Selasa, 12 November 2013

Johor cadang kembalikan cuti Jumaat?


Abdullah M Thani,
Heboh di dalam media maya yang mengatakan Johor bercadang untuk mengembalikan cuti hujung minggu pada hari Jumaat. Sebagai umat Islam di negara yang majoritinya Islam, tentulah berharap cadangan itu menjadi kenyataan. Pelaksanaannya akan mencatat sejarah dan selari keperluan lebih 2 juta masyarakat Islam di negeri ini.

Walaupun masih jauh jika mahu dibandingkan dengan Brunei yang telah mengisytiharkan pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah, namun sekurang-kurangnya cadangan ini mengembalikan hak umat Islam selepas 19 tahun. Pada tahun 1994, Johor menukarkan cuti mingguannya kepada Sabtu dan Ahad sama seperti kerajaan pusat. Ketika itu hanya Kelantan, Kedah, dan Terengganu yang terus mempertahankan cuti hari Jumaat.

Cuti pada hari Jumaat akan memudahkan umat Islam bersolat Jumaat dalam keadaan yang tenang dan tidak terkejar-kejar untuk keluar dan kembali ke pejabat. Tambahan pula ada sesetengah majikan yang tidak memperuntukan masa yang secukupnya bagi pekerja Islam untuk solat Jumaat dan makan tengah hari.

Cuti pada hari Jumaat juga membolehkan ibu bapa membawa anak-anak mereka ke masjid bagi menunaikan solat Jumaat. Secara tidak langsung mengeratkan lagi hubungan keluarga.

Dahulu, cuti mingguan ialah satu setengah hari. Pada hari Ahad atau Jumaat cuti penuh dan Sabtu pula cuti setengah hari. Ketika ini berlaku ketidakseragaman cuti di sesetengah negeri di Malaysia.

Namun, kemudiannya Kelantan di bawah PAS memperuntukkan cuti mingguan kepada dua hari iaitu Jumaat dan Sabtu – yang akhirnya diikuti oleh kerajaan pusat secara berperingkat dan seterusnya cuti penuh Sabtu dan Ahad.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan