Selasa, 20 November 2012

Untuk menang ‘perang’, musuh mesti dihancurkan

Untuk menang ‘perang’, musuh mesti dihancurkan

Azhar Yahya, 20 Nov 2012
Doa untuk menghancur dan menjahanamkan Umno BN yang disebut di Stadium Sultan Muhammad IV baru-baru ini adalah bermaksud mengalahkan parti dan gabungan tersebut dalam pilihanraya umum akan datang.
Dalam arena politik Malaysia, PAS dan Umno sekian lama bertanding untuk memenangi hati rakyat bagi mendapatkan kuasa pemerintahan. Dasar sekular dan nasionalis perkauman yang diperjuangkan oleh Umno BN jelas bertentangan dengan dasar PAS yang ingin menegakkan Islam yang syumul dan menyeluruh.

Dasar Umno BN inilah yang telah membawa banyak kerosakan dalam masyarakat dan negara. Keruntuhan akhlak, gejala sosial, pecah amanah, peningkatan jenayah, kehancuran institusi keluarga, dan lain-lain adalah bahana daripada pemerintahan Umno BN selama ini. Umno BN hanya menjadikan Islam sebagai amalan ritual yang dipenjara dalam institusi, program dan majlis agama, bukan sebagai rujukan dan dasar dalam pemerintahan.

Justeru, atas sebab inilah PAS berlawan dengan Umno BN dan bertanding dalam pilihanraya untuk mengalahkan parti dan gabungan tersebut. Ini kerana perjuangan dan dasarnya jauh bertentangan dan menyimpang daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Junjungan S.A.W.

Untuk mencapai kemenangan dalam 'peperangan' pilihanraya ini, kehancuran pihak lawan adalah sangat penting. Hancurnya Umno BN bukan bermaksud hancur dan binasa individu yang berada di dalamnya. Hancurnya Umno BN ialah parti dan gabungan tersebut tidak mampu meneruskan survival dan kelangsungan perjuangan yang berlawanan dengan Islam apabila kalah dalam pilihanraya.

Kehancuran ini adalah agar rakyat Malaysia tidak lagi berada di bawah pemerintahan Umno BN yang telah menyebabkan kerosakan yang parah kepada negara. Malaysia perlu diselamatkan daripada pemerintahan yang seumpama ini.

Doa untuk keburukan dan kehinaan untuk orang lain adalah bukan perkara asing dalam Islam. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. telah menaiki mimbar sambil berkata: "Amin, amin, amin." Dikatakan kepada baginda: "Wahai Rasulullah! Apa yang kamu buat ini?" Baginda menjawab: "Jibril a.s. berkata kepada aku, kehinaan kepada seseorang hamba apabila dia memasuki Ramadhan tidak diampunkan untuknya dosa. Maka aku berkata amin. Kemudian Jibril berkata, kehinaan kepada seseorang hamba apabila disebut namamu dia tidak berselawat ke atas mu. Maka aku berkata amin. Jibril berkata lagi, kehinaan kepada seseorang hamba yang sempat dengan kedua ibu bapanya atau salah seorang daripadanya tetapi tidak boleh memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka) maka aku berkata amin."

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Baihaqi.

Dalam riwayat yang lain malaikat Jibril mendoakan agar dibinasakan atau dijauhkan rahmat daripada Allah bagi ketiga-tiga mereka yang disebutkan di atas.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi Ulamak Pelapis PAS (Pusat).

Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Doa hancur Umno demi selamatkan agama dan negara

Tok Janggut,
Pada mulanya tersentak juga penulis apabila membaca kenyataan beberapa pihak akan doa yang dibaca dalam solat hajat anjuran PAS di Kelantan baru-baru ini. Antara yang didoakan ialah minta agar Allah tumbang dan hancurkan Umno kerana kezaliman yang lakukan sudah sampai ke kemuncaknya tanpa boleh dinasihat atau sudah tidak nampak tanda-tanda yang Umno ini akan insaf dan kembali ke jalan Allah dan Rasul.

Tidak timbul PAS mendoakan kehancuran kepada saudara seagama denganya. PAS hanya berdoa terhadap orang yang zalim dan PAS adalah golongan yang dizalimi dan ditindas selama ini. Bukankah Nabi pernah bersabda “takutilah kamu akan doa orang yang dizalimi kerana doa mereka tidak ada hijab dengan Allah”. Hal ini bermakna jika kita dizalimi, kita boleh berdoa kepada Allah untuk dihancurkan golongan zalim itu demi untuk keamanan, keselamatan dan kemakmuran kita.

Islam tidak pernah membenarkan kita melakukan kezaliaman sesama sendiri hatta dengan orang bukan Islam pun kita dilarang melakukan kezaliman.  Tetapi Umno tidak peduli semua itu, apatah lagi mereka sentiasa dibela dan dipertahankan oleh ulama upahan, puak mufti dan tok guru mereka sedangkan  golongan agama mereka ini tidak pernah pun dilihat menegur Umno melakukan kezaliman dan penindasan terutamanya terhadap PAS dengan merampas royalti dan menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat yang meyokong PAS.

Dalam al-Quran Allah telah memberi amaran “Janganlah kamu cenderung kepada golongan yang zalim, kelak kamu akan disambar api neraka”.  Ini bukan sahaja membuktikan bahawa bukan sahaja golong yang zalim akan ke neraka bahkan sesiapa yang cenderung, menyokong dan menjadi sebahagian daripada mereka juga akan disambar api neraka.

Zalim hendaklah dilihat daripada kaca mata Islam, bukan daripada kacamata parti atau menggunakan logik akal. Kazaliman yang paling besar dan nyata ialah apabila sesebuah kerajaan yang mengaku beragama Islam itu tidak melaksanakan syariat Allah sebagai undang-undang tertinggi negara malahan mereka mempersendakan, memperlekeh dan mempermain-mainkan pula syariat Allah itu.

Selain itu, kezaliman dalam menafikan hak rakyat atas alasan tidak menyokong kerajaan yang memerintah juga adalah satu kezaliman. Hal ini kerana apa-apa sahaja rezeki yang ada di muka bumi adalah milik Allah, bukan milik kerajaan yang memerintah. Antaranya menafikan hak royalti minyak yang sudah pun mempunyai perjanjian dan persetujuan bersama tetapi telah dikhianati atas dasar dendam dan iri hati.  Dalam Islam, mungkir janji yang telah dibuat melalui lisan sahaja pun sudah dianggap melakukan kezaliman, apatah lagi yang telah pun dibuat perjanjian yang melibatkan hak sejumlah besar rakyat yang berhak ke atas royalti itu.

Bagaimana pula penafian dari segi peruntukan yang telah disahkan dalam undang-undang negara, menafikan hak mendapatkan biasiswa, tanah, rumah dan berbagai-bagai lagi.  Semua itu termasuk dalam istilah zalim yang Allah janjikan neraka kepada mereka yang melakukanya. Tidak timbul isu berdoa seperti ajaran sesat atau tidak boleh berdoa untuk kehancuran terhadap saudara seagama kerana doa ini terpaksa dilakukan terhadap golongan yang sudah terlalu jauh sesat dan juga tidak mungkin mereka akan melakukan kezaliman jika mereka merasakan mereka itu adalah saudara seagama.

Apabila sudah banyak nasihat, teguran dan kritikan diberikan agar Umno kembali ke jalan Allah tetapi mereka tetap dengan kesombongan, bongkak dan dengan sikap takburnya, maka tiada jalan lain kecuali berdoa kepada Allah agar Umno ini tumbang dan hancurkan demi untuk menyelamatkan lebih 20 juta rakyat.

Kenali Komander Elit Hamas.. Briged Al-Qassam

Kenali Komander Elit Hamas.. Briged Al-Qassam

http://muslimeen-united.blogspot.com, 20 Nov 2012

Jom kenali Brigade Izzuddin al Qassam / " Briged Al-Qassam ". Jika di Britain mempunyai British Special Air Service (SAS), Amerika Syarikat dengan Navy Seals nya dan Israel dengan Shayetet 13.

Manakala Palestin mempunyai kelas tersendiri dengan tentera penggempurnya yang berani mati, Briged Ezzedeen Al-Qassam atau lebih dikenali sebagai Al-Qassam yang amat digeruni oleh rejim Zionis.

Al-Qassam, sebuah sayap tentera Hamas, dipelopori penubuhannya oleh pejuang Palestin seperti Sheikh Ahmad Yassin, Dr. Ibrahim Al-Maqadema dan Sheikh Salah Shehada pada tahun 1984.

Nama Al-Qassam adalah sempena nama pejuang yang syahid berdekatan Jenin pada tahun 1935, Ezzedeen Al-Qassam.

Baru-baru ini, penulis yang berada di Gaza atas tujuan rakaman siri dokumentari dijemput oleh kerajaan pemerintah Gaza, Hamas untuk mengunjungi pusat latihan Al-Qassam bagi menyaksikan satu demonstrasi latihan taktikal serangan briged itu. Difahamkan, peluang itu jarang sekali dibuka kepada rakyat Palestin apatah lagi orang luar.

Penulis diberi taklimat oleh komander yang tidak mahu dikenali atas tujuan keselamatan. Beliau berkata, briged elit itu dianggotai oleh pemuda berusia 30 tahun dan ke bawah sahaja.

"Objektif utama penubuhan Al- Qassam adalah mempertahankan tanah suci Palestin daripada penjajahan Zionis yang zalim, membebaskan tanah Palestin dan seluruh tanahnya yang dirampas di Tebing Barat serta memantapkan semangat jihad dalam kalangan orang Palestin," katanya.

Apabila ditanya jumlah tentera Al-Qassam pada masa ini, komander tersebut yang pada mulanya enggan menjawab memberitahu, bilangannya dalam lingkungan 25,000 orang.

Peraturan " Briged Al-Qassam ".

"Peraturan kami yang paling ketat ialah setiap tentera mesti solat lima waktu sehari secara berjemaah," ujarnya.

Tambah beliau, Al-Qassam juga mempunyai skuad wanita tetapi bukanlah barisan yang paling penting.

"Kami menggunakan wanita apabila keadaan memaksa. Contohnya, pernah sekali tentera kami dikepung oleh tentera Israel dalam sebuah masjid. Kami menghantar tentera wanita untuk masuk ke dalam masjid bagi menyerahkan baju lain kepada anggota yang terperangkap. Kemudian mereka berlakon keluar seperti orang biasa.

"Walaupun kami kehilangan tiga wanita dalam operasi itu, kami tetap berjaya kerana begitu ramai askar yang dapat diselamatkan," katanya.

Sudah menjadi perkara biasa apabila kedengaran letupan dan bunyi tembakan di Gaza bukan kerana serangan tentera Israel sebaliknya sesi latihan Al-Qassam.

"Di daerah Al-Zaytun, tentera Israel hanya memerlukan 10 minit untuk memasuki tanah Gaza dengan kereta kebal. Oleh itu, kami terpaksa bersedia setiap masa," kata seorang tentera Al-Qassam.

Briged ini juga terkenal dengan roket Al-Qassam, roket artileri buatan sendiri yang dikeluarkan dalam tiga model sepanjang tahun 2001 hingga 2011. Roket itu ditembak dari Gaza dan sering membawa kemusnahan yang dahsyat sehinggakan media Israel menggelarkan setiap roket yang memasuki Semenanjung Barat sebagai Qassam.

Penulis disajikan dengan satu demonstrasi selama lima minit dengan 20 tentera yang memainkan pelbagai peranan. Demo teknikal itu membabitkan dua kumpulan yang menyerang sebuah rumah kosong manakala sebuah kumpulan lain bertindak sebagai pasukan bantuan. Satu lagi pasukan akan memastikan tiadanya bantuan daripada tentera musuh (Israel).

Demonstrasi itu menggunakan peluru hidup, bom tangan, mesingan, senapang AK-47 dan roket grenad. Demonstrasi itu cukup membuktikan betapa hebatnya generasi muda ini dan wajarlah tentera Israel seramai 700,000 orang cukup gerun dengan Al-Qassam.

Sesudah sesi latihan itu, kesemua askar tersebut berkumpul dan bersujud syukur - satu amalan penting setiap kali sesudah satu peperangan melawan tentera Zionis.

Penulis juga dibawa berjumpa dengan beberapa tentera Al-Qassam sebelum mereka bergegas untuk menunaikan solat Asar. Namun, penulis diberitahu rakaman gambar tidak dibenarkan kerana ingin merahsiakan identiti setiap anggota mereka.

Penulis terkejut apabila mereka membuka topeng hitam mereka, kesemuanya mempunyai muka bersih dan bersinar, jelas nampak keikhlasan untuk menjadi tentera Islam yang tidak takut mati.

Salah seorang tentera bertanyakan negara asal penulis dan apabila disebut Malaysia, beliau menjawab: "Tanah ini milik kamu juga."

Jawapannya membuat penulis terkedu kerana maknanya sangat mendalam.

Sejak Intifada pada tahun 2000, seramai 800 askar Al-Qassam telah mati syahid. Bahkan apabila seseorang tentera Al-Qassam pulang daripada peperangan, mereka sering akan bertanyakan kepada diri sendiri.. 'Mengapakah saya tidak Syahid?

Tiada elaun untuk guru laksana PBS

Tiada elaun untuk guru laksana PBS

Harakahdaily, 20 Nov 2012
Sejak diperkenalkan, Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) telah menimbulkan pelbagai polemik, masalah, rungutan dan sebagainya. Yang paling ketara ialah kelemahan persediaan prasarana Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dalam melaksanakannya. Akibatnya, timbullah pelbagai rungutan daripada para guru yang turut merasai bebannya.

Oleh itu, PAS sebagai parti yang perihatin masalah rakyat. Segala aduan ini diambil kira dan telah ketengahkan di dalam Dewan Rakyat agar diberi perhatian yang sewajarnya.

Dalam sidang parlimen pada 7 November yang lalu, Dato’ Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, Ahli Parlimen Bukit Gantang telah mengemukakan pertanyaan lisan tentang isu Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Beliau meminta Menteri Pelajaran menyatakan kenapa PBS diperkenalkan di sekolah-sekolah kerajaan, sedangkan banyak sistem operasi on-line tidak berkesan dan lambat.

Beliau juga bertanya mengapa Kementerian Pelajaran tidak mahu memberi elaun tambahan untuk guru-guru yang terpaksa memasukkan (key-in) markah dan maklumat di rumah, yang melibatkan masa bersama keluarga dan terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi serta para guru terpaksa melanggan broadband untuk membuat kerja sekolah.

Timbalan Menteri Pelajaran II, Dr Mohd Puad Zarkashi menjelaskan bahawa buat masa ini, Kementerian Pelajaran Malaysia belum bercadang untuk menyediakan elaun khas kepada guru-guru dalam melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS).

Menurut beliau lagi, KPM mengambil maklum kesulitan yang dihadapi oleh guru dalam mengakses Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SPPBS) online sebelum ini. Justeru, KPM telah menyediakan hosting khas yang berasingan bagi SPPBS dan Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM). Proses migrasi hosting bagi sistem tersebut telah selesai dilaksanakan pada akhir September 2012 dan sistem tersebut pada masa ini adalah lebih stabil dan boleh diakses.

Dr Puad juga memberitahu bahawa, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan capaian internet di semua sekolah di seluruh negara. KPM sedang memperluaskan perkhidmatan capaian internet melalui Projek 1BistariNet secara berperingkat-peringkat sehingga Mac 2013 bagi menggantikan SchoolNet di semua sekolah dengan kelajuan antara 4Mbps hingga 20Mbps.

Dalam hal ini, jelas bahawa KPM tidak bersedia sepenuhnya dari segi perkhidmatan on-line, sedangkan sepatutnya sistem ini telah mantap sebelum sistem ini dilaksanakan. Kelemahan ini boleh merencatkan kelancaran kerja  para guru. Di samping itu, pelbagai persoalan lain timbul ialah tentang kesediaan para guru itu. Mereka terpaksa menyediakan peralatan komputer dan internet sendiri di rumah. Pada masa yang sama, sememangnya diketahui umum bahawa kemudahan internet jalur lebar khususnya dikawasan luar bandar amat ketinggalan.

Para guru bukan sahaja terpaksa menanggung bebanan tugas yang semakin bertambah malah terpaksa menanggung peningkatan kos bil elektrik dan internet, membeli peraalatan komputer dan mengorbankan masa tambahan untuk kerja-kerja pengkeranian.

Berdasarkan jawapan Menteri Pelajaran ini, para guru diharap mendapat mesej yang jelas bahawa KPM belum bercadang atau mungkin juga tidak bercadang untuk memberi elaun tambahan, walau bebanan tugas dan kos bertambah.

Para guru juga terpaksalah bersabar dengan dasar yang diperkenalkan oleh kerajaan Umno-BN ini kerana proses penambahbaikan capaian internet akan selesai sepenuhnya pada tahun depan.

Dalam hal ini, Pakatan Rakyat dalam Buku jingganya berjanji akan memberi imbuhan RM500 sebulan kepada setiap guru jika memerintah. Tawaran ini dibuat setelah mengambil kira peningkatan kos, bebanan tugas serta tanggungjawab guru yang amat besar, berbanding kerjaya lain.

Ibnu Hasyim: Kemana PAS Hendak Dibawa? -Penggulungan.

Ibnu Hasyim: Kemana PAS Hendak Dibawa? -Penggulungan.: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuat beberapa penyataan penting ketika membuat penggulungan ...

Senjata yang ada pada PAS mohon doa kepada Allah

Senjata yang ada pada PAS mohon doa kepada Allah

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Senjata yang ada kepada PAS ialah memohon doa kepada Allah supaya Allah membalas dengan setimpal atas kejahatan yang dilakukan oleh Umno, kata AJK PAS Pusat, Idris Ahmad.
Justeru, beliau mempersoalkan kenapa pemimpin Umno bising dengan doa untuk menghancurkan parti itu, tetapi diam membisu ketika Umno Terengganu pimpinan Datuk Seri Ahmad Said mengadakan Wacana PAS Parti Ajaran Sesat, pada 11 April  2012 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam Terengganu.

“Atas asas apa PAS dituduh ajaran sesat. Ayat al-Quran mana yang PAS menyeleweng?

“Layakkah PAS dilabel sebagai menganut ajaran sesat, semata-mata kerana hendak memperjuangkan Islam di negara ini?” tanya beliau dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengulangi pertanyaan mengenai cabaran untuk debat atau muzakarah yang sampai hari ini tidak bersahut oleh Umno.

“Jika program ini berjalan, maka tidak timbul lagi tohmahan ini terhadap PAS,” ujarnya.

Idris juga mempersoalkan di mana suara ulama pengampu Umno yang kelu dan bisu ketika Tun Dr Mahathir mengatakan malaikat juga buat salah sedangkan malaikat makhluk yang tidak pernah melakukan kesalahan.

Katanya, apakah mereka hanya menjadi jantan ketika berhadapan dengan PAS, tetapi menjadi longlai apabila pemimpin Umno menghina Islam secara jelas.

Tegasnya, PAS hanya menggunakan doa sebagai senjata, kerana bertepatan dengan maksud hadis Nabi SAW iaitu doa ialah senjata orang mukmin kerana PAS dipukul daripada berbagai sudut tanpa belas kasihan.

Antaranya, kata  beliau kerajaan BN tidak pernah menghormati hak federalisme yang sepatutnya diperolehi oleh Kelantan sejak 1990 di samping pencabulan hak demokrasi yang semakin parah melalui SPR

Umno pun tak berdoa supaya PAS kuat

Umno pun tak berdoa supaya PAS kuat

Harakahdaily, 20 Nov 2012
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Nasrudin Hassan tampil membalas mainan media terhadap isu doa kehancuran Umno BN di Himpunan Kebangkitan Rakyat sempena Muktamar Pas ke-58, Jumaat lalu.


“Isu doa tak perlu jadi polemik. Kita harus beza doa kepada manusia dengan badan atau negara. Doa agar Umno tumbang, lemah dan lain-lain tidak bercanggah dengan syarak,” tegas Tuan Ibrahim dalam satu tulisan di Facebooknya.

Tuan Ibrahim juga menyindir apakah orang mengharapkan PAS nak doa agar Umno menjadi kuat.

“Takkan PAS nak doa agar Umno kuat, Umno pun tak doa PAS agar kuat,” kata Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Apapun, kata Tuan Ibrahim, PAS sentiasa mendoakan ahli Umno dan lainnya agar semua diberi petunjuk dan hidayah.

“Kita mencontohi Rasulullah bila mana Baginda mendoakan hidayah kepada kaum yang tidak mengetahuinya,” kata beliau.

Sementara itu, Nasrudin berkata doa itu hadir dari hati sanubari masyarakat yang tertindas sejak sekian lama.

“Hak mereka dinafi, sebahagian di tukar tempat kerja jauh ke pendalaman, terdapat yang dipenjara dibawah akta ISA, malah ada pemimpin yang dibunuh mati seperti peristiwa Memali dan Lubuk Merbau.

“Hasil negeri mereka turut dinafikan apabila royalti dihalang. Semuanya Umno dan BN bertanggungjawab,” kata beliau dalam satu tulisan di Facebook.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang itu berkata terdahulu doa ini telah dimakbulkan apabila Umno telah hancur dan musnah dan kini digantikan dengan Umno Baru.

“Semoga Umno dan BN hancur dan binasa lagi, sementara kami menggamit dan melambai kepada semua ahli-ahli Umno dan BN supaya meninggalkan "kapal" yang hampir karam itu untuk menyelamatkan diri dengan menyertai PAS dan PR.

“Usah bimbang pada doa itu. Doa tersebut supaya kapal Umno karam, sementara kami telah menyediakan platform dan dermaga yang utuh untuk menyelamatkan ahli-ahli Umno dari kapal yang semakin dimasuki air dan bakal tenggelam itu,” kata beliau

Gambar ini buktikan kebenaran Al Quran tentang kebaculan Israel




Gambar ini buktikan kebenaran Al Quran tentang kebaculan Israel

http://wasukalu.blogspot.com, 20 Nov 2012
Miracle in the Quran proving the cowards of Israel.

لَا يُقَاتِلُونَكُمْ جَمِيعاً إِلَّا فِي قُرًى مُّحَصَّنَةٍ أَوْ مِن وَرَاء جُدُرٍ بَأْسُهُمْ بَيْنَهُمْ شَدِيدٌ تَحْسَبُهُمْ جَمِيعاً وَقُلُوبُهُمْ شَتَّى ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ قَوْمٌ لَّا يَعْقِلُونَ

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu

Kita hanya merancang, Tuhan menjadi penentu

Aspan Alias, 19 Nov 2012
Barisan Nasional tidak dapat meyorokan perasaan gelabah dan runsing mereka apabila rakyat sudah menyedari yang UMNO itu bukanlah sebuah parti yang ‘invincible’ dan tidak boleh di ketepikan oleh sesiapa pun. Malangnya kesedaran mereka (UMNO) sudah agak terlambat kerana selama ini UMNO terlalu lalai dan tidak mengambil tahu yang partinya itu bukannya parti yang tidak boleh di ketepikan oleh rakyat. Mereka sudah mula sedar yang rakyat sudah lama memerhati dan menilai mereka dan kini sedang berada di saat mereka untuk membuat keputusan yang ‘decisive’ dalam PRU yang akan datang ini.


Maka pimpinan BN buat pertama kali dalam sejarah negara tidak berani mengadakan pilihanraya walaupun ia telah dipimpin oleh pengganti kapada penerima mandat Abdullah Badawi dahulu. Inilah kali pertama kita mempunyai seorang PM yang belum mendapat pengesahan rakyat untuk beliau duduk di kerusi PM itu.  Tidak mungkin Najib tidak memanggil pilihanraya lebih awal itu kerana sebab-sebab yang lain. Beliau tidak berkeyakinan untuk berjaya mempertahankan parti yang baru beliau pimpin itu.

Selain dari masalah kejatuhan sokongan orang Melayu termasuk ahli-ahlinya sendiri, UMNO juga sedang menghadapi masalah dalaman yang semakin hari semakin parah. Keadaan ini sedang berlaku tetapi oleh kerana tumpuan UMNO ialah untuk menyerang parti-parti dalam Pakatan Rakyat maka pergolakan itu tidak terlihat oleh orang ramai secara jelas. Hanya mereka yang terlibat sahajalah yang tahu dan mampu memberikan penjelasan.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi UMNO jika kita dapat rumusan semuanya ini?

Pertamanya UMNO terpaksa berhadapan dengan pengaruh PR yang semakin menular di kalangan rakyat. Rakyat sudah sedar, rupa-rupanya bukannya satu tindakan jenayah jika mereka memberikan sokongan kepada pihak lain dari UMNO dan BN itu. Rakyat telah menikmati bukti-bukti yang jelas setelah mereka mencuba-cubanya dengan memberikan ruang dan kesempatan untuk pihak dan parti lain dari UMNO untuk mentadbir negara. Mereka telah nampak apa yang berlaku di empat buah negeri yang ditadbir oleh PR itu mampu untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan baik, jauh lebih baik dari BN selama ini.

Keduanya, UMNO sendiri bermasalah dalaman yang tidak kurang hebatnya oleh kerana sikap Najib yang ‘flip-flop’ dalam banyak hal serta permainan ‘cah keting’ yang menular di setiap peringkat parti itu. Apabila Najib menunjukan kelemahannya, kesempatan telah diambil oleh kumpulan dan pihak-pihak yang sedang menitik air liur untuk mengambilalih tanggungjawab untuk menjadi PM yang ke-7 itu.

Apabila keadaan ini berlaku maka berlakulah keadaan berpuak-puak dalam parti. Seperti seorang Raja yang sedang gering maka ramailah datang berpusu-pusu untuk memberikan ampuan kepada ‘Raja Muda’ yang mereka sangka akan mengambilalih jawatan tertinggi itu. Saya mempunyai keyakinan dan sedikit ‘authority’ untuk bercakap tentang isu ini kerana saya berada di dalam parti itu selama empat dekad lamanya. Saya dengan mudah sahaja boleh megetahui apa yang sedang berlaku di dalam parti yang sudah uzur itu.

Itulah sebabnya saya sibuk melayani rakan-rakan lama dalam UMNO mendengar rintihan mereka kerana mereka selesa untuk mengadu dengan saya untuk mendengar rintihan mereka. Ramai di antara mereka memberikan kata-kata perangsang kepada saya untuk terus bersama DAP dan Pakatan Rakyat kerana mereka sendiri akan memberikan sokongan secara senyap-senyap kepada PR dalam PRU yang akan datang ini. Hanya mereka ini belum lagi mempunyai kudrat dan keberanian untuk berkata benar secara terbuka.

Tetapi saya tetap berkawan dan bersahabat dengan mereka sebagai rakan yang sudah begitu lama dengan saya. Walaupun saya tidak akan berundur dari keputusan meninggalkan UMNO mereka tetap bersahabat dengan saya dan akan memberikan sokongan kepada saya. Saya bersyukur, di mana sahaja saya pergi dari utara ke selatan begitu ramai sahabat-sahabat lama menunggu saya walaupun mereka masih di dalam UMNO.

Malahan ramai di antara mereka telah mengambil keputusan untuk bertindak dengan ‘decisive’ kali ini dengan memberikan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Ribuan telah berjumpa saya selama ini apabila saya melawat mereka sambil-sambil menerima jemputan ceramah di mana-mana. Apa yang dilakukan oleh BN sekarang wajar kita fahami. Mereka (BN) sedang dalam keresahan kerana selama ini mereka menganggap kuasa itu hanya untuk mereka. Mereka baru sedar yang sebenarnya rakyatlah yang berkuasa bukannya mereka (BN).

Oleh kerana rakyat sudah merasa sedikit kenikmatan hasil dari pimpinan PR di empat buah negeri maka pengaruh itu telah menyemarakkan niat dan usaha untuk mereka memberikan mandat kepada PR untuk mentadbir Putrajaya. Menyedari inilah yang membuatkan pimpinan UMNO itu terdesak dan melakukan segala kerja-kerja aib untuk menahan kemaraan PR ke Putrajaya.

Seperti yang saya sebut tadi, UMNO mempunyai masalah dalamannya sendiri yang saya rasa akan terbongkar tidak lama lagi. Najib nampaknya keseorangan sahaja dan tidak ramai pimpinan yang nampak bersama beliau kerana ramai di antara mereka tidak bersetuju dengan tindakan Najib dalam menghadapi tekanan pihak Pakatan Rakyat. Hanya di sebabkan mereka hendak menunjukkan yang mereka bersatu, mereka di antara mereka sebenarnya dalam krisis. Krisis ini melibatkan pimpinan atasan dan kegelisahan di antara pimpinan ini berpaksikan yang mereka sudah hilang keyakinan terhadap Najib.

UMNO berpuak kerana mereka sekarang mahukan Muhyiddin untuk mengambilalih secepat yang mungkin, jika boleh sebelum PRU ini. Mereka percaya yang BN akan menghadapi kekalahan dan mereka mahukan Najib tidak lagi mengetuai pilihanraya ini kerana Najib mempunyai terlalu banyak isu yang ada di hadapannya. Perasaan ini turun sampai ke peringkat bawahan seperti di peringkat negeri. Kebanyakan mereka hanya menunggu untuk ‘Raja Muda’ UMNO untuik menaiki tangga kepimpinan negara.

Banyak di antara isu terhadap Najib itu digembar-gemburkan oleh pihak yang mahu Najib berhenti dan bukannya oleh pihak pembangkang. Itulah sebabnya blog ini selalu menyarankan kepada UMNO supaya membersihkan halaman masing-masing sebelum hendak membersihkan halaman orang. Kerja memperbaiki parti mereka lebih afdal dari menempelak pembangkang. Najib patut perhatikan apa yang sedang berlaku dalam Pemuda juga. Pemuda pun sedang bercelaru dan tidak terperanjat jika ada kejutan berlaku dalam Pemuda tidak berapa lama lagi.

Saya suka mengulangi yang perpecahan dalam UMNO akan lebih jelas sejurus sahaja calon-calon ‘winnable’ UMNO diumumkan dan keadaan perpecahan dalam UMNO itu bukan dilakukan oleh pembangkang. Pendeknya Najib sedang dan akan berhadapan dengan pembangkang di hadapannya tetapi musuh yang paling merbahaya bagi PM ini ialah dari kumpulan dalam UMNO itu sendiri.

Saya tidak tahu bagaimana UMNO boleh ‘survive’ kerana musuhnya terlalu besar dan yang lebih membimbangkan mereka ialah musuh-musuh yang berada di dalam selimut mereka sendiri.

Tentu Dr Mahathir tahu apa yang berlaku dalam UMNO ini dengan lebih terperinci kerana beliau sendiri memainkan peranan untuk menurunkan dan menaikkan satu pihak lain dalam UMNO yang sudah lusuh itu. Beliau tidak akan berhenti berperanan seperti ini kerana itu adalah sikap beliau yang tidak dapat dikawal oleh dirinya sendiri.

Hanya saya berharap dan berdoa tidak ada pemimpin seperti Dr M ini dalam pihak Pakatan Rakyat kerana jika ada tidak akan terjumpa keamanan seperti yang kita cita-citakan itu. Kita tidak mahu berulang apa yang berlaku di dalam UMNO dan BN itu selepas merngambil alih Putrajaya jika di izin Tuhan.

Kita hanya merancang, Tuhan sahajalah yang menjadi penentu terhadap segala-galanya. Kita wajar mengakui hakikat ini jika kita benar-benar berTuhan dan beragama. Kita wajar akur dan mengakui yang kerja Tuhan  penuh misteri. Tetapi jika di dasarkan kepada hukum akal Pakatan Rakyatlah yang akan mendapat kemenangan.

Jika DIA berkehendak semuanya boleh berlaku. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/