Jumaat, 1 November 2013

Ibnu Hasyim: Mengapa Blog You Asyik Salahkan UMNO?

Ibnu Hasyim: Mengapa Blog You Asyik Salahkan UMNO?: CATATAN SANTAI  "MENGAPA blog you asyik salahkan UMNO? Nanti orang bosan membacanya.." Tanya atau sindir kawanku, seo...

Akhbar: Nepal lebih telus berbanding Malaysia

Selangorku, 01 Nov 2013
SHAH ALAM: Nepal lebih telus dan terbuka kerana mempunyai 127 akhbar, berbanding Malaysia yang dilihat kurang memberikan kebebasan media.

Kerajaan Nepal percaya dengan memberikan kebebasan media mampu membawa kepada kemajuan mentaliti pemimpin dan rakyat negara Asia Selatan itu.

Walaupun Nepal masih dikategorikan sebagai negara dunia ketiga daripada segi pembangunan fizikal, tetapi mentaliti pemimpin negara itu dianggap lebih maju berbanding Barisan Nasional (BN).

Bekas Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari berkata, hal itu dibuktikan apabila sehingga kini Nepal mempunyai 127 akhbar tidak termasuk akhbar yang diterbitkan peringkat negeri.

“Walaupun kita membangun dan mempunyai prasarana seperti negara maju tetapi mentaliti kerajaan masih di tahap negara dunia ketiga kerana mereka ingin mengawal media. Sebenarnya, semua kerajaan ingin kawal tanpa beri ruang kebebasan kepada media dan masyarakat,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, hari ini.

Hatta turut mengutuk tindakan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengeluarkan kenyataan berbaur ugutan untuk menutup akhbar yang menerbitkan kenyataan beliau dalam satu program di Melaka, baru-baru ini.

“Ini kenyataan paling kurang ajar yang keluar daripada seorang pemimpin dan beliau mempunyai mentaliti dunia ketiga dengan beranggapan mempunyai kuasa dan boleh kawal kebebasan media. Pemimpin seperti ini kita kena tolak,” katanya.

Menyentuh kemenangan portal berita Malaysiakini dalam kes rayuan KDN yang menolak permit penerbitannya, Hatta berharap kemenangan itu akan menjadi contoh kepada media lain supaya berani menerbitkan media seimbang dan telus.

“Kemenangan Malaysiakini patut dijadikan contoh kepada media lain dan saya harap industri media kita lebih bebas serta maju,” katanya.

Nyawa II

Nyawa II

Idanradzi, 01 Nov 2013
Nyawa II

Dari denyutan nadi ayah & ibu
bersatu janin seorang aku
yang bersemi dalam hembusan roh
bernafas jantungku ke dunia-Mu.

Isteri adalah kekasihku dunia akhirat
aku tidak pernah membahagikan cintaku
siang malam menanti kehadiranmu
dalam tidur & jagaku Bidadariku.

Iman adalah nyawaku nan ramah dalam diri
tidak pernah pun diri mengerti abadi
Dia memerhatiku dalam duduk atau berdiri
dalam solat doa ibadah atau kiblat-Mu
aku bak asyik buta hati lalai duniawi.

Nyawaku punya siapa jika bukanmu kekasihku
Nyawaku punya siapa jika bukan-Mu Ilahiku
Nyawaku punya siapa bila mati tak bernadi lagi.

(Hatta kenapa tamak dengan harta & kuasa
sementelah segalanya takkan kekal lama)

Bajet dan nasihat Nabi Shu‘Aib


Prof Madya Dato’ Dr Mohd Asri Zainul Abidin, 01 Nov 2013
Kita baru sahaja mendengar pembentangan Bajet 2014. Pelbagai ulasan dibuat oleh pelbagai pihak. Ada yang pakar, ada yang tidak pakar. Ahli ekonomi apabila berkata-kata banyak istilah dan angka yang mereka lafazkan. Orang awam mungkin tidak semua yang faham. Jika pun mereka tahu maksud, mereka tidak tahu pula antara angka yang benar dan angka yang di‘silap mata’kan. Apabila hutang negara bertambah, beban rakyat meningkat, kehidupan menjadi sukar, jenayah dan ketakutan mula merayap ke segenap kehidupan rakyat dan sebagainya, maka bala dan derita itu dirasai oleh semua peringkat. Mereka yang faham dengan segala istilah dan angka, juga mereka yang kurang faham atau langsung tidak faham pun akan merasai derita dari segala bala tersebut.

Saya tidak mahu mengulas bajet secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh pakar-pakarnya. Saya sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.

Nabi Shu’aib merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada Kaum Madyan. Beliau terpaksa menghadapi kerenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan harta yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka. Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Shu’aib bagi mengingatkan sesiapa yang terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam menguruskan harta. Bahasa Nabi Shu’aib a.s. bahasa asas yang dapat difahami oleh semua peringkat.

Penipuan Harga


Penipuan harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku samada dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan dengan nilai yang sepatut. Sehingga projek-projek itu dibayar oleh kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi ‘sukatan’ ataupun ‘timbangan’ yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Shu‘aib tegaskan dalam seruannya. Firman Allah: (maksudnya)

“dan kepada penduduk Madyan Kami utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: “Wahai kaumku! Sembahlah Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah kamu mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab hari yang meliputi.” (Surah Hud ayat 84).

Menipu timbangan ataupun sukatan bukan bererti tidak langsung menimbang ataupun menyukat, tetapi sukatan dan timbangan secara tipu. Inilah punca kemusnahan kehidupan penduduk Madyan kerana ada pihak yang menipu dalam berurusan dengan pihak yang lain. Justeru, negara yang baik hendak mempratikkan ‘good monetary policy’ yang dapat menyelamat harta awam dari ditipu ataupun dirompak secara ‘lulus di atas kertas’. Kebanyakan penipu silam dan moden memperlihatkan seakan mereka jujur pada mata yang tertipu, tetapi hakikatnya mereka penipu. Hal ini akan menyebabkan negara yang zahirnya kaya, tetapi rakyatnya susah sebab timbangan dan sukatan mereka sudah ditipu. Nampak banyak, hasilnya sedikit.

Mengurangi Hak

Ingatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya)

“Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya.” (Surah Hud: 85).

Dalam konteks negara, jika kita membicarakan tentang hak, maka hak rakyat menikmati kekayaan bagi setiap negara tidak sama. Ia bergantung kepada latar kekayaan negara tersebut. Jangan samakan Malaysia dengan negara yang lebih miskin dari kita ataupun sebaliknya. Sebab itu al-Quran apabila menyebut tentang mut’ah yang suami patut berikan kepada isteri yang diceraikan, Allah memerintahkan agar kadarnya ditentukan oleh kemampuan masing-masing. Allah menyebut:

“..hendaklah kamu memberi “mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu), iaitu suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan.” (Surah al-Baqarah, ayat 236).

Suami yang kaya tidak boleh memberikan saguhati ataupun mut’ah itu seperti kadar yang diberikan oleh suami yang miskin. Dia tidak boleh bandingkan hak isterinya dengan isteri orang tidak sekaya dirinya. Demikian hak-hak rakyat dalam setiap negara itu berbeza berdasarkan kekuatan kekayaan negara berkenaan. Tidak boleh mana-mana kerajaan yang kaya menyamakan hak rakyat di negaranya dengan rakyat di negara yang lebih miskin daripadanya. Lebih buruk lagi jika sebahagian ‘bangsawan’ dan ‘atasan’ menikmati kekayaan sesebuah negara secara berlebihan sementara sebahagian rakyat hanya menjilat lebihan kuah yang tumpah ke lantai sahaja.

Keberkatan

Intipati yang penting dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal. Shu’aib a.s: (maksudnya)

“Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah orang yang mengawasi kamu.” (Surah Hud, ayat 86).

Inilah asas jiwa insan yang jujur dalam pengurusan ekonomi. Jiwa yang memadai dengan yang halal dengan tidak mengambil harta orang lain atau pun mengurangkan hak mereka. Memadai dengan apa yang tinggal dari pengurusan yang halal itu lebih baik dan diberkati Tuhan. Dilimpahkan kedamaian dan kebaikan dari pelbagai sudut dalam kehidupan. Kebahagiaan bukan hanya diukur dengan jumlah harta tetapi kurniaan keberkataan limpahan Tuhan kepada kehidupan ini. Keberkatan adalah elemen yang ditekankan dalam pengurusan ekonomi Islam yang tiada dalam sistem ekonomi yang lain. Keberkatan itu seperti kata Al-Asfahani (meninggal 425H) bermaksud

“kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu.” (Al-Asfahani, Mufradat Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam)


Lihatlah bila keberkatan hilang maka orang yang kaya-raya pun hidup tanpa bahagia. Pencuri-pencuri harta awam hendaklah faham hakikat ini. Pengurus harta awam juga hendaklah faham. Justeru itu kita kena sedar bahawa jumlah jenayah dan keadaan tekanan hidup yang sedang meningkat dalam negara kita adalah antara tanda hilangnya keberkatan kehidupan.

Good Governance

Good governance atau urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang bertanggungjawab lagi baik. Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan characteristics sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji tentang international development boleh memperincikannya.

Apapun, nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya As-Siyasah asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut:

“Tidak boleh para pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan pemilik harta. Ini seperti yang Nabi SAW sabda: “Aku –demi Allah- tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”

“Inilah rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya dia (Rasulullah SAW) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.

Sambung Ibn Taimiyah lagi:

“Demikian apabila seseorang berkata kepada (Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab ‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52. Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]

Air mata Jumaat terakhir


Mohammad Faizal Che Yusof, 01 Nov 2013
Pada pagi jumaat akhir tahun 1434H hari ini, saya catatkan nota ringkas ini buat umat Islam seluruhnya di bumi tercinta. Ketika ini kita diselubungi dengan pelbagai ujian yang kadangkala terasa amat penat sementara menantikan saat dipanggil Ilahi.

Saya titipkan ingatan ini khusus untuk diri sendiri sambil ingin dikongsikan bersama moga Islam terus terbela bersama kepimpinan yang menjadikan Taqwa sebagai matlamat. Ia bukan mudah. Ia sesungguhnya diliputi pelbagai cabaran dan dugaan yang mampu menewaskan sesiapa sahaja.

Lihat saja di sekeliling kita. Terlalu sedikit suasana yang disebut “biah” yang dapat mendorong kita menuju Allah. Kita bukan ikan yang mampu hidup di dalam air yang masin sedang kemasinan itu langsung tidak menyerapi ke dalam badan.

Kita adalah insan yang mudah lupa dan mudah diganggu dengan suasana sekeliling yang penuh pancaroba. Apakah kita selaku umat Islam mahukan suasana ini berterusan?

Membayangkan azab Allah yang bakal mengena sesiapa sahaja, tentunya kita tidak mahu suasana pincang ini diwarisi oleh anak-anak dan generasi kita selepas ini. Justeru, mahu tidak mahu, suka atau pun tidak, berusaha meletakkan kepimpinan yang meletakkan redha Allah sebagai keutamaan harus menjadi iltizam setiap individu Islam.

Usah lagi kita bicara pemimpin itu sombong dan tidak menegur sapa hanya kerana kita tidak diberi belanja minum secawan teh tarik atau sekeping roti telur di kedai mamak. Usah lagi kita masyhurkan pemimpin itu tidak bijak kerana tiada strategi hebat yang diumumkan saban waktu yang kadangkala hanya mengulik jiwa dan hati.

Intailah taqwa dan tawaduk dalam jiwa mereka dan bantulah mereka sedaya upaya kita demi menzahirkan kesyumulan Islam untuk dinikmati. Berkata itu mudah. Menulis itu juga mudah. Berjuang di lapangan itu penuh dugaan dan cubaan.

Lihatlah mereka yang dhaif di sekeliling kita. Pedulilah mereka yang dijadikan cacat guna memapar kuasa Tuhan yang maha sempurna. Tanpa dokongan dari seluruh umat Islam, tiada siapa yang terkecuali dari gangguan iblis yang sentiasa mengintip saat-saat ketika anak adam leka dan alpa.

Moga fajar 1435H yang bakal menyinsing membuka satu lembaran baru untuk kita melangkah yakin mendaulatkan syariat Allah di tanah bertuah ini. – 27 Zulhijjah 1434H.