Najib
akan tercatat dalam sejarah sebagai seorang ‘unelected Prime Minister’
negara ini kerana beliau tidak mengadakan pilihanraya sehingga tamat
penggal mandat Abdullah Badawi dahulu. Beliau tidak berapa yakin untuk
mendapatkan sokongan rakyat. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk
mendapat kepastian yang BN masih diterima tetapi sehingga hampir habis
saki baki penggal yang diperolehi oleh Abdullah Badawi dahulu Najib
masih tidak berkeyakinan untuk menang dalam PRU yang akan datang ini.
Ini sahaja sudah meyakinkan rakyat yang Najib belum berkeyakinan yang
beliau akan mendapat sokongan rakyat.
Allahyarham Tun Razak juga memakan masa lebih dari empat tahun untuk
memanggil pilihanraya. Tun Razak telah memanggil pilihanraya hanya pada
bulan Ogos 1974 setelah beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri
dari Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970 dahulu. Tetapi perbezaan di
antara Tun Razak dan Najib Tun Razak amat besar.
Tun Razak menghabiskan waktu selama empat tahun untuk menyelesaikan
isu-isu yang tidak selesai dan akhirnya telah berjaya mendapat formula
untuk mencapai perpaduan kaum dan melakukan inisiatif politik yang baru
dan menubuhkan Barisan Nasional.(BN). Akhirnya semua rakyat berpadu dan
memberikan mandat kepada BN yang melalui pilihanraya buat kali pertama
di atas nama baru, iaitu Barisan Nasional. Tun Razak hanya mengetuai
pilihanraya negara sekali sahaja kerana beliau telah meninggalkan kita
pada Januari 1976 dahulu.
BN telah berjaya menautkan yang berbalah di antara kaum dan BN telah
mendapat mandat yang begitu besar selepas Parlimen dipulihkan semula
setelah negara ditadbir oleh MAGERAN sejak tercetusnya kejadian 13 Mei
1969. Oleh kerana kejadian itulah Tun Razak yang telah bertungkus lumus
mencari formula untuk menyatukan kembali rakyat berbilang kaum dan
kaum-kaum bukan Melayu telah memberikan sokongan kepada Tun Razak dalam
pilihanraya 1974 itu.
Tetapi ia amat jauh bezanya di era Najib Tun Razak. Di zaman dan era
Najib Tun Razak pula terbalik. Rakyat yang berpadu sebelumnya telah
berpecah mengikut lunas-lunas perkauman. Rakyat sedang dipisahkan oleh
UMNO melalui isu perkauman yang menebal untuk menyatukan Melayu di bawah
UMNO. Tetapi orang Melayu tidak juga mahu bersatu di bawah UMNO.
Orang Melayu sudah rimas berada di bawah UMNO kerana
pemimpin-pemimpin mereka sudah tidak betul dan seolah-olah telah ditutup
hijab mereka. UMNO sudah hilang hidayah sepenuhnya sehinggakan parti
itu sudah tidak tahu lagi mengenali yang mana satu yang baik dan yang
mana yang buruk. Yang buruk dikatakannya baik dan yang baik dianggap
mereka sebagai buruk. Semuanya terbalik dan sekarang bertambah lah
keyakinan saya yang UMNO itu adalah pembawa dalil hari hampir kiamat.
Apa yang dilakukan oleh UMNO dahulu, diterbalikkan oleh pimpinan UMNO
sekarang. Kalau dahulu Felda ditubuhkan untuk memberikan orang miskin
yang tidak bertanah sebidang tanah seluas sepuluh ekar dengan tanaman
kelapa sawit dan getah, sekarang ini Felda telah membuka tanah seluas 1
juta ekar dan tidak menempatkan mereka yang bertanah ke dalamnya.
Sebaliknya diurus sejuta ekar ini di bawah Felda Plantation. Semua tanah
yang kaya dengan hasilnya ini disenaraikan dipasaran saham untuk
kepentingan kapitalis dan kroni UMNO yang tidak pernah pun memasuki
tanah rancangan Felda.
Seramai 80,000 rakyat yang tidak bertanah dan yang sepatutnya
dimasukkan ke dalam Felda tidak dilakukan. Kalau dahulu pimpinan sibuk
untuk membina ekonomi rakyat yang miskin kali ini UMNO membina ‘empire’
untuk kroni-kroninya dan rakyat yang miskin di minta nya untuk bersyukur
dan berterima kasih dengan wang BRIM yang sejemput itu. Bagi UMNO
rakyat tidak layak menjadi kaya raya. Kekayaan hanyalah untuk kroni dan
keluarga pemimpin UMNO dan beberapa rakyat yang eksklusif sahaja.
Peneroka-peneroka Felda hanya diberikan saham sebanyak 800 unit
sekeluarga. Jika ada sepuluh orang dalam keluarga itu mereka
bahagi-bahagikan lah diantara sepuluh orang ahli keluarga itu. Peneroka
hanya mendapat kuah sahaja tetapi mereka yang tidak kena mengena dengan
peneroka mendapat dagingnya. Masih ada peneroka yang berpuas hati dengan
mendapat kuah ini.
Agaknya mereka cukup dengan kuah sahaja. Kalau makan kuah, daging
kuah itu rasa daging juga. Seorang peneroka yang sebaya dengan saya di
Serting berkata dengan sindirannya, “Aspan, kito dapek kuah ajo..
Jadilah... Kok kuah gulai ayam pun, kuah tu pun ghaso ayam jugak. Daging
ayam tu biarlah dia oghang mentekedaghah. Kalau kito nak ghaso daging
ayam eh, kito tukarlah kerajaan yang boleh boghi kito makan daging eh.”
Kata-kata seperti ini meresap di kalangan masyarakat marhean kita.
Mereka tidak bercakap kuat-kuat kerana mereka tidak tahu untuk berkata
secara politik. Mereka hanya akan menunjukkan manifestasi mereka melalui
peti undi. Seorang rakan peneroka saya di Felda Rokan pula marah-marah
dengan akhbar Utusan dan beliau sudah berhenti membaca akhbar itu.
Semasa beliau datang berjumpa dengan saya di Subang Jaya beliau berkata,
“Utusan ni den buet mungkuih daging ajo bang. Den sokaghang baco
Harakah dan Sinar Harian. Anak-anak den pun bilo balik kampung kato,
yang kito kono tukar korajaan sekaghang ni. Lotih den negok UMNO ni”.
Keadaan ini berlaku di mana-mana dan tidak mampu UMNO untuk
mengubatinya. UMNO sudah terlalu lekeh pada pandangan mereka walaupun
bermacam-macam cara UMNO untuk menyekat mereka dari mencari pilihan
kepada UMNO. UMNO sudah di pandang seperti haiwan kurap oleh mereka yang
berfikir kerana kejahilan UMNO memahami perasaan rakyat bawahan sudah
tidak ada lagi.
UMNO di peringkat bahagian-bahagian hanya dipenuhi dengan kroni
ketua-ketua bahagian dan kebanyakkan mereka adalah kontraktor kelas F.
Penjawat awan di daerah-daerah pun ada lesen kelas F. Mereka dengan
menggunakan nama isteri atau anak-anak mereka. Kerja kontrak kecilan pun
disapu bersih oleh penggiat UMNO dan ini berlaku di seluruh negara.
Dua tiga hari lagi Najib akan ke Sabah lagi kerana Sabah yang beliau
anggap sebagai simpinan tetap untuk UMNO sudah menolak parti itu. Jika
Najib berulang alik ke Sabah setiap hari pun keadaan amat sukar untuk
diperbaiki. Takut-takut yang dikejar tidak dapat, yang dijinjing pula
berciciran. Najib perlu sedar yang tidak semua pimpinan UMNO bersimpati
dengan beliau kerana ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dari
kelemahan Najib ini untuk menguasai kerajaan.
Tapi apa pun saya tetap merasakan Najib merupakan seorang Perdana
Menteri UMNO yang terakhir dan beliau akan kekal tercatat sebagai
‘unelected Prime Minister’ negara kita.
Rakyat perlu bersedia untuk mengalami politik baru di bawah
pentadbiran baru dan mula belajar memperbaiki sikap dan mentaliti mereka
terhadap politik dan siasah negara. Kita memerlukan pimpinan yang
mempunyai sahsiah yang baik dan kita perlu jauhi pemimpin yang sentiasa
memenjarakan pemikiran kita.
Jika UMNO tidak lagi diberi mandat dalam PRU ini, ia bermakna kita
akan mencapai kemerdekaan dan terlepas dari penjara dan mula membentuk
pemikiran yang sesuai dengan keadaan dan zaman ini.
UMNO sudah tidak tentu lagi rupa dan bentuknya lagi. Pada hakikatnya
UMNO sudah wujud lagi. UMNO hanya tinggal pada namanya sahaja. Macam P
Ramlee yang hanya tinggal namanya sahaja. P Ramleenya sudah meninggalkan
kita lama dahulu. -
http://aspanaliasnet.blogspot.com