Makanan ikan tidak halal?
Pengguna Islam, |
Ternakan ikan komersial seperti tilapia merah, tilapia hitam, keli dan patin adalah ternakan ikan yang sinonim di Malaysia ini.
Begitu juga dengan ternakan ikan air masin seperti siakap, dan kerapu memang menjadi sumber pendapatan penternak di Malaysia.
Pelbagai bangsa menternak ikan samada dalam sangkar terapung seperti di Temerloh, mahupun dalam kolam tanah atau simen konkrit.
Penternakan ikan komersial memang telah lama dijalankan oleh penduduk di Malaysia ini untuk menyara hidup. Begitu juga dengan wujudnya makanan ikan jenis pellet di Malaysia.
Rata-rata makanan ikan yang digunakan ini adalah dari pengeluar antarabangsa seperti Thailand dan US.
Mereka telah lama berada di pasaran Malaysia dan mempunyai kilang pemprosesan di Malaysia. Terdapat juga pengeluar tempatan yang rata-rata bukan beragama Islam.
Apa yang merisaukan saya ialah adakah makanan-makanan ikan ini bebas dari unsur-unsur haram?
Saya ada terbaca di internet tentang bahan-bahan yang haram digunakan untuk mempercepatkan proses tumbesaran ikan seperti penggunaan hormon pembesaran.
Hormon yang digunakan dikhuatiri boleh menyebabkan kanser dan boleh merosakkan sistem tubuh badan dalam jangka masa panjang generasi ke generasi.
Selain itu penggunaan bahan-bahan seperti najis seperti darah dan tulang khinzir juga digunakan sebagai sumber protein dan kalsium dalam makanan ikan.
Bukankah hukumnya haram menggunakan unsur darah dalam diet ternakan kerana pengguna ikan adalah di kalangan pengguna Islam.
Walaupun darah lembu yang disembelih, darah itu tetap najis dijadikan sumber makanan. Bloodmeal atau tepung darah yang digunakan dikhuatiri darah khinzir yang harganya lebih murah jika dibandingkan dengan fishmeal atau tepung ikan.
Kini dilihat ada beberapa produk makanan ikan yang diimport masuk ke Malaysia dari Taiwan, Thailand, Indonesia yang seperti tiada sekatan boleh dibawa masuk dan digunapakai oleh pengguna beragama Islam.
Dimanakah letaknya tanggungjawab Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan JAKIM dalam menangani isu halal dan haram ini?
Saya sebagai umah Islam di Malaysia yang menggunakan makanan ikan untuk ternakan ikan rasa terpanggil untuk menyetakan rasa tidak puas hati kerana tiada makanan ikan yang diyakini kesuciannya.
Diharap Kementerian lebih menitikberatkan isu halal haram dalam pertanian dan perternakan di Malaysia. Ramai pengguna tidak tahu tentang penggunaan hormon, darah dan tulang khinzir dalam bahan-bahan membuat makanan ikan dan lain-lain makanan ternakan. Mereka tidak didedahkan dengan masalah yang telah lama berlaku ini.
Diharap tuan pengarang boleh membentangkan isu makanan ternakan ini kerana ramai pengguna kita adalah umat Islam.
PENGGUNA ISLAM