Ahad, 11 November 2012

Kenapa perlu pikulkan beban dosa BN kepada Pakatan




Ahmad Lutfi Othman, 10 Nov 2012
Himpunan Kebangkitan Rakyat, 3 November, di Seremban Jaya membawa mesej jelas; momentum tsunami perubahan kini berada di jajaran yang cukup melegakan. Hujan lebat langsung tidak menjejaskan penyertaan proaktif penduduk Negeri Sembilan dan masyarakat sekitar, seterusnya menunjukkan sokongan padu kepada kempen "Ubah Sekarang, Bersihkan Malaysia".

Hampir 30,000 menjadi saksi kesepaduan tiga parti -- PAS, KeADILan dan DAP -- untuk menggembleng hasrat dan aspirasi rakyat, bagi melakukan perubahan besar dan cukup bererti dalam PRU13 nanti. Keserasian yang dibina secara formal sejak 1998, walaupun pada satu ketika ada pasang surutnya, ternyata kini sukar untuk dirobek. Dan himpunan itu seperti mahu menzahirkan, bahawa apa pun rintangan menghalang, ia tidak seharusnya membantut usaha lebih murni, bagi menyelamatkan  tanahair tercinta daripada mangsa kerakusan pemimpin BN.

Ketua Pemuda DAP, yang juga Ketua Pembangkang di Dun Negeri Sembilan, Anthony Loke, dalam pidatonya pada majlis berkenaan, yang disorak tepukan bergemuruh, mengungkapkan: "Jika agama Buddha dihina, saya yakin pemimpin PAS akan mempertahankannya. Kalau agama Hindu dan Kristian dihina, saya yakin KeADILan akan mempertahankan. Kalau agama Islam dihina, DAP akan mempertahankannya."

Saya kira angan-angan pemimpin Umno untuk mengadu-domba pemimpin PAS dan DAP, seterusnya menimbulkan rasa curiga, apatah lagi menyemai bibit sengketa, di kalangan penyokong kedua-dua parti, semakin berderai dengan komitmen bersama yang ditunjukkan pada malam Ahad itu. Bukan sahaja terjalin persefahaman yang baik di kalangan pemimpin atasan, malahan kerjasama padu di peringkat akar umbi.

Di kala majoriti masyarakat bertambah yakin dengan keupayaan Pakatan untuk mengambil alih kerajaan persekutuan, masih timbul kecelaruan pemikiran dan usaha terancang memomokkan bahawa kepentingan Melayu akan terabai di bawah kerajaan baru nanti, manakala kebejatan pemerintah akan disalin-ganti oleh penguasa yang baru. Dakwa kelompok ini, apa guna kerajaan bertukar jika reformasi menyeluruh gagal dilaksanakan.

Strategis Umno masih menggunakan pendekatan lapuk, yang diwariskan Biro Tata Negara dan jentera kempen turun-temurunnya, iaitu untuk merenggangkan (atau sekurang-kurangnya meragukan) orang Melayu dengan Pakatan. Pelbagai fantasi dan falasi direka, semata-mata untuk menimbulkan kegelisahan tidak berasas. Sesungguhnya tiada lagi aset kekuatan BN untuk melobi sokongan rakyat, selain melancarkan dakyah dan perang saraf bagi memburukkan oposisi.

Sudah pasti kaedah itu tidak lagi berkesan seperti dahulu, namun saya bimbang masih ada -- termasuk mereka yang berpendidikan tinggi dan menempati kelas menengah -- yang terus terpedaya, sehingga ragu-ragu untuk melakukan perubahan walaupun menyedari elit politik Umno-BN berlaku curang, mengkhianati amanah rakyat dan memperdagangkan sokongan awam.

Saya tertarik dengan tulisan Nurul Izzah Anwar bahawa tiang teras kenegaraan seperti Perlembagaan teras demokrasi, institusi Raja-Raja Melayu, Islam Agama Persekutuan, Bahasa Melayu Bahasa Kebangsaan dan kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputara tetap akan terpelihara dan terjamin walaupun berlaku perubahan di Putrajaya.

Namun masih ada juga yang curiga, mampukah Pakatan yang berkuasa nanti dapat membanteras rasuah dan segala penyelewengan, selain memulihkan demokrasi, membela kebajikan rakyat, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan pengagihan khazanah negara lebih adil?

Tiada siapa dapat memberi jaminan seratus peratus bahawa, misalnya korupsi yang sudah membarah dan mengakar dalam setiap sektor  kehidupan, sejak dibudayakan elit Umno lima dekad lalu, dapat dihapuskan segera sebaik pemerintahan bertukar tangan. Begitu juga dengan pelbagai skandal, kecurangan dan ketirisan yang lain? Dalam tempoh singkat, ia amat menuntut dan menagih keazaman politik yang begitu tinggi, serta terpaksa menempuh cabaran dalaman dan luaran yang cukup sengit.

Dr Siddiq Fadzil mengungkapkan fenomena itu dengan baik sekali: "Untuk mengamankan dirinya daripada gugatan, seorang pemimpin korup biasanya akan berusaha agar orang lain juga jadi korup. Apabila semuanya sama-sama korup, maka tidak siapa pun yang akan berani menuding orang lain sebagai korup. Dalam kaitan ini, Ajib Rosidi menyebut bahawa dosa Soeharto sebenarnya tidak hanya melaksanakan korupsi tetapi lebih daripada itu beliau telah membudayakan korupsi dengan membuka ruang agar mereka yang di kelilingnya juga melakukan perbuatan sama. Dengan demikian lahirlah budaya "korupsi secara berjemaah".

Saya sendiri menaruh sedikit syak tentang kemampuan Pakatan merealisasikan janji-janjinya menyelamatkan negara daripada seribu satu penyakit kronik itu. Soalnya, apakah dengan kecurigaan itu membuatkan kita perlu membeku di takuk lama dan membiarkan kemungkaran BN berleluasa?

Tentulah tidak! Kerajaan BN yang memerintah hampir 60 tahun itu, sehingga telah "sempurna" segala kebobrokan dan kejahatannya, wajib ditukar. Hal itu tiada kompromi lagi. Peluang mesti diberikan agar Pakatan -- bersama-sama gerakan rakyat -- menerajui perubahan dan melakukan proses reformasi ke akar umbi.


Lebih jauh lagi, saya turut mengesan persoalan berbangkit seterusnya, apakah Pakatan perlu menanggung beban dosa pemimpin Umno-BN selama ini, apabila kita turut menghukum lebih awal, dengan andaian (dan sangkaan buruk) pemimpinnya yang bakal berkuasa nanti juga pasti mengulangi kesalahan sama? Tentulah tidak adil sama sekali, 'kan?

Saya dapat memahami, sebahagian kita, yang sudah muak dan jelak dengan jenayah BN mengkhinati amanah kepimpinan ini, mudah pesimis dan seakan-akan menyerah kalah. Pada mereka, sesiapa saja yang menang dalam pilihan raya dan kemudiannya berkuasa, akan melupakan segala janji manis serta kembali kepada tabiat buruk penguasa rakus, seperti rasuah, curang, boros, membazir, pentingkan kroni dan suku-sakat, ego-takbur ....

Ya, setiap manusia terdedah kepada kelemahan dan kesilapan, terutama mereka yang berada di singgahsana kuasa, termasuk saf kepemimpinan PAS, DAP dan KeADILan. Prinsip perjuangan yang suci tidak semestinya dapat menahan kerakusan dan membentengi ketamakan. Tidak mengapa jika anda rasa perlu terus mencurigai penguasa baru nanti.

Namun, jalan penyelesaiannya mesti ada dan ini telahpun ditawarkan oleh Pakatan. Justeru, siapa pun yang bertakhta, kuasa mesti disekat dan dipisah-pisahkan. Pemerintah tiada lagi kuasa mutlak, dan harus ada faktor semak dan imbang, serta pemantauan langsung rakyat, di samping pemantapan institusi strategik seperti Parlimen, Suruhanjaya Pilihan Raya, Jabatan Audit Negara, badan kehakiman dan jaminan media yang independen.

Lord Acton pernah mengingatkan: "Power tends to corrupts and absolute power corrupts absolutely." Montesquiue turut merumuskan: "Apabila seseorang memiliki kuasa yang kuat, maka kecenderungan untuk menyalahgunakan kuasa adalah tinggi. Dengan itu, kuasa mesti dipisah-pisahkan."

Secara umumnya, mana-mana kerajaan yang baru dipilih, bukan sahaja cuba sedaya mungkin mengotakan janjinya, setidaknya bagi menunjukkan kelainan daripada regim terdahulu, malah sukar untuk sewenangnya menyalahgunakan kuasa. Umno yang berkuasa sejak 55 tahun merdeka, begitu arif dengan kelemahan sistem dan ketempangan penguatkuasaan, sehingga dapat (mahir dan cekap) berkomplot  untuk "merampok" kekayaan negara dan melakukan siri pengkhianatan.

Rakyat selama ini hanya dirujuk dan diusung bagaikan raja pada hari mengundi; selepas itu ditinggalkan dan diremehkan. Pakatan menjanjikan tiada lagi gejala elit politik menguasai dan menentukan segalanya buat rakyat. Negara harus dibangunkan dan dikendalikan bersama. Masyarakat sivil akan berkembang. Partisipasi politik bertambah rancak, melibatkan segenap lapisan masyarakat.

Kuasa akan dikawal dari dua arah. Pertama, dari atas, ketundukan dan pengabdian kepada Allah. Kedua, dari bawah, pemantauan berterusan rakyat. Proses pembodohan massa akan dihentikan, sebaliknya berlaku pemerdayaan umat. Rakyat akan dimerdekakan dan seterusnya berlaku proses pencerahan. Cengkaman berbentuk akta drakonian dibatalkan, budaya takut dipecahkan. Aliran maklumat bebas untuk dikongsi. Ilmu dan ilmuwan akan dimartabatkan.

Selagi kedaulatan rakyat diiktiraf, suara ramai didengar, rintihan golongan minoriti dipandang berat, institusi syura diimplementasikan,  ilmu dan kebenaran dihormati, saya percaya sebagai permulaannya ia sudah memadai.

Satu lagi aspek yang saya lihat cukup istimewa ialah sikap penyokong Pakatan. Mereka sukar untuk digula-gulakan atau dijadikan seperti "lembu kenyang". Latihan perkaderan dan pendedahan selama ini meletakkan mereka begitu sensitif dengan tunas-tunas penyelewengan, salahguna kuasa dan korupsi yang mungkin dilakukan pemimpin Pakatan. Selain berdirinya institusi penguatkuasa yang kompeten, cekap dan berintegriti, rakyat juga akan bertindak untuk menolak penguasa curang.

Lazimnya, mana-mana penguasa tidak akan bersedia secara sukarela untuk dibatasi kuasa dan pengaruh mereka. Rakyat mesti bangun menuntut dan memperjuangkan hak mereka, serta berperanan proaktif untuk merombak sistem dan struktur pemerintahan. Oleh itu, proses reformasi tidak boleh ditangguh sebaik Pakatan berkuasa. Dan ia mesti digerakkan bersama; jangan memberi cek kosong kepada orang politik, apatah lagi kelompok teratas.

Saya cukup yakin, berdasarkan pengalaman tokoh-tokoh utama Pakatan, jiwa besar pemimpinnya, prinsip perjuangan yang teguh, kebijaksanaan membaca realiti, kewarasan berdepan provokasi, insya-Allah negara ini akan melangkah ke era yang lebih baik selepas berlaku perubahan besar dalam PRU13 nanti.

Rakyat yang berdaulat akan terus memastikan tiada lagi pengkhianatan terhadap mandat majoriti, dan mereka nescaya segera bangkit memperbetulkan  kepincangan sebelum tradisi hodoh BN yang dikuburkan itu tidak mampu bangkit lagi!

Siapa kata UMNO tak lawan yang lawan murtad?




  Siapa kata UMNO tak lawan yang lawan    murtad?

http://paspb2.blogspot.com, 11 Nov 2012

https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjOWR-0VeDNaneQTl2VqB9w5Q3S64aKvNQpziUm52nTUaHVFMD_XcjDIkeyx8DomAucv32OLoKalguiMXZIZNwKTjZ_4C0oS_V1sDl7dMmqZ9LcMAFs5Yh3VlPxDptTAC-TFPd0cTQzGprt/s1600/pemimpin+umno+hina+islam.jpg

Oleh Penarik Beca

Umno lawan Nurul Izzah Anwar kononnya kerana marah murtad. Siapa kata Umno tak lawan yang lawan murtad? Lihat carian dalam Internet:

Pada
25 Mac 1998, Presiden PAS selaku Ahli Parlimen Marang telah mengemukakan usul untuk membincangkan gejala murtad, tetapi telah ditolak atas alasan tidak perlu disegerakan.

Pada
1 November 1999, usul untuk menangani gejala murtad dari  Ahli Parlimen Marang telah ditolak ke bawah di dalam senarai sehingga beliau tidak mendapat laluan untuk membentang rang undang-undang ahli persendirian untuk mencegah murtad.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub selaku Ahli Parlimen Kubang Kerian pernah  mengemukakan
rang undang-undang persendirian yang dinamakan Rang Undang-Undang Murtad. Percubaan Salahuddin ditolak mentah-mentah.

Salahuddin juga pernah mengemukakan usul yang juga meminta Dewan Rakyat mewujudkan undang-undang mencegah murtad seperti meminda Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan peruntukan yang jelas menghalang individu Islam daripada secara bebas mengisytiharkan diri keluar daripada agama Islam. Percubaan itu juga ditolak.


Rang Undang-Undang Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Negeri Terengganu dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) Kelantan 1993 termasuk peruntukan menangani murtad. Umno bukan sahaja tak mahu sokong malah memfitnahkan habis-habisan rang undang-undang itu.

DYMM AL-SULTAN KELANTAN SULTAN MUHAMMAD V

 


                                              DYMM AL-SULTAN KELANTAN SULTAN MUHAMMAD V

Ibnu Hasyim: Gambar Santai-santai Tok Guru N/aziz..

Ibnu Hasyim: Gambar Santai-santai Tok Guru N/aziz..: Antara sebahagian dari cara Tok Guru Nik Aziz mengisi masa lapang dengan mencuci halaman rumah semasa tiada tugas rasmi...

Ibnu Hasyim: Warga Indo Dirogol 3 Polis Di Balai? Malu Le..

Ibnu Hasyim: Warga Indo Dirogol 3 Polis Di Balai? Malu Le..: BUKIT MERTAJAM - Seorang pekerja kedai makan warga Indonesia mendakwa dia dirogol tiga anggota polis di sebuah balai polis dekat sini s...

Ibnu Hasyim: Ini, Bolasepak Wanita Ukrine, M'sia Contohi Ini?

Ibnu Hasyim: Ini, Bolasepak Wanita Ukrine, M'sia Contohi Ini?:   SUKAN INILAH  pasukan bola sepak Ukrine 2011 .  Lihat pakaiannya, beginikah yang menjadi idola pasukan bolasepak wanita Malaysia...

Ibnu Hasyim: 14 Tanda Umur Panjang. Termasuk Anda?

Ibnu Hasyim: 14 Tanda Umur Panjang. Termasuk Anda?: Pokok Tertua: Banyan tree (or is it silk-cotton tree?) in the ruins of Ta Prohm, Ankor, Cambodia SETIAP orang selalu berharap dapat memi...

Ibnu Hasyim: Bas Lama Dijadikan Restoran...

Ibnu Hasyim: Bas Lama Dijadikan Restoran...: REUTERS SEORANG pelayan menghantar makanan kepada beberapa pelanggan di dalam sebuah bas di Shenyang kelmarin.  JOM KRAETIF SHENYAN...

Veteran Umno Johor mengakui Umno semakin NAZAK..



Veteran Umno Johor mengakui Umno semakin NAZAK..

Addin, 11 Nov 2012
Rupanya, bukan setakat pemimpin Umno kanan yang terasa bahang kekalahan, malah orang Umno pencen yang pernah makan gaji dengan kerajaan pun sudah mula serabut kepala.

Buktinya, semasa Perhimpunan Agung Tahunan Veteran Umno Malaysia di Kuala Terengganu, Terengganu, pemangku pengerusinya, Mohd Zahid Sirat mengakui, ahli Umno mesti sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk membantu parti menghadapi pilihanraya umum ke-13 yang akan diadakan tidak lama lagi.

Mohd Zahid berkata lagi, ini kerana pilihanraya umum akan datang bukan sahaja menentukan ‘hidup mati’ Umno tetapi juga masa depan Barisan Nasional (BN).

Tambahnya lagi, “Pakatan Rakyat yang diterajui DAP beria-ia untuk menumbangkan BN dan merampas Putrajaya seterusnya mengambil alih pemerintahan negara ini.

Ugutnya lagi, “Kalau ini berlaku, segala yang dinikmati kaum pribumi (Melayu) selama ini dikhuatiri akan terjejas dan terhapus sama sekali,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada perhimpunan yang bermula semalam.

Untuk itu katanya, seluruh anggota veteran perlu bersatu dan memperkuatkan barisan bagi menghadapi satu pemilihan yang paling getir bagi Umno dan BN.

“Matlamat kita untuk membantu pucuk pimpinan bagi memartabatkan bangsa Melayu dan mencapai kejayaan cemerlang di dalam dan luar negara,” katanya.

Mohd Zahid juga berkata bangsa Melayu akan terus teguh dan digeruni jika bersatu padu walaupun berbeza ideologi dan perjuangan.

“Orang Melayu mesti bersatu dengan mengenepikan segala fahaman atau ideologi demi mengekalkan pemerintahan dan ketuanan Melayu, mendukung tonggak kedaulatan raja-raja serta mempertahankan kesucian agama Islam,” katanya.

Seramai 545 anggota veteran Umno seluruh negara menghadiri perhimpunan tersebut yang berakhir hari ini.

Perdana menteri, Najib Altantuya juga tidak menolak kenyataan pahit sambil mengugut bahawa Umno dan BN tidak akan kembali berkuasa buat selama-lamanya sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menewaskan BN dalam pilihanraya umum akan datang.

Ditambah lagi dengan statistik bahawa Pakatan Rakyat kini sudah berjaya memperolehi 128 kerusi parlimen sekiranya pilihanraya umum diadakan dalam tempoh dua bulan setakat 30 September lalu.

Veteran Umno dari Johor yang ditemui turut melahirkan rasa cemas dengan perkembangan terkini yang menyaksikan Pakatan Rakyat kini bukan setakat berjaya menembusi kubu kuat Umno di negeri itu, malah sambutan hebat turut diterima dari warga peneroka Felda yang selama ini menjadi antara simpanan tetap Umno dan BN setiap kali pilihanraya diadakan.

Ujarnya lagi, generasi kedua dan ketiga Felda yang terdedah dengan sumber maklumat alternatif menerusi internet dan laman sosial turut menyumbang kepada kemerosotan pengaruh Umno di kalangan mereka yang berusia 20 hingga 45 tahun.

Mendedahkan satu maklumat sulit yang diperolehinya, dia mengakui beberapa kerusi parlimen BN di Johor seperti Kluang, Simpang Renggam, Segamat dan Labis sudah tidak selamat ekoran kaum bukan Melayu kini secara terbuka menyokong Pakatan Rakyat walaupun mereka merupakan ahli parti komponen BN, terutamanya MCA dan MIC.

Tambahnya lagi, sekiranya fenomena ini berterusan, ramalan menteri besar, Ghani Othman bahawa 15 daripada 26 kerusi parlimen di negeri itu bakal ditawan Pakatan Rakyat akan menjadi kenyataan.

Inilah yang membimbangkan veteran Umno tersebut yang enggan disiarkan namanya atas faktor keselamatan selepas persidangan tamat kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Beliau secara terbuka meminta veteran Umno supaya turun membantu pemimpin pelapis peringkat pergerakan pemuda dan puteri dari segi pengalaman dan sokongan moral bagi mengekang pengaruh Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang disifatkannya "berbahaya bagi masa depan orang Melayu". ~jalanpulang

BN MAKIN TERTEKAN!!! Najib diasak pengikut Muhyiddin kerana lambatkan pilihanraya


BN MAKIN TERTEKAN!!! Najib diasak pengikut Muhyiddin kerana lambatkan pilihanraya?

http://paspb2.blogspot.com, 11 Nov 2012
PEMBERONTAKAN TERBUKA
Akhirnya umum sudah mengetahui. Pergelutan antara Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya Muhyiddin Yassin semakin memuncak sedang negara semakin hampir kepada pilihan raya umum ke-13 di mana parti pemerintah BN dijangka kehilangan penguasaan selama 55 tahun ke atas kerajaan persekutuan.

"Saya tidak terkejut dengan perkembangan terkini. Terdapat cakap - cakap perebutan kuasa semenjak kebelakangan ini. Pengikut Muhyiddin boleh menghidu peluang dan mereka mahu memastikan dia mendapat giliran di kerusi PM manakala mereka akan mendapat bahagian gula-gula mereka yang sewajarnya," naib presiden PKR dan ketua bahagian Johor, Chua Jui Meng memberitahu Malaysia Chronicle.

"Mereka menyalahkan Najib kerana melambatkan pilihan raya umum sehingga kini apabila ia sudah jelas BN telah hilang kelebihan mereka dan mereka semua terpaksa berjuang untuk mempertahankan kerusi mereka."

JuiMeng telah bertindak balas terhadap laporan berita poster misteri yang terdapat di bahagian-bahagian strategik Johor, yang juga merupakan tempat kelahiran Muhyiddin, menggesa agar ahli parlimen Pagoh itu menggantikan Najib sebagai Presiden Umno dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Poster menunjukkan gambar Muhyiddin berlatarkan bendera Malaysia dengan kata-kata 'Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM sebelum PRU ke-13' serta 'Selamatkan Barisan Nasional'.

Master of procrastination, worsening the BN's chances
Imej poster, yang menggunakan logo BN dan Umno yang juga diterbitkan oleh BN Johor, telah ersebar dengan meluas di Facebook. Pemuda Melayu yang mengedarkan poster di kawasan yang sibuk dan pusat membeli-belah di pusat-pusat bandar seperti Skudai Johor juga telah dikesan. Poster pertama yang dijumpai dalam kuantiti yang banyak pada Hari Merdeka Jumaat lepas.

Mungkin ia adalah kebetulan tetapi Najib yang tidak tahu menahu memberi kejutan besar kepada negara pada hari Ahad apabila dia membayangkan bahawa PRU ke- 13 akan diadakan pada bulan November, bulan ke-11 dalam kalendar. 11 adalah nombor kegemaran beliau.

Pemerhati Umno tidak fikir Najib ikhlas. Mereka percaya Najib yang berusia 58 tahun itu akhirnya mengalah kepada tekanan daripada rakan-rakan dalam parti untuk mengadakan pemilihan pada tahun ini. Antaranya adalah Muhyiddin, yang telah dengan secara terbuka mendesak pilihan raya untuk diadakan pada bulan September.

Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad juga telah mendesak agar PRU diadakan pada tahun ini, tetapi mereka yang rapat dengan Najib dan isterinya Rosmah Mansor telah memberitahu bahawa pasangan pertama ini lebih suka jika pilihanraya diadakan pada tahun depan selepas reaksi terhadap Bajet 2013 diketahui

"Ia sememangnya satu rahsia terbuka bahawa ramai panglima UMNO sudah bosan akan penangguhan ini. Mereka percaya Najib memburukkan peluang BN dengan membenarkan ia untuk meleret. Ia memberikan Pakatan peluang untuk memainkan isu terhadap mereka dan banyak juga yang talah didedahkan oleh PKR, PAS dan DAP sudah mengena sasaran," kata Jui Meng.
"Poster Muhyiddin adalah mesej yang jelas kepada Najib. Lebih baik berhenti untuk cuba menjadi enyeleweng dan mendengar hasrat majoriti panglima Umno atau mereka akan memberontak secara terbuka terhadapnya. Mereka juga boleh campakkan dia keluar sebelum PRU ke-13, itulah yang mereka beritahu kepadanya. perkara yang sama telah berlaku kepada Badawi dan Mahathirlah orang yang dipercayai bertanggungjawab. Mahathir yang kini nampak tenang tetapi kem Muhyiddin tidak akan bertindak tanpa izin orang tua itu. Mahathir masih kuat di dalam Umno kerana kuasa wang "

Walaupun Jui Meng tidak menolak kemungkinan bahawa saingan Najib dalam Umno mungkin akan cuba membuang dirinya sebelum PRU ke-13, beliau percaya ada kemungkinan Najib akan dibenarkan untuk membawa obor Umno BN dalam pilihanraya penting di mana Pakatan bakal meraih kemenangan jika tiada terdapat "penipuan di peti undi".

"Jika BN kalah, Najib akan dipecat atau terpaksa berhenti serta-merta. Jika BN menang, dia akan diberi masa sedikit lebih namun masih perlu berundur pada pemilihan parti Umno yang mesti diadakan menjelang bulan Oktober 2013. Apa pun keputusannya , giliran Najib sebagai presiden Umno dan Perdana Menteri sudah tamat. Sedihnya, sejak 4 tahun yang lalu, dia telah menunjukkan dia tidak boleh melakukan melaksanakan tanggungjawab itu," kata JuiMeng.

Johor merupakan salah satu daripada beberapa negeri dimana Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal untuk menangi di dalam pilihan raya 2008. Walau bagaimanapun, keadaan adalah tidak menentu pada PRU yang akan datang yang dijangka akan diadakan pada bulan November, dengan Pakatan dijangka memenangi semua kawasan bukan Melayu serta beberapa kawasan teras Melayu.

Sambutan yang positif dari tanah Johor telah meyakinkan PAS untuk memutuskan memberi alahudin Ayob, naib presiden untuk bertanding sebuah kerusi disana. Jika Salahudin dan Pakatan menang di negeri itu, Salahudin dijangka akan dinamakan sebagai Menteri Besar atau Ketua Menteri.

Bukan kami Umno Johor, betul ?
Sementara itu, Umno Johor telah menafikan bahawa poster itu dicetak oleh parti dan telah membuat laporan polis berhubung perkara itu. Mereka mendakwa poster adalah taktik terdesak Pembangkang bertujuan menyebabkan perselisihan faham di antara pemimpin-pemimpin Umno.

"Ia adalah provokasi oleh pihak-pihak yang cuba untuk melemahkan perpaduan Umno Johor dan BN, yang kini memberi tumpuan kepada penyediaan jentera parti."Ia tidak boleh diterima untuk mengaitkan BN Johor sebagai pihak yang bertanggungjawab menerbitkan poster, "ketua Pemuda Umno Johor Zulkurnain Kamisan dilaporkan berkata kepada media.

"Bagi saya, ini merupakan satu strategi orang terdesak yang ingin Umno Johor dan BN bergaduh dan berpecah-belah. Walau bagaimanapun ia tidak akan melembabkan semangat Umno Johor dan semangat serta keazaman BN - Malaysia Chronicle