Sabtu, 15 Jun 2013

Umno akan jual bangsa Melayu untuk kekal kuasa


Datuk Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz, 15 Jun 2013

Hanya orang UMNO sahaja yang boleh memegang dua fikiran yang bercanggah pada masa yang sama. Hanya Najib saja yang boleh bercakap mengenai 1Malaysia dan bukan 1Malaysia ketika yang lain. Pada malam keputusan PRU, dengan muka yang bera, dia menyalahkan bangsa Cina kerana tidak menyokong UMNO. Siapa nak sokong parti yang pemimpinnya semua korup dan rasuah?

Hanya UMNO boleh bercakap mengenai perpaduan orang Melayu, tapi mendiskriminasi Melayu yang tidak menyokong mereka. Ketua kampung UMNO (pengerusi JKKK) bercakap besar mengenai menolong orang Melayu, tapi menyekat bantuan kepada Melayu yang tidak menyokong mereka. Hanya pemimpin UMNO yang malas pergi masjid dan surau, tapi menyekat Melayu lain menyemarakkan masjid dan surau.

Hanya pemimpin UMNO sahaja yang bercakap mengenai memberi tanah kepada orang Melayu tapi menyekat pemberian kepada Melayu yang tidak menyokong nya. Di Raub ada ribuan orang Melayu yang hidup atas tanah lebih dari 40 tahun, masih tidak mendapat hakmilik. Pemimpin dan penyokong UMNO mempunyai tanah di serata tempat.

Jadi, kepentingan yang UMNO jaga dan kukuhkan ialah bukan kepentingan Melayu keseluruhan nya tapi kepentingan kelompok dan puak mereka. Maka apa perlu orang Melayu menyokong UMNO?

Yang kita kena sokong ialah penubuhan sebuah kerajaan yang memerintah dengan tegas dan menjaga kepentingan masyarakat keseluruhan nya. Jika Melayu itu sudah majoriti, tidak dapat tidak, kepentingan Melayu lah yang diutamakan. Memahami ini tidak memerlukan ilmu hisab yang tinggi. Hanya orang UMNO sahaja yang menganggap orang Melayu di kampung-kampung bodoh dan hanya pemimpin UMNO sahaja yang menggelarkan orang Melayu lain haramjadah.

Orang UMNO memang tak tahu malu. Lebih ramai orang Melayu menyokong PR dari UMNO, pemimpin UMNO masih tidak faham-faham. Calon-calon UMNO, yang menang dan kalah mendapat 3.2 juta undi. Ada faham? 3.2 juta ini adalah undi keseluruhan kepada semua calon-calon UMNO.

Dari 3.2 juta undi ini, bukan semua yang mengundi terdiri dari orang Melayu. Cina dan India ada juga menyokong UMNO. Sekitar 10%. Ertinya, orang Melayu yang menyokong calon-calon UMNO secara lansung ialah 2.9 juta. Tak tahulah saya hendak ajar kalau tidak faham ilmu hisab mudah ini.

Jumlah ahli UMNO pun lebih banyak dari itu. Jika semua ahli UMNO menyokong calon UMNO dan semua calun BN, 3.2 juta penyokong mesti tidak dapat tidak ada 3.2 juta angka asas. Ahli UMNO pun tidak menyokong UMNO.

Faktanya ialah adalah menjadi kerugian besar jika orang Melayu memilih UMNO untuk menjaga kepentingan mereka. Wakil UMNO pemalas dan penipu. Saya amat senang hati mendedahkan mutu kerja wakil UMNO di Raub misalnya. Tunggulah.

Kerja membalun UMNO ini tidak akan selesai sehingga mereka bukan lagi kerajaan. Selagi UMNO menghalang kejayaan bangsa Melayu, kita mesti bantai mereka. kita tidak boleh terima keangkuhan UMNO mengaku bahawa mereka wakil tunggal kepentingan Melayu. Kepentingan orang Melayu ialah mendapatkan keperkasaan ekonomi dan perkongsian kuasa. Kepentingan ini bertentangan dengan kepentingan feudal UMNO.

Ya , UMNO itu parti bersifat feudal. UMNO distrukturkan supaya sekumpulan kecil yang terpilih menungang di atas belakang rakyat yang diperhamba abdikan. Kepentingan UMNO ialah membolot kekayaan dan memusatkan kuasa dalam tangan elit. Kepentingan bangsa Melayu berlawanan dengan kepentingan UMNO. Pertentangan ini menyebabkan orang Melayu tidak lagi boleh menerima kepimpinan UMNO.

Dalam kawasan yang tidak ditandingi oleh calon UMNO, orang Melayu tetap ada menyokong parti BN. Kita akui ini. Tapi berapa ramai sangatlah orang Melayu yang menyokong mereka. Dari 899,000 undi yang diperolehi oleh calon MCA (menang dan kalah) berapa ramai Melayu yang menyokong mereka? Katalah 20% Melayu menyokong calonn MCA. Baru ada sekitar 180,000 orang. Melayu yang menyokong MIC? 10% dari 292,000 ialah kira-kira-kira 29,000. Melayu yang menyokong PBB di Sarawak? 40% dari 232,000=91,000.

Wal hasil balik asal, jumlah orang Melayu yang menyokong UMNO secara langsung dan tidak langsung (melalui sekutu-sekutu BN) ialah 3.2 juta.  3.2 juta sama jumlahnya dengan jumlah ahli UMNO. Jadi apalah yang hendak dibanggakan oleh UMNO.

Setelah belanja berbilion ringgit dan setelah menyogok dan merasuah orang Melayu terutamanya, dari 2.2 juta undi Melayu dalam tahun 2008, UMNO hanya dapat menambahkan 1 juta sahaja pengundi Melayu.

Ringkasan keputusan PRU13- data terpilih.
PARTI
UNDI(JUTA)
% UNDI
KERUSI
%KERUSI
BARISAN NASIONAL
5.24
47.4
133
59.9
UMNO
3.24
29.32
88
39.64
PUBB
0.23
2.10
14
6.31
MCA
0.89
8.14
7
3.15
PRS(swak)
0.06
0.54
6
2.7
MIC
0.29
2.64
4
1.8
Pakatan Rakyat
5.62
50.88
89
40.09
DAP
1.74
15.71
38
17.12
PKR
2.25
20.39
30
13.5
PAS
1.63
14.77
21
9.46
TOTAL
11.27
100
222
100
Sumber: SPR

Kalau MIC, PBB dan yang lain-lain tinggalkan UMNO, UMNO akan mati. Penyokong UMNO faham signifikans perkara ini tidak? Ini akan menyebabkan Najib akan melakukan apa sahaja untuk menjual harga dirinya untuk memastikan UMNO kekal sebagai kerajaan. Ini termasuklah menggadaikan kepentingan bangsa Melayu. Apa dia peduli? Selagi dia terus kekal jadi PM.

Marilah bangsa Melayu sedar bahawa masa depan mereka bukanlah bergantung pada UMNO. UMNO kojol pun, bangsa Melayu tetap hidup. UMNO perlukan bangsa Melayu, bukan bangsa Melayu perlukan UMNO. - http://sakmongkol.blogspot.com

Tulisan di atas dipetik daripada blog penulis. Beliau ialah Ahli Parlimen Raub.

Pendidikan bukan untuk lahirkan robot pintar


Hazayani Zakaria, 15 Jun 2013
SHAH ALAM: Matlamat pendidikan bukan sekadar melahirkan 'robot pintar' sebaliknya pendidikan berperanan 'memanusiakan manusia'.

Bagi mencapai matlamat ini, pendidikan seharusnya menjadikan cinta sebagai asas kerana cinta diyakini mampu memberikan kekuatan kepada manusia untuk saling memberi.

Seperti mutiara kata dari cendiakawan Hamka, 'Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan'.

Itu antara intipati Forum Pedagogi Pendidikan Cinta anjuran sukarelawan Teach For The Needs (TFTN) yang diadakan di Kompleks Karangkraf, dekat sini malam tadi.

Pedagogi merujuk kepada kaedah pengajaran dan TFTN cuba membawakan kaedah pengajaran baru yang berasaskan cinta kerana yakin hanya pendidikan cinta mampu melahirkan masyarakat yang seimbang dari segi akademik dan nilai-nilai kemanusiaan.

Forum malam tadi menampilkan tiga panelis iaitu pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik, yang juga aktivis masyarakat, Pakar Perunding Obstetriks & Ginekologi, Dr Harlina Siraj yang juga pendakwah bebas dan penulis buku best seller 'Aku Terima Nikahnya' Hasrizal Jamil yang juga penceramah bebas manakala moderatornya ialah pengarah eksekutif TFTN, Anas Alam Faizli.

Gabungan mantap panelis berpengalaman dan dikenali ramai itu menghidupkan perbincangan seputar pendidikan cinta hampir dua jam beserta sesi soal jawab daripada hadirin.

Panelis turut menekankan, pendidikan cinta mampu menyelesaikan masalah penindasan sesama manusia, meningkatkan tahap keyakinan diri sendiri dan sikap cintakan ilmu pengetahuan.

Ustaz Hasrizal menekankan, sikap ibu bapa yang terlalu mahukan anak-anak mereka cemerlang dalam pelajaran akhirnya melahirkan robot yang tiada roh kemanusiaan.

"Apabila kita hilang sifat kemanusiaan kita akan jadi robot, pendidikan cinta adalah untuk memanusia kembali manusia.

"Pedagogi pendidikan cinta bergantung kepada bagaimana kita memandang manusia lain di sekeliling," katanya yang juga dikenali dengan nama Saiful Islam.

Dr Harlina pula menegaskan, pendidikan bukan hanya bergantung kepada berapa 'A' yang diperoleh dalam peperiksaan tetapi harus menekankan lima aspek iaitu akidah, akhlak, aqliah, jasmaniah dan insaniah.

Pendidik pula katanya, harus mempunyai sifat ikhlas mengajar untuk belajar, bukan sekadar untuk memberitahu.

"Guru yang bagus ialah guru yang mampu mencetuskan inspirasi kepada pelajar-pelajarnya.

"Guru yang bersemangat mengajar sebenarnya punyai sifat ingin belajar dan sebenarnya dia lebih banyak belajar sewaktu dia mengajar," katanya.

Dr Maszlee pula berpandangan, pendidikan hari ini terlalu dikomersilkan sehingga melahirkan pelajar yang meminta-minta pekerjaan.

"Sistem pendidikan sekarang yang dirosakkan oleh politik dan komersil melemahkan pelajar sehingga melahirkan graduan yang meminta-minta pekerjaan, bukan mencipta peluang pekerjaan," katanya.