Ahmad Tajdid, | 27 Mei 2013 |
Menurut Karpal, dengan tiadanya Dewan Negara, perbelanjaannya tidak perlu lagi ditanggung rakyat.
Kewujudan Dewan Negara, jelas Karpal hanya menggalakkan orang yang telah ditolak oleh rakyat atau 'orang lain' untuk dibawa ke Parlimen dari 'pintu belakang' memandangkan dalam undang-undang Perlembagaan, Parlimen juga termasuk Dewan Negara.
Cadangan Karpal Singh itu nampaknya tidak disambut baik sesetengah pihak sehingga ada yang membuat laporan polis menggesa siasatan dilakukan.
Malah Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang yang baru mengangkat sumpah jawatan menggesa Ahli Parlimen Jelutong itu tidak membuat kenyataan yang "mengelirukan rakyat" dan menggesa Karpal supaya mengamal dan menghormati keluhuran undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.
Dewan Negara adalah senat bagi Persekutuan Malaysia. Ia bertindak sebagai dewan perwakilan rakyat yang tertinggi di Malaysia. Tugas Dewan Negara adalah mengkaji semula dan meluluskan rang undang-undang yang dibawa naik oleh oleh Dewan Rakyat. Kedua-dua dewan perlu meluluskan rang undang-undang yang dibuat sebelum akhirnya dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenan Baginda.
Dewan Negara mempunyai kuasa untuk menolak dan membatalkan sebarang Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan kelebihan suara (majoriti) 2/3 dalam Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada bacaan kali kedua dan kali ketiga.
Kuasa veto yang dipunyai oleh Dewan Negara berkenaan Rang Undang-undang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan telah diperuntukkan di bawah Artikel 68(5) Perlembagaan Persekutuan.
Walaupun menjadi dewan perwakilan tertinggi negara, fungsi Dewan Negara semakin dipertikaikan umum kerana dianggap hanya menjadi 'rubber stamp' terhadap sebarang keputusan yang dibuat Dewan Rakyat. Malah seperti didakwa Karpal, Dewan Negara dijadikan 'pintu belakang' untuk melantik anggota kabinet yang tidak dipilih rakyat secara demokrasi.
Bagaimanapun adakah cadangan Karpal supaya Dewan Negara dimansuhkan menjadi pilihan terbaik?
Jika kita merujuk kembali peruntukan Perlembagaan berhubung Dewan Negara, sebenarnya banyak ruang yang boleh dimanfaatkan bagi memperkasa dan mereformasikan peranan institusi tersebut.
Perkara 45 Perlembagaan menjelaskan tentang komposisi keanggotaan Dewan Negara yang terdiri daripada ahli-ahli yang dipilih dan dilantik.
Daripada 70 anggota Dewan Negara, 26 dipilih melalui 13 Dewan Undangan Negeri (Dun) bersesuaian dengan Jadual Ketujuh Perlembagaan. Ini bermaksud setiap negeri dalam Persekutuan diberi hak memilih dua wakil ke Dewan Negara yang pada kebiasaannya dicadangkan oleh parti yang menguasai kerajaan negeri.
Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri pula berkuasa melantik 44 anggota termasuk dua ahli yang mewakili Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Labuan (1) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya (1).
Perkara 45(2) Perlembagaan menetapkan ahli-ahli yang akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong hendaklah orang yang pada pendapatnya telah memberikan perkhidmatan awam yang cemerlang atau telah mencapai keunggulan dalam profesion, perdagangan, perindustrian, pertanian, aktiviti kebudayaan atau perkhidmatan sosial atau yang mewakili ras minoriti atau berkebolehan mewakili kepentingan orang asli.
Sehubungan itu, adalah menjadi kewajipan kepada Perdana Menteri untuk mencadangkan nama-nama individu yang benar-benar cemerlang, bereputasi dan kredibel bagi diperkenankan Yang di-Pertuan Agong sebagai anggota Dewan Negara.
Sebarang perlantikan yang dibuat atas perkiraan politik tanpa mengambil kira reputasi dan kredibiliti individu adalah satu pengkhianatan kepada amanah dan tanggung jawab yang diberikan Perlembagaan.
Perlembagaan juga menetapkan penggal jawatan ahli Dewan Negara selama tiga tahun yang tidak terkesan dengan pembubaran Parlimen. Malah anggota Dewan Negara tidak boleh memegang jawatan melebihi dua penggal sama ada secara terus-menerus atau sebaliknya.
Apa yang perlu diberi perhatian oleh penggubal undang-undang termasuk Karpal Singh, Perkara 45(4) Perlembagaan sebenarnya memberi kuasa kepada parlimen untuk:
a) menambah bilangan ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri menjadi tiga;
b) memperuntukkan bahawa ahli yang akan dipilih bagi setiap Negeri dipilih sedemikian melalui undi terus oleh pemilih-pemilih Negeri itu;
c) mengurangkan bilangan ahli dilantik atau menghapuskan ahli dilantik.
Ini membawa maksud, anggota Dewan Negara yang dipilih melalui negeri boleh ditambah bilangannya kepada 39 orang berbanding 26 sekarang dan pemilihan mereka boleh dibuat secara undi terus tanpa melalui Dewan Undangan Negeri. Ini bermaksud, rakyat sesebuah negeri sebenarnya mempunyai pilihan untuk memilih anggota Dewan Negara jika dibenarkan parlimen!
Malah bilangan anggota Dewan Negara yang dipilih terus oleh rakyat boleh ditambah jika Parlimen bersetuju mengurang bilangan ahli yang dilantik Yang di-Pertuan Agong atau menghapuskan kaedah perlantikan itu sama sekali.
Perkara 120 Perlembagaan juga menghuraikan kaedah pemilihan terus ahli ke Dewan Negara iaitu:
a) keseluruhan sesuatu Negeri hendaklah menjadi satu bahagian pilihan raya dan dalam mana-mana pilihan raya ke Dewan Negara setiap pemilih hendaklah mempunyai undi sebanyak bilangan kerusi yang hendak diisi dalam pilihan raya itu; dan
b) daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Rakyat hendaklah juga menjadi daftar pemilih bagi pilihan raya ke Dewan Negara; dan
c) Perkara 118, 118A dan 119 hendaklah terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Negara sebagaimana Perkara-Perkara itu terpakai berhubung dengan pilihan raya ke Dewan Rakyat.
Peruntukan-peruntukan Perlembagaan di atas membuktikan bahawa reformasi Dewan Negara boleh dilakukan dengan kebenaran Parlimen. Malah sistem porpotional representative (perwakilan berkadar) yang diperjuangkan Pakatan Rakyat boleh dilaksanakan di peringkat Dewan Negara berbanding sistem 'first past the post' (pemenang undi terbanyak) bagi memilih anggota Dewan Rakyat.
Jika reformasi ini dilakukan, tidak mustahil untuk Dewan Negara dikuasai Pakatan Rakyat manakala Dewan Rakyat pula dikuasai BN. Begitulah sebaliknya. Ini akan memperbaiki sistem semak dan imbang (check and balance) negara dan menyuburkan lagi sistem demokrasi di negara ini.
Elok kiranya reformasi sistem Dewan Negara ini diperjuangkan Pakatan Rakyat pada sesi Dewan Rakyat akan datang.