Isnin, 14 Oktober 2013

Umno akan hancur dengan sendirinya jika tiada perubahan, tunggu sahaja saat kematian

Aspan Alias, 13 Okt 2013
Saya amat percaya, setelah selesai pemilihan di peringkat sayap UMNO semalam, UMNO jauh dari penyelesaian dari masalah. UMNO tetap sebuah parti yang memerlukan penyelenggaraan yang rapat kerana terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan. Masalah datang satu persatu dengan cepat sedangkan penyelesaiannya datang dengan begitu lambat dan perlahan.

Kemenangan Khairy Jamaludin merupakan satu perkara yang baik dan ini sahajalah satu kejadian yang sangat jarang dan payah terlihat di dalam UMNO itu. Kemenangan Khairy macam mana positif pun kepada UMNO ia tidaklah boleh menjamin transformasi itu akan berlaku.

Transformasi dalam kontek penyelesaian UMNO memerlukan pucuk pimpinan UMNO berkorban untuk memastikan transformasi itu boleh dilaksanakan, kerana penyebab yang mendesak dilakukan transformasi itu adalah hasil kesalahan mereka juga. Pelaku-pelaku kepada kesalahan terhadap negara itu tidak mungkin boleh melakukan transformasi itu.

Itu sebabnya dalam posting semalam saya menyatakan yang tugas dan tanggungjawab Khairy amat berat, malahan lebih berat dari tanggungjawab pemimpin yang lain dalam UMNO itu yang sudah pasti akan terus menghalang apa-apa kemajuan yang dilakukan oleh Pemuda UMNO itu. Malahan, Khairy terpaksa berhadapan dengan masalah barisan kepimpinan Pemuda (Exco) yang ada bersama beliau itu. Khairy akan menghadapi masalah memberikan kefahaman dan semangat untuk perubahan yang perlu dilakukan dan yang perlu dipelopori oleh pemuda itu sendiri.

Sebelum Khairy memberikan dan menyuntikkan semangat untuk melakukan perubahan itu Khairy sendiri mesti terlebih dahulu tahu apa yang hendak diubah itu. Dan sebelum memutuskan apa yang hendak diubah dan diselesaikan itu, Khairy perlu tahu apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh kepimpinan negara kita. Hanya apabila sudah difahami segala apa masalah yang ada yang perlu diselesaikan, barulah Khairy boleh menentukan arah dan cara untuk melakukan perubahan itu.

Kita semua faham yang masalah yang dihadapi oleh pimpinan UMNO itu melibatkan masa depan negara dan tentulah masalah yang hendak difahami itu mesti berkait dengan masalah negara dan rakyat. Negara sedang berhadapan dengan masalah yang besar dan kalau difikirkan dengan halus-halusan masalah yang wujud itu adalah ‘beyond computation’ dan bukannya isu yang semudah ABC untuk penyelesaiannya.

Khairy mesti faham untuk melakukan perubahan ini beliau perlu mencari pihak yang boleh memberikan jalan dan semangat untuk perubahan itu. Secara lojiknya beliau perlu mentelaah segala masalah dengan pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO, tetapi ini juga menjadi masalah kepada Khairy. Masalah yang wujud pada hari ini adalah dihasilkan oleh pucuk pimpinan dan pemimpin-pemimpin yang lebih ‘senior’ dari beliau sendiri. Bagaimana orang yang membawa masalah kepada kepimpinan negara itu boleh dibawa untuk melakukan perubahan?

Masalah yang Pemuda mesti fahami ialah krisis keyakinan yang tidak ada tolok bandingnya terhadap kepimpinan negara. Apa sahaja yang dilakukan oleh pucuk pimpinan tidak diyakini oleh semua pihak. Rakyat yang sedang merasakan keperitan hidup hasil dari kenaikkan harga barangan makanan dan perkhidmatan bukan isu kecil. Rakyat kecewa, walaupun ada terasa yang pimpinan hari ini tidak berkemampuan untuk membendung cabaran zaman ini. Rakyat masih memberikan kepercayaan untuk mentadbir negara dengan janji-janji yang manis beserta dengan permohonan maaf dan berbagai-bagai lagi pendekatan palsu yang dilakukan oleh pimpinan sebelum pilihanraya yang lalu. Akhirnya apa yang dirasakan sebelum memberikan mandat itu benar-benar berlaku dan rakyat sedang menghadapi kesusahan hasil dari kepercayaan mereka terhadap kepimpinan negara sekarang ini.

Jika Khairy benar-benar mahu menjadi pemimpin masa depan, beliau wajar melakukan tindakan yang pernah dilakukan sebelum ini. Yang wajar dilakukan ialah mencari sesiapa yang benar-benar mempunyai roh perjuangan UMNO dan yang telah banyak memberikan jasa kepada negara dan UMNO bagi mencapai matlamat perubahan sebenar. Cara untuk membetulkan permasalahan ialah dengan tindakan drastik tanpa takut dan silu.

Sebagai pemimpin muda Khairy wajar berani kerana sesiapa yang berani bertindak lain dari yang lain untuk kebenaran, maka dialah yang akan menjadi pimpinan utama di masa depan.

Jika Khairy mengambilnya sebagai cabaran untuk membetulkan dan memperkasakan UMNO itu, ia merupakan satu tugas yang teramat berat. Tetapi jika beliau mengambilnya untuk mendapat kedudukan dan ‘glamour’ hidup seperti pemimpin-pemimpin Pemuda dan UMNO yang lazim kita lihat, maka ia bukanlah tugas yang susah.

Jika politiking peribadi adalah pilihan Khairy, apa yang perlu beliau lakukan, hanya bermain politik ‘kau sokong aku, aku sokong kau’ atau bak kata Najib sebelum pilihanraya dahulu kepada orang Cina, ‘lu tolong gua, gua tolong lu’.

UMNO akan terus bermasalah sementara menunggu mati. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/