Jumaat, 2 November 2012

Rahmat tersembunyi Operasi Lalang 1987




Rahmat tersembunyi Operasi Lalang 1987

Ahmad Lutfi Othman, 02 Nov 2012
Dr Mahathir Mohamad sendiri mengakui dalam memoirnya, "Doktor Umum" (2012), bahawa Operasi Lalang, Oktober 1987 "menjadi titik hitam dalam sejarah pentadbiran Malaysia dan sepanjang tempoh saya menjadi Perdana Menteri".

Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri ketika itu, turut menarik balik lesen penerbitan tiga akhbar berpengaruh, dalam tiga bahasa utama, The Star (muka depannya pada hari pertama tangkapan yang membawa kepada pengharamannya, simple tapi menarik dan mudah diingati), Sin Chew Jit Poh dan Watan, atas alasan menyemarakkan api perkauman (yang sebenarnya didalangi Umno-MCA). Serentak dengan itu, majlis ceramah politik tidak dibenarkan dan Malaysia bagaikan bertukar menjadi sebuah "negara polis".

Saya, yang baru memulakan kerjaya -- pada Mac 1987 -- sebagai pemberita Harakah (dan turut terbabit dalam edisi sulungnya)  di bawah tunjuk ajar tokoh wartawan tersohor, Subky Abd Latiff,  merasai sendiri situasi sulit cemas-takut sehingga setiap orang gelisah menjangkakan mereka juga boleh diserkup bila-bila masa. Mendengar nama-nama tahanan yang tidak begitu dikenali dicekup hari ke hari membuatkan hampir semua yang pernah "berseteru" dengan pemerintah gerun.

Bersama hampir 20 rakan serumah yang masih bujang di Kg Datuk Keramat, Kuala Lumpur, kami menanti khabar dengan penuh debar tahanan-tahanan baru yang bakal disumbat. Sepuluh hari sebelum  itu, pada 18 Oktober, kejadian amuk Prebet Adam menggunakan senjata M16 di Chow Kit dan Kg Baru mengemparkan tanahair, selain merancakkan lagi pasaran berita angin terutama mengaitkan dengan isu-isu perkauman. Umno pula memukul gendang mahu mengadakan perhimpunan raksasa sebagai tindak balas terhadap isu-isu pendidikan Cina. Timbalan Presiden MCA, Lee Kim Sai beraksi garang memanipulasinya.  DAP, MCA dan Gerakan digambarkan bersatu menangani isu berkenaan.

Kebetulan saya baru saja menyiapkan satu makalah khas mengenai Peristiwa Memali, diusahakan oleh Jabatan Penerangan PAS Pusat, yang juga menerbitkan Harakah, dengan judul Percikan Darah Syuhada. Saya bermalam di kampung penuh bersejarah itu, dan mendapat layanan istimewa penduduk setempat, kunjungan kedua saya selepas menziarahinya dua bulan selepas tragedi berdarah pada hujung 1985

Bimbang turut sama menjadi mangsa ISA yang menggila, helaian pertama majalah tanpa permit itu, terpaksa digunting dan dibuang sebelum diedarkan, dengan penuh hati-hati. Memang benar-benar terasa suasana takut, risau dan penuh curiga.

Saya juga merakamkan getar Ops Lalang dalam makalah one-off, berjudul "Demokrasi Zaman Mahathir", diusahakan syarikat sendiri, Penerbitan Pemuda. Tidak pencetak berani mengambil risiko menyebabkan saya -- yang berhutang modal pembelian kertas -- berpindah-randah mencari rakan-rakan yang bersimpati. Bayangkan, proses binding makalah berkenaan dijalankan di rumah sewa secara manual, dengan bantuan lebih 12 rakan-rakan!

Tragedi penahanan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) membabitkan lebih 100 aktivis masyarakat, pemimpin parti politik, penggerak pertubuhan alam sekitar dan  tokoh pendidikan Cina itu kerap dikaitkan dengan "era kediktatoran melalui undang-undang" Mahathir.

Antara tokoh-tokoh yang dikurung ialah Mohamad Sabu, Ustaz Halim Arshat, Khalid Samad, Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, Karpal Singh, Dr Chandra Muzaffar, Dr Nasir Hashim dan Dr Kua Kia Soong. Ramai lagi tahanan yang tidak pernah dikenali menjadikan Ops Lalang itu bagaikan lembaga hitam yang cukup menakutkan.

Hujung November lalu, genap 25 tahun peristiwa itu berlalu. Biarpun jelas ia sarat dengan motif politik, terutama bagi menyelamatkan kedudukannya yang cukup terancam, termasuk cabaran dalaman Umno yang begitu sengit dan tajam, namun hingga kini, Mahathir masih cuba untuk merasionalkan tindakan zalimnya itu dengan daleh-daleh longgar.

Beliau juga dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa bersalahnya terhadap satu lagi aksi brutalnya, iaitu pemecatan Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas dan dua Hakim Mahkamah Agung serta satu kempen terancang untuk memusnahkan kebebasan badan kehakiman. Sampai saat ini, kewibawaan dan integriti hakim-hakim di Malaysia tetap dipersoal, manakala cabang eksekutif masih dilihat campur tangan dalam kes-kes kritikal mahkamah.

Apa pun, saya tertarik dengan komentar beberapa pemimpin kanan DAP, khususnya Lim Guan Eng, terhadap episod gelita suku abad yang lalu itu: "Pemimpin PAS dan DAP  mendapat peluang untuk saling kenal-mengenali lantas memecahkan fitnah yang ditaburkan Umno untuk memomokkan masyarakat bukan Melayu tentang PAS dan masyarakat Melayu tentang DAP.

"Hubungan yang dijalin dalam tahanan 25 tahun lalu telah menjadi batu asas kepada hubungan kerjasama antara dua parti itu pada hari ini."

Ya, isu dan krisis yang menyelubungi Umno waktu itu begitu kritikal dan cukup dahsyat sekali. Cabaran Tengku Razaleigh bersama Musa Hitam pada April 1987, yang kemudiannya membawa kes ke mahkamah, sehingga Hakim Harun Hashim tida pilihan lain dan "terpaksa" mengharamkan Umno (atas kemahuan Presidennya, Mahathir sendiri) seterusnya mengakibatkan Tun Salleh dipecat bagi mengelak keputusan Mahkamah Agung yang boleh "menjahanamkan" kerjaya politik Mahathir.


Bagaimanapun, disebabkan parti-parti pembangkang, khususnya PAS dan DAP, gagal membentuk persefahaman politik dan seringkali bercanggah pendapat -- meskipun mempunyai tujuan murni yang sama -- elit Umno telah menyambar kesempatan itu untuk terus bertakhta, merampok harta rakyat dan mencuri khazanah negara. Dalam keadaan serba sulit diasak segenap penjuru itu, Mahathir terselamatkan disebabkan saingan politiknya turut berpecah.

Azab di Kamunting 25 tahun lalu itu rupanya cukup berbaloi. Kesengsaraan dipisahkan daripada anak isteri memang pedih tetapi ia berupaya mendekatkan diri sesama pejuang keadilan, daripada pelbagai kumpulan dan berjaya meletakkan asas persefahaman yang kukuh serta mantap untuk satu proses agak panjang membebaskan negara.

Pengalaman di saat sukar itu mahal harganya. Pemimpin muda DAP, Liew Chin Tong, yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera, merumuskan: "Keakraban yang terbentuk dalam kesusahan akan berterusan mengukuhkan pergerakan bagi mendirikan Malaysia yang baru dan lebih baik untuk semua."

Mohamad Sabu yang dikurung satu kawasan dengan Guan Eng mengingati "detik-detik manis" itu:  "Kami yang duduk bersama-sama di Kamunting berpeluang bertukar pandangan mengenai pendirian parti masing-masing terhadap isu-isu rejim  Mahathir. Ini termasuklah prinsip DAP yang tidak menolak usaha membantu Bumiputera miskin sebaliknya menentang kecenderungan nasionalisme Melayu yang dieksploitasi hanya untuk mengkayakan pemimpin dan kroni Melayu tertentu sahaja."

Ketika budaya politik baru -- yang menolak sentimen perkauman dan memandang tinggi isu-isu good governance -- makin tumbuh subur di kalangan rakyat Malaysia, Umno dan kerabatnya dalam BN seperti MCA masih ghairah memainkan lagu lama bagi melaga-lagakan parti pembangkang.

Pelbagai jerat cuba dipasang, misalnya melalui kontroversi Hudud mutakhir ini, namun banyak pihak yakin, persefahaman PAS-DAP yang menempuh jalan berliku dan onak berduri tidak semudah itu dapat digoyang. Perangkap Umno-MCA hanya akan memakan tuan sendiri!

Umno-BN yang hampir kehilangan kuasa dan mungkin membilang hari-hari akhirnya masih tidak berputus asa untuk mengadu-domba parti-parti dalam Pakatan, khususnya PAS dan DAP. Jika kedua-dua parti pembangkang yang berkongsi kepedihan dan keperitan panjang itu dapat dipisahkan, seperti Barisan Alternatif pernah dihancurkan selepas 1999, nescaya Najib tidak ragu-ragu lagi untuk menghadap Agong bagi membubarkan Parlimen.

Ops Lalang 1987 merakamkan sejarah hitam yang pastinya terus menganggu hari-hari tua Mahathir, namun ia menjadi penyambung ikatan berpanjangan buat PAS dan DAP melakarkan sejarah gemilang dalam PRU13 nanti, dibantu KeADILan, dengan teraju utamanya, Anwar Ibrahim, yang turut menerima pendidikan terbaik, bukan saja dari Kamunting di usia mudanya tetapi juga berpindah dari lokap dan penjara ...

TG Nik Aziz ajar solat di mana sahaja


|

TG Nik Aziz ajar solat di mana sahaja

Salmah Mat Husain Foto: Rizal Tahir, 02 Nov 2012

(TG Nik Aziz solat bersama exco dan isterinya di Istana Negeri Kelantan.)


KOTA BHARU: Solat boleh dibuat di mana sahaja. Di dalam belukar, di tepi sungai mahupun di dalam istana.

Inilah yang diajar secara praktikal oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada rakyatnya.

Hatta tanpa memiliki kain sembahyang yang lengkap (baju puteh), beliau mengajar umat Islam boleh menunaikan solat asalkan menutup aurat.

Semalam sewaktu majlis perasmian Ekspo Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) 2012, Tuan Guru berkesempatan menunaikan solat Zohor di Istana Negeri, iaitu di satu sudut ruang pameran sempena ekspo itu.

Turut menunaikan solat Zohor, anggota exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Fatah Mahmood dan isterinya Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak.

Sebelum ini, beliau dilihat menunaikan solat di tepi belukar dan di tepi sungai.

AES: BN makin lemah dan nyanyuk, perlu ditukar

AES: BN makin lemah dan nyanyuk, perlu ditukar

Harakahdaily, 02 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PRU13 adalah pilihan terbaik buat rakyat menukar daripada kepimpinan tua BN yang terbukti gagal dan lemah kepada Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) yang menjadi harapan rakyat.


Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia, Riduan Mohd Nor (gambar) berkata, ini kerana projek Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sudah menjadi polemik dan bahan cemuhan rakyat.

Kali ini, ujarnya bukan setakat Pakatan Rakyat yang menentang, tetapi ia juga ditentang oleh Ahli Parlimen kerajaan.

“Semakin banyak suara yang bangkit menentang pelaksanaannya, kerana merasakan ia tidak wajar dibuat buat waktu ini.

“Paling tidak ada yang mendesak menangguhkan pelaksanaannya supaya ianya benar-benar difahami oleh segenap lapisan rakyat,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, AES nampak seperti cantik pada nawaitu tindakannya, iaitu untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, juga untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin dengan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Namun, katanya ramai tidak berpuas hati dengan kaedah saman yang dilaksanakan terhadap pesalah jalan raya melalui kamera yang dipasang di tepi jalan raya.

“Timbul pula curiga bahawa pelaksanaan AES ini hanya untuk menguntungkan syarikat pengendalinya yang bakal mendapat habuan RM16 daripada setiap saman yang dikeluarkan," ujarnya.

Katanya, penolakan projek AES merupakan suatu tamparan hebat buat pemimpin BN dan AES menjadi suatu beban yang tertanggung kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak khususnya kepada Menteri Pengakutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Malah, ujarnya sudah ada suatu desakan yang meminta Menteri Pengangkutan tersebut meletakkan jawatan sekiranya projek ini benar-benar ditentang dan ditolak di Parlimen kelak.

“Apakah projek ini juga menjadi suatu mesej tersirat bahawa kepemimpinan Perdana Menteri turut tercabar?” soalnya.

Beliau berkata, ramai menganggap sikap terburu-buru kerajaan dalam mengengahkan sesuatu dasar itu tanpa berfikir panjang serta meminta pandangan rakyat akhirnya memakan diri.

Menurutnya lagi, sudah acap kali keputusan besar kerajaan dibantah oleh rakyat sehingga akhirnya ianya terpaksa ditarik balik setelah mendapat bantahan awam.

Soalnya, kata beliau mengapa kerajaan tidak membuat kajian terlebih dahulu atau mendapatkan pandangan rakyat terlebih dahulu sebelum sesuatu dasar itu dilaksanakan.

“Mengapa terlalu mudah kerajaan membuat sesuatu keputusan sebelum ianya diperhalusi dari segenap sudut?” katanya

Nampaknya, ujar Riduan AES akan menjadi satu lagi projek gagal kerajaan BN, ibarat orang tua yang semakin lemah dan nyanyuk, kerap kali tindakannya tersasar kerana lemahnya akal pemikiran serta daya ingatannya.

Justeru, tegasnya negara perlu diselamatkan segera dari pelbagai dasar gagal kerajaan BN.

AES: Akhirnya Engkau Susah




AES: Akhirnya Engkau Susah

http://msomelayu.blogspot.com, 01 Nov 2012

JENAKA SORE


Bantahan terhadap pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tampaknya semakin panas dan meluas. Ia bukan saja dari pihak pembangkang yang peka melihat penguatkuasaan sistem itu sebagai menyusahkan penggunaan, tetapi ia juga dibantah oleh ahli Parlimen BN. Ketua Pemuda Umno yang tidak ada diberikan kuasa dan jawatan Khairy Jamaluddin juga membantah dan pelaksanaannya minta ditangguhkan.

Hasil hebahan pembangkang kini rakyat dan orang ramai sudah tahu apakah 'hantu' dan 'momok' di sebalik sistem berkenaan. Pembelian peralatan seperti itu bukan pertama kali ia membazir dan tidak membantu membaikpulihkan keadaan (keselamatan jalan) raya, tetapi sudah banyak sebelum ini.

Jadi buat apa lagi kerajaan berkeras untuk meneruskan juga AES ini. Ia perlu ditangguhkan segera.  Kerajaan tidak perlu menimbangkan apakah penangguhan itu akan menguntungkan parti politik mana tetapi yang penting melihat ia bermanfaat kepada rakyat seluruhnya.

Sehingga hari ini pihak kerajaan terutamanya menteri bersangkutan, Menteri Pengangkutan Kong Cho Ha masih membisu. Belum ada apa-apa keputusan. Apakah semuanya hendak tunggu Najib Razak bersuara baru hendak bertindak? Naif sangatlah menteri berkenaan. Dan letihlah Najib kalau semua perkara beliau kena handle sendiri.

Percayalah maruah BN tidak akan jatuh kalau AES ditangguhkan. Bahkan rakyat akan melihat sikap itu sebagai terbuka dan mesra rakyat. Jangan kerana kita hendak dikatakan berprinsip tetapi akhirnya prinsip itu meranapkan diri sendiri. Atau pun kerana bantahan itu dimulai oleh pembangkang maka ia tidak boleh dipatuhi kerana bimbang takut pembangkang mendapat political milage. Bagero sangat kalau berfikiran begitu.


Sebaiknya tangguh buat sementara waktu dan selepas ini kalau BN menang dan menjadi pemerintah teruskan semula. Setidak-tidaknya dalam tempoh lima tahun kerajaan BN boleh mengutip hasilnya dan memerah poket rakyat. Kita pun pasti itu akan berlaku.

Sebaliknya kalau Pakatan Rakyat menang, sistem yang menyusahkan rakyat itu pasti tidak akan diteruskan. Ini memberi peluang kepada rakyat untuk membuat pilihan puak mana yang membantu meringankan bebanan mereka.

Saya nampak AES telah menjadi beban kepada BN. AES akhirnya akan menjadi Akhirnya Engkau Susah. Begitulah kalau memperkenalkan sesuatu sistem atau polisi yang bukan dibuat untuk kepentingan rakyat tetapi kepentingan syarikat dan kroni. Ia bukan saja tidak berkat tetapi bakal menanggung kerugian. Kenapakah pengalaman sebelum ini tidak diambil iktibar...

PRU tangguh ekoran kes Nazri, Chia dan Musa?



PRU tangguh ekoran kes Nazri, Chia dan Musa?

Harakahdaily, 02 Nov 2012

(Lajim kertika diwawancara oleh wartawan Harakah)

KUALA LUMPUR: Pilihan raya umum agak sukar diadakan dalam waktu terdekat walaupun masih ada desas desus yang mengatakan pilihan raya akan diadakan tahun ini juga.

Ini berikutan tragedi yang mengaitkan rakan perniagaan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz iaitu taikun pembalakan Sabah, Michael Chia yang tertangkap dengan wang tunai bernilai RM40 juta di Lapangan Terbang Hong Kong baru-baru ini.

Ketika disiasat, Michael Chia dikatakan memaklumkan itu bukan duit beliau tetapi duit milik Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.

Namun, Nazri ketika memberikan penjelasan di Parlimen berkata, wang itu adalah milik Umno Sabah bukannya milik pribadi Musa Aman.

Ekoran itu, pelbagai pihak tertarik untuk mengetahui apakah cerita di sebalik semua ini.

Semalam Nazri dilaporkan berkata, apa salahnya anak beliau menggunakan kenderaan mewah yang didaftarkan atas nama Michael Chia.

Di samping itu, secara berseloroh, beliau berkata, apa yang berlaku antara Chia dan anaknya tiada kena mengena dengannya kerana anaknya sudah dewasa.

Beliau memberitahu pemberita soal Chia telah memberi sebuah kereta kepada Nedim, perlu dirujuk kepada kedua-dua mereka.

"Itulah antara anak saya dan Michael Chia ... Jika dia mahu beri Hummer atau Ferrari, itulah urusan Michael Chia."

(Pemimpin PKR menunjukkan gambar Hummer berharga lebih RM450, 000 yang didaftar atas nama Chia tetapi digunakan oleh anak Nazri, Nedim. Foto Malaysiakini)

Bagaimanapun, Nazri mengakui mengenali Chia secara peribadi dan pernah ke Dubai bersama dengan Chia, tetapi atas perbelanjaannya sendiri.

Nedim, anak sulong Nazri, didakwa menggunakan sebuah SUV Hummer berwarna hitam, yang berharga lebih RM459,000, yang dimiliki oleh Chia.

Bekas ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Panglima Lajim Ukin pula dalam wawancaranya dengan Harakah meminta agar SPRM menyiasat semua ini khasnya kekayaan luar biasa Musa Aman.

"Saya tidak nafikan Musa Aman seorang ahli perniagaan yang berjaya, tetapi yang saya persoalkan bagaimana setelah Musa memegang jawatan KM Sabah, bagaimana beliau boleh tambahkan kekayaannya, sedangkan beliau tidak boleh memegang apa-apa jawatan dalam syarikat dan tidak boleh memiliki syarikat sendiri.

"Itu yang menjadi persoalan rakyat sekarang sedangkan mengikut laporan wangnya berjumlah bukan jutaan malahan bilion.

"Jadi pihak berkuasa sepatutnya siasat dan di sini tidak boleh timbul isu pilih kasih," kata Lajim dalam wawancara dengan Harakah itu.

Baca penuh wawancara Lajim dengan Harakah Ahad ini.