Ahad, 18 November 2012

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Boleh murtad jika perlekeh Islam

Harakahdaily, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, sesiapa sahaja orang Islam yang memperlekeh agama Islam dengan sengaja maka ia boleh jatuh kepada murtad (terkeluar dari Islam).

Katanya, tindakan memperlekeh Islam boleh berlaku dengan banyak cara termasuk menolak Islam sebagai dasar perjuangan kerana menganggap Islam itu sudah lapuk dan tidak sesuai lagi zaman ini.

"Tak kira siapa pun kalau tok guru berserban berjanggut sekalipun kalau tolak islam dengan hati yang sengaja, dia kata Islam tak guna, dia murtad sekalipun tak ada mufti bagitau dia.

"Umno tolak Islam maka nampak dia telah memperlekeh Islam. Dia buang Islam macam buang ubat habis tempoh. Boleh jadi yang tolak Islam tu murtad dah, boleh jadi dia jahil, boleh jadi dia tak faham," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Muktamar Tahunan PAS kali ke 58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) di sini hari ini.

Menteri Besar Kelantan itu juga berkata, bagaimana PAS boleh percaya dengan ajakan Umno untuk bersama-sama mereka membela Islam sedangkan sejarah membuktikan Umno sendiri menolak ulamak dalam biro agama Umno waktu perjuangan kemerdekaan dahulu.

"PAS bukan dicipta oleh orang PAS tapi oleh biro agama Umno. Kami hanya jaga sahaja.

"Sekarang (Umno) nak ajak PAS (bersama-sama) bela Islam. Alim ulamak kamu pun kamu tolak, takkan kamu nak terima ulamak kami pula. Itu logiknya," tegasnya memberi analogi.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut ditanya wartawan berhubung kenyataan Mursyidul Am PAS itu yang mengaitkan Umno dengan murtad.

Presiden PAS itu bagaimanapun berkata, huraian berhubung murtad boleh dirujuk dalam Kitab Mustika Hadis yang diterbitkan Jabatan Perdana Menteri.

"Baca kitab itu, ada hukum mengenai orang yang memperlekehkan Islam. Itu kitab yang ditandatangani Tun Dr Mahathir," katanya tidak mahu mengulas panjang.

Carian Harakahdaily terhadap kitab dimaksudkan itu mendapati, bahagian kedua di bawah tajuk 'Iktikad kepercayaan yang bertentangan dengan dasar-dasar Islam', menyebut;

Melalui percakapan, iaitu tiap-tiap perkataan yang mencaci, menghina, merendah-rendah, mengecil dan mempermain-mainkan nama Allah, sifat-sifat-Nya, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, kitab-kitab-Nya, ayat-ayat-Nya dan hukum-hukum-Nya serta hukum-hukum yang diterangkan oleh rasul-Nya.

Dan juga perkataan yang menolak, menafi dan mengingkari segala perkara yang sekata alim ulamak mensabitkannya atau menafikannya serta diketahui oleh orang ramai bahawa perkara itu dari agama.

Misalnya seperti katanya mengenai mana-mana hukum Islam:

1. “Hukum apa ini?”

2. “Hukum ini sudah lapuk.”

3. “Zaman sekarang tak patut diharamkan riba kerana mnghalangi kemajuan.”

4. “Dalam zaman yang serba maju ini kaum wania tak perlu dibungkus-bungkus.”

5. “Berzina kalau suka sama suka apalah haramnya?”

6. “Minum arak kalau dengan tujuan hendak menyihatkan badan untuk beribadat apa salahnya?”

7. “Berjudi kalau masing-masing sudah rela menerima untung ruginya apa salahnya?”

8. “Kalau hendak sangat menurut hukum-hukum Islam sampai kiamat kita tak maju.”

9. Berkata: “Perbuatan yang demikian tidak beradab” – apabila diceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w selepas makan: menjilat sisa makanan dijarinya.

10. Berkata: “Aku tak mahu memotong kuku sekalipun sunat” – apabila diberitahu bahawa memotong kuku adalah sunat.

11. Berkata: “Si anu dah mulai menyalak” – semasa ia mendengar azannya.

12. Membaca ayat-ayat suci, hadis-hadis Nabi dan nama-nama Tuhan dengan cara mempersenda dan mempermain-mainkannya.

13. Kata-kata mengkafirkan seseorang Islam, pada hal orang itu tidak diyakini ada padanya sesuatu sebab yang menjadikannya kafir, sebagaimana yang diterangkan oleh hadis Ibnu Umar yang diriwayatkan oleh Muslim

Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS

Selepas 25 tahun buat dosa SB minta maaf pada PAS

Salmiyah Harun, 18 Nov 2012
KOTA BHARU: Seorang bekas polis yang bertugas dengan Cawangan Khas (SB) selama 25 tahun, Abdullah Omar memohon maaf atas segala dosa yang beliau lakukan terhadap PAS sepanjang bertugas sebagai polis.

"Dosa apa yang saya tak buat terhadap PAS sepanjang lima pilihan raya yang lepas...saya tidak mahu sebut di sini, biar saya dan Allah sahaja yang tahu.

"Tetapi maafkanlah saya, saya sudah bertaubat," katanya yang tampil sebagai perwakilan Taiping yang menyokong usul Pilihan Raya yang dibawa PAS Pusat.

Abdullah juga merupakan bekas OCPD Taiping pernah bertugas sebagai SB selama 25 tahun berterima kasih kepada PAS kerana sanggup menerima beliau yang pernah berdosa dengan PAS dan rakyat.

"Saya berbesar hati hari ini diangkat untuk berucap di Muktamar walau pun baru dua tahun bersama PAS, paling terharu PAS boleh terima orang yang berdosa seperti saya," katanya.

Cabar Majlis Fatwa

Pada masa sama beliau yang juga bekas OCPD itu turut mencabar Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa tentang gaji yang diperoleh oleh mana-mana calon yang menang pilihan raya melalui penipuan pilihan raya.

"Saya nak cabar Majlis Fatwa dan Mufti, kalau menipu dalam pilihan raya kemudian menang. Jadi Perdana Menteri, jadi menteri-menteri, bagaimana dengan gaji mereka.

"Saya tanya tuan-tuan gaji yang mereka dapat halal atau haram?" soal Abdullah terus dijawab para perwakil 'haram'.

"Kalau haram, kenapa Majlis Fatwa tidak keluarkan Fatwa?"

"Ya gaji yang mereka dapat tidak halal, jawablah di akhirat esok," soalnya balik ketika berucap menyokong usul pilihan raya oleh PAS Pusat.

Tambahnya, daripada banyak-banyak pilihan raya negara diadakan Malaysialah yang paling teruk.

Ditambah pula katanya, pemberian kad pengenalan kepada pendatang asing seperti Thailand, Bangladesh, Myanmar dan paling malang mereka ini didaftarkan sebagai pengundi.

Beliau juga membayangkan jika pilihan raya negara ini dijalankan dengan bersih sudah lama Umno BN terkubur.

"Kalau bersih! sudah tentu kita sapu bersih Umno BN. Kita sudah lama jadi pemerintah," tegasnya diringi takbir para perwakilan.

Pakatan Rakyat sudah bersedia ke Putrajaya

Pakatan Rakyat sudah bersedia ke Putrajaya

Aspan Alias, 18 Nov 2012
Muktamar PAS kali yang ke-58 memberangsangkan rakyat. Muktamar kali ini merupakan muktamar yang terakhir sebelum PRU diadakan jika pilihanraya benar-benar akan diadakan. Muktamar di Putik Kelantan ini amat memberikan semangat kepada pihak yang inginkan perubahan kerana tanda-tandanya semakin hari semakin jelas tentang kejayaannya.

Semasa menyampaikan ucapan dasarnya, Tok Guru Hj Hadi Awang (TGHA) telah menyentuh isu-isu politik secara menyeluruh dan mampan serta sangat penting untuk diikuti dan ditarbiyah secara menyeluruh oleh sesiapa yang berminat tentang perkembangan dan kemajuan PAS sebagai satu dari tiga komponen penting dalam Pakatan Rakyat.

Yang menariknya ucapan itu juga telah menyentuh tentang apa yang bakal dihadapi oleh PAS dan PR semasa menghadapi PRU itu nanti. TGHA telah meminta semua ahli-ahli dan penyokong serta unit amal parti supaya menjalankan tugas dengan bijaksana dan tekun untuk menghadapi ombak pertahanan BN khususnya UMNO iaitu pencurahan wang yang berbilion ringgit. Wang merupakan senjata yang terakhir untuk BN kerana untuk mendapatkan sokongan dan dukungan rakyat secara sukarela dengan perjuangan sudah tidak wujud lagi di dalam UMNO dan BN.

UMNO akan menggunakan wang yang banyak untuk membeli undi dan ia akan memakan jumlah yang besar dan wang itu tentulah datangnya dari sumber rasuah. Wang rakyat sendiri yang telah dicuri secara sistematik oleh pimpinan UMNO. UMNO sudah tidak ada sokongan, maka parti itu terpaksa membeli perasaan dan jiwa orang Melayu khususnya.  Wang jugalah yang akan digunakan untuk menyatukan ahli-ahlinya semasa PRU itu nanti kerana UMNO akan mula berpecah di peringkat bawahan sejurus calon-calon mereka diumumkan.

TGHA juga menyentuh tentang pentingnya PAS bersedia dengan media massa alternatif yang efektif seperti Harakah dan Harakah online. Untuk menafikan fitnah dan cemuhan yang akan dilakukan oleh UMNO khususnya oleh Utusan serta kumpulan New Straits Times yang berpihak kepada parti kerajaan secara tidak beretika selama ini.

Presiden PAS itu juga telah menelah yang UMNO akan memainkan isu perkauman dengan hebat sekali kerana UMNO kini sudah begitu terdesak untuk mendapatkan sokongan orang Melayu. UMNO sedar yang rakan kongsinya MCA tidak lagi dihormati oleh bangsanya sendiri yang kini sedang memberikan sokongan yang padu kepada PR.

TGHA juga telah memperbaharui azam PAS untuk bersama-sama PR untuk menjayakan cita-cita pembaharuan untuk negara ini. UMNO dan BN akan berterusan untuk memisahkan di antara parti-parti yang ada di dalam Pakatan Rakyat kerana itu sahajalah yang tinggal harapan BN untuk terus mendapatkan mandat bagi menyambung kuasa yang tinggal hanya beberapa bulan sahaja lagi ini.

UMNO tidak akan ada sempadan dalam tindakan mereka mempertahankan kedudukan mereka. Ia akan melampaui batas undang-undang serta etika berpolitik secocok dengan sebuah negara yang mengaku sebagai negara demokrasi.

UMNO akan sanggup untuk menjadikan negara ini kucar kacir asalkan mereka dapat mempertahankan kuasa mereka. Sebutkan apa sahaja, mereka akan lakukan. UMNO tidak dapat menyerapi unsur demokrasi di dalam pemikiran mereka. Bagi mereka demokrasi itu adalah kemenangan untuk mereka sahaja. Jika mereka kalah dan tidak mendapat mandat itu bukanlah demokrasi bagi mereka.

Tidak ada ruang di dalam artikel ini untuk memberikan ulasan secara ‘detail’ terhadap ucapan yang mantap TGHA ini tetapi cukup bagi saya memberikan gambaran yang ucapan telah menyentuh bidang ekonomi sebagai sebuah negara berkebajikan yang menjadi tuntutan agama itu. TGHA juga telah menyentuh tentang isu sosial yang mendesak untuk diselesaikan serta perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

TGHA telah berkata dengan terang dan jelas yang PAS sudah bersiap sedia untuk menuju ke Putrajaya bersama-sama rakan dalam Pakatan Rakyat dan tidak mempunyai masalah untuk membuktikan kepada rakyat yang PR mampu untuk membuktikan kelainan dalam pentadbiran baru negara nanti.

Di dalam muktamar ini juga PAS telah menerima permohonan dari seorang bekas pegawai tinggi kerajaan iaitu Tuan Haji Nahwari Hashim sebagai ahli PAS dan ini merupakan lanjutan kepada tindakan ramai bekas pegawai kerajaan yang menyertai PAS sebelum ini PAS nampaknya semakin jelas merupakan parti pilihan bagi orang Melayu seperti juga parti-parti lain dalam Pakatan dan ini adalah pemangkin kepada PAS untuk menjadi parti yang mendapat sokongan setiap lapisan rakyat yang berbilang kaum ini.

Sempena muktamar ini juga telah diadakan Himpunan Rakyat yang sangat besar kehadirannya di stadium Sultan Mohamad ke-empat. Seramai 30,000 ribu rakyat jelata telah membanjiri stadium itu untuk menunjukkan kepada ramai yang rakyat benar-benar serius untuk melakukan perubahan kali ini. Mereka ini datang tanpa dibayar dan diberi makan karipap dan sebagainya, jauh sekali untuk diberikan baju T atau topi dan perkara-perkara yang lain seperti yang terpaksa di adakan oleh UMNO jika hendak membuat perhimpunan mereka. Satu-satu perhimpunan yang hendak dilakukan oleh UMNO akan memaksa parti itu berbelanja berjuta-juta ringgit untuk menjayakannya.

PAS yang difahamkan akan bertanding di 70 kawasan parlimen akan memenangi jauh lebih banyak kerusi dari yang mereka dapati semasa PRU 2008 dahulu. PAS tidak syak lagi akan menjadi parti yang dominan dalam pentadbiran baru nanti dan saya secara peribadi tertunggu-tunggu ‘ambience’ politik yang baru itu.

PR akan membuktikan yang mereka lebih baik dari pentadbiran BN. Seperti biasa dalam politik penilaiannya adalah secara relatif. Tetapi PR pasti merupakan ‘coalition’ yang lebih baik dari BN.

Seperti yang saya sebutkan selalu, ‘the worst of Pakatan Rakyat is a lot better than the best of Barisan Nasional’. Yang ‘perfect’ hanya ada kepada Maha Pencipta, Allah SWT sahaja. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

ALLAHUAKBAR...Jet F16 Israel ditembak jatuh di Gaza



ALLAHUAKBAR...Jet F16 Israel ditembak jatuh di Gaza

Harakahdaily, 17 Nov 2012

(Gambar yang dikatakan jet F16 Israel yang ditembak jatuh)


GAZA: Pejuang Palestin di Gaza berjaya menembak jatuh sebuah jet F16 Israel yang terbang di ruang udara Gaza, lapor Presstv.ir.

Kapal perang Israel itu ditembak jatuh serentak dengan serangan roket dari Gaza yang mengenai sasaran Israel di kawasan penempatan Gush Etzion di al-Quds (Jerusalem).

Tembakan roket itu mencederakan beberapa orang Israel.

Roket dan peluru berpandu Palestine juga jatuh di lain-lain kawasan dalam negara Israel termasuk Tel Aviv, Eshkol, Ashdod, Ashkelon dan Be’er Sheva.

Selama ini, dunia menganggap negara Israel kebal dari serangan kerana kehebatan sistem pertahanannya.

Serangan ini dibuat ekoran serangan maut yang dibuat Israel ke atas Gaza yang membunuh panglima tentera Brigade Ezaddin Al Kassam, cabang tentera di bawah Hamas, Al Jabari.