Zulkifli Sulong,
|
04 Nov 2012
|
SEREMBAN: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi
Awang mengajak rakyat Malaysia mengubah cara berpolitik di negara ini
kepada cara baru iaitu cara yang dikemukakan oleh Pakatan Rakyat.
"Cara BN cara lama. Cara parti dibentuk dari bangsa-bangsa. Berbeza
dengan cara Pakatan Rakyat. Parti-parti kita semua berbilang kaum dan
agama.
"PAS parti islam dari pelbagai kaum. Ada juga bukan
Islam melalui Dewan Himpunan Penyokong PAS. PKR parti pelbagai kaum dan
agama. Begitu juga DAP.
"Berbeza dengan BN. Semua partinya
dari parti kaum," kata beliau di Himpunan Kebangkitan Rakyat dekat
Taman Seremban Jaya, Senawang malam ini.
Puluhan ribu rakyat
pelbagai kaum dan agama berhimpun di sini bagi menyertai perhimpunan
yang penuh sejarah itu. Padang usang itu penuh dengan keghairahan
rakyat untuk memperjuangkan hak mereka.
Tepukan dan laungan reformasi bersatu dengan teriakan Allahuakbar dari para penyokong PAS, PKR dan DAP.
Pelbagai barangan kempen dijual oleh penyokong PAS, PKR dan DAP di
perhimpunan ini. DAP membawa treler dan lori kempennya manakala PKR
membawa bas dua tingkat jelajah rakyatnya.
Selain Ustaz Hadi, turut berucap adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.
Penyanyi Ito yang berasal dari Negeri Sembilan telah diberikan
penghormatan untuk melancarkan lagu Pakatan Rakyat bertajuk 'Ubah
Sekarang' di perhimpunan ini.
Ustaz Hadi dalam ucapannya
menyatakan sekali lagi komitmen Pakatan untuk mematuhi perlembagaan
negara tetapi membawa mesej yang berbeza sama sekali dari BN.
"Kita memegang perlembagaan yang sama tetapi penghayatan yang lain dari BN," kata Ustaz Hadi.
Dalam ucapannya juga, Ustaz Hadi berkata, memang PAS bersekongkol
dengan DAP dalam Pakatan Rakyat "tetapi kita mentafsirkan Islam secara
yang sebenar."
"Kerajaan tidak boleh berlagak sebagai Tuhan,
pemimpin bukan juga bukannya manusia suci," tegas beliau ketika
mentafsirkan sistem pemerintahan yang dikehendaki Pakatan.
Beliau juga memberitahu, PAS tidak pernah memaksakan Islam kepada orang lain kerana "tiada paksaan dalam agama."
Oleh itu, katanya, tidak berbangkit PAS menjadi kuda tunggangan kepada
mana-mana pihak termasuk DAP apabila PAS tidak memaksakan Islam
kepadanya kerana ia sememangnya hak yang dberikan oleh Islam.
Beliau juga menegaskan, PAS akan sentiasa komited untuk mempertahankan
hak bumiputra kerana mereka sememangnya tertinggal dari segala segi
selepas disusun sedemikian rupa oleh penjajah.
"Namun dalam
masa yang sama kita juga perlu memberikan hak istimewa kepada kaum Cina
dan India yang miskin kerana mereka juga mesti dibela.
"PAS
akan memperjuangkan hal ini dan ini adalah tanggungjawab kita,"
tegasnya dengan disambut teriakan takbir dan tepukan gemuruh dari para
hadirin yang pelbagai kaum, agama dan jantina itu.