Salah seorang Naib Presiden UMNO Dato' Seri Dr Haji Ahmad Zahid Hamidi,
berkata UMNO telah mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut dalam
Perhimpunan Agung UMNO yang akan bermula 27hb November ini. Arahan ini
bertujuan untuk perwakilan tidak menyentuh pandangan isu yang berbeza
memandangkan pilihanraya luar biasa akan mereka hadapi tidak lama lagi.
Perwakilan di arah untuk tidak menyentuh perkara-perkara yang sensitif
kerana ia boleh melemahkan parti dalam menghadapi pilihanraya yang akan
datang ini.
Presiden dan Timbalan Parti itu akan bertemu dengan perwakilan sehari
sebelum perhimpunan itu diadakan bagi menentukan apa yang boleh
dibincangkan dan setiap Perhubungan Negeri akan menamakan siapa yang
akan berucap dalam perhimpunan itu. Arahan ini adalah arahan yang tidak
pelik dalam UMNO dan saya berharap mana-mana parti dalam PR tidak akan
melakukan perkara yang dilakukan oleh UMNO itu. Apa maknanya Perhimpunan
Agung jika perwakilan tidak boleh bercakap apa yang mereka ingin
perkatakan untuk kebaikan parti.
Ini adalah budaya biasa dalam UMNO kerana apa yang diucapkan oleh
perwakilan itu telah di tentukan oleh pucuk pimpinan. Dalam Perhimpunan
Agong itu apa yang akan diucapkan sudah ditentukan dan semasa
perhimpunan itu perwakilan hanyalah di tugaskan untuk bertepuk tangan
dengan kuat sahaja. Selain dari itu perwakilan hanya membuat lawak
jenaka untuk hiburan murahan bagi pimpinan yang berada di atas pentas
nanti.
Budaya ini wujud hanya setelah penubuhan UMNO (B) pada tahun 1988
dahulu kerana pucuk pimpinan tidak gemar mendengar rungutan ahli-ahli
dan rakyat di akar umbi. Pucuk pimpinanan hanya suka mendengar perkara
yang baik-baik sahaja dan jika boleh mendapat pujian dari perwakilan
yang berucap dan di ikuti dengan tepukkan gemuruh dari perwakilan yang
menyelang-selikan ucapan dengan jenaka dan lawak yang mampu membuat
pimpinan di atas ketawa besar sambil mengangkat tangan kegembiraan.
Itulah sebabnya UMNO yang baru berusia 24 tahun itu tidak berkembang
kerana pemikiran ahli dan perwakilan telah di penjara oleh pucuk
pimpinan. Mereka (perwakilan) hanya di arah untuk menyebut isu yang
sedap-sedap sahaja. Perwakilan UMNO akan hanya di arah untuk memberikan
kutukan dan cemuhan terhadap pimpinan PR seperti Anwar Ibrahim, Tok Guru
Nik Aziz, LGE, LKS dan lain-lain. Ini merupakan isu yang sudah dijangka
oleh orang ramai dan ia akan menjadi isu yang dianggap sudah basi dan
menjemukan.
Kita boleh menjangkakan yang Najib akan berucap bergegar-gegar,
sesuai dengan sifat seorang pemimpin yang pengecut dan penakut.
Selalunya sesiapa yang bercakap dengan gegaran retorik yang besar-besar
mereka ini adalah mereka yang terlalu banyak perkara yag hendak di
tutupi. Mereka ini adalah dari gulungan yang penakut, ibarat orang
berjalan di dalam gelap di kampung-kampung pedalaman. Di dalam gelap itu
mereka selalunya akan menyanyi sekuat hati dari lagu Ahmad Jais, lagu
Mat Sentul sehinggalah lagu P Ramlee dan semuanya itu untuk
menghilangkan rasa takut dan ngeri mereka berada di dalam gelap itu.
Tetapi dalam pada menyanyi lagu P Ramlee itu, mereka juga merasakan
seram sejuk di tubuh mereka kerana takutkan kepercayaan tahayul tentang
hantu dan sebagainya yang berkeliaran di dalam gelap itu.. Begitulah
juga yang sedang berlaku kepada Najib. Beliau akan berucap
bergegar-gegar dengan nada yang tinggi dan kuat untuk menyorokkan
perasaan takut beliau menghadapi pilihanraya yang akan datang ini.
Berbalik kepada arahan menutup mulut itu, ia melambangkan kelemahan
yang banyak dalam UMNO itu. Mereka tidak memahami bahawa perwakilan
setiap tahun itu adalah untuk perwakilan negeri-negeri menyampaikan
masalah-masalah kepada pucuk pimpinan. Semasa Mesyuarat Agung seperti
inilah masa yang baik untuk meluahkan perasaan tentang apa yang patut
dan tidak patut dilakukan atau yang berlaku di dalam parti yang uzur
itu. Dalam Perhimpunan Agung itulah masa untuk melambakkan apa yang
perlu diketahui dan dirasakan oleh pucuk pimpinan secara bersama.
Kalau Ahmad Zahid mengarahkan perwakilan untuk menutup mulut maka
tidak salah jika orang ramai menganggapnya sebagai mesyuarat agung
orang-orang bisu sahaja. Ahmad Zahid mahukan agar perwakilan hanya ‘buat
tidak tahu sahaja’ tentang apa yang berlaku di dalam UMNO. Ada telinga
dengar, ada mata pandang dan jangan bercakap apa-apa. Kalau bercakap itu
merupakan kesalahan. Maka tidak salahlah apa yang saya katakan selalu,
dalam UMNO bercakap benar adalah satu kesalahan besar.
UMNO adalah sebuah parti dalam mana ahli-ahlinya dididik untuk tunduk
dan mengangguk sahaja dan di dalam perhimpunan itu adalah tempat untuk
mendengar lawak jenaka dan kita akan lihat Utusan Malaysia menyiarkan
gambar-gambar Najib dan Muhyiddin ketawa besar dan akan di sertai oleh
Khairy Jamaludin dan semua ahli-ahli Majlis Tertinggi parti yang lain.
Inilah kejayaan UMNO yang terbesar, iaitu memenjarakan pemikiran dan
perasaan rakyat dan itulah sebabnya ada orang Melayu menganggap UMNO itu
lebih tinggi dari agama. Chua Soi Lek boleh menghentam agama suci kita,
tetapi jangan menghentam pucuk pimpinan tertinggi UMNO. Siapa yang
berani mengecam pemimpin mereka, yang mengecam itu akan tidak mendapat
kedudukan lagi di dalam parti dan kerajaan dan akan segera di sisihkan.
UMNO lebih buruk kerjanya dari penjajah British dahulu. Penjajah
British dahulu mahukan orang Melayu untuk mudah berpuas hati dan tidak
diberikan peluang untuk memegang jawatan besar-besar dalam kerajaan.
UMNO pun begitu. Orang Melayu dididik untuk sentiasa berterima kasih
dengan bantuan gigi palsu, dan pemberian lembu dan kerbau pawah kepada
petani-petani kecil di kampung-kampung. Jika ada yang bercakap dan
mengkritik, UMNO akan mengungkit-ngungkit apa yang mereka telah berikan
walaupun pemberian itu hanyalah sebatang dua gigi palsu.
Jangan mengkitik UMNO kerana UMNO lah yang membawa api letrik ke
kampung-kampung dan UMNO jugalah yang menyalurkan air paip ke
rumah-rumah rakyat. Tetapi UMNO tidak pula memberi tahu yang semua
negara dalam dunia ada api letrik dan bekalan air bersih walaupun di
negara-negara tersebut tidak ada parti UMNO. Di Amerika Syarikat (AS)
tidak ada parti UMNO. Begitu jugalah di Jepun dan di Britain tidak ada
UMNO tetapi mereka ada bekalan air yang lebih baik dari yang ada di
negara ini DAN rakyat mereka menggilir-gilirkan parti-parti yang
memerintah mereka.
Maksudnya itu adalah tanggungjawab setiap pihak yang dimandatkan oleh
rakyat dengan menggunakan sumber kewangan dari rakyat untuk
melaksanakan semua projek pembangunan negara. Mereka itu sendiri di
bayar gaji dan elaun untuk mentadbir rakyat dan tidak munasabah rakyat
pula yang perlu berterima kasih kepada UMNO.
Kepada UMNO kita ucapkan selamat bersidang dan kepada para perwakilan
yang berucap sediakan beberapa lawak jenaka untuk hiburan pimpinan di
atas pentas itu nanti. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com/