Selasa, 28 Mei 2013

8 Sebab Legitimasi Najib Sebagai Perdana Menteri Dipertikai


Terdapat sekurang-kurangnya lapan sebab mengapa sebilangan besar rakyat Malaysia terutama generasi muda mempertikaikan legitimasi Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, bantahan sejuta pengundi Malaysia, kebanyakannya generasi muda daripada pelbagai kaum terhadap keputusan PRU-13 menerusi ceramah “Black 505” di seluruh negara.

Katanya, rakyat tunjuk rasa tidak puas hati mereka kerana menganggap PRU-13 paling kotor sepanjang 13 kali pilihan raya umum negara kerana berlakunya politik wang yang tidak beretika melalui strategi UMNO/BN “Duit Duit Duit”, “Tipu Tipu Tipu” dan “Takut Takut Takut”.

Selain itu, menurut beliau, amalan persempadanan semula kawasan pilihan raya yang menguntungkan UMNO/BN, yang mana satu undi di Putrajaya (16,000 pengundi) sama nilainya dengan satu undi di Kapar (140,000+ pengundi) hingga menjadi satu penghinaan terhadap prinsip “seorang, satu undi, satu nilai”.

“Sekiranya PRU-13 bersih, bebas dan adil, undi popular yang dimenangi Anwar dan Pakatan Rakyat pasti melebihi 60 peratus malah mencapai dua pertiga jumlah keseluruhan, memberikan majoriti kerusi Parlimen kepada PR (mencecah 125 kerusi Parlimen terdiri daripada 45 untuk PKR dan masing-masing 40 untuk DAP dan PAS) bukannya 89 kerusi untuk PR dan 133 kerusi untuk BN seperti sekarang,” katanya berucap pada makan malam kesyukuran/pelancaran gerakan Impian Rakyat Malaysia DAP Gelang Patah di Sutera Mall, di sini, semalam.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, pemerintahan Najib kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum.

“Najib bertanggungjawab memulanya dengan kenyataannya bahawa keputusan PRU-13 adalah “tsunami Cina” sedangkan ia adalah tsunami rakyat Malaysia, bandar, separa bandar dan anak muda.

“Ini diikuti satu siri reaksi provokasi, mengapi-api dan perkauman serta kempen seperti tajuk akhbar lidah UMNO, Utusan Malaysia: “Apa Lagi Cina Mahu”; ucapan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah, merupakan ucapan paling rasis dan menghasut pernah dibuat di Malaysia dalam tempoh 44 tahun.

Beliau berkata, pemerintahan Najib juga kurang legitimasi sebagai kerajaan 1Malaysia meskipun mengangkat sumpah selepas pilihan raya untuk menjadi Perdana Menteri untuk semua kaum, kerana meningkatnya polarisasi kaum selepas PRU13.

Menurut Kit Siang, Kabinet Najib tidak mewakili semua rakyat Malaysia, satu kesedaran terlewat yang membawa kepada cadangan BN menamatkan parti berasaskan kaum, dengan menggabungkan semua parti komponen dalam satu perikatan menjadi parti berbilang kaum.

“Rejim pemerintahan Najib juga semakin menekan dan tidak demokratik, berikutan kerjasama Menteri Dalam Negeri dengan Ketua Polis Negara yang paling “bersifat politik” dengan menafikan hak asasi manusia dan demokratik pemimpin Pakatan Rakyat serta aktivis sosial lalu apabila menahan, mendakwa dan tindakan keras terhadap kebebasan berhimpun dan bersuara.

“Contoh terkini bergantung kepada penipuan dan pembohongan adalah ancaman Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, untuk memburu pengguna media sosial pro-Pakatan Rakyat sama ada di Facebook, Twitter, YouTube atau blog, berikutan dakwaan tidak masuk akal bahawa DAP membelanjakan RM108 juta tentera siber “Red Bean Army” untuk memburuk-burukkan UMNO/BN di alam siber,” katanya.

Kit Siang berkata, Najib juga mempengerusikan Kabinet dengan dua Menteri tidak sah (Paul Low dan Abdul Wahid Omar dan tiga Timbalan Menteri tidak sah (P. Waythamoorthy, J Loga Bala Mohan dan Ahmad Bashan Md Hanipah) kerana semua mereka belum mengangkat sumpah sebagai Senator sebelum mengangkat sumpah sebagai sebagai menteri

Katanya, kelima-lima mereka berada di awang-awangan Perlembagaan sejak 11 hari lalu, kerana belum mengangkat sumpah sebagai Senator dan mereka sendiri tidak berani mengakui mereka adalah Menteri dan Timbalan Menteri yang sah.

“Sandiwara perlembagaan yang berpanjangan itu memalukan Yang di-Pertuan Agong dan juga imej negara di peringkat antarabangsa, hanya menggariskan persoalan serius mengenai legitimasi Kabinet dan jawatan Perdana Menteri Najib,” katanya.-Roketkini

Surat terbuka kepada permimpin Umno dan BN

Mahdzir Ibrahim,
UMNO-BN, kami sambut kedatangan anda ke alam politik adil pelbagai kaum

Semenjak “kekalahan” BN dalam PRU13 yang lalu (kerana Pakatan Rakyat mendapat sokongan 51 peratus pengundi), semakin hari semakin ramai pemimpin BN memberikan hujah rasional yang selama ini jarang kedengaran.

Saya difahamkan dua hujah utama, iaitu cadangan agar parti-parti politik dalam BN membuka keahlian kepada pelbagai kaum dan cadangan supaya BN itu sendiri menjadi satu parti pelbagai kaum.

Sebelum ini, pemimpin MCA ada menyuarakan cadangan tersebut, kemudian diikuti oleh pemimpin Gerakan dan terbaru cadangan yang datang dari pemimpin nombor dua UMNO iaitu Muhyiddin Yassin. Umumnya, kita ucapkan tahniah atas niat dan kesedaran beliau ini.

Namun, sebelum apa-apa, adalah wajar untuk para elitis UMNO-BN merenung kembali apa yang telah berlaku selama lebih dari 50 mereka memerintah. Apa pun yang ditanam di bibir, hanya Allah SWT sahaja mengetahui isi hati mereka.

Dalam PRU13 baru-baru ini, Pakatan Rakyat khususnya DAP benar-benar diasak dengan permainan politik perkauman yang mana ini menjadi budaya yang disemai oleh segelintir elit politik UMNO-BN. Persepsi buruk yang diolah dengan cara yang sangat dahsyat.

Initipati kepada pembinaan persepsi buruk dengan cara menabur fitnah ini hanya untuk satu tujuan, iaitu menggagalkan perjuangan DAP dan Pakatan Rakyat. Pada masa yang sama untuk meneruskan hegemoni kuasa politik UMNO agar mereka kekal di tampok kuasa zaman berzaman.

Inilah agenda politik UMNO-BN selama ini. Segala dasarnya, baik dalam aspek ekonomi, sosial dan pendidikan juga dimanipulasi menjadi amalan perkauman dalam kempen-kempennya. Agenda hodoh ini wajar didedahkan kepada rakyat secara berterusan dan besar-besaran.

Dalam aspek ekonomi misalnya, persepsi buruk dibina tentang DAP seolah-olah DAP menentang dasar yang melibatkan kepentingan kaum Melayu khususnya dalam isu Dasar Ekonomi Baru (DEB), malah dituduh mahu menghapuskan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Umum tahu pada dasarnya DAP tidak pernah menentang dasar ini, tidak pernah ada satu fakta yang dikeluarkan oleh DAP yang bersabit dengan isu ini. Yang ada hanya tohmahan yang sudah dibuktikan di mahkamah bahawa ianya dakwaan palsu.

DAP bersama-sama dengan Pakatan rakyat, malah bekas-bekas pemimpin UMNO sebelum ini hanya mempertikaikan cara pelaksanaannya yang berat sebelah di mana hanya kroni yang untung sedangkan jutaan orang Melayu masih menderita kerana saham-saham tertentu dibolot oleh pihak-pihak tertentu.

Masalah rasuah, dapat dilihat bagaimana dana peruntukan untuk golongan Melayu miskin hilang entah kemana. Masalah ketelusan,  kita persoalkan peluang perniagaan yang dimonopoli oleh kelompok tertentu walaupun kelompok elit itu dari kaum Melayu sendiri. Kesemua penentangan DAP ini melibatkan soal prinsip dan integriti. DAP tidak mahu orang Melayu menjadi mangsa kerakusan kuasa elit UMNO-BN.

DAP menuntut UMNO-BN menjelaskan ke mana hilangnya sahama Bumiputera bernilai RM52 bilion; DAP menuntut UMNO-BN bertindak tegas terhadap pemimpin-pemimpin BN daripada MCA, MIC, UMNO dan sebagainya yang terlibat dalam pelbagai skandal termasuk PKFZ dan NFC yang mencabul amanah wang rakyat.

Kita tidak perlu merasa pelik mengapa dasar integrasi kaum juga masih menjurang hingga ada kumpulan yang tidak tahu menghormati agama dan adat resam sesuatu kaum yang lain. Malah ada segelintir pemimpin yang secara terang-terangan bukan saja menafikan hak sesuatu kaum, malah menghinanya.

Contoh-contoh seperti Zulkifli Nordin, Ibrahim Ali, kumpulan pendesak Perkasa yang secara terang-terangan menghina kaum India dan Cina. Malah ada di kalangan profesional Melayu yang mengatakan bahawa kaum India dan Cina ini sebagai kaum pendatang. Kesemua gaya politik ini membiak dari amalan politik perkauman elit pemimpin UMNO.

Inilah latar politik Malaysia yang dibentuk oleh perangai elit pemimpin UMNO yang dibiarkan oleh para pemimpin BN, malah disokong pula sejak zaman berzaman.

Sebelum berubah mahu menjadi parti pelbagai kaum, adakah para pemimpin UMNO-BN sedar akan semua ini?

Namun demikian, yang jelas hari ini politik perkauman nampaknya sudah tidak lagi popular di kalangan rakyat Malaysia. Buktinya dapat dilihat apabla dengan segala tipu helah, segala tohmahan dan segala manipulasi media massa dalam kempen UMNO-BN, ia gagal menipu semua rakyat. DAP bersama PKR dan PAS terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia, undi popular dimenangi oleh PR.

Yang menyokong dan mengundi adalah rakyat Malaysia, sudah tentu termasuk juga sokongan dari kaum majoriti di Malaysia iaitu Melayu. Sokongan ini tidak datang dari pekerja undangan dari Bangladesh, Filipina atau Indonesia.

Hakikat yang perlu diketahui adalah, kaum Melayu merupakan kaum yang terbukti dari segi sejarah boleh menjadi bangsa yang maju setaraf dengan bangsa-bangsa lain didunia ini. Tamadun Johor Lama, Pembukaan kota Singapura dan Empayar Melaka telah membuktikan bahawa kaum Melayu bijak, boleh berdikari dan bersaing bebas dengan kaum dari empayar besar yang lain.

Jadi mengapa politik hari ini, seolah-oleh mahu menjadikan Melayu sebagai satu bangsa yang berjiwa kecil, takut pada bayang-bayang sendiri dan bergantung kepada ehsan kerajaan? Atas semua senario ini, UMNO-BN sudah tidak punya banyak pilihan kecuali kembali kepada prinsip asas demokrasi iaitu ‘dari rakyat, oleh rakyat dan kepada rakyat’.

Jika benar UMNO-BN mahu berubah:

* Ia mesti membuat kenyataan maaf secara terbuka kepada semua parti politik yang difitnah selama ini, mintalah maaf kepada seluruh rakyat Malaysia atas amalan politik perkauman anda.

* Ia mesti bebaskan semua dakwaan hasutan ke atas pemimpin Pakatan Rakyat dan aktivis rakyat.

* Ia mesti mengambil tindakan amhkamah terhadap semua yang terlibat dalam politik perkauman termasuk Utusan Malaysia dan sesiapa sahaja yang  menyebarkan hasutan untuk membenci kaum lain.

Jika tidak, niat murni UMNO-BN untuk menjadi parti pelbagai kaum hanya akan menjadi lawak gelap demokrasi Malaysia. Rasa insaf perlu menjadi prasyarat untuk membasmi perkauman. Politik perkauman yang berdasarkan warna kulit dan sebagainya, hanya akan merosakan masa depan anak-anak kita.

Jangan kita lupa, sungguhpun tune nada pada piano itu terletak pada mata hitam dan putihnya sahaja, bunyi dan iramanya yang tergabung memberikan seribu satu warna yang lain. Itulah lambang kepelbagaian kita, rakyat bangsa Malaysia.

Buat elitis UMNO-BN, kita ucapkan selamat tinggal kepada politik perkauman mereka.

Penulis ialah Setiausaha Politik kepada Pengarah Biro Pendidikan Politik Liew Chin Tong.

ANTARA GARIS SELAMAT DAN NASIB RAKYAT

Tulisan Terbuka
28 Mei 2013
ANTARA GARIS SELAMAT DAN NASIB RAKYAT

Pasca PRU13, sudah sembilan himpunan #Blackout505 dan satu himpunan #SuaraRakyat505 berlangsung. Samada ia punyai kesinambungan atau tidak, bukanlah perkara pokok kerna ianya adalah himpunan pergi dan balik. Himpunan hebat ini menyaksikan rakyat dan pemimpin saling bersuara, saling berlaung, hebat bergema! 

Tetapi ke mana gemanya suara dan laungan ini? Apakah ke bukit? 

Saya percaya rakyat hari ini seharusnya sudah mendapat kelegaan yang optima sekiranya demokrasi dalam pilihanraya 5 Mei berjalan dengan baik. Pakatan Rakyat menang PRU-13 menjadikan harga minyak turun keesokkan harinya dan harga tol mansuh berperingkat sekaligus menyebabkan harga barang dan harga perkhidmatan berkurangan. Barangan keperluan asas khususnya akan jauh lebih murah apabila monopoli kroni mula dipecahkan. Rasuah, penyelewengan, ketirisan wang negara dapat dipatahkan. Apa lagi yang rakyat mahu? Inilah yang rakyat pilih.

Barisan Nasional tidak menang PRU13. Mereka tidak layak membentuk kerajaan dan Najib seorang PM yang tidak punya mandat majoriti rakyat. Saya katakan BN tidak menang kerana dalam keadaan menipu, dalam keadaan dibantu oleh semua agensi kerajaan khususnya SPR, dibantu 'papan' siaran telivisyen yang sampai masuk ke setiap rumah, dibantu oleh dana berpuluh bilion, dalam keadaan semua ini pun mereka hanya mampu perolehi 46% undi popular. Menipu pun kalah, bagaimana jika tidak menipu.

Akhirnya penipuan pilihanraya 5 Mei menjadi agenda paling besar dan hangat. Ia diakui oleh semua parti politik Pakatan Rakyat. Rakyat bangkit dengan amarah dan telah dibuktikan amarah ini dalam sepuluh perhimpunan #Black505 di seluruh negara. Dalam masa yang sama, rakyat berpaut kepada parti dan kata-kata pemimpin yang berjanji bahawa rakyat adalah tuan dan negara perlu diselamatkan. Jangan lupa, inilah kata-kata keramat sebelum pilihanraya.

Ketika negara gagal diselamatkan dek kerana penipuan pilihanraya, kerana demokrasi yang digelapkan dan kemenangan yang telah dicuri dalam silap mata blackout. Ketika itu juga sayup-sayup berbunyi saranan kepada rakyat agar jangan gopoh, sayup berbunyi memberi nasihat agar bersabar, terus menyusun gerakan untuk 5 tahun lagi. Apakah mereka lupa kemenangan dan keselesaan rakyat hari ini telah dirampas pada tengah malam 5 Mei maka pemimpin BN dan kroni terus dibiarkan bermewah dan terus mengaut kekayaan?

Rakyat mula tertekan menghadapi kenaikkan harga barang secara senyap, perlaksanaan GST digerak secara sorok-sorok dan tidak lama lagi AES mula mengambil tempat seterusnya menjadikan jalanraya sebagai pusat 'penyembelihan' yang baru. Inilah nasib rakyat Malaysia - mereka bukan bodoh, mereka cuma ditipu. 

Saya percaya lebih 60% pengundi sebenar memilih Pakatan Rakyat tetapi penipuan dalam bentuk pengundian lebih dari sekali menjadikan peratusan itu merundum kepada 51% - di sinilah gunanya dakwat kekal yang tidak kekal maka BN menang dengan penipuan terancang. 

Pengundi CIMB (Cambodia, Indonesia, Myanmar & Bangla) adalah taktik diversion atau mengalih perhatian, ketika penipuan sebenar ialah pengundian lebih sekali khususnya 278 ribu pengundi awal dan pos yang terdedah manipulasi penipuan apabila telah hilang dakwat di jari. Juga lambakkan kertas undi di akhir sesi pengiraan yang membolehkan BN menang tipis di banyak kerusi parlimen di saat akhir. 

Seperti yang saya katakan tadi, penipuan dan kecurangan ini telah diakui oleh Pakatan Rakyat malah keputusan PRU13 juga tidak diterima secara sebulat suara - ini sudah bagus. Persoalannya, demi rakyat, apakah PR sedia bersama rakyat walaupun rakyat memilih untuk turun ke jalanraya? 

Sebelum PRU13, kamu (Pakatan Rakyat) jangka akan ditipu sehabisnya, kamu bersama rakyat dalam BERSIH 3.0, malah kamu bersama anjurkan KL112 ketika kamu sangka kamu akan kalah sehabisnya akibat penipuan SPR untuk kekalkan BN. Namun bila kamu kekal beberapa negeri dan mempunyai lebih ramai YB di atas pertambahan kerusi parlimen, apakah pendirian bersama rakyat itu sudah berubah (apabila keadaan sudah selamat)? Apakah harus redho hanya kerana kelemahan kita tidak berjaya melepaskan diri dari tipu helah Barisan Nasional? 

BN adalah penipu yang baik yakni penipu yang bijak menipu. BN hanya perlu menipu untuk menang walaupun dengan majoriti beberapa kerusi parlimen. Jika BN menang semua, pasti huru-hara, mungkin ketika itu ungkapan 'sabar' tiada dalam perkiraan.

Jadi bagaimana sekarang? Rakyat kini belum selamat sepertimana negeri Selangor, P.Pinang dan Kelantan yang dikira sudah selamat. Jika setuju bahawa rakyat dan negara ini perlu diselamatkan, di manakah pendirian Pakatan Rakyat? Bersama rakyat atau bermain selamat?

Kesempatan ini juga saya ucap tahniah dan salut buat imam jalanraya sejati - Tn Haji Mat Sabu kerana beliau satu-satunya pemimpin utama parti yang berani menyebut betapa perlunya Dataran Merdeka itu ditawan oleh rakyat sebagai simbol menegakkan demokrasi yang digelapkan. Nampaknya Abang Mat tidak peduli nasibnya dalam muktamar pemilihan nanti. Selebihnya pemimpin yang mendapat perhatian rakyat seperti che'GuBard dan Rafizi Ramli juga telah menyatakan bahawa jalanraya adalah jawapan untuk menyentap keegoan regim. Saya salut pemimpin ini. 

Begitu juga dengan Dato' Ambiga yang secara terbuka mendesak SPR meletak jawatan. Jelaslah Dato Ambiga ada masanya jauh lebih berani daripada Hishamuddin Rais atau Tukar Tiub. Saya nasihatkan kepada Isham Rais supaya teruslah menghilangkan diri sampai bila-bila. Ramai lagi pemimpin yang bersama gerakan rakyat yang tidak sempat untuk saya sebutkan di sini. Saya yakin semuanya hebat dan terus istiqomah.

Saya dengan ini mendesak kepada semua parti politik pro-rakyat agar menyatakan pendirian dengan tegas samada untuk terus ditipu 5 tahun lagi, atau bersama rakyat 'menggegar' demi demokrasi sebenar dalam masa terdekat. Nyatakanlah pendirian dengan berani, agar rakyat tidak silap memilih kamu sebagai pembela sejati. 

Tegaslah untuk pilihanraya semula (walaupun terpaksa serah tiga negeri) di atas kecurangan terbesar SPR - dakwat kekal yang tidak kekal. Kes ini cukup kuat bersama sokongan majoriti rakyat. Namun harus diingat, untuk pilihanraya semula wajib dengan SPR yang diperbaharui dan diletakkan bukan lagi di bawah JPM.

Akhir sekali saya bertekad dan menyeru kepada semua NGO dan aktivis supaya pastikan tiada lagi rapat himpunan, tiada lagi acara persembahan, tiada lagi ucapan pidato yang melampuh, kini tiba masa untuk bergerak, kini tiba masa untuk berarak dengan berani. 

Tipu pilihanraya, turun jalanraya dan perjuangan adalah perlaksanaan kata-kata.

EDY NOOR REDUAN 
Aktivis Blogger
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Apabila PAS tersasar 54 kerusi parlimen

Mazlan Aliman, 28 Mei 2013
Sebagai sebuah parti politik dan Gerakan Islam yang wujud agak lama (1951), PAS mengharungi liku-liku perjuangan dengan penuh tenang, sabar dan matang. Apatah lagi kehadirannya ketika ini mempunyai impak yang besar dalam politik negara.

Tatkala DAP mendapat sokongan besar rakyat khususnya kaum Cina dengan memenangi 38 kerusi parlimen, PAS mengalami kemerosotan, apabila hanya memperolehi 21 kerusi parlimen pada PRU13, tersasar dari 54 parlimen target seperti diumum Pengerusi Road Map PAS Pusat, Datuk Husam Musa. Sementara menunggu laporan postmortem PAS Pusat yang diketuai Naib Presiden, Sdr Salahudin Ayub, tentu sekali muhasabah punca kekalahan teruk di sesetengah kawasan Melayu seperti di kawasan luar bandar dan Felda dibincangkan dengan lapang dada.

Kehilangan Kedah dari pemerintahan PAS dan Pakatan Rakyat, kegagalan merampas semula Perak, kemerosotan kerusi Parlimen dan Dun di Kelantan, kehilangan satu-satunya Dun PAS di Negeri Sembilan, Paroi, kegagalan memperolehi sekurang-kurangnya 20 Parlimen di Sabah dan Sarawak meskipun dikatakan gelombang 'INI KALILAH' begitu luar biasa adalah sesuatu yang sangat pahit untuk ditelan.

Apapun yang kita perkatakan mengenai penipuan dalam pilihanraya, kegagalan SPR bertindak adil dan telus, kehadiran pengundi hantu dan seribu satu macam dakwaan, pada ketika ini, BN adalah pemenangnya!

Setelah PR mengadakan road tour Blackout 505 dan kemuncaknya anjuran 60 NGO di Amcorp Mall Petaling Jaya, Sabtu lalu, apa lagi yang mahu dilakukan selepas ini?

Sementara menantikan petisyen difailkan dalam masa terdekat, tugasan mengekalkan momentum sokongan rakyat bukan perkara mudah. Sesetengah rakyat berpendapat, inilah masanya baik BN atau PR yang mendapat mandat semula di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan melaksanakan janji-janji dalam manifesto.

Notis mesyuarat agung di semua peringkat telah dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PAS. Ia saluran terbaik untuk menyemak, menilai dan melakukan koreksi terhadap kemampuan parti. Sama ada pemilihan secara syura atau pertandingan, lakukan dengan penuh harmoni. Jika ada calon yang lebih baik, boleh dicadang untuk menjadi pemimpin baru. Tidak perlu lobi melobi, kerana perwakilan ada pilihan tersendiri berdasarkan kriteria dan track record lalu.

Menuding jari mencari kesalahan dan kelemahan orang lain memang mudah. Tidak semudahnya akur dengan pertanggungjawaban atas bahu sendiri. Namun, bagi orang yang berjuang atas kebenaran, bangkit dari kekalahan dan mara dengan semangat baru... itulah keyakinan atas kemanisan iman!

Kalah dalam pilihanraya bukan bererti tewas dalam perjuangan. Mencontohi perjuangan para Rasul, sahabat dan pejuang terdahulu yang jauh lebih sukar; sesungguhnya menjadi motivasi berguna.

PAS telah melalui tempoh-tempoh pilihanraya yg panjang dan sukar. Ada waktu bersendirian dan bertahaluf. Usahakan untuk meraikan pandangan berbeza dan kritis meskipun dari kawan PR kita, blogger-blogger pro PR maupun lawan kita BN. Jangan rendahkan martabat kita dengan jawaban atas komen secara keterlaluan.

Bagi saya pimpinan tertinggi PR harus bertemu dalam masa terdekat untuk jernihkan suasana. Bincang hala tuju parti dan buat rumusan serta tentukan keutamaannya bagi hari-hari yang mendatang. Baik Dewan Pemuda PAS dan AMK, anda adalah harapan anak muda. Tidak manis guna medan yang tidak sesuai. Tangani dengan penuh bijak atas keluasan intelektual masing-masing. Pemimpin mesti berjiwa besar, jangan rendahkan martabat diri dengan kenyataan yang penuh emosi dan tidak menguntungkan sesiapa.

Selaku AJK PAS Pusat dan Presiden ANAK, saya memikul tanggunjawab atas kemerosotan prestasi khusus di kawasan Felda. 18 Mei lalu pimpinan ANAK mengadakan perbincangan panjang mengenai halatuju ANAK dan proses penjenamaan semula ANAK. Saya sedang merangka proses peralihan kepada pemimpin pelapis ANAK, suatu nafas baru dari pemimpin sedia ada. Akan tiba masanya, saya perlu berundur untuk memberi ruang kepada pemimpin lain yang lebih berwibawa.

ANAK mesti diperkasa seperti NGO-NGO lain. Biar bagaimana sekalipun layanan rakyat kepada kita; cemuhan, fitnah, maki hamun dll, mereka adalah mad'u dan pengundi kita. Anggaplah kita yang silap, semak pendekatan, kekuatan akar umbi dan kedudukan kita di tengah masyarakat.

Insya Allah, PAS akan terus berada di persada politik negara dengan segala kemampuannya dan menyumbang untuk kepentingan masyarakat majmuk. Siapa pun yang menerajui parti khususnya selepas Muktamar November ini; keutamaannya adalah menegakkan perjuangan yang suci dan murni ini...

Daripada terus membicarakan polemik ulama atau profesional, yang kadang kala perdebatannya jadi kasar dan hilang adab, adalah lebih baik fokus kepada dasar perjuangan dan khidmat bakti kita untuk masyarakat. Mengaku kelemahan diri dan hormati pandangan pihak lain.

Mudah-mudahan kita terus mantap dalam satu pasukan, harapan rakyat hari ini dan masa depan.

PAS FOR ALL

Turun harga kereta perlukan masa lebih lama, bukan dalam tempoh lima tahun?

http://darisungaiderhaka.blogspot.com, 28 Mei 2013

Antara manifesto Barisan Nasional yang dikemukakan menjelang PRU13 yang lalu ialah menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30% secara berperingkat..

Menariknya apabila Najib mengumumkan manifesto yang diciplak tersebut, pemimpin-pemimpin UMNO/BN yang mengkritik idea menurunkan harga kereta oleh Pakatan Rakyat itu, tiba-tiba menyokong pula idea itu..

Manifesto yang diciplak dari manifesto Pakatan Rakyat itu tidak menjelaskan berapa lamakah masa yang akan diambil untuk melaksanakannya..

Namun begitu dakwa Mukhriz "Janji BN untuk menurunkan harga kereta antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun adalah realistik dan mampu dilaksanakan.".. lagi sila baca di SINI

Itu janji sebelum PRU13, tetapi setelah PRU13 berlalu..

Baca lagi.

Alkisah seorang malas…

Tuan Ibrahim Tuan Man, 27 Mei 2013

Abtawi seorang budak yang malas. Disebabkan malas, segala projeknya terbengkalai kerana tiada pengurusan yang baik. Tapi tiada ramai yang tahu Abtawi seorang pemalas kerana lakonannya hanya hebat, selalu menunjuk dia sibuk di depan orang ramai.

“Redha sajalah. Ini takdir Allah. Allah nakkan begitu, nak buat macam mana.” – Itulah jawapan Abtawi setiap kali ditanya Ustaz Ibrahim yang diamanahkan menjaga segala projek di kampung Gunung Senyum.

Setiap kali Abtawi berkata sedemikian, Ustaz Ibrahim akan terasa sedih kerana duit warga kampung telah terbazir lagi.

Satu hari, Ustaz Ibrahim mula menubuhkan pasukan pemantau rahsia untuk memantau projek-projek di kampung. Analisa yang dibuat oleh pasukan pemantau yang pertama, 80 peratus projek yang tak jadi semuanya dimiliki oleh Abtawi.

“Tak mungkin. Budak itu rajin. Saya kenal dia sejak kecil. Cuba nasib tak menyebelahinya,” kata Ustaz Ibrahim yang mempertahankan Abtawi yang dididiknya dengan agama sejak kecil.

Setelah 3 bulan memantau, pasukan pemantau Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa Abtawi sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkannya.

“Sebab dia tahu Ustaz selalu akan melawat pukul 10 pagi dan 4 petang, Abtawi hanya masuk kerja hampir-hampir dengan dua waktu itu dan menunjukkan dia membuat kerja. Semua projeknya dijalankan tanpa ada apa-apa pelan tindakan dan jadual,” kata ketua pemantau rahsia Ustaz Ibrahim.

Ustaz Ibrahim masih was-was mendengar laporan itu. Beliau ingin meninjau diri sendiri.

Besok harinya, Ustaz Ibrahim menukar masa melawat ke 9 pagi.

Setiba di tapak projek, Abtawi tiada di sana. Ustaz Ibrahim menemubual beberapa pekerja di sana.

“Dia hanya datang 2 jam sahaja sehari untuk menunggu kedatangan Ustaz. Kami cuma buat ikut pengetahuan kami. Tak pasti bila nak siap, bahan apa yang nak digunakan. Biasanya bahan yang diperlukan tak dibeli, katanya duit projek tak cukup,” kata seorang pekerja Abtawi.

Ustaz Ibrahim sedih dan terus meninggalkan tapak kerja itu sebelum kehadiran Abtawi. Beliau memberitahu pekerja-pekerja Abtawi jangan memberitahu bahawa beliau pernah datang.

Abtawi yang tiba di pukul 10 pg cemas menunggu untuk sejam kerana Ustaz Ibrahim tidak hadir. Kerana bimbang apa-apa terjadi pada Ustaz Ibrahim, Abtawi terus ke pejabat Ustaz Ibrahim untuk mencarinya.

Apabila Abtawi memasuki pintunya, Ustaz Ibrahim senyum – “Maaf tak sempat pergi hari ini.”

“Ustaz ada apa-apa ke? Sakit ke?” tanya Abtawi.

“Tak. Cuma hati tak sedap sikit. Projek bagaimana, boleh siap minggu depan?” tanya Ustaz Ibrahim.

Abtawi senyap seketika.

“Saya tak tahu mengapa malang sangat nasib saya dan Allah melayan saya sedemikian. Semua projek saya ada masalah. Projek ini, maaf Ustaz, saya dah cuba, tapi masih gagal disiapkan mengikut jadual,” terang Abtawi.

Memandang pada Abtawi, Ustaz Ibrahim bertanya pada dia, apakah beliau sedar Allah sedang melihat setiap perbuatan manusia di bumi ini?

Abtawi terdiam seketika.

“Saya sangat kecewa hari ini. Sebenarnya saya tak nak pergi tapak projek hari ini adalah untuk mengurangkan dosa kamu supaya kamu kurang menipu untuk sehari. Nampaknya tidak berjaya.

Ungkapan redha dengan ketentuan dan takdir Allah biasanya hanya digunakan untuk mengubati jiwa mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus sedaya upaya untuk mencapai sesuatu tetapi gagal. Tapi ramai yang salahgunakan ungkapan ini. Jangan samakan kelemahan mengurus dengan takdir Allah. Jangan menghina Allah berkata kegagalanmu adalah takdirnya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

"Kamu tak layak berkata kegagalan projek dan membazirkan wang kampung ini ketentuan Allah tatkala kamu bekerja sambil lewa selama ini. Yang kamu bersungguh-sungguh selama ini hanya menipu saya yang mempercayai kamu telah bekerja sedaya upaya untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

"Tahu tak mengapa kamu dapat menipu saya? Kerana saya mempercayai kamu – sebab sayalah yang mendidik kamu sejak kecil. Rupanya saya silap, sangat silap,” kata Ustaz Ibrahim.

Abtawi terkedu dan tidak berkata apa-apa. Sejak itu, Abtawi berhenti menjadi malas dan mula bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawab kepadanya.

Senyum.