Jumaat, 1 November 2013

Air mata Jumaat terakhir


Mohammad Faizal Che Yusof, 01 Nov 2013
Pada pagi jumaat akhir tahun 1434H hari ini, saya catatkan nota ringkas ini buat umat Islam seluruhnya di bumi tercinta. Ketika ini kita diselubungi dengan pelbagai ujian yang kadangkala terasa amat penat sementara menantikan saat dipanggil Ilahi.

Saya titipkan ingatan ini khusus untuk diri sendiri sambil ingin dikongsikan bersama moga Islam terus terbela bersama kepimpinan yang menjadikan Taqwa sebagai matlamat. Ia bukan mudah. Ia sesungguhnya diliputi pelbagai cabaran dan dugaan yang mampu menewaskan sesiapa sahaja.

Lihat saja di sekeliling kita. Terlalu sedikit suasana yang disebut “biah” yang dapat mendorong kita menuju Allah. Kita bukan ikan yang mampu hidup di dalam air yang masin sedang kemasinan itu langsung tidak menyerapi ke dalam badan.

Kita adalah insan yang mudah lupa dan mudah diganggu dengan suasana sekeliling yang penuh pancaroba. Apakah kita selaku umat Islam mahukan suasana ini berterusan?

Membayangkan azab Allah yang bakal mengena sesiapa sahaja, tentunya kita tidak mahu suasana pincang ini diwarisi oleh anak-anak dan generasi kita selepas ini. Justeru, mahu tidak mahu, suka atau pun tidak, berusaha meletakkan kepimpinan yang meletakkan redha Allah sebagai keutamaan harus menjadi iltizam setiap individu Islam.

Usah lagi kita bicara pemimpin itu sombong dan tidak menegur sapa hanya kerana kita tidak diberi belanja minum secawan teh tarik atau sekeping roti telur di kedai mamak. Usah lagi kita masyhurkan pemimpin itu tidak bijak kerana tiada strategi hebat yang diumumkan saban waktu yang kadangkala hanya mengulik jiwa dan hati.

Intailah taqwa dan tawaduk dalam jiwa mereka dan bantulah mereka sedaya upaya kita demi menzahirkan kesyumulan Islam untuk dinikmati. Berkata itu mudah. Menulis itu juga mudah. Berjuang di lapangan itu penuh dugaan dan cubaan.

Lihatlah mereka yang dhaif di sekeliling kita. Pedulilah mereka yang dijadikan cacat guna memapar kuasa Tuhan yang maha sempurna. Tanpa dokongan dari seluruh umat Islam, tiada siapa yang terkecuali dari gangguan iblis yang sentiasa mengintip saat-saat ketika anak adam leka dan alpa.

Moga fajar 1435H yang bakal menyinsing membuka satu lembaran baru untuk kita melangkah yakin mendaulatkan syariat Allah di tanah bertuah ini. – 27 Zulhijjah 1434H.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan