Rabu, 26 Oktober 2011

bAHAYANYA ANGKARA PERBUATAN FINAH

Fitnah Abdullah Ubay mula diterima

PERISTIWA Saidatina Aishah berjalan bersama lelaki lain dijadikan sumber oleh Abdullah bin Ubay untuk menyebar fitnah di kalangan penduduk Madinah, sekali gus mencemarkan nama serta pengaruh Rasulullah.
Tidak henti-henti bapa munafik ini menghembuskan angin fitnahnya ke sana ke mari dengan menyebarkan cerita bohong mengenai isteri Rasulullah itu.
Pada mulanya, Abdullah hanya menyebarkan fitnah yang keji lagi kotor itu dengan cara berbisik-bisik kepada orang lain.
Dia menyindir dengan menuduh Ummul Mukminin dengan berkata: "Mengapa Aishah pulang lambat dan kemudian kembali bergabung dengan pasukan tentera bersama dengan Shafwan, seorang pemuda yang gagah serta dipercayai oleh Muhammad? Tidakkah kamu merasa pelik".
Antara individu yang didekati oleh Abdullah untuk menyebarkan fitnahnya itu ialah saudara perempuan kepada seorang lagi isteri Rasulullah, Zainab bin Jahsy, iaitu Hamnah binti Jahsy.
Abdullah mengetahui bahawa Siti Aishah adalah isteri yang lebih dikasihi oleh Rasulullah berbanding isteri baginda yang lain.
Dengan menaburkan fitnah kepada Hamnah akan menyebabkan kerukunan dalam rumahtangga Rasulullah akan goyah sehingga akan melibatkan kesan yang buruk kepada isteri yang paling dikasihi oleh baginda.
Hamnah pun tanpa berfikir panjang, termakan kata-kata fitnah dari Abdullah itu dan dia pun turut menyebarkan fitnah tersebut terutama kepada seorang ahli syair yang terkemuka iaitu Hassan bin Tsabit dan Ummu Misthah (perempuan suruhan dalam keluarga Saidina Abu Bakar As Siddiq).
Akhirnya, fitnah yang mengandungi pelbagai tuduhan yang jahat terhadap Siti Aishah itu tersebar luas ke seluruh Kota Madinah dan menyebabkan seluruh kaum Muslimin menjadi gempar dan terkejut.
Akibatnya seluruh keluarga Rasulullah dan keluarga Abu Bakar terpalit arang di muka sedangkan mereka terkenal sebagai keluarga-keluarga yang sangat mulia dan dipandang tinggi dan hormat oleh seluruh masyarakat.
Apa lagi Abdullah pun menjadi manusia yang paling gembira dengan kejayaannya menyebarkan fitnah itu.
Tetapi bagaimana dengan Rasulullah sendiri apabila tersebarnya fitnah yang melibatkan isteri kesayangan baginda?
Baginda sendiri berasa hairan dan sangat terkejut mendengarkan berita yang sangat mendukacitakan itu dan penyebaran fitnah yang berlaku. Tidak terlintas di fikiran baginda, isteri yang paling disayanginya itu akan melakukan perbuatan yang curang dan serong.
Namun baginda tidak terburu-buru mengambil sebarang keputusan tanpa sebarang usul periksa.
Bukan baginda tidak menyayangi atau tidak mempercayai Siti Aishah tetapi baginda hendak melakukan siasatan dan menyelidiki dengan penuh hikmah dan saksama agar keputusannya akan memuaskan hati semua pihak.
Tetapi bagaimana dengan Siti Aishah yang menjadi mangsa fitnah, bagaimana hubungannya dengan Rasulullah apabila fitnah ini melanda?
"Aku memang tidak menyedari sebarang perubahan yang berlaku kepada Rasulullah cuma layanan baginda tidak seperti biasa yang selalunya baginda akan menghiburkan terutamanya apabila aku sakit.
"Kali ini walaupun tetap mesra terhadapku tetapi dapat ku rasakan Muhammad seperti menahan perasaannya dan tidak lagi begitu menghiburkan aku. Melihatkan begitu ditambah lagi Muhammad tidak berkata apa-apa dan aku pun meminta kebenaran darinya untuk dirawat di rumah keluarga sendiri.
"Muhammad pun memberikan keizinannya kepadaku dan aku pun berpindah ke rumah keluargaku buat sementara sehinggalah aku sembuh," kata Aishah.
Berbanding berhadapan dengan musuh yang ingin menguji kekuatan dari aspek ketenteraan, namun apabila tersebarnya fitnah seperti ini ia lebih menguji kekuatan Rasulullah.
Sudahlah fitnah menjadi semakin perbualan yang hangat, Rasulullah sendiri tidak mempunyai jawapan yang tepat dalam menghadapi persoalan rumit seperti ini.
Hendak ditanya sendiri atau berbincang dengan Aishah, beliau sedang sakit dan bimbang sakitnya akan bertambah berat dan melarat. Hendak ditanya sendiri dengan Shafwan, baginda bimbang Shafwan akan salah faham dan menimbulkan suasana yang tidak menyenangkan.
"Ini kerana lelaki yang cuba dikaitkan dengan Aishah ini pula sepanjang mengenali beliau adalah seorang yang baik dan dia tidak pernah masuk ke rumahku melainkan dengan aku sendiri," kata Rasulullah.