Ahad, 6 Oktober 2013

Kenapa Zahid Hamidi terlalu emosional?


Shahbudin Husin, 06 Okt 2013
Sejak timbulnya isu berkenaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) dan kemudian laporan audit yang mengaitkan wujudnya beberapa kelemahan dalam agensi Kementerian Dalam Negeri, Zahid Hamidi menjadi menteri yang paling kacau dan tidak tenteram jiwanya. Tindakan dan gelagatnya beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan beliau seolah-olah seorang pemimpin yang tidak boleh ditegur dan hanya mahu berita yang baik-baik saja mengenai diri dan kementeriannya.

Melihatkan gelagatnya dalam video yang kini tersebar luas di blog dan media sosial bagaimana beliau begitu emosi dengan wartawan sebuah portal berita yang tidak disenanginya kerana didakwa sering memutarbelitkan kenyataan dan memberi laporan tidak baik mengenai kementeriannya, pasti ada yang menggeleng kepala dan mempertikaikan kematangannya sebagai seorang pemimpin.

Dalam video itu terlihat bagaimana Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berulangkali meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap portal berita berkenaan, bahkan mempertikaikan bagaimana wartawan berkenaan boleh dijemput dan hadir di majlis yang diadakannya. Lebih dari itu, Zahid juga tidak membenarkan wartawan berkenaan bertanya soalan kepadanya dan di akhir majlis pula beliau sekali lagi memberi amaran dan tidak mahu bersalam dengan wartawan berkenaan.

Sebagai pemimpin yang sepatutnya tahu peranan media menyebarkan maklumat kepada orangramai, tindakan Zahid dilihat agak keterlaluan dan tidak matang. Kalau pun beliau ingin menunjukkan ketegasan dan keberanian serta tidak mahu dibayangi Menteri Dalam Negeri terdahulu yang asyik memberi amaran tetapi tiada tindakan, tentulah bukan begitu caranya.

Media mempunyai peranannya yang tersendiri kepada masyarakat dan mereka seharusnya dilayan dengan baik dan sopan. Anggap saja kehadiran mereka sebagai tetamu. Jika tidak, maklumkan daripada awal bahawa sidang akhbarnya itu hanya untuk media tertentu saja dan selainnya diminta meninggalkan majlis dengan baik.

Jika laporan portal berita berkenaan didakwa sering memutar-belit kenyataan dan memberi laporan tidak tepat, Zahid bukan saja boleh membetulkannya, bahkan boleh saja mengambil tindakan mahkamah dan menuntut gantirugi sebagaimana sebuah akhbar arus perdana yang sering disaman dan terpaksa membayar banyak gantirugi kerana laporannya yang salah dan tidak tepat.

Namun, portal berita yang didakwa Zahid sering memutar-belit kenyataan itu, tidak pula kedengaran pernah disaman oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Dalam majlis lain di Melaka hari ini pula, kerana menyedari ucapannya di majlis tertutup turut dihadiri wartawan, beliau turut melontarkan amaran agar tidak menyiarkan ucapannya berhubung isu keselamatan atau berhadapan dengan kemungkinan syarikat akhbar yang berbuat demikian ditutup.

Ramai juga pemimpin lain yang mengadakab majlis tertutup, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dan tidak mahu maklumat dalam majlis itu disiarkan tetapi tidak pernah pula ada yang sampai memberi amaran mahu menutup akhbar yang menyiarkannya. Biasanya permintaan dibuat dengan baik supaya akhbar tidak menyiarkannya dan memaklumkan ianya adalah perjumpaan tertutup. Dan media tiada masalah untuk mematuhinya.

Apa perlunya sampai mahu menunjuk-nunjuk kuasa menutup syarikat akhbar?

Zahid adalah antara pemimpin yang dirasakan mempunyai masa depan yang cerah. Dalam pemilihan 19 Oktober ini, beliau dijangka tiada masalah mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya. Sesetengah penyokong meramalkan beliau bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan ada juga yang meramalkan bakal Perdana Menteri suatu hari nanti. Tidak ada salahnya bagi penyokongnya meramalkan demikian, bahkan tidak ada salahnya juga jika Zahid turut menyimpan cita-cita sedemikian.

Tetapi untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi, Zahid juga perlulah menunjukkan wataknya yang sesuai. Lihat sahaja Najib, Muhyiddin atau Mahathir misalnya, walaupun mereka juga dikririk teruk oleh media namun tidak pernah sesekali mereka menunjukkan sikap emosional yang berlebih-lebihan. Semua pemimpin berkenaan menghadapi media, sama ada yang menyokong atau yang kerap mengkritik, dengan cara yang matang, berhemah dan penuh budi bahasa.

Kalaulah mahu dibandingkan dengan Menteri-Menteri Dalam Negeri terdahulu yang sering dianggap mempunyai wibawa dan ketegasan tersendiri seperti Tun Dr Ismail, Ghazali Shafie atau Musa Hitam, mereka juga tidak pernah sama sekali menunjukkan sikap yang keterlaluan dalam menangani karenah media.

Sebagai pemimpin, seseorang itu perlulah menunjukkan sikap yang berbeza dengan orang kebanyakan yang mudah emosional, marah atau menunjuk-nunjuk, sebaliknya kematangan dan kedewasaan dalam menangani situasi sukar itulah yang membezakan seseorang pemimpin itu itu dengan rakyat yang dipimpinnya.

Banyak lagi luahan sikap yang tidak sewajarnya dipamerkan Zahid sejak menjadi Menteri Dalam Negeri ini. Jika dulu rakyat resah dengan menterinya yang asyik memberi amaran tetapi tiada tindakan, tetapi sekarang ini rakyat turut resah kerana Zahid seolah-olah menteri yang terlebih amaran dan tidak sabar-sabar mahu menggunakan kuasa yang ada padanya.

Meskipun ramai yang memahami perlakuan Zahid ini lebih untuk memancing perhatian perwakilan UMNO menjelang pemilihan parti 19 Oktober ini, namun berpada-padalah. Tindakan yang berlebih-lebihan atau "over do" boleh juga memakan dirinya sendiri.

Terutama ketika berhadapan dengan media dan jika ingin terus menyimpan cita-cita sebagai penimpin masa depan, sikap emosional itu hendaklah ditangani dengan baik. Jika tidak, cita-cita itu hanya tinggal angan-angan saja. - http://shahbudindotcom.blogspot.com/

Jangan hina ubi kayu, Melayu mudah lupa


http://yongsukakuning.blogspot.com, 06 Okt 2013


MAKANAN ZAMAN PEMERINTAHAN JEPUN?
Tentu ramai yang tahu ubi kayu sebagai makanan orang miskin. Tetapi, ramai tidak tahu ubi kayu adalah makanan yang baik untuk dimakan semasa menjalani ibadah puasa. Ini kerana ubi kayu mengandungi ciri-ciri tambahan yang baik untuk diet disebabkan sifat-sifatnya yang sihat. Antaranya:
SUMBER TENAGA:
Sebenarnya inilah sebab utama kenapa makan ubi kayu itu baik semasa kita berpuasa. Ini kerana ubikayu mengandungi sumber kesihatan yang tinggi dengan karbohidrat dan kanji untuk menyiapkan badan kita dengan tenaga yang banyak. Tambahan pula ubikayu memiliki kadar kolesterol dan lemak yang rendah. Maknanya, ia adalah makanan yang baik untuk dimakan apabila kita mahu menambah berat badan secara sihat.
KANDUNGAN MINERAL:
Ubi kayu mengandungi mineral seperti kalsium, fosforus, kalium dan magnesium. Walaupun kuantitinya rendah, ia boleh digunakan untuk bancuhan mengganti bahan-bahan lain seperti susu. Ia amat kaya dengan zat besi dan vitamin B termasuk asid folik yang amat penting bagi ibu-ibu yang hamil.
Daun muda ubi kayu (pucuk ubi) adalah sumber protein pemakanan dan vitamin K. Vitamin-K mempunyai peranan yang berpotensi dalam struktur jisim tulang dengan menggalakkan aktiviti perawatan dalam tulang. Ia juga berupaya memainkan peranan dalam rawatan pesakit Alzheimer dengan menghadkan kerosakan neuron di dalam otak.
Ubi Kayu adalah sumber sederhana kumpulan B-kompleks vitamin seperti folates, thiamin, pyridoxine (vitamin B-6), riboflavin dan asid Pantothenic.

SERAT:

Kita semua tahu betapa pentingnya memakan serat yang cukup. Ubi kayu adalah salah satu makanan yang mempunyai sejumlah serat pemakanan yang benar-benar baik, yang boleh membantu untuk mengurangkan kolesterol, mengurangkan kadar kanser kolon serta membantu mencegah penyakit seperti diabetes dan penyakit jantung.
CIRI PENYEJUKAN:
Tidak banyak penyelidikan yang boleh dijadikan rujukan untuk menyokong ciri ini, tetapi perubatan tradisional India telah lama menggunakan ubi kayu yang digabungkan dengan beras untuk membantu menyejukkan badan. Gabungan dengan nasi diperlukan kerana ubi sahaja tidak memiliki ciri-ciri kesihatan yang lengkap. Oleh itu, walaupun ubi kayu mungkin menjadi makanan tambahan yang sihat untuk diet, ia hanya diperlukan untuk menjadi sebahagian daripada diet dan bukan keseluruhan diet. Maknanya, jangan makan ubi kayu sahaja.
Ubi kayu bebas daripada gluten. Dalam hubungan ini orang yang mengidap penyakit celiac (sejenis penyakit yang membawa kepada kerosakan usus kecil and gangguan penyerapan nutrien daripada makanan), tidak boleh menerima (cannot tolerate) gluten. Makan ubi kayu menjadi alternatif untuk orang yang alah kepada makanan dari tepung gandun yang mengandungi banyak gluten. Ubi kayu mungkin mengandungi gluten jika diperoses bersama bahan yang ada gluten seperti digoreng dengan minyak masak yang tercemar dengan gluten.
UBI GETUK ORI LEBIH BAIK DARI YANG DIGORENG
CIRI-CIRI LAIN:
Linamarin ialah sejenis bahan cynogen (racun) yang ada pada daun dan ubi berfungsi melindungi pokok dan ubi kayu dari dimakan oleh serangga atau haiwan. Daun ubi kayu mengandungi lebih linamarin berbanding dengan ubi.
Untuk membuang kandungan cyanogen ini, daun muda dan ubi kayu hendaklah diperoses dengan betul sebelum dimakan. Maknnya tidak boleh dimakan mentah. Ketika dimasak, cyanide yang terbentuk akan dilepaskan ke udara kerana toksin ini tidak menentu (volatile) sifatnya, dan tidak tinggal di dalam makanan. Kaedah pemprosesan yang betul memastikan kandungan cyanogen dalam ubi kayu berada dalam kadar yang boleh diterima.
Ubi kayu juga mengandungi tahap yang phyto-kompaun yang dikenali sebagai saponin yang bertindak sebagai steroid semula jadi. Apabila kompaun diekstrak dari ubi kayu ia membuat sabun yang sempurna semula jadi atau syampu.
Saponin membantu untuk mengurangkan keradangan terutamanya di bahagian sendi dan di dalam badan secara umum. Ubi kayu sering digabungkan ke dalam formula untuk merawat keadaan radang seperti keadaan artritis dan reumatoid. Kajian menyebut bahawa ubi kayu mempunyai keupayaan untuk memecahkan deposit mineral dan bukan organik. Maknanya ia membantu untuk memecahkan atau menghalang terbina kapur batu karang, batu karang hempedu atau kalsifikasi sendi. Kerana ciri-ciri anti-radang, ia juga boleh membantu dalam usaha pemulihan bagi gejala seperti radang prostat.
Orang yang mendapat protein yang sedikit atau tiada dalam diet lebih mudah terdedah kepada keracunan cyanide, kerana kekurangan asid amino yang diperlukan akan menyebabakan kegagalan dalam membantu menyahtoksik racun.
Orang zaman dahulu makan ubi kayu dengan kelapa. Tujuannya untuk menyahkan sisa racun dalam ubi kayu tersebut. Ini kerana kelapa mengandungi protein yang boleh memainkan peranan anti-toxic ini. Ia juga menjadikan ubi kayu lebih enak. Ubi kayu juga boleh dimakan dengan sambal belacan, budu, cencaluk dan ikan kering. Semua makanan tradisional tersebut mempunyai khasiat yang tinggi. Hebat datuk nenek kita kan?
KESIMPULAN:

Tidak ada satu bahan harus dianggap sebagai sumber makanan untuk semua atau dapat merawat semua - ia perlu digunakan bersama-sama dengan pelbagai tumbuhan lain.
Penyelidikan untuk menghasilkan ubi dengan kadar linamarin yang terkawal dan khasiatnya yang lain masih berterusan.
Oleh kerana ubi kayu boleh meransang fungsi otak, Melayu mudah lupa tiada kaitan dengan makan ubi kayu. Tapi mungkin ada kaitan dengan makanan dari restoran Fast-Food.

Laporan Audit: Sampai bila mahu begini?


Dr Dzulkefly Ahmad, 06 Okt 2013
Kalau pendedahan kajian Ernst and Young minggu lalu tidak lagi menjadikan kita geram, marah dan berang, Laporan Ketua Audit Negara yang dibentang minggu ini mungkin juga tidak lagi menimbulkan apa-apa reaksi keras dari rakyat.

Ya, mungkin saja sebahagian besar rakyat sudah mangli atau bosan dengan paparan seperti ini.  Mungkin ada juga yang mula merasakan khasnya yang nekad memilih Umno-BN juga kerana takut kepada pemerintahan baru yang mengkesampingkan Melayudan Islam, telah mula berasa tertipu.

Propaganda menakut-nakutkan rakyat reda tak dimainkan sehebat ketika berkempen.Tampak jelas adalah dari hal janji-janji sebelum pilhanraya semakin menyerlahkan belang sebenarnya. Satu persatu semacam dirungkaikan.

Antaranya; isu subsidi petrol dan diesel yang janjinya tak mahu membebankan rakyat, Akta Pencegahan Jenayah atau Preventive Crime Act PCA jelmaan baru ISA yang dulunya mahu dihapuskan, cukai GST yang tidak akan dilaksanakan disebut-sebut akan dimasukkan dalam Budget 2014, perbekalan tambahan sebanyak RM14 bilion yang memburukkan lagi deficit fiskal meskipun yang dijanji adalah perbelanjaan berhermat kerajaan untuk mengurangkan defisit belanjawaan.

Janji PM Najib untuk memerangi rasuah sudah sedia dimaklumi rakyat. Ia adalah semacam sumpahnya dalam pelancaran NKRAnya dan Pemandu bertanggungjawab mempastikan janji dan sumpahnya ditunaikan. Najib nyata gagal!

Terkini, Ernst and Young, salah satu daripada 4 firma audit terbesar didunia, dalam kajian mereka ‘Asia-Pacific Fraud Survey Report Series’, mendapati Malaysia adalah antara Negara paling korup di antara yang dikajiselidik. Dapatan yang lebih mendetail boleh ditekuni dalam website E&Y (www.ey.com/publication) yang melibatkan 681 pegawai eksekutif China, Singapura, Australia, New Zealand, Indonesia, Vietnam, Korea Selatan dan Malaysia.

Pendedahan keputusan kajian ini adalah sangat memalukan Najib dan Pemandu. Dapatan ini mengaibkan rakyat di Negara ini. Jelasnya dalam satu soalan yang ditanya: Apakah anda bersedia melakukan rasuah dan mengambil short-cuts atau jalan-jalan pintas, seandai suasana persekitaran perniagaan menekan, 54% eksekutif di Malaysia mengesahkan mereka bersedia, diikuti China 34%, Indonesia 29%, Vietnama 27%, New Zealand 13%, Singapura 11%, Australia 10% dan Korea Selatan 6%. Ternyata kita pada  ranking teratas – juara!

Untuk pengetahuan umum, pertama kali kajian agensi antarabangsa anti-rasuah ‘Transparency International’ menerbitkan ‘Indeks Persepsi Rasuah’ (CPI) pada tahun 1995, Malaysia diletakkan pada ranking ke-23 dari 43 negara seluruh dunia yang dibuat kajian. Kedudukan Malaysia dalam Negara-negara Asia-Pasifik adalah pada tangga ke-6, selepas Jepun (5), Hong Kong (4), Australia (3), Singapura (2) dan New Zealand yang menduduki tangga Pertama.  Markah yang kita perolehi ialah 5.28, dimana markah 10 paling bersih dan 0 paling korup.

Selepas 17 tahun, dalamlaporan CPI tahun 2011, dengan pelbagai program, kempen dan kaedah termasuk sejak Najib ambil aleh pada 2009, kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 11 di Asia-Pasifik dengan markah 4.3 dan ke-60 di dunia. Adalah diakui bahawa Malaysia membuat sedikit penambaikan dalam laporan 2012.


Berlatarbelakngkan laporan CPI tahun dan pendedahan tahun demi tahun Laporan Ketua Audit Negara termasuk yang terkini 2012, rakyat Malaysia sudah bosan dan kini hanya mahukan komitmen dari Najib untuk bertindak. Betul bukan semua melibatkan rasuah atau keitirpenyelewangan namun kesemuanya paling tidaknya melibatkan ketidakpatuhan dan kecuaian dan paling buruknya ialah salah guna kuasa dan rasuah.

Dari pertikaian kontrak kempen Kementerian Kesihatan di Facebook dan Twitter yang melibatkan belanja sebanyak RM320,000 seinggaan dan walkie-talkie sehinggalah ke kontrak keselamatan 35 sekolah yang tidak memuaskan menelan RM2.05 bilion.

Dari PDRM kehilangan 44 senjata api, kenderaan dan sampai pembelian 7,669 pasang kasut yag tak sesuai, ak guna dan rosak menelan kosRM600,000. Pembelian 55 lukisan sebagai pelaburan mungkin yang tidak dipamerkan oleh Khazanah Nasional dengan kos RM3.05 juta sehinggalah bayaran RM1.6juta kepada artis K-Pop.Monopoli oleh 3 syarikat penyelenggara 64 bangunan Persekutuan men puluhan kes yang melibatkan pengurusan pincang Badan-badan Berkanun Persekutuan yang kos RM1.446 bilion.

Ksemuanya termaktub dalam erti tuntutan untuk diaudit tata-kelola Akta Badan Berkanun (Akta dan Laporan Tahunan) 1980 (Akta 240).

Berapakah jumlah kesan dalam laporan tahun ini? Apakah yang terlibat akan diadili dan kalau sabit dihukum? Apakah jaminan Najib bahawa ia tidk lagi menjadi retorik politi dan pilihanraya sahaja?

Sekarang rakyat mahukan kerajaan Najib dan BN memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil dan amalan buruk yang telah ‘membudaya’ atau lebih tepat ‘membarah’ ini aka dapat ditangani secara seriu dan berkesan. Kegiatan audit oleh Jabatan Audit Negara tidak lagi boleh dijadikan satu amalan rutin tahunan yang tidak membawa apa apa menfaat pun kepada malan tadbir-urus Negara. Kebejatan ini mesti ditamatkan segera dan segala penambahbaikan yang diperlukan untuk memulihkan tata-kelola dan pengurusan dikesemua badan dan seuruh jentera kerajaan dalam Persekutuan ini mesti ditangani. Dalam bahasa anak muda, cukup,cukup sudah! Enuf is Enuf..PM mesti beri jaminan kepada seluruh rakyat bahawa Laporan Audit Tahun depan aka mengalami penambahbaikan yang ketara mengikut KPI yang Najib perlu letakkan.

Rakyat telah tertipu dengan slogan-slogan molok sebelum pilhanrya dan rakyat tidak mahu terus tertipu!

Dr Dzulkefly Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat.

Kerajaan Patani merupakan sebuah kerajaan awal di Tanah Melayu


Kerajaan Patani merupakan sebuah kerajaan awal di Tanah Melayu yang merangkumi wilayah Pattani, Yala,Narathiwat dan sebahagianSongkhla kini. Bagaimanapun, pada pertengahan abad ke-19 Patani telah menjadi mangsa dasar imperialistik kerajaan Siam. Mengikut buku Hikayat Patani pemerintahan Kerajaan Patani diperintah oleh 3 dinasti iaitu

• Dinasti Sri Wangsa, dikenali juga sebagai Dinasti Ulu. Raja Perempuan Pattani, Raja Ungu Binti Sultan Bahadur Shah telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur mengukuhkan hubungan Patani dengan Pahang serta Empayar Johor amnya, dan beberapa kali serangan Siam berjaya dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur Pahang menaiki takhta Patani

• Dinasti Kelantan pertama yang diasaskan pada tahun 1650 oleh Raja Sakti yang memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke Patani.

• Dinasti Kelantan kedua yang diasaskan pada tahun 1838 oleh Raja Kampung Laut Long Muhammad bin Raja Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Tuan Besar/Paduka Seri Sultan Phaya Long Muhammad ( Al-Marhum Tanjung ).

Zaman kegemilangan Kesultanan Patani ialah dari tahun 1584 hingga 1649 iaitu semasa Patani dibawah pemerintahan raja perempuan/sultanah yang dikenali sebagai Raja-raja Pelangi sempena warna-warna pelangi:

• Raja Hijau (1584-1616)
• Raja Biru (1616-1624)
• Raja Ungu (1624-1635)
• Raja Kuning (1635-1649)

Raja Biru (1616-1624) telah menugaskan seorang lelaki Cina-Islam yang bernama Tok Kayan ( 林 道乾 Lim To Khiam ) untuk mengetuai pembinaan meriam-meriam kerajaan.[4] Tiga buah meriam telah dibina iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama manakala Mahalela pula lebih kecil iaitu hanya sepanjang 5 hasta 1 jengkal.Dan meriam Seri Nagara dan Seri Patani ini adalah meriam yang terbesar di Asia Tenggara. Meriam-meriam ini telah berjaya menyekat empat kali serangan Siam ke atas Patani iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634 dan 1638.

Pada tahun 1631, Patani pernah menghantar bala tentera ke Ligor (Nakhon Si Thammarat) untuk membebaskan wilayah itu dari cengkaman Siam, dua buah kapal Siam berjaya dirampas dengan 2 orang Belanda. Kemudian angkatan Siam bejaya merampas kembali Ligor dari tangan Patani, tetapi 2 orang Belanda masih hilang, menyebabkan Belanda memihak kepada Siam dalam peperangan menentang Patani. Diantara serangan Siam yang terbesar ke atas Patani berlaku pada Mei 1634, dimana 60,000 bala tentera Siam melanggar Patani, tetapi angkatan Siam ini mengalami kekalahan akibat serangan kuat dari gabungan bala tentera Patani dan Portugis.

Untuk menguatkan lagi kerajaan Patani, Kerajaan Patani telah bersekutu dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga apabila Raja Ungu yang memakai gelaran Paduka Sultanah Syah Alam telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur dan hasil perkahwinan ini, lahirlah seorang puteri bernama Raja Kuning yang menaiki takhta Patani setelah kemangkatan bondanya pada tahun 1635. Empayar Johor-Pahang telah beberapa kali menghantar bantuan ketenteraan untuk mematahkan serangan-serangan Siam, hasilnya Patani kekal sebagai kerajaan berdaulat hingga ke akhir abad ke 18.

Note :

Mana pakar sejarah melayu di dalam negera kita..??
Sehingga Thailand menceduk sejarah bangsa melayu menjadi sejarah mereka..

Di mana kesemua para pensyarah dan ahli sejarah Melayu.. Sibuk dengan Pemilihan Agung UMNO dan menjadi agen propaganda kerajaan ker..??.. Makan gaji buta..!!

Mengapa UMNO tidak telus dalam menyatakan kebenaran sejarah bangsanya..? Takut terbongkar hakikat sebenarnya bahawa UMNO adalah Barua kepada Penjajah..??

* Sehina-hina bangsa adalah mereka yang tidak mengenali sejarah bangsanya sendiri..