Selasa, 10 Disember 2013

Jika Syiah menipu, nasionalis sekular apa kurangnya?

Saya terbaca kenyataan seorang pemimpin sebuah parti politik yang menyebut tentang Syiah. Katanya, ciri utama Syiah ialah menipu. Saya sekadar ingin memberikan respons ringkas sahaja.

Jika ciri utama Syiah disebut oleh beliau sebagai menipu, maka nasionalis sekular pun tidak kurang menipu berbanding Syiah.

Tidakkah menipu namanya apabila mewar-warkan kononnya berjuang untuk kepentingan agama namun di dalam masa yang sama bekerja untuk membelakangi syariat agama tersebut?

Tidakkah menipu namanya apabila bermegah-megah dengan binaan masjid yang banyak dan indah tetapi tidak berusaha mendaulatkan hukum Allah SWT? Sedangkan Allah SWT yang disembah di dalam masjid itu ialah Allah yang sama yang berkuasa di luar masjid? Atau mereka menyembah tuhan yang berlainan di dalam dan di luar masjid?

Hakikatnya, nasionalis sekular lebih hebat menipu berbanding Syiah. Syiah ialah musuh yang sudah muncul sejak berbelas abad. Ciri-ciri akidah mereka telah ditulis dan diterangkan oleh para ulama Sunnah di dalam banyak penulisan. Tinggal lagi, menjadi peranan para ulama untuk memastikan umat Islam tidak terjebak dengan penyelewengan Syiah.

Saya tidak menyatakan Syiah tidak bahaya, tetapi saya agak pelik apabila sang harimau tiba-tiba berlagak baik mengingatkan sekumpulan kambing tentang bahaya serigala. Baguslah kalau harimau tiba-tiba ingin menjadi baik, tetapi sekurang-kurangnya bersihkanlah taring dan kuku terlebih dahulu daripada daging mangsa.

Alasan untuk mengingatkan masyarakat tentang bahaya Syiah ialah agar umat Islam tidak berpecah belah. Saya sokong bahawa Syiah tidak wajar wujud di negara ini.

Namun dengan meletakkan alasan agar umat Islam tidak berpecah belah menampakkan pemimpin berkenaan masih kabur dalam terang. Benarlah tanpa lampu suluhan akidah yang benar, meraba-rabalah dalam kegelapan sekalipun mata tidak buta.

Manusia hanya boleh bersatu dengan Islam. Bukan seruan kebangsaan yang boleh menyatukan manusia. Usahlah disebarkan khurafat moden bahawa merekalah satu-satunya tempat untuk Melayu bergantung.

Sedarkah bahawa dahan yang didakwa kuat itu sedang mereput dimakan anai-anai?

Di zaman Rasulullah SAW, bangsa Habsyah dan bangsa Parsi boleh tunduk di bawah naungan Islam dan bukannya seruan kebangsaan. Rasulullah SAW seorang yang berbangsa Arab tidak pernah sesekali menyeru kepada semangat kebangsaan.

Bahkan sekalipun bangsa Arab seringkali mendakwa diri mereka sebagai bangsa yang mulia, ia tidak sekali-kali diungkapkan oleh baginda Rasulullah SAW. Inilah yang memikat bangsa lain untuk tunduk kepada Islam.

Jika nasionalis sekular itu benar-benar mahu masyarakat bersatu, campakkanlah ke laut ideologi kebangsaan yang tidak membawa apa-apa manfaat itu. Palsunya seruan yang dilaungkan sehingga bangsa pun tidak pernah dijaga. Kelantan menjadi bukti nyata. Negeri Melayu dipinggirkan dari pembangunan semata-mata kerana kerasukan politik sang harimau yang berpura-pura baik.

Justeru, janganlah mendabik dada diri sangat sebagai pembela Islam dengan menghentam Syiah. Masyarakat sudah bijak untuk menilai bahawa bukannya Syiah yang ingin diserang, tetapi parti lawan yang semakin mendapat sambutan.

Jika benar ingin membasmi Syiah, lakukan sahaja tangkapan dan tidak perlu berdolak-dalik. Soalnya, bagaimana ingin membuat tangkapan sedangkan di dalam parti sendiri pun berselindung penganut ajaran sesat.

Saya tidak menamakan sesiapa di dalam tulisan ini. Alhamdulillah jika ia boleh difahami dengan baik.

Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

Hukum berkabung kerana kematian pembesar negara

Soalan:
 1. Apabila berlaku kematian membabitkan pembesar negara. Kita sering melihat sebahagian rakyat memakai pakaian tertentu seperti baju hitam/sokong berlilit putih dan sebagainya. Adakah amalan ini ada dalam ajaran Islam?

2. Sebagai kakitangan kerajaan, adakah wajar saya mematuhi arahan ini sekiran bukan daripada ajaran Islam?

Jawapan 1:
Dalam ajaran Islam, yang diwajibkan berkabung hanyalah isteri kematian suami iaitu selama 4 bulan 10 hari. Ini telah ditegaskan oleh al-Quran dan al-Sunnah. Dalam Surah al-Baqarah ayat 234, maksudnya:

“Dan mereka yang meninggal dunia antara kamu dengan meninggalkan isteri-isteri, hendaklah mereka menangguh (menunggu iddah) selama empat bulan, 10 hari..”.

Dalam hadis Nabi SAW bersabda:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan 10 hari.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Berkabung dengan pantang larangnya mempunyai latar sejarah yang tersendiri yang berasal daripada amalan masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Walau bagaimanapun, Islam membuang amalan buruk yang ada padanya dan mengekalkan atau menambah nilai-nilai baik agar dapat menjaga serta memelihara nama baik seorang isteri.

2. Hadis Nabi SAW:

“Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa selain isteri, tidak dibolehkan berkabung melainkan keizinan atau kelonggaran kepada wanita yang kematian keluarga, dengan syarat tidak lebih dari tiga hari. Sebab itu dalam riwayat Zainab binti Abi Salamah, dia berkata,

“Aku masuk menemui Ummu Habibah r.ha iaitu isteri Nabi SAW ketika sampainya berita kematian ayahnya Abu Sufyan r.a dari negeri Syam. Pada hari ketiga setelah ayahnya (Abu Sufyan) meninggal, Ummu Habibah meminta minyak wangi lalu mengusapkannya pada kedua sisi wajahnya dan kedua pergelangannya. Beliau berkata: Demi Allah! Aku sebenarnya tidak berkeinginan terhadap wangian, cumanya kerana aku pernah mendengar Rasulullah SAW : Tidak halal bagi seorang wanita yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat untuk berkabung atas kematian melebihi tiga hari, kecuali atas kematian suaminya, iaitu empat bulan 10 hari.”

3. Telah wafat Rasulullah SAW sedangkan para sahabat baginda yang amat mengasihi baginda tidak melakukan amalan berkabung. Telah wafat para khalifah yang sangat mulia; Abu Bakr, Umar, Uthman, ‘Ali dan seluruh para sahabat Nabi SAW yang mulia, umat Islam tidak pernah membuat amalan berkabung! Telah meninggal ‘Umar bin ‘Abd al-Aziz khalifah yang agung, umat Islam juga tidak berkabung. Padahal mereka lebih layak untuk ditangisi dan berkabung –jika diizinkan.

Generasi mereka lebih faham dan menghayati Islam dibandingkan kita. Telah meninggal ramai ulama yang sangat besar dan berjasa seperti para tabi’in, para imam hadis dan fekah, tidak pula umat Islam berkabung. Apakah ada sesiapa yang lebih mulia dari mereka semua untuk kita berkabung?

4. Maka amalan berkabung sempena kematian pembesar atau kerabat istana bukanlah dari ajaran Islam. Bahkan menyanggahi apa yang ditegaskan oleh Rasulullah SAW. Mereka yang meninggal pada hari ini tidak lebih mulia dari insan-insan soleh bermula Rasulullah SAW dan selepas baginda. Jika kematian mereka pun umat tidak berkabung kerana mematuhi arahan Rasulullah SAW, apakah kita merasai pembesar dan kerabat yang meninggal pada zaman ini lebih mulia dari mereka? Sama sekali tidak.

Jawapan 2:
Sabda Nabi SalLahu alayhi wasallam :

"Tiada ketaatan kepada makhluk dalam perkara maksiat pada Khaaliq (Allah)" - Hadis Riwayat Ahmad, Syaikhan, Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Majah.

Saudara tidak wajar untuk mematuhi arahan yang bercanggah dengan syariat (sekalipun arahan tersebut datang daripada pemimpin Islam). Cubalah sedaya upaya untuk tidak terlibat dengan sebarang perkara yang tidak terkandung dalam ajaran Islam  seperti berkabung dan juga program yang melalaikan umat Islam.