Isnin, 4 Mac 2013

Mencari negara impian

Mencari negara impian

Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff, 04 Mac 2013
Setiap detik tanpa disedari, kita sebenarnya hidup dalam impian khusus dan tersendiri sama ada sekadar datang di kotak pemikiran kemudian berlalu pergi atau harapan tersebut diterjemahkan secara realistik melalui tindakan yang konstruktif. Mungkin salah satu impian murni itu termasuklah keinginan untuk melihat negara tercinta, Malaysia berada di landasan negara suci bersyariat, dipayungi barisan saf pemimpin beramanah yang sentiasa bahu-membahu dengan sekalian rakyat jelata ke arah cita-cita memenangi wawasan duniawi selain memiliki kejayaan ukhrawi. Impian ini sentiasa hidup, subur dalam hati nurani warganegara malaysia. Sejarah serta nostalgia, andai dibuka lipatan khazanahnya satu per satu, tentu sekali akan memaparkan kisah agung sewaktu kegemilangan Rasulullah SAW menyebarkan kalimah tauhid di kota tamadun umat Islam, Madinah al-Munawwarah. Di situlah, lahirnya bumi subur untuk tanaman dan ternakan, ditunjangi oleh akidah rakyatnya yang kental. Khalifah-khalifah sejati pun telah mewarnai rekod unggul kepimpinan Islam sehingga memberi contoh terbaik kepada manusia sejagat. Mereka mentadbir menggunakan sifat amanah dan timbang tara keadilan.

Dalam konteks ini, sifat amanah dan keadilan dibicarakan sangat jelas dalam kalam suci al-Quran. Firman Allah SWT, surah an-Nisa ayat-58 yang bermaksud:

“Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil. Sesungguhnya, Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar, lagi sentiasa melihat.”


Hakikatnya, kekuatan sesebuah negara bukan semata-mata tergambar kepada hasil-mahsul yang dimiliki atau sejauh mana wilayah taklukan tetapi lebih penting ditandai oleh kefahaman warganegaranya terhadap falsafah tauhid, serta memahami tugas besar selaku khalifah Allah di muka bumi dalam misi siginifikan memartabatkan ad-din.

Menurut Dr Hamka dalam Tafsir al-Azhar, asbabun nuzul bagi ayat tersebut mempunyai kaitan amat rapat dengan peristiwa penerimaan kunci Kaabah daripada Uthman ibn Talhah kepada Rasulullah SAW. Simbolik penerimaan itu merupakan sifat amanah, prinsip keadilan, dan ciri luhur seorang pemimpin. Latar belakang yang sama ditafsirkan oleh para mufassirin yang lain. Oleh itu, perspektif adil tidak patut dilihat pada sudut yang kecil malahan merangkumi kesemua aspek daripada sebesar-besar kehidupan bernegara sehinggalah ibadah harian.

Asbabun nuzul yang serupa dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya iaitu Tafsir al-Quran al-Azim. Ibnu Kathir menambah bahawa Rasulullah SAW selepas itu memasuki Baitullah sewaktu Fathu Makkah dan membaca ayat, “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” Sejurus itu, Rasulullah SAW menyerahkan kunci Kaabah kepada Uthman ibn Talhah kembali. Bagi ayat “... dan apabila kamu menetapkan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menetapkan hukum dengan adil ...,” Muhammad bin Ka’ab, Zaid bin Aslam, dan Syahr bin Hausyab menyatakan, “Sesungguhnya ayat ini diturunkan untuk para umarak iaitu para pemutus hukum antara manusia.”

Bertepatan dengan surah an-Nisa ayat 58 ini, maka sewajarnya seluruh umat Islam mengambil pengajaran dan iktibar tentang realiti politik semasa, mencontohi sikap yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW semasa memimpin ummah. Rakyat yang celik siasah pasti mempengaruhi tata cara bernegara. Akhlak mulia  mengatasi politik ketakutan (politics of fear) termasuk sindrom penafian (denial syndrome). Bagi membentuk negara yang berdaya saing tetapi mematuhi akar keimanan dan hukum Allah SWT, pasak kepimpinan sendiri perlu utuh mengimani dan meyakini ayat-ayat al-Quran dan melaksanakannya dengan sedaya hati.

Secara sosiologi, hal ini melibatkan pilihan rakyat terhadap corak pemerintahan yang ingin dibina dalam negara. Rakyat keseluruhan perlu memahami jenis kerajaan bakal dibentuk melalui sistem yang dirangka dan diguna pakai dalam sesebuah negara. Di Malaysia, sejak pascamerdeka, sistem demokrasi berparlimen dilaksanakan untuk memilih tonggak kepimpinan atau kerajaan dalam tempoh lima tahun. Melalui wadah berikut, rakyat yang bijaksana sentiasa mengikuti perkembangan isu-isu paling berpengaruh bagi landskap politik terkini tanpa emosi berlebihan ataupun menolak semangat partisan melampau sebelum memutuskan suatu pilihan terbaik untuk masa depan generasi mendatang Malaysia.

Secara langsung, rakyat perlu diterapkan dengan pemikiran sihat dan budaya politik matang supaya mereka faham tentang keperluan menuntut kerajaan adil dan saksama di negara ini. Kefahaman terhadap sesuatu perkara amat diperlukan agar pertimbangan dapat terlaksana mengikut lunas-lunas syariat. Sekiranya masyarakat diterapkan dengan konsep siasah syar’iyyah dan kesan-kesan kebaikan melaluinya, sudah pasti komuniti akan lebih cakna serta prihatin mengenai peristiwa yang berlaku di sekeliling, dasar yang digubal, malah model politik negara. Siasah syar’iyyah menurut Ibnu ‘Aqil merupakan apa-apa sahaja tindakan pemerintah yang membawa manusia kepada kebaikan dan menjauhkan keburukan walaupun tidak ditetapkan oleh Rasulullah SAW atau tidak terkandung dalam wahyu. Segala nilai makruf yang dibawa harus disokong dan diberikan penilaian sewajarnya.

Analogi Imam al-Ghazali selaku hujjatul Islam yang masyhur tentang siasah syar’iyyah amat menarik dan membawa kepada persoalan besar untuk didiskusikan secara akademik. Imam al-Ghazali merujuk syariat kepada dasar atau asal sesuatu perkara manakala kerajaan itu sebagai pengawal atau penjaga. Secara implisitnya, sesuatu yang tidak mempunyai dasar, pasti akan runtuh dan sesuatu yang tidak ada pengawal, pasti mudah hilang. Masyarakat perlu bertanya, apakah kerajaan telah berfungsi sebagai pengawal dan penjaga? Apakah negara tercinta ini sudah miliki dasar kukuh yang menegakkan kalimah tauhid?

Pertanyaan-pertanyaan seperti ini membuka ruang intelektual dalam kalangan rakyat apabila mereka mula tahu untuk membezakan kerajaan yang adil dan sebaliknya. Setiap Mukmin yang kental mesti berusaha untuk menentukan pemimpin yang mengamalkan pentadbiran berkesan dan berwibawa (good governance) melalui proses maqasid syariah. Tujuan paling utama adalah untuk memastikan keselamatan masyarakat dari semua aspek seperti nyawa, akal, agama, kehormatan diri, dan harta-benda. Rakyat tidak boleh sekali-kali berada dalam zon selesa atau galak mencanangkan kegemilangan silam tetapi secara mendasar perlu menapis ideologi, persepsi, dan mentaliti mengikut sukatan syariah. Anak-anak muda perlu cega dengan permasalahan sosial yang berleluasa seperti jenayah, hedonisme, atau lebih bejat penyakit akidah.

Contoh terbaik yang mesti diteladani oleh warganegara Malaysia pastinya gerakan pemuda Ashabul Kahfi yang memilih dengan iman bukannya perasaan, melawan dengan tauhid bukan sewenang-wenangnya bertaklid. Dikisahkan tujuh orang pemuda yang tumbuh sebagai belia beriman, mempertahankan akidah serta akhlak daripada dirosakkan oleh Dikyanus, pemerintah zalim. Mereka melarikan diri ke gua sambil melontarkan prinsip yang jitu seperti dinyatakan dalam al-Quran, maksudnya:

“... dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu mereka berdiri lalu berkata: Rabb kami ialah Rabb langit dan bumi, kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain-Nya, jika kami menyembah selain daripada-Nya Nya bererti kami telah mengatakan penyelewengan yang sangat jauh’ ....” (Surah al-Kahfi : ayat 13)


Inilah falsafah unggul yang diwahyukan oleh Allah SWT khususnya untuk para pemuda supaya bangkit mempertahankan hak dan konsisten menentang kebatilan. Allah SWT menunjukkan kekuatan rohaniah yang dimiliki oleh gerakan Ashabul Kahfi sebagai manifestasi pentingnya masyarakat untuk berada di hadapan bagi membuat pilihan setepat mungkin. Di Malaysia, natijah kepada pilihan tersebut dijelmakan melalui polisi-polisi dalam ekonomi, pendidikan, dan kebajikan rakyat. Sesudah lima dekad merdeka, penilaian perlu dibuat segera sama ada roh Islam benar-benar disuburkan atau masih tenggelam bersama-sama retorik indah yang dilaung-laung untuk pihak tertentu. Ruang demokrasi mesti digunakan setulus-tulusnya oleh kita semua, rakyat Malaysia bagi meletakkan indikator kemajuan selari dengan barisan kepimpinan berintegriti.

Seterusnya, rakyat perlu menilai tentang kebajikan rakyat yang diamanahkan kepada pemimpin negara. Kita tidak mahu jurang antara rakyat terlalu besar malah menguntungkan para kapitalis sehingga ekonomi masyarakat miskin terus-menerus didaifkan tetapi dalam masa yang sama pemilik syarikat besar mengutip harta kekayaan. Indeks rasuah meningkat, integriti pemimpin sering dipersoalkan, sosial kacau-bilau, dan kemajuan pendidikan juga merosot merupakan sejumlah petanda kepada rakyat supaya berfikir tentang masa depan yang lebih baik. Rakyat miskin perlu diberikan perhatian sewajarnya supaya negara kekal aman dan tidak ditimpa musibah akibat perbuatan sendiri sebagaimana yang pernah dinukil oleh pemikir besar, Raja Ali Haji dalam Syair Nasihat:

Kehidupan rakyat janganlah lupa
Fakir, miskin, hina, dan papa
Jangan sekali tuan nan alpa
Akhirnya bala datang menerpa.

Walau bagaimanapun, untuk melakukan sesuatu keputusan, tindakan tidak boleh dibuat berdasarkan emosi dan kecenderungan tertentu. Dalam hal ini, rakyat perlu menyelami mutiara-mutiara naqli yang dititipkan melalui mukjizat agung dan wahyu unggul iaitu al-Quran. Hal ini sesuai dengan sifat al-Quran yang syumul, merentasi semua tempat dan zaman. Di sinilah keperluan rakyat untuk mengakrabi kandungan sucinya, belajar berhujah secara matang berdasarkan dalil dan nas. Jika fenomena ini tidak berlaku, sudah tentu umat Islam tidak akan proaktif dan sering dipandang rendah oleh para orientalis. Padahal seawal wahyu pertama lagi, Islam mengajar manusia dengan falsafah ilmu yang cukup besar - Iqra’.

Dasar ilmu dan metodologinya mesti menyerap ke dalam jiwa supaya pilihan terbaik dalam semua aspek seperti politik, ekonomi, dan sosial dilaksanakan dengan berkesan. Budaya membaca dan meneroka ilmu patut menjadi prioriti supaya masyarakat tidak terus terkebelakang diserapi racun modenisasi ciptaan Barat. Sejarah pada 300 Masihi menjelaskan segala-galanya tatkala runtuhnya jagat intelektual di Mesir apabila Perpustakaan Iskandariah dibakar oleh Julius Caesar sehingga inti pengetahuan dan peradaban bertukar wajah. Umat Islam hilang identiti, susut akhlak, malah lebih menyedihkan apabila politik Islam menjadi lemah. Penyelesaiannya, kerangka al-Quran merupakan nadi yang bakal menghidupkan kelangsungan hayat sesebuah negara termasuk Malaysia kerana berfungsi sebagai tunjang dan dustur umat. Isi kandungannya telah melewati segenap penjuru kehidupan merangkumi cara hidup bernegara, disokong oleh hadis dan pandangan ulama. Rakyat yang dekat dirinya dengan al-Quran bertindak sebagai modal insan dalam negara, mengemudi tenaga kerja dengan efektif di samping memberi pendapat mengikut hujah-hujah al-Quran yang komprehensif.

Syed Qutb dalam adikaryanya Ma’alim fit Thariq menyarankan masyarakat agar membentuk generasi Qurani bagi mengembalikan kejayaan umat pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat. Generasi Qurani yang unik inilah merupakan senjata paling ampuh dan selayaknya ditempatkan sebagai pengemudi negara tanpa rasa syak wasangka lagi. Syed Qutb menyebut bahawa mereka dapat diapungkan ideanya kerana menjadikan al-Quran sebagai pedoman hidup, panduan kehidupan, dan penanda aras paling besar dalam hayat mereka. Kini, tidak dapat dinafikan lagi betapa realiti di Malaysia sangat membimbangkan terutamanya apabila golongan yang mengalirkan ideologi mengelirukan kian menyusup masuk tanpa segan-silu.

Faham asing dari Barat yang membenci Islam dibiarkan menular dalam kalangan umat Islam sehingga mencabar kepimpinan Islam. Maka, setiap individu Mukmin perlu bertindak sebagai daie yang menyebarkan ayat-ayat al-Quran kepada kelompoknya sehingga hidayat al-Din atau hidayat Ilahi tersebar luas di pelosok alam. Untuk mendekatkan diri kepada al-Quran, umat Islam perlu membenarkan pengertian al-Quran sebagaimana takrifnya, mematuhi suruhan al-Quran dan meninggalkan tegahannya, memahami dan mengenali isi kandungan, menghayati dan menyebarkan ajarannya, memelihara kesucian dan mempertahan kemuliaan al-Quran, dan terakhir, membaca ayat-ayatnya sebagai ibadah kepada Ilahi selain membenarkan seluruh kandungannya. Semua pihak di Malaysia perlu tampil ke hadapan mengoptimumkan pembudayaan al-Quran supaya tertegaknya kekuatan ummah dan mampu menepis cemuhan terhadap Islam menggunakan ayat suci al-Quran.

Tanpa persoalan lagi, seluruh rakyat perlu kembali kepada ajaran al-Quran. Di tangan rakyat Malaysia sendiri, terletaknya pilihan sama ada untuk melihat dan menghayati generasi baharu yang tumbuh dengan teras agama atau tumbuh subur bersama-sama pendidikan seimbang dari segi material dan spiritual. Demokrasi unggul tidak boleh dijadikan sebagai cogan kata yang dicanang-canangkan secara keterlaluan sedangkan masalah semakin serius, namun dapat dijadikan alat yang berfungsi sebagai medium untuk masyarakat memilih apa yang terbaik untuk diri mereka sendiri. Masa depan yang terjamin, akidah yang suci, dan taraf kehidupan lebih teratur amat diimpi-impikan oleh semua rakyat Malaysia. Masyarakat yang datang daripada pelbagai lapisan termasuk ilmuwan, guru, penjawat awam, polis, tentera, peniaga kecil serta besar, mahasiswa, dan lain-lain bangkit membina ketetapan: mahukan keadilan buat semua! Dari desa ke bandar, masyarakat menjadi celik siasah. Mereka kini memahami erti amanah dan makna keadilan, secara serius mengetahui betapa perlunya kita kembali dipimpin oleh nur al-Quran. Tidur atau jaga, bangkit atau lena, rehat atau bekerja, segala-galanya kini terpusat kepada kekuatan pimpinan yang saksama melalui pilihan-pilihan terbaik yang akan diputuskan oleh kita semua.

Kesimpulannya, masalah umat Islam bukanlah terletak kepada kekurangan komoditi atau kemahiran tenaga kerja tetapi banyak diruntuhkan oleh insan-insan haloba dan tidak memahami gagasan besar dalam Surah an-Nisa ayat 58 kerana mereka diberikan amanah tetapi tidak menyempurnakannya, apabila menetapkan hukum, mereka tidak berlaku adil terhadapnya. Oleh itu, rakyat mesti berusaha mencari kebenaran dan menegakkan keadilan sosial berdasarkan pola politik mengikut syariat selain meniti landasan al-Quran. Ternyata, kehidupan ini amat sementara; pemimpin negara datang dan pergi, generasi lahir dan tersebar, namun akhirnya kebenaran Islam tetap unggul di persada. Benarlah firman Allah SWT dalam, maksudnya:

“Maha Suci Allah yang di tangan-Nyalah segala kerajaan dan Dia Maha Kuasa atas segala sesuatu. Yang menjadikan mati dan hidup supaya Dia menguji sesiapa antara kamu yang lebih baik amalannya dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Mulk : ayat 1-2)


Semoga impian untuk menghidupkan baldatun toyyibatun wa rabbun ghafur, negara yang aman, makmur, serta mendapat keampunan Allah SWT dapat direalisasikan dan terus subur di hati manusia bergelar Mukmin.

* Nik Azri bin Nik Mohamed Arriff berasal dari Kampung Raja, Terengganu. Nik Azri kini belajar di Institut Pendidikan Guru, Kampus Kota Bharu.

Penjelasan oleh Lokman Noor Bin Adam (UMNU)


  • Erinns Closet · Tutor di Tutor
    MALAYSIAKINI TAK IKHLAS KELUAR KENYATAAN SEBENAR.CUMA KELUAR KENYATAAN PENGAKUAN TP TAK BERANI KELUAR HURAIAN LOKMAN:

    Ikuti penerangan eksklusif daripada Lokman Noor Bin Adam yang dituduh oleh pihak pembangkang terlibat dalam pencerobohan askar "Kesultanan Sulu" di Sabah:

    Saya terpanggil untuk menjawab tuduhan bodoh yang dilemparkan oleh puak pembangkang yang mengatakan saya menasihati Sultan Palsu yang menyerang negara kita hari ini.

    Tohmahan ini ternyata langkah terdesak Anwar Ibrahim yang gelabah kerana pertemuan beliau dengan Nur Misuari dan pertemuan Jeffry Kitingan dengan Raja Muda Sulu Palsu terbongkar.

    Izinkan saya menceritakan serba ringkas tentang hubungan Malaysia dengan Kesultanan Sulu yang sebenar, sebelum kita terus dikelirukan oleh pembangkang.

    Sabah atau dulunya dikenali sebagai North Borneo merupakan sekeping tanah yang dimiliki oleh Sultan Brunei. Ianya telah dihadiahkan kepada Sultan Sulu yang telah membantu Brunei dalam perperangan. Peringkat awal, North Borneo telah di panjakkan oleh Sultan Sulu kepada Baron Von Overback. Overback kemudiannya telah berkerjasama dengan Alferd Dent untuk menubuhkan North Borneo Company.

    Malangnya, bila mereka mengenakan cukai kepala, penduduk North Borneo telah bangkit menentang. Ketika inilah tentera British telah diundang untuk melindungi mereka.

    Sekitar tahun 1959, Tun Datu Mustapa telah ke Sulu untuk menyelamatkan Sultan Julaspi Kiram yang ketika itu diancam bunuh oleh kerabatnya sendiri kerana perebutan tahta. Peringkat awal, Sultan Julaspi telah menetap di Sabah, sebelum kerajaan Malaysia memberikan beliau sebuah rumah di Lorong Maaruf Bangsar. Pada tahun 1963, Sultan Julaspilah orang yang bertanggungjawab membuat kenyataan menyokong Sabah menyertai Malaysia dan ianya terbit di muka depan akhbar Malaysia dengan tajuk "Sultan Sulu Restu Sabah Sertai Malaysia".

    Ini bererti Sabah secara automatik menjadi sebahagian dari Malaysia, sebuah negara yang berdaulat dan tidak lagi boleh dituntut oleh mana-mana pihak. Malangnya, setika Sultan Julaspi berada di Malaysia, muncul beberapa orang "imposter" Kiram yang menabalkan diri mereka sebagai Sultan Sulu yang baru. Mereka inilah yang dihasut oleh pihak pembangkang untuk menceroboh Sabah.

    Saya akui, saya pernah dilantik oleh Sultan Sulu yang sebenar, iaitu Sultan Roodinood, Anak kepada Sultan Julaspi Kiram sebagai Penasihat beliau sekitar tahun 2005 untuk berurusan dengan Kerajaan Malaysia berhubung kebajikan mereka. Saya juga akui pernah mencetak kad nama jawatan tersebut bagi urusan rasmi dengan Kerajaan Malaysia. Untuk pengesahan pekara ini, anda boleh merujuk kepada Menteri Luar ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar.

    Ketika pertemuan saya dengan Tan Sri Syed Hamid Albar sekitar tahun 2006 menceritakan tentang kesusahan kerabat Sultan Sulu ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar telah menasihatkan saya untuk menyertai UMNO semula. Inilah antara punca saya menyertai UMNO pada tahun 2007. Sejak 2006 saya memang tak pernah jumpa Sultan Roodinood Julaspi Kiram dan saya tak pernah dibayar elaun untuk tugas sukarela yang saya buat untuk beliau. Sepanjang tempoh saya mengenali beliau, beliau tinggal di Manila dan bukan di Sulu tempat Sultan Palsu yang menyerang negara kita.

    Apa yang rakyat perlu tahu hari ini ialah, baik Sultan Sebenar atau Sultan Palsu, semuanya tak berduit untuk menghantar beratus orang penceroboh memasuki Sabah, membeli M16, pelancar roket dan beli bot laju dan sebagainya. Bagaimana secara tiba-tiba menjelang pilihanraya dan selepas pertemuan Anwar Ibrahim dengan Nur Misuari serta pertemuan Jefrry Kitingan dengan Raja Muda Sulu Palsu, pihak Kesultanan Sulu Palsu ini mampu membentuk sebuah pasukan tentera sedangkan dulunya mereka beli uniformpun tidak mampu.

    Lokman Noor Bin Adam
    4hb Mac, 2013

Kesultanan Sulu: FACEBOOK: "PHILIPPINE SABAH CLAIM FORUM" AMBIL KES...

Kesultanan Sulu: FACEBOOK: "PHILIPPINE SABAH CLAIM FORUM" AMBIL KES...: ISU TUNTUTAN SABAH DAN SSDI (Sultanate of Sulu Darul Islam) Siapakah dari kalangan orang Filipina yang tergamak "menuntut Sabah"...

cakap siapa curik lauk kat meja????


'Semuanya salah Anwar'

'Semuanya salah Anwar'

Misuari dakwa 'mereka ke Sabah selepas janji Najib'

Misuari dakwa 'mereka ke Sabah selepas janji Najib'

Ceroboh Sabah: Dewan Ulamak gesa solat hajat

Ceroboh Sabah: Dewan Ulamak gesa solat hajat

Jangan fikir jawatan PM, TPM - TG Abdul Hadi

Jangan fikir jawatan PM, TPM - TG Abdul Hadi

Jom ke sini :

Kantoi: Pemimpin utama Sulu hadir Perhimpunan Agung Umno 2012?

Kantoi: Pemimpin utama Sulu hadir Perhimpunan Agung Umno 2012?