Rabu, 22 Februari 2012
Apakah Islam galakkan perjuangan perkauman?

Dr Mohd Asri Zainul Abidin, | 22 Feb 2012 |
Apakah Islam dan Nabi Islam Muhammad SAW menggalakkan perjuangan yang bersifat perkauman?
Islam agama universal ini wajarkah dikaitkan dengan ‘jihad perkauman’ yang telah mencetuskan pelbagai perbalahan sepanjang sejarah?
Wajarkah Islam dikaitkan dengan perjuangan perkauman?
Sehingga semasa saya di Malaysia baru-baru ini, dalam seminar bersama para penulis maya, seorang tokoh agama berjawatan tinggi dalam forum melahirkan rasa tidak puas hati kerana di Tanah Melayu ini ada masjid India, Benggali dan Cina.
Kelihatan, begitu sekali Islam itu diacuankan secara perkauman sehingga menafikan hak budaya muslim kaum lain. Untuk menjawab persoalan ini, saya ingin sebutkan beberapa noktah berikut;
Tiada siapa yang mampu menentukan bangsanya sebelum dia lahir samada untuk dia menjadi Arab, atau Melayu, atau Inggeris atau India atau selain itu. Ia adalah ketentuan Allah, bukan atas usaha atau kejayaan seseorang.
Maka hakikat ini mestilah difahami supaya kita tidak menyalahkan atau menghina seseorang atas sebab bangsa atau keturunannya kerana itu bukan pilihan atau kesalahannya. Sebaliknya kita menilai seseorang berdasarkan perbuatan dan akhlaknya. Inilah sikap yang adil.
Dosa keturunan tidak ditanggung oleh anak cucu. Dosa seseorang tidak boleh dibebankan atas orang lain yang sebangsa dengannya yang tidak terlibat dengan kesalahan itu.
Allah menjelaskan prinsip ini dalam al-Quran: (maksudnya) “dan seseorang yang boleh memikul, tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain. dan tiadalah Kami (Allah) mengazabkan sesiapapun sebelum Kami mengutuskan seorang rasul (untuk menerangkan yang benar dan yang salah). (Surah al-Isra, ayat 15).
Maka, perjuangan apapun yang mahu ditegakkan, hendaklah menilai setiap insan berdasarkan kepada akhlaknya, bukan titih keturunannya. Keadilan dalam Islam buta warna bangsa dan agama sekalipun. Keadilan untuk semua.
Sabda Nabi SAW:
“Wahai manusia! Sesungguhnya tuhan kamu sama, bapa kamu sama (Adam). Ketahuilah! Tiada kelebihan orang arab ke atas ‘ajam (yang bukan arab), atau ‘ajam ke atas arab, atau yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam, atau yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah melainkan ketakwaan” (Riwayat Ahmad dan al-Baihaqi, dinilai hasan oleh al-Albani).
Jika hal ini tidak dihayati, perkauman atau racism akan berlaku. Akan ada pihak yang teraniaya hanya kerana keturunannya walaupun mungkin dia tidak bersalah.
Diskriminasi seperti ini pernah berlaku di Amerika, sehingga Martin Luther King dalam pidatonya yang terkenal ‘I have a dream’ menyebut: “I have a dream that my four little children one day live in a nation where they will not be judged by the colour of their skin but by the content of their character”.
Maka, berdasar dua asas di atas, apa-apa sahaja tindakan atau pembahagian ekonomi dan sosial yang berasaskan bangsa terdedah kepada unsur-unsur ketidakadilan disebabkan faktor di atas. Hakikatnya, menilai berdasarkan agama lebih luas dari berasaskan bangsa. Kemudian, menilai keperluan kehidupan berdasarkan latar ekonomi seseorang lebih luas dari penilaian berdasarkan agama atau bangsa.
Tujuan Allah menciptakan berpuak dan berbangsa agar saling kenal mengenali antara satu sama lain.
Firman Allah: (maksudnya) “Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya. (Surah al-Hujurat: 13).
Lihat dalam ayat ini, Allah memanggil “Wahai manusia!”. Panggilan yang sangat adil merangkumi setiap bangsa dan puak. Bukan panggil perkauman atau fanatik keturunan.
Kata Sayyid Qutb dalam menafsirkan ayat ini: “Penciptaan manusia berbagai bangsa dan suku puak bukan untuk berperang dan bergaduh, tetapi untuk berkenalan dan bermuwafakat. Perbezaan bahasa, warna kulit, tabiat, perangai, kelebihan dan kemampuan adalah kepelbagaian yang bukan bertujuan untuk perbalahan dan perkelahian. Sebaliknya, untuk bantu membantu dalam menunai tanggungjawab dan keperluan. Tiada bagi warna kulit, jenis bangsa, bahasa, negara segalanya itu nilai dalam timbangan Allah.
Sebaliknya, di sana hanya satu timbangan yang menentukan nilai dan kelebihan manusia, iaitu “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu”. (Fi Zilal al-Quran 6/3348. Cairo: Dar al-Syuruq).
Maka, apa-apa sahaja tindakan atau peraturan yang boleh membawa permusuhan kaum, atau permusuhan atas dasar bangsa dan etnik, maka ia menjurus kepada unsur ketidakadilan yang ditolak oleh prinsip asas Islam.
Tiada kaum yang boleh menganggap mereka ‘lebih tuan’ dalam ertikata racial supremacy. Adapun hadis Nabi: “Para pemimpin dari Quraish” (Hadis sahih riwayat Ahmad, al-Tabarani, al-Baihaqi dll) tidak boleh dijadikan hujah ketuanan sesuatu bangsa. Hadis ini bukan soal ketuanan, tetapi soalan kemampuan dan pengaruh politik diambil kira dalam perlantikan pemimpin. Oleh kerana Quraish mempunyai pengaruh dan kemampuan politik dalam kalangan Arab ketika itu, maka mereka paling layak.
Dalam masa yang sama Nabi bersabda:“Sekalipun jika memerintah kamu seorang hamba habsyi, jika dia memimpin kamu dengan Kitab Allah, maka dengar dan taatlah” (Riwayat Muslim).
Hadis ini menafikan ketuanan kaum (racial supremacy) tertentu.
Di samping itu, kita hendaklah tahu bahawa setiap mukmin itu bersaudara tanpa mengira bangsa dan puak. Hak-hak persaudaraan Islam telah ditentukan oleh Allah dan rasulNya. Nilai persaudaraan ini hendaklah sentiasa kita pegang. Perbezaan keturunan dan bangsa tidak boleh menjejaskan hal ini.
Inilah asas perpaduan yang terpenting. Inilah perpaduan yang menyelamatkan kita dunia dan akhirat. Firman Allah: (maksudnya) “Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (Islam), dan janganlah kamu berpecah-belah; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu dahulunya bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara jantung hati kamu, maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu bersaudara (persaudaraan Islam).
Dan kamu dahulunya berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu darinya (disebabkan nikmat Islam). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya." (Surah Ali ‘Imran ayat 103).
Menolong seseorang berdasarkan agama memberikan ruang yang lebih terbuka daripada menolong seseorang berdasarkan bangsa. Ini kerana seseorang boleh memilih agamanya, tetapi tidak boleh memilih bangsanya.
Menolong Kaum Dalam Islam
Setelah kita faham dan beriman dengan asas-asas yang disebutkan di atas. Bertindak berteraskan asas ini, maka tidaklah menjadi kesalahan jika kita dalam masa yang sama berusaha memajukan bangsa atau keturunan kita dengan syarat kita tidak menzalimi dan menghina kaum yang lain. Dalam Islam pun, harta pusaka juga diwarisi oleh kaum keluarga.
Kita juga disuruh menghubungkan silaturrahim sesama keluarga dan al-Quran juga menyuruh kita membantu keluarga di sudut harta. Firman Allah: (maksudnya) “Maka (sebagai tanda syukur) berikanlah kepada kaum kerabatmu, miskin dan orang musafir akan haknya masing-masing; pemberian yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang bertujuan memperoleh keredhaan Allah dan mereka itulah orang-orang yang berjaya." (Surah al-Rum, ayat 37)
Nabi juga memuji sikap tolong menolong dalam memajukan atau membantu kaum atau puak sendiri, dengan syarat tidak menzalimi puak yang lain. Sabda Nabi: “Sesungguhnya kaum al-`Asy`ariyin apabila habis bekalan mereka dalam peperangan, atau kurang makanan keluarga mereka di Madinah, mereka himpunkan apa yang ada pada mereka dalam satu kain. Kemudian mereka membahagikan dalam satu bekas dengan sama rata. Sesungguhnya mereka daripadaku dan aku daripada mereka." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Ertinya, walaupun Islam menentang ‘asabiyyah namun Islam tidak menentang usaha membantu dan memartabatkan kaum sendiri, jika ada keperluan ke arah itu dan tidak membawa kepada pemusuhan antara puak dan kaum.
Adapun asabiyyah sebenarnya adalah sikap berpuak yang membawa kepada membelakangkan kebenaran dan kezaliman kepada kepada pihak lain. Sikap fanatik puak itu mungkin menjelma dalam bentuk bangsa, ataupun parti politik, atau mazhab, atau kumpulan atau apa sahaja yang fanatik dan menolak kebenaran orang lain.
Sabda Nabi: “Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (Muslim).
Rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) adalah kiasan kepada suatu puak yang berhimpun atas suatu perkara yang tidak diketahui sama ada benar atau batil, namun membela atas dasar ketaksuban. Ertinya, jika ada ciri demikian maka itu ‘asabiyyah yang dilarang; samada perjuangan parti atau perjuangan kaum. Maka, bukan sahaja perjuangan politik bangsa boleh menjadi ‘asabiyyah, perjuangan atas nama Islam jika fanatik dan menolak kebenaran hanya kerana keputusan parti juga boleh dinamakan ‘asabiyyah.
Usaha memartabatkan kaum bukan prinsip perjuangan tetapi boleh menjadi keperluan sementara yang dilakukan apabila keadaan mendesak seperti yang berlaku kepada kabilah al-Asy’ariyyin dalam hadis di atas. Sebab itu al-Quran bukan sahaja menyebut membantu kaum kerabat yang susah, tetapi juga membantu golongan miskin, orang musafir yang kesusahan tanpa dikaitkan dengan kaum kerabat atau bangsa.
Ertinya; prinsip Islam mengatasi segalanya termasuk isu bangsa. Perjuangan bangsa jika bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam yang disebutkan tadi adalah diharamkan. Namun, usaha memartabatkan bangsa jika tidak bertentangan dengan prinsip-prinsip Islam seperti prinsip persaudaraan Islam, keadilan untuk semua dan tidak menghina bangsa lain, maka ia diizinkan, bahkan terpuji.
Namun, berjihad menentang kaum lain atas nama bangsa, bukan ajaran Islam.
-----------------------------------------
Penulis bekas mufti Perlis dan kini bertugas sebagai zamil di Universiti Oxford. Tulisan asal disiarkan dalam Malaysiakini.

Langgan:
Catatan (Atom)