Rabu, 5 Jun 2013

Memahami asas perjuangan PAS


Iskandar Abdul Samad, 05 Jun 2013
Ustaz Haji Hassan Shukri kerap menerangkan di dalam ceramah atau kuliah beliau bahawa PAS juga merangkumi sebuah gerakan dakwah, gerakan massa dan gerakan kebajikan. Di dalam buku “Ke Arah Memahami Perlembagaan PAS” (Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor - 2002), beliau telah menegaskan bahawa;

“Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia. PAS bukan ditubuhkan kerana didorong oleh tuntutan politik tanah air. PAS bukan ditubuhkan kerana tidak puas hati dengan kepincangan yang berlaku di dalam Umno. PAS juga bukan ditubuhkan kerana kehendak individu pemimpin tertentu.”

“PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulama dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan akidah serta kebajikan umat Islam.”


“Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan. Menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” (Surah Ali-Imran : ayat 104)

Bagi melaksanakan tanggungjawab ini, golongan yang peka dan bertanggungjawab ini atau dikenali dengan gerakan Islam atau Harakah Islam tidak boleh hanya bergantung dengan lisan semata-mata (ceramah dan kuliah). Sebaliknya Harakah Islam perlu mendapat "kuasa" bagi memastikan bahawa tuntutan Islam ini dapai dilaksanakan dengan sempurna. Dalam konteks bernegara, "kuasa" yang dimaksudkan ialah "kuasa politik".

Tetapi buku itu menyebut, “PAS tidak menjadikan medan politik sebagai satu wasilah semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam.”

Oleh itu seperti yang dinyatakan lagi oleh Ustaz Hassan;

“PAS bukan sahaja terlibat dengan politik tetapi juga dalam ekonomi, pendidikan, kebajikan, hubungan antarabangsa dan kemasyarakatan.”

Ahli-Ahli Yang Keliru

Ramai yang menyertai PAS setelah berlakunya ledakan Reformasi dalam tahun 1998 dan menganggap PAS semata-mata sebuah parti politik dengan segala gerak kerja ditumpukan kepada pilihan raya dan berhenti setelah berakhirnya pilihan raya.

Mereka tidak boleh persalahkan kerana gelombang rakyat yang berlaku akibat dari pemecatan Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menjana program-program seperti ceramah umum dan demonstrasi jalanan sehingga menggelamkan program-program tarbiyyah “tradisional” seperti kuliah dan usrah.

Semua ini berlaku sama ada kerana Kawasan-Kawasan dan Cawangan-Cawangan adalah terlalu sibuk di dalam menghadapi pilihan raya di mana Barisan Alternatif dijangka berupaya mencapai kemenangan atau oleh sebab “bekalan” ustaz yang tidak mencukupi untuk mengendalikan usrah atau menyampaikan kuliyyah.

Suasana Revolusi Bukan Evolusi

Pertambahan ahli dan Cawangan PAS terutamanya di Lembah Kelang adalah hampir empat hingga enam kali ganda ketika itu. Di Ampang Jaya dalam tahun 1999, pertambahan tersebut adalah lebih lima kali ganda.

Suasana ketika itu adalah amat bergelora dan mungkin hanya sesuai untuk satu “revolusi” dan bukannya untuk “menadah kitab”. Ceramah-ceramah umum walaupun tidak menampilkan pemimpin-pemimpin “lima bintang” ia akan tetap dihadiri oleh ribuan manusia. Di Lembah Kelang, Ampang Jaya dan Gombak menganjurkan ceramah umum hampir setiap minggu. Suasananya cukup “panas” dan adalah hampir mustahil untuk mengumpul ahli-ahli di dalam rumah atau markaz untuk membaca teks-teks usrah. Mereka lebih berminat kepada kerja-kerja praktikal di luar daripada majlis-majlis ilmiah dalaman.

Oleh itu, suasana ketika itu adalah saat yang paling hampir di dalam sejarah negara di mana pertukaran kerajaan boleh berlaku melalui “revolusi” atau di dalam ungkapan para reformis perubahan melalui “jalan raya” bukan “pilihan raya”. Parti Komunis Malaya pimpinan Chin Peng pun tidak pernah mendapat peluang keemasan seperti itu.

Kakitangan kerajaan, mahasiswa, para profesional, para intelek, para karyawan, golongan pekerja dan rakyat secara menyeluruh adalah bersama Barisan Alternatif. Walau bagaimanapun, parti-parti pembangkang menghormati akan undang-undang dan masih yakin kepada sistem pilihan raya di Malaysia. Tetapi Mahathir tidak bergegas meninggalkan Malaysia seperti Marcos meninggalkan Filipina atau Shah Reza Phalavi meninggalkan Iran dan suasana dan gelombang rakyat seperti itu tidak mungkin akan berulang lagi.

Pertunangan Yang Tidak Berakhir Dengan Perkahwinan

Apabila laungan “jalan raya dan bukan pilihan raya” bergema kembali setelah Barisan Alternatif ditipu dan dimalukan selepas pilihanraya 2004, sebenarnya laungan itu telah terlambat. Malah pimpinan Barisan Alternatif ketika itu tidak menunjukkan kesungguhan untuk mencabar kesahihan keputusan pilihan raya umum 2004 apabila perhimpunan raksaksa yang dijadualkan di Padang Merbok. Kuala Lumpur telah dibatalkan tanpa sebarang alasan kukuh.

Jerayawara (roadshow) yang diadakan di seluruh negara, wang ringgit yang dikumpulkan dan nama-nama yang dipungut seolah-olah bagaikan satu pertunangan yang tidak berakhir dengan satu pernikahan.

Cadangan memboikot pilihan raya setelah Barisan Nasional menang besar sememangnya tidak akan “mencederakan” Barisan Nasional tetapi maruah pimpinan dan gagasan Barisan Alternatif telah tercalar akibat kekecohan pembatalan demonstrasi raksasa itu.

Ahli-Ahli Yang Telah Terduduk

Oleh itu, setelah berakhirnya pilihan raya umum 2004, amatlah payah untuk meyakinkan ahli-ahli baru pasca Reformasi untuk sama-sama menghadiri usrah atau kuliah di dalam keadaan ramai yang telah “terduduk” dan patah semangat akibat dari kekalahan yang dialami.

Mungkin jika perhimpunan raksaksa di Padang Merbuk diteruskan dan ramai pimpinan Barisan Alternatif terpaksa menjadi tetamu Seri Paduka Baginda, gelombang rakyat mungkin akan kembali walaupun tidak sehebat tahun 1998-99.

Pada kebanyakan mereka yang kecewa, PAS adalah hanya sekadar sebuah parti politik. Mereka boleh berjaga malam untuk menampal poster atau menggantung bendera untuk tujuh hari berturut-turut tetapi tidak berupaya untuk menghadiri usrah atau kuliah yang sekadar satu jam setengah.

Budaya Masyarakat Melayu

Di dalam hal ini, perlulah kita mengkaji budaya masyarakat Melayu. Salah satu daripada kelebihan orang Melayu adalah apabila mereka dijemput ke kenduri sama ada ke majlis perkahwinan atau majlis tahlil, mereka akan hadir walaupun berlaku ribut atau taufan.

Pada lazimnya, orang Melayu lebih suka hadir di majlis-majlis di mana mereka tidak perlu berbuat apa-apa. Kalau disebut majlis usrah ramai akan lari tetapi kalau dikatakan majlis tahlil mereka akan datang. Tetapi jangan tersilap kerana jika disebut majlis membaca Yaasin sekalipun, ramai juga yang akan menguzurkan diri kerana masih terdapat mereka yang tidak dapat membaca Yaasin selaju Tok Imam yang dijemput!

Maka buat permulaan, anjurkanlah majlis-majlis tahlil untuk ahli-ahli bagi menarik mereka untuk hadir. Tetapi penuhilah majlis-majlis itu dengan pengisian-pengisian yang sama seperti di usrah-usrah.

Satu cara lain untuk memastikan kehadiran ahli-ahli adalah dengan meminta pertolongan dari mereka tetapi permintaan itu hendaklah yang sesuai dengan kemampuan mereka. Contohnya, “Che’ Mat saya dah terlupa nak beli pisang untuk malam ni, tolong belikan dua tiga sisir, jangan tak datang sebab Ustaz Daud nak bawa tahlil”. Ataupun. “Kak Yam, minggu depan kami nak dengar pengalaman Kak Yam melawat Beijing, kami dah tak sabar-sabar nak dengar cerita-cerita Kak Yam jadi jangan tak datang.”

Merubah Imej Atau Prinsip?


Tetapi adalah diharapkan di dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang kepada PAS, janganlah kita terpaksa merubah perkara-perkara yang merupakan dasar kepada PAS.

Ramai ahli-ahli PAS yang kagum dengan transformasi Parti Buruh (Labour Party) di Britain yang telah kalah di dalam empat pilihan raya berturut-turut (1979, 1983, 1987 dan 1992) tetapi telah menang besar di dalam 1997. Mereka mahu PAS mencontohi perubahan imej yang telah berlaku kepada Parti Buruh. Tetapi sebenarnya. Parti Buruh bukan sahaja telah menukar imej mereka!

Parti Buruh telah ditubuhkan pada 27 Februari 1900 pada Kongres Kesatuan Sekerja (Trade Union Congress) di London. Parti ini ditubuhkan untuk menyelaraskan calon-calon pilihan raya yang bertanding mewakili kesatuan-kesatuan sekerja.

Walau bagaimanapun, “New Labour” atau Parti Buruh yang berimej baru telah beberapa kali berbeza pendapat dengan kesatuan-kesatuan sekerja. Terdapat pemimpin kesatuan sekerja yang tidak bersetuju dengan “New Labour” telah bertindak menubuhkan partinya sendiri.

Kerajaan Parti Buruh pimpinan Tony Blair telah juga mengekalkan banyak undang-undang yang menekan kesatuan-kesatuan sekerja. Undang-undang ini telah diperkenalkan oleh Margaret Thatcher ketika Parti Konservatif berkuasa.

Di dalam persidangan tahunan Parti Buruh dalam tahun 1992, ketuanya ketika itu, John Smith, telah mengehadkan hak kesatuan-kesatuan sekerja untuk menentukan calon-calon pilihan raya. Nampaknya parti yang telah ditubuhkan oleh kesatuan sekerja akhirnya telah meminggirkan kesatuan sekerja!

Kita berharap PAS tidak akan mengikut jejak Parti Buruh yang telah melupakan golongan yang mengasaskannya di dalam keghairahan untuk mendapatkan kuasa.

http://www.tarbawi.my



Posting as Mohd Najman Yusoff (Not you?)
 
  • Jawa Kelate · Top Commenter · Universiti al-azhar
    KAHWINKAN ANAK2 PAS DNG ANAK BN.
  • Khairani Rasid · SMK Tun Perak, Jasin
    setuju...sebarkan dakwah Islam spt yg Rasulullah SAW buat..
  • Raja Mohd Shahrim · · Top Commenter · 3,681 subscribers
    PAS boleh berdiri sendiri kerana Islam itu universal diterima oleh semua bangsa dan latarbelakang.. rejim UMNOlah yg menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam pada kaum kamu dinegara ni.. tapi dgn penyertaan PAS dlm PR.. persepsi itu kini tinggal sejarah.. Islam diterima sebagai salah satu agent penyatuan......
  • Pas Jeli Kelantan · · Top Commenter · P.A.S College · 784 subscribers
    “Terdapat sebahagian ahli PAS dan orang ramai yang keliru dengan penubuhan Parti Islam SeMalaysia. PAS bukan ditubuhkan kerana didorong oleh tuntutan politik tanah air. PAS bukan ditubuhkan kerana tidak puas hati dengan kepincangan yang berlaku di dalam Umno. PAS juga bukan ditubuhkan kerana kehendak individu pemimpin tertentu.”.

    “PAS telah ditubuhkan atas tuntutan Islam. Selain daripada tuntutan dakwah dan tuntutan menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran, para alim ulama dan cendekiawan Islam yang awal telah bersependapat dalam memutuskan perlunya wujud sebuah Harakah Islam di negara yang tidak menjalankan hukum Islam dan negara yang tidak menjamin keselamatan akidah serta kebajikan umat Islam.”.

    “Hendaklah ada satu golongan daripada kamu yang menyuruh kepada kebajikan. Menegakkan yang makruf dan mencegah kemungkaran. Itulah golongan yang mencapai kemenangan.” (Surah Ali-Imran : ayat 104) - Ini Prinsip Perjuangan kami.. ALLAHU AKBAR..
  • Haji Md Yusoff Adam · Top Commenter · Kota Bharu
    Awal tahun 60anmelayu takut nak tunjuk muka tatkala mengikuti ceramah Pas. Arwah Zul Mohd datang karumah saya, ada 50 orang menvikuti ceramahnya tapi sembunyi dalam gelap. Arwah Mohd Nasir kembali dari ceramah dalam Estate Bagan pemuda tahan lasak tembak kereta beliau. Akhirnya pemuda yg menembak jadi ahli pas saumor hidup dan mati bersama pas

Pesanan Untuk Wahai Anakku!!!

Wahai anakku...
Engkau boleh beli rumah yang besar, tetapi kamu tidak boleh membeli kebahagiaan. Engkau boleh membeli tilam yang tebal, tetapi kamu tidak boleh membeli nyenyaknya tidur. Engkau boleh membeli makanan yang sedap, tetapi kamu tidak boleh membeli selera untuk makan. Engkau boleh membayar pekerjamu, tetapi kamu tidak boleh membeli kasih sayang mereka.

Wahai anakku...
Andainya kamu merasa besar apa yang ada di dunia yang fana ini, sesungguhnya engkau telah tertipu dengan dunia. Dunia ini pernah menipu alim ulamak, sehingga rosaklah ilmu mereka. Ia pernah menipu pemimpin, sehingga mereka berperang kerananya. Ia juga pernah menipu sebahagian besar manusia, sehingga mereka dilekakan olehnya.

Wahai anakku...
Katakanlah kepada dunia... “Kalau kamu nak tipu, tipulah orang lain, jangan kamu tipu aku." Tetapi percayalah wahai anakku. Kamu tidak akan selamat dari tipudaya dunia melainkan kamu mengagungkan Allah, ikhlas dalam setiap amalanmu dan merasai dekatnya kematianmu.

Salam sayang buat anak-anakku. Senyumlah kepada dunia nescaya dia akan senyum kepadamu.

Perjuangan perkauman membuang masa


Mohamed Hanipa Maidin, 04 Jun 2013
MASA itu emas. Maka membuang masa ibarat membuang emas. Tidakkah ini kerja bodoh? Begitulah perjuangan perkauman yang Umno menjadi juara dalam menyalak isu perkauman. Ia adalah perjuangan sia-sia.

Saya kadangkala keliru dan kadangkala geli hati memikirkan gelagat sesetengah golongan cerdik pandai Melayu yang menyokong Umno. Kenyataan bekas Hakim Mahkamah Rayuan tentang perjuagan Melayu mengakibatkan saya membuat kesimpulan begini: apabila bercakap tentang Melayu golongan cerdik pandai dengan tiba-tiba jadi tidak ketahuan. Mereka tidak lagi boleh berfikir dengan jelas dan waras.

Di sinilah perlunya kita mempunyai tasawwur yang jelas tentang bangsa. Kepelbagaian bangsa, keturunan, bahasa dan warna kulit adalah “ma’isyatullah” (Kehendak Allah). Ia suatu pelan asal Allah.

Tujuannya hanya satu iaitu untuk umat manusia yang pelbagai bangsa ini kenal antara satu sama lain. Tidak lebih dan tidak kurang dari itu.

Jika kepelbagaian kaum dan bangsa ini menyebabkan kita bergaduh dan saling tidak mempercayai satu sama lain sudah jelas ia adalah kesilapan dalam memahami tasawwur  tersebut.  Ia menunjukkan betapa jauhnya Islam dengan kita.

Sayangi bangsa suatu fitrah yang Allah semat dalam diri setiap insan sebagaimana bapa atau ibu sayangkan anaknya. Apabila ia suatu yang fitri sifatnya membuang masa untuk orang Melayu diingatkan perlunya mereka menjaga dan menyayangi bangsa.

Jika bangsa menjadi taruhan sudah tentu yang paling berhak memperjuangkan bangsa Arab adalah Rasulullah s.a.w. Baginda s.a.w adalah seorang Arab. Bahasa Al-Quran adalah bahasa Arab dan dikatakan bahasa syurga adalah bahasa Arab. Mengapa Rasulullah tidak perjuangkan Arab?

Kita lihat dua insan yang berlainan bangsa dalam sejarah Islam dan lihat siapa yang mulia antara mereka berdua. Kita lihat Abu Lahab dan isterinya Ummu Jamil dan kita lihat pula sahabat Rasulullah Bilal bin Rabah r.a.

Abu Lahab dan isterinya satu bangsa dan satu keturunan dengan Rasulullah s.a.w. Dalam istilah moden sekarang kedua-dua pasangan ini adalah pasangan selebriti. Apa yang tiada pada mereka? Mereka ada rupa paras yang cantik, ada kekayaan material, ada kedudukan yang tinggi dalam masyarakat, ada pengikut dan ada pengaruh dan status yang tinggi.. Namun kita tahu kedua-dua insan ini dicela oleh Allah dan ada surah khas dalam Al Quran  untuk mereka yang kita baca dan cela mereka sehingga kini.

Kita lihat pula Bilal r.a.  Orangnya berkulit gelap dan bekas seorang hamba abdi. Tiada harta dan tiada kekayaan. Tiada rupa paras jauh sekali status dalam masyarakat Arab.  Namun sehingga kini nama Muazzin di dunia memakai gelaran Bilal seorang berbangsa Habsyi. Lihat betapa mulianya Bilal r.a 

Menyayangi bangsa adalah fitrah. Tapi memperjuangkan bangsa tanpa mengira bangsa itu zalim atau tidak adalah asabiyyah yang Islam tentang habis-habisan.

Kita tahu fahaman asabiyyah dan qaumiyyah Arab jahiliyyah begitu kuat . Ideologi mereka adalah tolong kaum kami sama ada kaum kami zalim atau dizalimi.

Sebab itu dalam sebuah hadith Rasullullah menyatakan “tolonglah saudaramu yang zalim atau yang dizalimi (mazluman)". Para sahabat terasa pelik kenapakah Rasullullah menyuruh ditolong mereka yang zalim. Secara zahirnya perintah Rasullulah itu dilihat seperti ideology Arab jahiliyyah.

Tapi itulah cara Rasulullah s.a.w membetulkan fahaman salah itu. Menolong orang yang zalim, kata Rasullullah s.a.w adalah dengan kita menghentikan kezaliman mereka. Bukan dengan menyokong sizalim. Lihatlah anjakan paradigm yang Rasullullah s.a.w perkenalkan.

Ini yang perlu Melayu faham termasuk cerdik pandai Melayu. Menolong Melayu Umno yang zalim, salah guna kuasa, rasuah bukan dengan terus menerus menyokong mereka. Itu sokong bawa rebah. Tolong Umno yang zalim adalah dengan menghentikan kezaliman Umno – hentikan kuasa mereka memerintah.

Amat malang orang Melayu termasuk cerdik pandai Melayu menyayangi Melayu dengan cara yang salah. Mereka sayang Melayu dengan biarkan pemimpin Melayu Umno yang zalim, rasuah dan salah guna kuasa terus dengan kezaliman mereka. Ini sokong bawa padah di dunia dan akhirah.


* Penulis adalah anggota Parlimen Sepang, AJK PAS Pusat serta seorang peguam.

Najib sedia ditentang, mengapa?


Subky Latif, 04 Jun 2013
BARU empat tahun Datuk Seri Najib menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, lalu dia menyatakan bersedia ditentang dalam pemilihan pimpinan UMNO yang akan datang, tidak kira bila ia diadakan.
Mengapa dia sedia ditandingi? Jawapannya kerana partinya mengamalkan demokrasi dan dia seperti pemimpin lain-lain parti politik tidak sedia bertanding dan ditandingi. Logiknya partinya juga sebuah parti demokrasi sendiri menggalakkan pertandingan.

Demokrasi itu adalah biasa membenarkan pertandingan, sama ada suka atau tidak, dan tidak sporting jika tidak membenarkan sesiapa mencabar presiden.

Adakah Tunku dan penyokongnya tidak demokrasi menghalang percubaan mencalonkan orang lain  di hujung tempoh pimpinannya? Adakah Tun Hussein Onn dan penyokongnya tidak demokratik apabila melihat sinis apabila Haji Sulaiman Palestin mencabarnya.

Dr. Mahathir  tidak dapat menghalang Tengku Razaleigh mencabar presidennya, tetapi hati dia tidak terbuka, hingga hari ini mencela tentangan Ku Li itu.

Bukan soal demokrasi saja Najib menyatakan kesediaannya itu tetapi dia juga ada maklumat kepimpinannya dan tentang apa orang ramai termasuk UMNO kata tentangnya. Sudah ada orang mellihatnya bukan lagi aset kepada UMNO, BN dan negara. Sejak dia mula disebut-sebut untuk menggantikan PM Abdullah Badawi, sudah ada yang merassakan dia adalah liabiliti kepada UJMNO dan negara.

Banyaklah fakta yang belum dijawabnya mewajarkan dia dikira liabiliti tetapi UMNO dan penyokongnya  tidak mempedulikannya. Jangan kata Mahathir tidak berfikiran begitu. Tetapi kerana dia sudah mengutuk pimpinan Abdullah Badawi, maka dia terpaksa mnyimpan dalam perut, biar meletup ia dalam perut, tidak meletup dari mulut.

Mahathir berupaya menyergah Najib atas sebab kebenaran,  tetapi ada risiko jika berterus terang lagi. Orang kira Mahathir buruk kalau dia berkata tentang Najib. Akan ada persepsi, pada Mahathir orang lain semua tidak betul. Orang akan kata, dia saja yang betul.

Sudah banyak yang orang hendak buktikan Najib itu bukan aset bahkan liabiliti. Hanya Tan Sri Abdullah Kok Lanas saja sangka Najib itu elok semua.

Dengan prestasi BN pimpinannya lebih uzur dari pencapaian buruk Tun Abdullah, tidak mustahil ada yang akan mencabarnya. Kita tidak tahu orang lain, tetapi Ku Li dijangka akan menawar diri untuk menjadi Presiden UMNO. Kalau Najib tidak dapat dipertahan lagi, siapa saja boleh menang mencabarnya, maka Tan Sri Muhyiddin Yassin  akan menyesal jika tidak merebut peluang itu.

Najib tahu dia adalah liabiliti. Jika dia tidak bersedia pun,  dia mungkin dicabar. Sebelum ada orang yang bersedia menyatakan kelemahannya, maka dia  suarakan itu dulu supaya dia dapat maklum balas apakah dia dikehendak lagi atau cukuplah setakat yang ada.

Daripada kalah  dalam pilihan raya umum, adalah lebih baik dia menerima cabaran dalam partinya sendiri. Kiranya digantikan oleh orang lain, maka mungkin UMNO sebagai tulang belakang kerajaan dapat dipertahan lagi.

Tiada hujah demokrasi boleh mengubah 51 peratus undi popular yang menolak BN  dan pimpinannya akan berpatah balik ke belakang. Justeru itu, eloklah dia menggunakan hujah demokrasi bersedia untuk ditentang.

Ada pun pemimpin lain-lain parti politikyang disindirkan tidak sedia ditandingi, rasanya masih menjadi aset kepada parti dan penyokongnya. Mungkin Tok Guru Haji Hadi ada kelemahan, tetapi beliau belum menjadi liabiliti pada PAS. Walaupun Anwar Ibrahim dikata macam-macam, tetapi dia aset pada Pakatan. Kit Siang pula adalah aset yang belum turun nilai bagi DAP.

Semuanya masih menjadi aset kepada parti masing-masing. Nilai aset yang  merudum hanya Najib. Ia bukan pesepsi lagi.

Perjuangan Umno sudah tidak bertenaga


Harakahdaily, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Selepas keputusan PRU13, parti komponen BN nampak gelabah sehingga ada cadangan untuk menjadikan BN parti tunggal.
Selain itu, ada cadangan membubarkan semua parti komponen menjadi satu sahaja seperti yang disuarakan pemangku Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.


Mesyuarat MT UMNO, Jumaat lalu, bersetuju mewujudkan makmal khusus bagi memperincikan cadangan itu dengan mendapatkan maklum balas dan pandangan ahli di seluruh negara.

AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ini ditambah pula kenyataan Tun Mahathir Mohamad yang mengatakan Umno menang bukan kerana kuat,  tetapi kerana Melayu berjaya ditakutkan sehingga mereka mengundi Umno pada PRU13.


“Sampai bila Melayu hendak ditakutkan kerana Melayu yang berjaya ditakutkan sudah tidak ramai, sebagaimana orang Melayu sudah tidak ramai yang takut kepada  hantu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang kepada Harakahdaily.

Menurutnya, Umno berada pada situasi yang merbahaya jika hanya mengharapkan Melayu menyokong berdasarkan emosi kerana Melayu yang celik maklumat dan faham agama tidak diserang dengan budaya takut.

Katanya, mereka sedar, Melayu musnah semuanya angkara Umno.

Beliau berkata, golongan ini mula mempersoalkan kenapa setelah 57 tahun merdeka, Melayu semakin tertinggal ke belakang.

Ini, katanya kerana Umno telah khianat amanah untuk membantu orang Melayu.

“Berapa banyak projek yang dikhas untuk orang Melayu gagal diselenggarakan dengan baik.

“Kenapa Umno hendak mengkambing hitamkan kaum lain, supaya Umno terus selamat?” tanya beliau.

Beliau menambah, Melayu terpelajar sudah menganggap, Umno mesti bertanggungjawab terhadap musibah yang menimpa kepada orang Melayu.

“Mereka mahu Melayu yang bermoral dan telus untuk memimpin negara. Umno telah meninggal rekod yang terlalu buruk kepada sejarah perjuangan orang Melayu di negara ini,” ujarnya lagi.

Masalah Umno bukan lagi persepsi tetapi realiti


Abdul Aziz Mustapha, 04 Jun 2013
KUALA LUMPUR: Masalah utama Barisan Nasional (BN) bukan persepsi tetapi realiti yang kian menjerumuskan negara ke arah mala petaka, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar (gambar).

"Apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat akibat pemerintahan BN bukan lagi persepsi tetapi realiti.

"Rasuah yang makin parah adalah realiti, penipuan dalam pilihan raya adalah realiti, kematian demi kematian dalam tahanan polis adalah realiti, perbuatan Umno api-apikan perkauman adalah realiti, semuanya bukan persepsi," katanya.

Begitu juga, kata Mahfuz, apabila Malaysia dilaporkan terlibat dengan penyeludupan steroid selepas dilaporkan terlibat dengan penggubahan wang haram, semua itu adalah realiti.

Isnin lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengakui kelemahan utama kerajaannya adalah dalam mengurus dengan lebih baik persepsi negatif yang disebarkan secara meluas di dalam talian yang dikuasai oleh elemen anti-BN.

Mahfuz menolak pandangan itu dengan menekankan apa yang disebarkan oleh rakyat yang tidak mahu lagi menerima pemerintahan BN bukanlah persepsi tetapi realiti penyelewengan dan salah guna kuasa BN yang sebenarnya berlaku.

"Bila rakyat bangkitkan isu lembu dan kondominium umpamanya, itu bukan persepsi tetapi realiti yang diakui oleh orang-orang Umno sendiri.

"Tanyalah (bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri) Rafidah Aziz umpamanya, isu lembu itu realiti atau persepsi?' Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata.

Persepsi, kata Mahfuz, ialah apa yang disebut oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sebagai punca kemenangan Umno.

"Dr Mahathir kata, kemenangan Umno dalam pilihan raya baru-baru ini disebabkan orang Melayu takut Pakatan Rakyat yang turut dianggotai oleh DAP menang.

"Maknanya, Dr Mahathir mengakui kejayaan Umno mendapatkan kemenangan di sebahagian besar kerusi-kerusi majoriti Melayu adalah kerana persepsi orang-orang Melayu," katanya.

Mahfuz menyifatkan apa yang dinyatakan oleh Dr Mahathir itu sebagai pengakuan secara tidak lansung tentang kejayaan Umno menghasut orang Melayu dengan persepsi yang berasaskan pembohongan serta kejayaan parti itu mengapi-apikan perkauman.

"Amat malang bagi mereka yang mengundi Umno semata-mata kerana dirasuk persepsi berasaskan pembohongan yang dijaja oleh Umno serta hasutan dan perbuatan mengapi-apikan perkauman," katanya.

Beliau mengingatkan, masa hadapan negara tidak boleh dibina dengan persepsi berasakan pembohongan.

Ketika megulas prestasi Umno dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Dr Mahathir berkata walaupun parti itu menjadi parti terbesar yang menang dalam pilihan raya itu, ia masih berdepan dengan banyak kelemahan.

"Kemenangan Umno kali ini bukan kerana kekuatan Umno ataupun perpaduan dalam Umno, kemenangan Umno kali ini disebabkan oleh perasaan takut orang Melayu, terutamanya kalau-kalau parti lawan yang dipimpin oleh (Datuk Seri) Anwar Ibrahim bersama dengan DAP mendirikan kerajaan di Malaysia," Bernama memetik beliau berkata Isnin lalu.