Selasa, 12 November 2013
Q&A: Hukum membatalkan puasa sunat
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 12 Nov 2013 |
Saya ada beberapa persoalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa dibulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.
Jawapan;
Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).
Berdasarkan hadis ini, jumhur ulama (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya.
Dari Abi Sa’id menceritakan; Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).
Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulama menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
PAS Johor sokong ura-ura cuti mingguan Jumaat
Harakahdaily, | 12 Nov 2013 |
Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Mazlan Aliman berkata, sejarah hitam cuti mingguan negeri di tukar dari Jumaat kepada Ahad dilakukan Tan Sri Muhyiddin Yasin sewaktu menjawat Menteri Besar sekitar tahun 1994 bagi kononnya meningkatkan ekonomi dan pelaburan asing ke Johor.
"Pertukaran cuti tersebut telah menimbulkan kemarahan masyarakat Islam Johor. Ia turut diulas melalui teks khutbah hari Jumaat di masjid-masjid seluruh Johor. Bukan itu sahaja, wujud bantahan dan protes yang agak lama dari seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira idealogi politik," kata Mazlan dalam entri terbaru di laman facebooknya.
Beliau menambah, meskipun bantahan dan protes dilakukan rakyat, Muhyiddin dan Kerajaan Negeri Johor tetap berkeras.
Kesan pertukaran cuti mingguan itu, ujarnya mengakibatkan kesukaran kepada para pekerja beragama Islam termasuk kakitangan kerajaan yang terpaksa bergegas ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat manakala pekerja sektor swasta berdepan kerenah sesetengah majikan yang enggan membenarkan mereka menunaikan solat Jumaat dengan pelbagai alasan termasuk menjejaskan produktiviti.
"Lebih memburukkan keadaan, para remaja telah mengambil peluang waktu solat Jumaat untuk lepak dan berpeleseran di kompleks membeli belah, kafe dan lokasi tertentu dan bukannya mengimarahkan Masjid untuk mendengar khutbah dan Solat Jumaat. Ia meningkatkan gejala sosial dalam masyarakat," ujarnya.
Beliau berharap berita yang tersebar di kalangan rakyat itu menjadi kenyataan dan PAS Johor yakin dan percaya kemuliaan dan keberkatan hari Jumaat, penghulu segala hari; bakal memberi sinar baru dan keselesaan kepada rakyat dan ekonomi negeri terus berkembang.
"Bagi masyarakat nonmuslim, tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana ia adalah langkah mengembalikan semula cuti mingguan yang telah dipraktikkan sekian lama sebelum ini.
"Kehidupan rakyat berbagai kaum berjalan seperti biasa, meskipun berlaku perubahan cuti dan pindaan-pindaan tertentu dalam urusan pentadbiran dan ekonomi. Yang penting, persefahaman rakyat tidak akan terjejas sepertimana cuti mingguan yang diamalkan di Kelantan, Kedah dan Terengganu," ujarnya.
Johor cadang kembalikan cuti Jumaat?
Abdullah M Thani, |
Walaupun masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Brunei yang telah mengisytiharkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah, namun sekurang-kurangnya cadangan ini mengembalikan hak umat Islam selepas 19 tahun. Pada tahun 1994, Johor menukarkan cuti mingguannya kepada Sabtu dan Ahad sama seperti kerajaan pusat. Ketika itu hanya Kelantan, Kedah, dan Terengganu yang terus mempertahankan cuti hari Jumaat.
Cuti pada hari Jumaat akan memudahkan umat Islam bersolat Jumaat dalam keadaan yang tenang dan tidak terkejar-kejar untuk keluar dan kembali ke pejabat. Tambahan pula ada sesetengah majikan yang tidak memperuntukan masa yang secukupnya bagi pekerja Islam untuk solat Jumaat dan makan tengah hari.
Cuti pada hari Jumaat juga membolehkan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan keluarga.
Dahulu, cuti mingguan ialah satu setengah hari. Pada hari Ahad atau Jumaat cuti penuh dan Sabtu pula cuti setengah hari. Ketika ini berlaku ketidakseragaman cuti di sesetengah negeri di Malaysia.
Namun, kemudiannya Kelantan di bawah PAS memperuntukkan cuti mingguan kepada dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu – yang akhirnya diikuti oleh kerajaan pusat secara berperingkat dan seterusnya cuti penuh Sabtu dan Ahad.
Warga pendidik protes sistem SPPBS di Facebook
Aduan mereka berhubung Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) yang dilaksanakan pada 2011 supaya guru berkenaan memasukkan data lengkap dan keputusan peperiksaan pelajar mereka.
Bagaimanapun, masalah yang dihadapi para guru di sekolah terbabit adalah mutu perkhidmatan pelayan komunikasi yang memaksa mereka menghabiskan masa berjam-jam untuk memasukkan data tersebut.
Lebih memburukkan lagi, mereka terpaksa bersengkang mata sehingga jam 3 pagi atau 4 pagi, apabila pelayan komunikasi berfungsi lebih baik bagi melaksanakan tanggungjawab tersebut.
Mereka juga mengadu, hal demikian menjadi lebih teruk dengan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) di mana penekanan kurang diberikan dalam peperiksaan dan kemajuan akademik pelajar berdasarkan kepada kerja yang ditugaskan kepada mereka.
Langgan:
Catatan (Atom)