Ustaz Ahmad Adnan Fadzil, | 12 Nov 2013 |
Saya ada beberapa persoalan berkenaan dengan puasa sunat kerana jarang kita dengar ulasan berkenaan puasa ini.
1. Apakah hukum membatalkan puasa sunat dengan sengaja sama ada makan atau minum atau jimak?
2. Adakah perlu mengantikannya semula?
3. Jika melakukan jimak, adakah wajib kaffarah?
Secara keseluruhannya adakah hukum membatalkan puasa sama ada puasa sunat atau puasa dibulan ramadhan adalah sama? Harap ustaz dapat menjelaskan pertanyaan ini.
Jawapan;
Terdapat hadis di mana Rasulullah –sallalahu ‘alaihi wasallam- bersabda; “Orang yang berpuasa sunat adalah pemimpin dirinya sendiri. Kalau dia mahu ia boleh meneruskan puasanya dan jika ia mahu ia boleh berbuka” (Riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan Hakim dari Ummu Hani r.a.. Lihat hadis ini dalam al-Jami’ as-Saghier, hadis no. 5122. Menurut as-Suyuti; hadis ini soheh).
Berdasarkan hadis ini, jumhur ulama (Imam Syafiie, Imam Ahmad, Sufyan as-Sauri, Ishaq dan sebagainya) berpandangan; puasa sunat tidak wajib disempurnakan sebagaimana puasa fardhu (sama ada puasa Ramadhan, puasa Qadha atau Nazar), yakni seorang yang berpuasa sunat harus ia membatalkannya mengikut kehendaknya. Namun jika ia membatalkannya tanpa sebarang keuzuran, hukumnya makruh dan tidaklah haram. Tidaklah wajib menggantikan/mengqadha puasa sunat yang dibatalkan itu, hanya disunatkan sahaja menggantinya.
Dari Abi Sa’id menceritakan; Aku telah memasak makanan untuk Nabi. Apabila aku menghidangnya, seorang lelaki (yang datang bersama Nabi) berkata; ‘Aku berpuasa’. Nabi lantas berkata kepadanya; “Saudaramu telah menjemputmu dan bersusah payah (memasak) untukmu. Berbukalah dan gantilah puasamu itu pada hari lain jika kamu mahu” (HR Imam al-Baihaqi. Menurut Imam Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari; sanadnya hasan. Dinaqalkan dari Tuhfah al-Ahwazi, juz. 2, bab Ja-a Fi Iftar as-Saim al-Mutatawwi’).
Imam Abu Hanifah dan Imam Malik berbeza pandangan dengan jumhur di mana menurut mereka; puasa sunat wajib disempurnakan apabila seseorang telah mula berpuasa berdalilkan firman Allah (bermaksud); “Dan janganlah kamu membatalkan amalan-amalan kamu” (Surah Muhammad, ayat 33). Dan sesiapa membatalkannya, wajiblah ia mengganti/mengqadhanya. Namun jumhur ulama menjawab; larangan ayat tersebut ialah khusus bagi ibadah-ibadah fardhu sahaja, yakni ditegah seseorang membatalkan pahala ibadah fardhunya. Adapun ibadah sunat tidaklah ditegah membatalkannya kerana ia tidaklah diwajibkan. Lagipun, terdapat hadis yang mengharuskannya. (Tafsir al-Qurtubi, surah Muhammad, ayat 33).
http://ilmudanulamak.blogspot.com/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan