Khamis, 12 Januari 2012

Jangan ugut rakyat ‘hanya Umno bagi makan’


Jangan ugut rakyat ‘hanya Umno bagi makan’

Mohd Firdaus,
KOTA KINABALU, 11 Jan: Para pemimpin Umno Barisan Nasional di negeri ini diingatkan tidak memperalatkan kemaslahatan dan kesempitan rakyat sebagai medan meraih undi dan populariti.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Sabah, Mohd Julpikar Abd Mijan (gambar) menegaskan bahawa politik ugut mengugut dan ‘hanya Umno yang bagi makan’ perlu dihindarkan selagi mana keyakinan dan keesaan yang tinggi kepada Allah.
“Rosak Umno BN yang ada pada hari ini bukan disebabkan kepimpinannya yang lemah. Bukan juga faktor ketandusan kepimpinan yang baik.
“Tapi, rosak dan tandusnya Umno BN disebabkan kejahilan dan khurafat yang tidak pernah padam dalam diri mereka,” ujarnya.
Katanya, kesempitan hidup yang dialami rakyat menjadi tugas utama Umno BN bagi mengekalkan kuasa dan pemerintahan yang ada pada hari ini.
“Rakyat miskin, mereka tindas. Diberi macam-macam ugutan. Kononnya tiada Umno tiadalah tempat tinggal, tiadalah makanan dan tiadalah keselesaan.
“Ini fahaman khurafat yang Umno BN Sabah berjangkit dengan Semenanjung. Yang jadi mangsa, rakyat Sabah,” ujarnya.
Menurut beliau lagi, kedaifan dan kekurangan yang ada pada rakyat sebenarnya perlu ditingkatkan pengetahuan bagi mewujudkan sebuah masyarakat yang berilmu dan berpendidikan.
“Umno sepatutnya bila sudah berkuasa, mampu untuk membawa keluar rakyat daripada kepompong kemiskinan dan kedaifan ini. Jangan tahu mengkritik negeri yang dipimpin Pakatan Rakyat. Lihat dulu negeri yang dipimpin ini, sama ada betul atau tidak sudah menepati citarasa rakyat.
“Bagi pendidikan kepada anak-anak kampung, beri mereka sekolah dan pelajaran. Beri mereka penempatan yang bagus-bagus, punya kemudahan dan keperluan asas bukan suap mereka dengan ugutan dan kuasa,” tegas Julpikar.
Dalam perkembangan yang lain, Julpikar yang juga Ketua Penerangan PAS Sepanggar mempelawa para media dan wartawan untuk melihat sendiri hasil usaha dan kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan menjiwai kehidupan rakyat.
“Kita (PAS) jemput semua para media dan wartawan untuk menilai sendiri kerja kuat Umno Sepanggar yang dikatakan sejak tahun 2009 ini.
“Sehingga ke hari ini, penduduk Kampung Numbak dan Kibagu masih tidak mempunyai jaringan perhubungan jalan raya yang baik,” jelasnya.
Kedua-dua kampung berkenaan hanya bersebelahan dengan mercu tanda dan kemegahan pasaraya One Borneo dan gedung ilmu Universiti Malaysia Sabah.

Ustaz Hadi mahu jadi nelayan semula


Ustaz Hadi mahu jadi nelayan semula

Subky Latif,



SAYA terpegun bercampur pilu membaca kenyataan Persiden PAS, Ustaz Abdul Hadi Awang memilih untuk menjadi nelayan semula setelah adanya Perdana Menteri dan kerajaan yang hendak menjalankan pemerintahan bagai yang dikehendaki oleh Islam.
Ini jawapannya kepada pertanyaan tentang calon Perdana Menteri Pakatan Rakyat kiranya calon yang disediakan iaitu Anwar Ibrahim berhalangan disebabkan dipenjara dan sebagainya.
Ada yang menyebut namanya sebagai seorang  calon. Memang dalam politik di zaman ini, rakyat diberi kuasa menyokong menentukan kerajaan melalui pilihan raya, maka mereka mahu tahu calon Perdana Menteri.
Momentum  atau persaingan hebat bagi menentukan penguasa Putrajaya dalam PRU 13 ini buat pertama kali, disebabkan keupayaan pembangkang menamakan Anwar  sebagai calon Perdana Menteri sejak Pakatan Rakyat terjelma.
Hakikat menentukan keadaan jadi begitu. Tetapi suasana juga menuntut akan calon alternatif jika berlaku sesuatu.
Ustaz Hadi sebagai seorang ulama haraki  tidak pernah menolak tanggungjawab. Apabila beliau ditanya soalan itu, maka beliau memberikan satu jawapan politik dan dakwah mengikut semangat yang selalu diberi oleh ulama besar silam.
Pertama tidak menjawabnya secara tepat sebelum keperluan itu tiba tetapi adalah tanggungjawab ulama tidak menolak tanggungjawab apabila amanah itu diletakkan kepadanya.
Saidina Abu Bakar cepat-cepat mencalon Umar al-Khatab sebagai khalifah menjalan tugas pimpinan sebaik Nabi SAW wafat, kerana merasakan dirinya bukan calon terbaik. Saiduna Umar r.a. pula cepat-cepat menolak selagi Saidina Abu Bakar ada.
Itu akhlak yang berkelayakan besar bagi memimpin umah. Pimpinan negara atau kerajaan adalah penting, tetapi pemimpin  Islam yang berwibawa sentiasa melihat siapa berupaya dan berkelayakan selain daripadanya, kerana yang utama bagi  Islam ialah tuntutan dan hendak Islam dapat dipenuhi dan ada orang lain yang dapat memenuhinya, kalau pun tidak lebih baik, sekurang-kurang sama baik dengannya.
Maka pilihan mereka ialah membuat pekerjaan sendiri bagi menyara diri  seperti beternak, bertani, menangkap ikan. Abu Zar misalnya menolak semua jawatan, memilih menjadi tukang anyam bakul bagi menyara hidupnya.
Ustaz Hadi adalah seorang tokoh besar ulama dan politik di peringkat nansional dan antarabangsa, pendakwah gigih, pernah menjadi Menteri Besar, berkelayakan untuk menjadi pentadbir. Semuanya bersetuju beliau diberi peranan.
Jika boleh diberi kebebasan untuk memilih kehidupan yang paling dekat di hatinya iaitu sebagai orang biasa yang kembali ke laut sebagai nelayan. Memang beliau dilahirkan dalam keluarga nelayan, besar sebagai keluarga nelayan. Walau pun sebok dengan hidup politik  dan dakwah,  tetapi ke laut dan menjala ikan tetapi menjadi hobinya dan ada kandang kambingnya sebagai tempat bersantai setelah penat kempen dan mengajar.
Jika tugas politiknya dapat dikurangkan, atau kewajipan itu dapat dipangku orang lain, tentu beliau ada masa yang selesa untuk mencandak sotong  dan turun ke laut dalam menangkap ikan untuk keperluannya dan orang-orang sekelilingnya.
Mulanya saya tidak pernah memikirkan Ustaz Hadi patut lebih ke laut dari mengendalikan pemerintahan apabila Allah gilirkan bagi PAS untuk sama-sama memerintah. Keutamaan baginya di tempat pemerintahan ialah bagi memastikan tuntutan Islam itu berjalan sebaik-baiknya. Jika ada yang boleh mengendalikannya, maka pilihannya untuk ke laut seperti datuk-datuknya dulu dan saudara maranya.
Inilah pilihan yang dibuat oleh Rashied Ghanusi apabila Parti An-Nahzah memenang pilihan raya Tunisia baru-baru ini dan ini kaedah yang digunakan oleh Ikhwanul Muslimin yang menyertai pilihan raya Mesir sekarang. Pimpinan utama Ikhwan tidak menyertai pilihan raya pun,  tetapi mereka memberi amanah kepada orang-orang yang  dipercayai dapat memenuhi perjuangannya.
Kita boleh mengambil sikap terbuka boleh mengambil laluan yang diambil oleh rakan-rakan di Tunisia dan Mesir dan boleh menasihatkan Ustaz Hadi supaya menangguhkan dulu keinginannya menjadi nelayan penuh masa.
Mungkin buat masa terdekat ini ke laut itu jadi hobi seperti orang turun ke padang golf dan bermain tenis.