Ahmad Baei Jaafar, | 11 Jun 2013 |
Semua kita sedia maklum bahawa zakat wajib dikeluarkan berdasarkan al-Quran dan Sunnah juga Ijmak. Firman Allah:
Maksudnya: "Mereka tidaklah disuruh melainkan supaya menyembah Allah dengan penuh ikhlas demi agama yang lurus dan juga supaya mereka mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan yang demikian itu adalah agama yang teguh." (Surah al-Bayyinah : 5)
Sehubungan dengan itu sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Islam dibangun di atas lima rukun; bersaksi bahawa tidak ada sembahan yang berhak disembah kecuali Allah dan Muhammad SAW adalah hamba dan utusan-Nya, menegakkan solat, mengeluarkan zakat, menunaikan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan." (Riwayat Bukhari dan Muslim).
Berdasarkan dalil di atas, perintah mengeluarkan zakat ini bukan perkara kecil malah dikategorikan sebagai rukun Islam. Sebenarnya rukun adalah perkara asas yang menentukan kukuh atau tidaknya sesuatu binaan. Jadi, sudah tentu zakat merupakan rukun yang kuat setaraf dengan rukun-rukun yang lain. Merujuk kepada kepentingan, zakat diwajibkan adalah kerana dua sebab:
1. Taabbud; tunduk dan patuh kepada perintah Allah
2. Taawun; membantu golongan yang layak dibantu.
Sikap umat Islam terhadap zakat
Perintah mengeluarkan zakat ini semestinya ada kaitan dengan harta yang dimiliki oleh umat Islam. Sebenarnya harta yang saban hari dicari oleh umat Islam terdedah kepada halal dan haram, mungkin dalam kesibukan mencari harta itu, mereka terlepas pandang lalu termasuk juga harta yang haram. Namun dalam Islam sesuatu yang tidak dijangka boleh dimaafkan Allah. Ketika itu harta tersebut sudah menjadi milik mereka yang sah. Sungguhpun begitu, dalam harta tersebut terdapat hak orang lain juga. Maka hak orang lain itulah yang perlu dikeluarkan sebagai zakat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka yang dengan zakat itu kamu dapat membersihkan dan mensucikan mereka." (Surah al-Taubah : 103)
Dalam ayat di atas Allah dengan tegas memerintahkan Rasulullah atau pemerintah sesuatu negeri agar mengambil sebahagian harta umat Islam sebagai zakat atas dua tujuan iaitu membersihkan harta dan membersihkan pemilik harta itu. Maknanya setiap umat Islam yang memiliki harta akan terjamin bersih hartanya sekali gus bersih diri mereka sendiri.
Cuma persoalan di sini, apakah sikap umat Islam terhadap perintah berzakat ini? Menurut laporan pihak yang mengurus zakat di negeri-negeri, jumlah pengeluar zakat amat rendah. Kalau dinisbahkan orang yang menunaikan solat 100 peratus maka pengeluar zakat tidak sampai 10 peratus. Ini seolah-olah 90 peratus lagi itu adalah golongan yang layak menerima zakat.
Jelas di sini ramai umat Islam yang belum layak untuk mengeluarkan zakat. Sungguhpun begitu mereka juga tidaklah semuanya layak untuk menerima zakat. Mengapa keadaan ini boleh terjadi? Apakah mereka tidak faham perintah Allah ini?
Sebenarnya umat Islam selama ini telah diberikan ilmu pengetahuan yang salah tentang ibadah zakat. Mereka telah diberitahu bahawa mereka yang tidak ada harta tidak perlu keluar zakat. Maka dengan fahaman itu, mereka tidak perlu membanyakkan harta. Apatah lagi apabila umat Islam selalunya diberi kefahaman bahawa pemburu harta dunia adalah anjing.
Selain itu umat Islam juga sering diingatkan bahawa zakat adalah ibadah orang-orang kaya. Atas fahaman itu, maka supaya harta kita tidak berkurangan jangan jadi kaya. Jadi, tidak perlulah keluar zakat. Biar hidup sederhana, bukankah Islam mengajar kita hidup secara sederhana. Jelas, mereka seolah-olah diajar supaya mengelak daripada aktiviti zakat.
Di samping itu umat Islam juga diajar bahawa harta zakat adalah hak orang fakir dan miskin. Oleh sebab itu sebahagian umat Islam berasa bangga kalau menjadi fakir dan miskin. Malah kalau mereka tidak terpilih sebagai asnaf, mereka akan marah dan terus merayu kepada pihak berkuasa. Sepatutnya umat Islam berasa malu kalau diisytiharkan miskin.
Memang pelik, umat Islam kini boleh berasa bangga dengan kemiskinan itu. Adakah ini kerana mereka ada terbaca sebuah hadis yang antara lain menyebut Rasulullah berdoa agar dia hidup miskin dan dibangunkan semula bersama golongan orang miskin.
Atas dasar itu barangkali mereka lebih rela jadi miskin dan dengan itu tidak perlu fikirkan soal zakat. Padahal dengan sikap itu mereka telah terlepas daripada satu rukun Islam yang asas iaitu zakat. Kalau begitu keadaannya kukuhkah Islam mereka tanpa zakat?
Ubah sikap sebagai pengeluar zakat
Umat Islam sepatutnya mengubah sikap ke arah menjadi pembayar zakat. Bukankah tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah, maka wajib kita berada di atas sebagai pembayar. Untuk merealisasikan perintah mengeluarkan zakat ini, umat Islam seharusnya berusaha agar mereka menjadi kaya raya, malah jutawan. Firman Allah yang bermaksud:
“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kepada mereka kekuatan (kekayaan) di atas muka bumi nescaya mereka akan mendirikan solat serta memberi zakat, dan mereka juga akan menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan." (Surah al-Hajj : 41)
Berdasarkan ayat itu Allah bersedia memberikan kekayaan kepada umat jika mereka mahu. Oleh sebab itu mereka perlu rebut peluang ini dengan bersungguh-sungguh. Jadi, umat Islam harus menjadi usahawan dan jutawan supaya dengan itu mereka boleh melakukan ibadah dengan lebih baik lagi sempurna. Bukan sahaja mereka boleh melakukan solat dan zakat malah mereka juga akan aktif berdakwah.
Sebenarnya melalui konsep zakat ini, umat Islam tidak boleh duduk diam, sebaliknya merasa malu kepada Allah kalau tidak mampu mengeluarkan zakat. Oleh sebab itu kita perlu berazam untuk menjadi kaya malah jutawan. Namun pada masa yang sama mereka perlu hindari daripada sifat tamak dan bakhil kerana harta zakat yang dikeluarkan itu tidak akan menjadikan mereka miskin sebalik bertambah subur dan kaya.
Daripada Abdul-Rahman bin Auf daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda yang bermaksud: "Tiga perkara yang aku bersumpah kerananya: Tidak akan berkurang harta kerana sedekah maka sedekahkanlah dan tidaklah kemaafan seseorang lelaki kerana kezaliman yang dizalimi melainkan Allah tambahkan kepadanya kemuliaan, maka maaflah nanti Allah akan muliakan kamu. Dan tidaklah seorang lelaki yang membuka ruang masalah melainkan Allah akan membuka baginya pintu kefakiran." (Nuruddin al-Haitami Kitab al-Astar)
Jadi sebagai umat Islam kita perlu terus berusaha untuk menjadi kaya supaya dengan itu kita menjadi orang yang selalu memberi daripada menerima. Kalaupun kita belum cukup nisabnya kita boleh memberi sedekah sunat. Untuk mencapai ke tahap itu, kita tidak boleh menampakkan masalah atau membuka peluang kepada masalah kerana menurut hadis di atas Allah akan bukan pintu kekafiran kepada kita pula.
Percayalah kalau umat Islam boleh berazam untuk mengeluarkan zakat dalam jumlah yang banyak. Kita akan lihat hasil pencapaiannya. Ketika itu zakat akan dapat dikeluarkan mengikut kaedah dan sistem yang ditetapkan. Dan kesannya, zakat itu boleh diagihkan dengan sempurna kepada sasarannya. Namun sebaliknya jika orang kaya enggan mengeluarkan zakat mereka akan menerima akibat di akhirat nanti.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang Allah telah berikan harta kepadanya kemudian dia tidak menunaikan zakatnya maka pada hari kiamat nanti hartanya akan menjadi ular botak yang mempunyai dua titik hitam di atas kepalanya lalu mengalungkannya sambil berkata: "Aku adalah simpananmu, aku adalah hartamu". Kemudian ular itu membaca ayat: "Sekali-kali janganlah orang-orang yang bakhil dengan harta yang telah Allah berikan kepada mereka dari kurnia-Nya, menyangka bahawa kebakhilan itu baik bagi mereka, sebenarnya bahawa kebakhilan itu adalah buruk bagi mereka, harta-harta yang mereka bakhilkan itu akan dikalungkan di lehernya kelak di hari kiamat." (Riwayat Bukhari Kitab Zakat 3:268 no.1403)
Inilah cara basmi kemiskinan
Bayangkan suatu hari nanti, negara kita dihuni oleh ramai usahawan, ahli korporat dan jutawan daripada perbagai bidang, dan mereka pula setiap tahun mengeluarkan zakat, tentu ketika itu asnaf zakat akan memperoleh agihan zakat dalam jumlah yang besar. Bayangkan juga kalau semua asnaf boleh memperoleh setiap bulan sudah tentu mereka tidak akan meminta-minta lagi selepas itu.
Tetapi bagaimana kalau zakat yang dikeluarkan setiap tahun itu diagihkan kepada asnaf secara berpilih dengan harapan zakat itu boleh dijadikan modal perniagaan, sudah tentu dalam tempoh beberapa tahun lagi mereka sudah tidak perlu zakat lagi sebaliknya mereka pula yang akan mengeluarkan zakat. Saya difahamkan kerajaan Selangor melalui Lembaga Zakat Selangor telah mempelopori agenda ini, tetapi belum menyeluruh kerana pembayar zakat masih rendah.
Saya percaya, kalau jumlah pembayar zakat semakin bertambah, dan sistem pengagihan dapat disampaikan kepada sasaran dengan tepat pasti kita akan menikmati satu zaman seperti zaman Khalifah Umar al-Khattab yang susah untuk mencari orang yang miskin. Kalau ini yang terjadi pasti wang zakat boleh disalurkan ke baitulmal yang kemudiannya boleh digunakan untuk pembangunan negara.
Dengan cara ini, golongan fakir miskin boleh dibasmi secara beransur-ansur. Nanti zakat yang dikeluarkan itu boleh diagihkan kepada asnaf yang lain dalam jumlah yang besar juga.
http://baei.blogspot.com/