Tamadun Mesopotamia




Tamadun ini terletak di pinggir Teluk Parsi dan merangkumi keseluruhan Lembah Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Tamadun ini tumbuh subur di sini dan merupakan tamadun tertua di dunia.
Lokasi
Tamadun awal manusia dikenali dengan nama Mesopotamia. Ia juga dikenali dengan nama Tamadun Sumeria. Istilah Mesopotamia berasal dari perkataan Yunani. Membawa maksud tanah di antara dua sungai. Daerah lingkaran tamadun Mesopotamia ialah antara Sungai Tigris dengan Sungai Euphrates.

Tamadun ini merangkumi dari kawasan pergunungan di Turki merentasi Iraq hingga ke Teluk Parsi. Kawasan ini dikelilingi oleh Pergunungan Zagros di kawasan timur laut, dataran tinggi Arab di barat daya dan Teluk Parsi di bahagian selatan.

Jangka Waktu
Bermula dengan perkembangan zaman Neolitik antara tahun 7000-5000 S.M. Wilayah Mesopotamia berkembang menjadi sebuah tamadun awal dunia. Kerajaan awalnya ialah kerajaan Sumeria sekitar tahun 3500 S.M. Manakala kerajaan yang terakhirnya ialah kerajaan Chaldea, tumbang pada tahun 539 S.M.

Tamadun Mesopotamia merangkumi tujuh zaman pemerintahan yang silih berganti iaitu:

Tujuh zaman pemerintahan tamadun Mesopotamia
Selepas kejatuhan kerajaan Chaldea, Kerajaan Parsi menguasai wilayah Mesopotamia hingga menghilangkan pengaruh dan tamadun Mesopotamia.

Proses Pembentukan
Tamadun Mesopotamia terbahagi kepada dua bahagian, iaitu utara dan selatan bandar Baghdad. Bahagian utara Baghdad merangkumi kawasan Sungai Tigris sehingga ke kawasan Sungai Zab (Assyria). Bahagian selatan Baghdad pula merangkumi kawasan Sungai Tigris dan Sungai Euphrates. Juga dikenali sebagai kawasan Babylon.

Babylon pula terbahagi kepada dua bahagian iaitu Akkad di utara dan Sumeria di selatan. Tamadun Mesopotamia bermula di kawasan selatan iaitu di Sumer. Namun orang Sumeria bukan penduduk asal kawasan tersebut. Mereka berhijrah ke kawasan ini dan menjalankan kegiatan pertanian seperti menebus guna tanah dan membina sistem pengairan bagi memastikan kegiatan pertanian mereka mendapat pengairan yang baik.

Usaha ini berjaya menghasilkan lebihan hasil pertanian dan menyebabkan pertambahan penduduk. Lebihan hasil pertanian ini juga mampu menampung keperluan penduduk. Lama-kelamaan kawasan ini berkembang dan menyebabkan kewujudan bandar dan seterusnya menjadi kota seperti Ur, Uruk, Kish, Nippur, Lagash, Eridu, Mari dan Ussur. Kota-kota ini terletak di sepanjang sungai dan terusan.
Kedudukan kerajaan dan Negara kota dalam tamadun Mesopotamia

Ciri-ciri Tamadun Mesopotamia
Tamadun Mesopotamia memiliki pembangunan fizikal yang tersendiri. Setiap negara kota mempunyai pusat kota, tembok kota, luar kota dan pelabuhan. Ia juga memiliki kubu atau tembok pertahanan dengan pintu gerbang yang pelbagai. Kepelbagaian ini melambangkan kemahsyuran dan keagungan negara kota tersebut.

Dalam kota pula terdapat istana, rumah kediaman rakyat, rumah kedai, rumah ibadat, dan pasar. Kesemuanya berkedudukan sejajar dan lurus. Di pusat kota ini juga terdapat rumah ibadat yang menjadi tumpuan anggota masyarakat pada setiap masa. Setiap negara kota juga mempunyai unit politik dan sistem kepercayaan yang tersendiri. Ia juga memiliki sistem pengangkutan seperti kapal, pedati dan keldai.
Taman Tergantung Babylon

Di sekitar kota mempunyai mempunyai kawasan tanah pamah bagi memudahkan kegiatan pertanian. Manakala jalan laut berhubung terus ke pelabuhan. Melaluinya juga mereka boleh berhubung dengan kota-kota lain seperti Sumeria dan Mari yang digunakan oleh pedagang untuk berhubung dengan kota di luar Mesopotamia. Kehidupan bermasyarakat dalam kota adalah lebih teratur kerana memiliki organisasi sosial yang lebih sistematik.

Malah dalam kota juga wujud dua golongan manusia iaitu golongan pemerintah dan golongan diperintah (rakyat). Golongan pemerintah terdiri daripada golongan pembesar, ketua tentera dan golongan agama (pendeta). Golongan yang diperintah (rakyat) terdiri daripada rakyat bebas iaitu rakyat biasa, artisan dan pedagang. Manakala rakyat yang tidak bebas ialah golongan hamba.

Dalam tamadun Mesopotamia sistem raja berbentuk teokrasi. Dalam sistem ini, raja dianggap tuhan atau wakil tuhan dan pemilik negara kota. Raja bertindak sebagai ketua pentadbir, ketua agama, dan ketua pendeta. Walaupun raja dianggap sebagai tuhan atau wakil tuhan tetapi mereka tidak menyembah raja kecuali pada era pemerintahan Raja Naramsin (2291-225 S.M.) di kota Akkad.
Ukiran besi Raja Naramsin

Raja Naramsin memaksa rakyat menyembah baginda. Baginda menganggap dirinya paling hebat dalam kalangan raja-raja yang wujud dalam tamadun Mesopotamia. Pendakwaan ini dilakukan kerana baginda berjaya meluaskan wilayah takluk. Lantaran itu, mengelarkan dirinya sebagai Raja Empat Penjuru Alam. Raja mendirikan Zigurat yang dijadikan pusat ibadat, pusat pentadbiran, pusat perdagangan, dan pusat khazanah negara.

Tamadun Mesopotamia juga mempunyai kepelbagaian kegiatan ekonomi dan setiap rakyat memiliki pengkhususan kerja. Ada yang menjadi petani, peniaga, pedagang, dan artisan. Selain itu, terdapat juga rakyat yang menjadi pengusaha tekstil, pembuat barangan tembikar, dan membuat alatan keperluan harian seperti pisau, sudu, dan sebagainya.

Golongan pedagang amat penting kerana mereka menjalankan kegiatan perdagangan sehingga ke Lembah Indus. Mereka mengamalkan sistem barter yang berjaya membawa masuk barangan seperti logam, kayu-kayan, emas dan perak, apabila ditukarkan dengan hasil pertanian mereka. Dalam tamadun Mesopotamia terdapat juga sistem tulisan, bermula dengan tulisan bergambar. Kemudian berkembang kepada tulisan berbentuk simbol yang ditulis atas tanah liat. Ia dikenali sebagai tulisan berbentuk pepaku dan juga dikenali dengan nama cuneiform.

Sumbangan Tamadun Mesopotamia
Penciptaan Kod Undang-undang Hammurabi yang digubal oleh Raja Hammurabi, Raja Babylon. Mengandungi 282 undang-undang. Dipahat pada tiang-tiang besar dan tembok kota agar rakyat dapat mengetahuinya. Undang-undang ini berteraskan hak rakyat dan keadilan. Dalam Kod Undang-undang menegaskan bahawa denda dan hukuman mesti setimpal dengan kesalahan yang dilakukan. Kod Undang-undang Hammurabi menjadi teras kepada perundangan tamadun Mesopotamia dan membantu perkembangan peradaban Mesopotamia.
Kod Undang-undang Hammurabi

Kod undang-undang ini berjaya mewujudkan keadilan dan perpaduan dalam kalangan rakyat. Penciptaan sistem tulisan berjaya mengembangkan sistem pendidikan dan perkembangan ilmu pengetahuan. Malah melahirkan jurutulis yang memudahkan urusan pentadbiran dan perniagaan kerana segala urusan dapat direkodkan. Ia juga berjaya melahirkan dan mengembangkan tradisi kesusasteraan yang terkenal dalam tamadun Mesopotamia iaitu epik Gilgamesh. Kod undang-undang ini diakui sebagai epik tertua di dunia.

Kod undang-undang berjaya memperkembangkan ilmu astronomi. Kemudian membawa kepada perkembangan ilmu hisab seperti sistem perpuluhan, kaedah tambah, tolak, bahagi dan punca gandaan. Akhirnya membawa kepada perkembangan ilmu geometri. Perkembangan ilmu perubatan khususnya era pemerintahan kerajaan Assyria. Malah berjaya mencipta 500 jenis ubat-ubatan yang dikatalog dan disampelkan. Mencatatkan kaedah panduan penggunaannya kepada pengamal perubatan.

Salah satu kejayaan besar tamadun Mesopotamia ialah penciptaan roda. Bagi memudahkan pengendalian kereta kuda sama ada bagi penggunaan ketenteraan ataupun perdagangan dan perhubungan. Dengan terciptanya roda maka kincir air juga dapat dihasilkan bagi memudahkan penyaluran air dilakukan ke kawasan pertanian.Tamadun ini juga berjaya mencipta kapal layar dan pengangkutan beroda oleh orang Sumeria sejak 3000 S.M. Lantaran itu, jalan darat dan jalan laut dapat dimanfaatkan.
- See more at: http://www.miraahussin.com/2011/10/tamadun-mesopotamia.html#sthash.fGCKRKUk.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan