulih
dan parti itu telah membetulkan kesilapannya. Kata mereka lagi yang UMNO
akan berubah dan akan membetulkan kesalahannya. UMNO tidak akan lakukan
lagi apa yang mereka telah lakukan selama ini. Oleh itu marilah
menyokong UMNO sekali lagi kerana telah berubah. Begitulah lebih kurang
kata-kata mereka di antaranya termasuk apa yang dikatakan oleh Najib dan
Muhyiddin Yassin.
Dengan kata-kata itu ia memberi makna yang selama ini mereka mengaku
UMNO dan BN telah membuat kesalahan dan UMNO telah mengakui apa yang
dituduh oleh pelbagai pihak yang UMNO itu telah melacurkan politik dan
siasah negara. Justeru UMNO sememangnya parti yang telah berdosa dan
sekarang mahu bertaubat. Saya gembira dengan pengakuan Najib dan
pimpinan tertinggi UMNO yang lain yang UMNO telah melakukan kesalahan
dan sekarang mahu bertaubat dan meminta diberi lagi peluang untuk
memerintah kita rakyat yang sudah begitu lama dalam pencarian ini.
Persoalannya sekarang apa yang mereka telah taubatkan itu?
Maaf-memaafkan sesama sendiri itu memang amalan orang mukmin. Tetapi
tidak bermakna menjanjikan taubat itu sudah cukup untuk meneruskan
penguasaan lagi terhadap rakyat dan negara. Apabila UMNO sudah taubat,
parti itu sepatutnya direhatkan untuk melaksanakan apa yang mereka
taubatkan itu. Jika RM ratusan billion wang rakyat dicuri dan diambil
oleh pimpinan BN secara haram, ia memakan masa untuk melakukan proses
pemulangan balik harta-harta curi itu kepada rakyat jelata.
Orang yang telah sedar dan bertaubat tidak boleh lagi melakukan
apa-apa kesalahan yang terbesar terutamanya terhadap sesama manusia.
Saya selalu katakan rasuah itu merupakan ketagihan tegar yang dihidapi
oleh UMNO dan BN itu. Seperti penagih dadah yang hendak kembali berbuat
baik dan menjauhi amalan mengambil dadah itu mereka sepatutnya duduk di
dalam pusat-pusat serenti yang banyak di sediakan oleh kerajaan sekarang
ini untuk beberapa lama yang wajar. Mereka dikawal dan dijaga dengan
baik oleh pihak kerajaan supaya merawat ketagihan itu dengan bersistem.
Banyak cara untuk merawat penagih ini.
Ada juga yang berjaya dirawat dan menjadi ahli masyarakat yang
berguna dan berbuat baik selepas keluar dari pusat pemulihan serenti
itu. Tidak kurang juga yang kembali menagih dan kembali ke pusat-pusat
serenti itu. Di dalam pusat-pusat serenti itu panagih-penagih ini akan
diberikan bimbingan untuk menjadi insan yang baik dengan kelas agama dan
memberikan mereka kegiatan riadah seperti bersenam dan sebagainya untuk
memulihkan mereka kembali. Mereka ini perlu bimbingan dan ditunjukkan
bagaimana untuk menjadi umat yang baik dan berguna untuk masyarakat dan
negara, lebih-lebih lagi untuk agamanya.
Begitu jugalah dengan pimpinan-pimpinan UMNO. Seperti yang kita tahu
salah satu dari salah laku pimpinan UMNO ialah rasuah. Rasuah ini
merupakan salah satu dari penyakit ketagihan yang boleh merosakkan
masyarakat dan negara. Rasuah sepatutnya dijadikan musuh nombor satu
negara kerana banyak tamadun telah runtuh oleh kegiatan rasuah
pemimpinnya.
Oleh kerana secara terus menerus UMNO telah melakukan ketagihan itu,
maka UMNO patut berihat dan melakukan pembaik-pulihan supaya parti itu
menjadi parti yang berguna kepada rakyat dan negara dan tidak lagi
menjadi penagih rasuah yang telah hampir menjahanamkan negara kesayangan
kita ini.
Maka tidak boleh lah UMNO sendiri mengisytiharkan yang mereka telah
pulih dari semua penyakit merbahaya untuk manusia itu dan meminta terus
memerintah negara ini seperti biasa. Penagih ini tidak semua yang baik
dengan sendirinya. Selalunya ia perlu dibimbing dan diatur segala
kegiatan kehidupan mereka. Maka UMNO perlu berihat dan memulihkan
penyakit ketagihan ini. Kita tidak mahu penagih rasuah ini kembali
melakukan rasuah seperti penagih dadah yang kembali menagih selepas
keluar dari pusat serenti itu.
Tetapi yang pentingnya sekarang UMNO sudah mula sedar dan mengakui
kesalahannya dan serangan terhadap pembangkang yang menuduh mereka
(UMNO) itu rasuah sepatutnya di tarik balik dan di dalam hati meminta
maaf kepada mereka yang membuat tuduhan yang benar itu.
Ramai pemimpin-pemimpin UMNO telah mengisytiharkan yang mereka telah
berjaya memulihkan kesalahan yang telah mereka lakukan dahulu dan telah
mengakui kesilapan dan kesalahan mereka. Mengakui kesalahan itu sudah
cukup untuk mengakui yang pihak pembangkang adalah pihak yang benar dan
kecenderungan rakyat untuk memberikan mandat kepada mereka (pembangkang)
sepatutnya mendapat galakan dan sokongan dari orang ramai.
Buat sementara waktu UMNO biarkanlah mereka duduk berihat sambil
memperbaiki diri mereka supaya parti itu pula yang akan menjadi parti
alternatif kepada Pakatan Rakyat yang memerintah nanti. Jika Pakatan
Rakyat melakukan kesalahan yang sama UMNO yang sudah pulih semasa dalam
‘political confinement’ itu boleh kembali dan menjadi UMNO yang
bertenaga dan tidak lagi seperti dahulu. Mungkin semasa itu nanti UMNO
akan menjadi bertenaga dan berseri-seri wajah pimpinan mereka setelah
melakukan rawatan mereka selama beberapa tahun semasa menjadi
pembangkang itu.
Maksud saya ini ialah, menjadikan negara ini sebagai negara demokrasi
yang mempunyai sistem dua parti itu akhirnya akan memberikan kenaikan
kepada rakyat. Semasa itu nanti baru lah rakyat sedar betapa nikmatnya
jika kuasa itu sebenar-benar berada ditangan mereka dan bukannya di
tangan ‘war lords’ UMNO seperti sekarang ini.
Rakyat yang bermaruah tidak akan membenarkan sesiapa untuk mengawal
hak mereka dengan wang sogokan atau bantuan seperti gigi palsu percuma,
BRIM dan sebagainya. Rakyat tidak boleh memberikan hak kepada pihak lain
setelah mendapat tayar teksi percuma dan sebagainya.
Harga diri rakyat itu lebih tinggi dari harga tayar dan bantuan BRIM
serta pembayaran bonus satu setengah bulan gaji dan sebagainya.
Sedangkan kucing belaan kita pun sekarang tidak makan ikan mentah lagi.
Mereka (kucing) sekarang makan Friskies dan Whiskas yang dibeli dari
pasaraya. Kucing pun tahu harga diri mereka. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/