Sabtu, 24 Ogos 2013

Demokrasi: Masa depan Ikhwan di hujung tanduk?


Abu Marwan, 24 Ogs 2013
Sebaik sahaja Presiden Mohamed Morsi diguling melalui kudeta tentera dengan bantuan kuasa asing, ramai pimpinan tertinggi Ikhwan Muslimin telah ditangkap oleh pihak keselamatan Mesir. Tentera dan polis telah melancarkan gerakan besar-besaran untuk menangkap pimpinan Ikhwan dan gerakan Islam yang lain seluruh Mesir.

Dr. Muhammad Morsi pula terus ditahan atas dakwaan menggalakkan keganasan dalam peristiwa di Istana Presiden, Istana Ittahidiah beberapa bulan lalu serta berkomplot dengan gerakan Palestin Hamas melakukan keganasan. Beliau yang dipilih melalui pilihanraya selepas kejatuhan rejim Hosni Mubarak pada awal tahun lepas kini ditahan di tempat yang tidak diketahui.

Dalam perkembangan berkaitan, Mursyidul  Am (Ketua) Ikhwan Muslimin, Dr Muhammad Badie’ juga telah ditangkap oleh pihak berkuasa Mesir. Begitu juga dengan timbalan beliau, Dr. Khairat Shater serta Muhammad Rasyad Bayoumi, Mustafa Abdul Azim Basylawi, Muhammad Abdul Azim Basylawi dan Atif Abdul Jalil As-Samr yang kesemuanya merupakan pimpinan Majlis Tertinggi Ikhwan Muslimin. Dr. Safwat Hegazi yang merupakan pimpinan gerakan Salafi juga telah ditahan oleh pihak keselamatan Mesir.

Dalam masa yang sama, pihak junta tentera juga teru memburu pimpinan Ikhwan yang lain termasuk Dr. Essam Erian dan Dr Mohamed Beltagy. Rumah-rumah mereka telah diserbu dan digeledah bagi menangkap pimpinan Ikhwan. Junta tentera juga sedang bersiap bagi mengisytiharkan terus pengharaman gerakan Ikhwan Muslimin di seluruh Mesir. Begitu juga dengan parti politik baru Ikhwan ‘Al-Hurriyat Wal Adalah’ (Parti Kebebasan dan Keadilan) dijangka akan diharamkan terlibat dalam mana-mana proses pilihanraya dan demokrasi di Mesir.

Jika Ikhwan Muslimin diharamkan oleh pemerintah Mesir, ia bukan perkara baru kerana mengulangi peristiwa lebih 60 tahun yang lalu apabila kerajaan Mesir mengisytiharkan “Perang Terbuka” terhadap Ikhwan Muslimin. Pemerintah telah bertindak  membubarkan gerakan Ikhwan Muslimin dan kesemua cawangannya di seluruh Mesir yang berjumlah 3,000 cawangan telah ditutup. Lebih 4,000 ahli Ikhwan Muslimin ditangkap dan dipenjarakan. Ibu pejabat Ikhwan Muslimin diserbu dan dimusnahkan. Semua harta Ikhwan Muslimin dibekukan.

Media massa Mesir yang kini dikuasai sepenuhnya oleh junta tentera juga sedang menjalankan propaganda agresif bagi melabelkan Ikhwan Muslimin sebagai pertubuhan ganas dan ‘terroris’. Hampir setiap jam Ikhwan Muslimin dan pimpinan mereka dipaparkan di semua sebagai pertubuhan ‘terroris’ yang amat bahaya kepada masyarakat Mesir. Mereka dikaitkan dengan keganasan dan pembunuhan serta melakukan perang bersenjata terhadap junta tentera dengan mendapat bantuan kuasa luar. Ahli-ahli Ikhwan juga dikaitkan dengan pembakaran berpuluh-puluh gereja Kristian di seluruh Mesir.

Namun inilah realiti yang terpaksa dilalui oleh Ikhwan Muslimin selepas berlakunya perubahan politik baru yang melanda seluruh dunia Islam akibat dari kesan ‘Arab Spring’. Walaupun mereka telah berjaya menang dengan cemerlang pilihanraya Presiden dan parlimen Mesir dengan menguasai majoriti kerusi parlimen, mereka tetap diragui.

Walaupun Ikhwan bertekad untuk melakukan perubahan sosial dan politik di Mesir secara aman melalui proses demokrasi, mereka amat dicemburui dan digeruni.

Walaupun agenda reformasi politik Ikhwan di Mesir bersesuaian dengan suasana globalisasi dunia yang mahu mewujudkan sebuah kerajaan yang bersih dan telus melalui demokrasi, mereka dilihat tidak mempunyai tempat di dalam politik demokrasi bukan sahaja di Mesir tetapi juga di seluruh dunia Islam.

Apakah perubahan politik baru yang melanda seluruh dunia Islam akibat dari ‘Arab Spring’ sudah tidak relevan lagi bagi gerakan Ikhwan Muslimin dan gerakan Islam lain yang terlibat dalam kancah pilihanraya dan demokrasi?

Dan apakah dengan pengharaman Ikhwan Muslimin serta menangkap pimpinan mereka merupakan tanda berkuburnya ‘politik Islam’ di Mesir dan dunia Islam?