Isnin, 4 November 2013

Rakyat makin susah Umno makin bertapak


Muhammad Nuruddin Bashah,

UMNO dan BN hanya menang di kawasan rakyat susah. Di kawasan rakyat senang, BN kalah. Semakin susah rakyat makin mudah UMNO bertapak, demikian ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Sungai Limau Dalam sebentar tadi. Penulis yang tekun mendengar amat bersetuju dengan hujah berkenaan.

Modus operandi dan taktik berzaman UMNO adaah menyerah bantuan atau sogokan wang secara one off. Wang one off pastinya lumayan jika diguna untuk 2 atau 3 hari. Jika wang itu dinilaikan perbelanjaan selama 5 tahun ia hanya buih di lautan, tiada harga.

Namun one off inilah yang menjadi kegilaan sebilangan besar pengundi Melayu yang rata-rata di kalangan orang luar bandar dan susah.

Jika rakyat makin membangun, makin maju, makin celik, maka modus operandi UMNO ini tidak relevan dan UMNO serta BN pasti bungkus rapi. Sebab rakyat yang agak sederhana pendapatan, yang ber ada di bandar atau tidak terlalu susah tidak bergantung harap dengan wang one off UMNO. Mereka terima wang, tetapi undi belum tentu.

UMNO tersepit antara perlu mengekalkan kesusahan rakyat dan mengekalkan strata sosial masyarakat luar bandar yang sederhana atau rendah demi mengekalkan kuasa dan pengundi mereka atau memajukan negeri seperti mana yang mereka laungkan dalam manifesto pilihanraya. Ayat pembangunan dan ayat maju adalah ayat tetap kempen UMNO. Jadi jika smua rakyat maju, bangun dan kaya pasti mereka celik dan lawan UMNO. Inilah yang menjadikan UMNO dilema.

“Lihat sahaja di Sarawak dan Sabah. Kenapa dua negeri ini menjadi fix deposit UMNO-BN? Semua kerana dua negeri ini adalah negeri pendalaman, negeri orang susah,” jelas Timbalan Presiden lagi.

Jadi apa yang UMNO lakukan selama ini adalah menjanjikan projek segera di kawasan pilihanraya kecil. Kemudian pembangunan itu ditangguh atau dilengahkan sehingga menjelang pilihanraya seterusnya atau terus dilupakan. Ada puluhan projek yang diisytihar dalam PRK tetapi hanya pembohongan tanpa dilaksanakan.

Dalam merealisasikan agenda pembangunan, sambil-sambil perayu undi UMNO akan selitkan wang ‘bantuan’ yang nilainya hanya ratusan ringgit dan pastinya idak sampai sebulan ia akan habis. Rakyat akan maju, moden, membangun dan kaya dalam masa sehari dua sahaja. Inilah taktik UMNO.

Lihat sahaja janji kerajaan BN untuk beri BRIM RM1,000 pada kempen pilihan raya umum lalu kini tinggal RM650 sahaja. Bukankah pembohong namanya.

Ya, PAS tiada wang  untuk suntik wang one off sebagaimana amalan UMNO malah ia bukan suatu cara pemerintahan yang baik. PAS Kedah sebaliknya meminta agar kerajaan  pusat menetapkan harga lantai kepada pengilang-pengilang yang membeli padi dari pesawah bagi tujuan membela nasib mereka. PAS Kedah juga mendesak kerajaan menetapkan harga dari RM750 satu tan kepada RM1150 satu tan. Harga subsidi padi wajar dinaikkan dari RM248 kepada RM372 untuk satu tan bersamaan RM3.72 sekilo.

Inilah cara membantu rakyat. Subsidi padi kali terakhir hanya dinaikkan oleh Datuk Seri Anwar pada tahun 1990 sahaja. Sehingga kini pesawah hanya anak tiri kerajaan.

Sebelum pulang daripada ceramah tadi penulis sempat melihat sehelai dua banner bantuan one off Mukhriz kepada para nelayan pula. Mungkin bantuan itulah yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini apabila  mengumumkan bantuan sebanyak RM500,000 untuk membaiki jeti nelayan di Sungai Limau serta RM743,900 untuk bantuan rakyat.

UMNO akan terus memberi ikan bukan kail, jala atau pancing. UMNO tidak mahu rakyat pandai usaha. Kaum Cina rata-rata tidak bergantung dengan subsidi, bantuan itu dan ini. Kaum Cina bebas membuat keputusan tanpa paranoid. Mereka sanggup mengundi siapa sahaja yang tertera pada kerta undi selama ini kerana mereka tidak harapkan wang seratus dua untuk kekal mandiri hingga kini.

Pilihanraya ini (Sungai Limau) tidak mengubah siapa perdana menteri. Tidak mengubah kedudukan Menteri Besar. Namun ia adalah pilihanraya maruah rakyat. Maruah rakyat menilai wang RM650 dengan tanah, masa depan dan bukti mereka menolak pemborosan, ketirisan, rasuah yang didedahkan mealui laporan Ketua Audit Negara 2012 yang lalu demikian mutiara kata terakhir Mohanad Sabu tadi.

Q&A: Hukum mematuhi undang-undang negara


Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, 04 Nov 2013
Soalan;
Adakah kita akan berdosa jika kita melanggar undang-undang yang telah ditetapkan oleh negara? Bolehkah terangkan pada saya.

Jawapan;
Mematuhi undang-undang Negara termasuk dalam pengertian mentaati pemerintah. Allah berfirman, maksudnya;

“Wahai orang-orang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” dari kalangan kamu.” (an-Nisa’, ayat 59).


Ulil-Amri dalam ayat di atas bermaksud orang-orang yang bertanggungjawab mengurus urusan kaum muslimin. Mereka merangkumi ulama dan pemerintah. Ulama bertanggungjawab tentang urusan agama dan pemerintah (umara) pula bertanggungjawab tentang urusan duniawi dan maslahah hidup rakyat. (Tafsir Ibnu Kathir)

Para zaman Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam- dan khulafak rasyidin, kedua-dua urusan (agama dan dunia) diuruskan oleh seorang ketua/pemimpin yang dipanggil Khalifah atau Amir al-Mukminin. Itulah yang sebaik-baiknya bagi kaum muslimin supaya urusan agama dan dunia dapat diselarikan tanpa wujud pertembungan antara ulama dan umara. Namun, selepas zaman Khulafak Rasyidin kedaan berubah yakni urusan agama ditangani oleh ulama dan urusan dunia pula ditangani oleh umara. Bagi keadaan kedua ini, wajiblah umara merujuk kepada ulama dan wajib pula ulama menasihati umara apabila ada keputusan umara yang bercanggah dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Kedua-dua ulama dan pemerintah dalam Islam terikat dengan ketetapan al-Quran dan as-Sunnah. Kerana itu didahului perintah taat dalam ayat di atas dengan ketaatan kepada Allah (yakni al-Quran) dan ketaatan kepada Rasul (yakni as-Sunnah). Apabila wujud sebarang masalah atau pertikaian (yang berkait dengan urusan pemerintahan atau yang berkait dengan rakyat), mereka wajib merujuk kepada Allah dan Rasul (yakni al-Quran dan as-Sunnah) sebagaimana ditegaskan Allah dalam sambungan ayat di atas;

“Kemudian jika kamu berselisihan dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah (al-Quran) dan RasulNya (as-Sunnah) jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Itu lebih baik (bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya,” (Surah an-Nisa’, hujung ayat 59).


Dari segi sikap rakyat pula, mereka wajib mentaati pemerintah selama pemerintah berpegang-teguh dengan agama Allah dan tidak menyuruh rakyatnya melakukan dosa, maksiat dan mungkar. Sabda Nabi –sallallahu ‘alaihi wasallam-;

“Wajib ke atas seorang muslim untuk dengar dan taat (kepada pemerintah) dalam perkara yang ia suka atau ia benci selama ia tidak disuruh melakukan maksiat. Namun apabila dia disuruh melakukan maksiat, tidak harus lagi ia dengar dan taat.” (HR Abu Daud dari Abdullah bin Umar –radhiyallahu ‘anhu-).


Kesimpulannya, selama undang-undang yang digubal tidak menyalahi al-Quran dan as-Sunnah, wajiblah kita mematuhinya sama ada undang-undang itu berkait dengan peraturan jalan raya, percukaian, keselamatan, kekeluargaan, kontrak dan sebagainya. Perkara yang wajib jika dilaksanakan akan diberi pahala dan jika dilanggari akan berdosa.

http://ilmudanulamak.blogspot.com/