YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang,
|
15 Mac 2013
|
Kemunculan teori pemisahan politik daripada agama dalam masyarakat Islam
adalah perkara yang terkeluar daripada ajaran Islam yang sebenar.
Mereka yang menimbulkan perkara ini sebenarnya bertujuan mewujudkan
fenomena menghalang kebangkitan semula "Negara Kuasa Besar Islam", yang
berjaya membebaskan dunia dengan makna kemerdekaan yang hakiki.
Kedaulatan wilayah Islam didirikan Rasulullah SAW adalah petunjuk Allah
dalam ilmu politik, ia wajib diimani dan diamal oleh masyarakat Islam,
lebih kuat lagi apabila sistem tersebut terbukti berjaya membebaskan
masyarakat Arab daripada belenggu jahiliyyah yang sesat, zalim dan
ganas.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, negara Islam ditegakkan
oleh para sahabat dan tabi'en berjaya menumbangkan kuasa besar Timur dan
Barat yang berorientasikan penjajahan dan perhambaan. Kebenaran politik
Islam terbukti lagi apabila keseluruhan penduduk bumi yang diperintah
oleh Islam menjadi penganut Islam yang setia sehinggalah kepimpinan
negara bergilir dalam kalangan berbagai-bagai bangsa yang menganut
Islam, tidak hanya dalam kalangan bangsa Arab sahaja.
Setelah
negara Islam dijatuhkan dengan kehilangan khilafah, kuasa besar yang
muncul selepasnya telah kembali kepada dasar jahiliyah baru yang
diubahsuai dari semasa ke semasa. Negara tanah jajahan dikatakan merdeka
daripada penjajahan asing dengan keluarnya penjajah dan diganti dengan
sistem pemerintahan yang bersifat bangsa dan anak negeri, tetapi
sebenarnya, ditukar kepada penjajahan pemikiran dengan penerusan
ideologi dan sistem warisan peninggalan penjajah asing.
Semua
keadaan ini memaksa negara dunia ketiga, khususnya negeri umat Islam
terus disebut sedang membangun, tetapi tidak terbangun, oleh sebab
dibelenggu penjajahan akal yang belum dirungkai dan terus bergantung dan
berkait dengan negara yang pernah menjajah mereka dengan berbagai-bagai
ikatan dan jalinan.
Kemunculan ideologi daripada sekularisme
yang memisahkan urusan duniawi daripada agama dalam masyarakat Islam,
khususnya aspek politik adalah warisan peninggalan penjajah dan termasuk
dalam agenda barat yang menghalang kemunculan semula pemerintahan Islam
yang sebenarnya menjadi penyelamat manusia sejagat.
Kuasa besar
dunia hari ini menganggap Islam menjadi penghalang cita-cita mereka bagi
menguasai dunia secara penjajahan atas nama hak asasi dan kebebasan,
dengan penguasaan terhadap sesama manusia dan sumber kehidupan mereka
secara sebelah pihak dan berkisar dalam kalangan bangsa dan golongan
tertentu sahaja. Keadaan yang ada menjadikan seluruh dunia terkeluar
dari landasan hidup bermasyarakat yang menjadi ikutan sejagat, hilangnya
tanggungjawab kemanusiaan yang wajib seperti tolong-menolong dan
berlaku adil terhadap semua umat manusia.
Yang dikatakan hak
asasi manusia dan kebebasan hanyalah menjadi topeng godaan golongan yang
kuat (autokrat) terhadap golongan yang lemah dan istilah kepada
ungkapan "new world order" atau order baharu dunia sebenarnya adalah
"penjajahan baru".
Malangnya, apabila sikap negatif terhadap
politik sengaja diwujudkan dalam masyarakat Islam, sehingga lahirnya
ungkapan sesat yang membuat kenyataan, bahawa semua urusan politik
adalah kotor dan jijik, difahamkan ia termasuk juga politik Islam.
Persepsi songsang ini ditimbulkan supaya umat Islam berpeluk tubuh
menerima siapa sahaja yang memerintah, sehingga menerima siapa sahaja
yang menjajah, asalkan bebas beribadat dan beradat, hanya cukup sekadar
ini.
Kedudukan sikap acuh tidak acuh seperti itu menyebabkan
Islam yang mulia tidak memimpin tetapi dipimpin atau dalam istilah
popularnya "diperkudakan", tidak memerintah tetapi diperintah. Maka
berlakulah kehinaan terhadap penganut Islam dan umatnya, sehingga
diratah laksana makanan yang dikelilingi oleh para pelahap yang rakus.
Kewajipan
menegakkan negara dalam syariat Islam dihilangkan, menyebabkan
hukum-hukum Islam daripada Ilmu Allah, Kalam-Nya dan teladan daripada
Rasulullah SAW disia-siakan bahkan ada yang dihina.
Cahaya Islam
tidak boleh dipadamkan oleh sesiapa, walaupun diusahakan oleh mereka
yang bersifat "kuasa besar", kerana ia datang daripada Allah Azza wa
Jalla Tuhan Yang Maha Esa. Pencipta Alam, Tuhan Yang Maha Perkasa Lagi
Bijaksana. Kita wajib menjadikan cahaya Islam ini petunjuk ke jalan yang
benar, mengambil dan menimba daripada petunjuk-Nya yang terpelihara
dalam al-Quran yang teguh dan kuat.
Sebelum kita meninjau dengan
lebih jauh perbincangan tajuk ini, "Politik" dan "Islam" tidak difahami
dengan sahih, sekiranya kita tidak memahami apakah takrif politik dan
takrif Islam yang sebenarnya kerana Islam yang datang daripada Allah dan
Rasul yang dipilih sendiri oleh Allah bagi menyampaikan Islam kepada
manusia, hendaklah menjadi sumber yang asasi, supaya dapat dibezakan
Islam dengan agama lain, serta dapat memahami apakah kedudukan politik
dan amalannya mengikut ajaran Islam.
Khusus bagi orang-orang yang
beriman dilarang sekeras-kerasnya mencela mana-mana ajaran Islam,
termasuk juga politik Islam kerana semua ajaran ini berkait dengan iman
dan Islamnya seseorang.
Tulisan ini menjelaskan tajuk khusus
berkenaan politik dan hubungannya dengan agama mengikut perspektif
Islam, penjelasan daripada al-Quran dan hadis dengan huraian oleh para
ulama yang muktabar dalam kalangan salaf dan khalaf, kalangan yang
benar-benar menerima pusaka Ilmu daripada para Nabi dengan benar, amanah
dan ikhlas. Mudah-mudahan usaha yang kecil ini dapat membebaskan
daripada belenggu kejahilan umat dan kelemahan ulama yang melanda umat
Islam.
Perlu diketahui bahawa Islam mempunyai batas sempadan
dengan ajaran yang lain, terpelihara daripada sebarang penyelewengan
dengan jaminan Allah, ia tidak mampu dinodai oleh ajaran lain, sama ada
yang dinamakan agama atau ideologi. Mereka yang cuba mengheret Islam
daripada landasannya yang kukuh akan terpelanting ke dalam kebinasaan
dunia dan celaka di akhirat, walaupun dia pemimpin yang berkuasa atau
ulama yang berijazah tinggi.
Islam tetap memuliakan akal dan ilmu
yang membezakan manusia dengan makhluk yang lain, tetapi hendaklah
diakui manusia, ilmu dan akalnya tetap bersifat makhluk yang dibebani
kelemahan yang mewajibkan mereka merujuk petunjuk dan memohon
pertolongan Allah. Ketahuilah bahawa manusia yang bersifat seperti iblis
yang sombong, bongkak, angkuh dan enggan menyedari dia adalah makhluk
yang lemah, tidak layak mendapat hidayah daripada Allah.
Takrif Politik
Perkataan
politik berasal daripada bahasa latin, seterusnya diterjemahkan dengan
perkataan yang sama dalam pelbagai bahasa dunia, sama ada bahasa Barat
atau Timur. Makna dan maksudnya ialah mentadbir, memerintah, memimpin
dan mengendalikan urusan.
Dalam bahasa Arab ia disebut dengan
perkataan siyasah, daripada perkataan - sasa, yasusu, siyasatan. Disebut
dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Kaum Bani Israil pada zaman
dahulu yang menjadi pemimpin siyasah mereka ialah para Nabi, setiap
orang Nabi yang dimatikan diganti oleh Nabi selepasnya, tiada lagi Nabi
selepasku, akan ada para khalifah (pemimpin yang memerintah), mereka itu
ramai. Para sahabat bertanya: apakah perintah (pesanan) Rasulullah
terhadap kami? Sabdanya: tunaikan bai’ah (ikrar taat setia) dengan
keutamaan yang pertama dan berikutnya. Berikan hak mereka kepada mereka,
sesungguhnya Allah akan menyoal mereka berkenaan urusan kepimpinan yang
diminta supaya mereka menunaikannya.”
Perkataan siyasah tidak
disebut di dalam al-Quran, tetapi maksudnya termasuk dalam perkara yang
dinaskan secara nyata, para ulama menegaskan ia termasuk dalam maksud
perkataan "khilafah" yang dinyatakan al-Quran, yang menjadi salah satu
daripada tujuan manusia dicipta oleh Allah Taala.
Firman Allah Taala, bermaksud:
“Ingatlah
ketika Tuhanmu berfirman kepada para Malaikat; Sesungguhnya Aku hendak
menjadikan khalifah di muka bumi. Mereka (Malaikat) lalu berkata;
Mengapa Engkau hendak menjadikan (khalifah) di bumi itu mereka yang akan
melakukan kerosakan dan menumpahkan darah, padahal kami sentiasa
bertasbih dengan memuji dan mensucikan Engkau? Tuhan berfirman;
Sesungguhnya Aku mengetahui apa yang tidak kamu ketahui.” (Surah
al-Baqarah : ayat 30)
Para ulama seperti al-Mawardi di dalam
kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Ibn Khaldun di dalam kitabnya
Al-Muqaddimah, Abu Ya'la dalam kitabnya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, mereka
masing-masing meletakkan siyasah (politik) dalam kewajipan Khilafah dan
Imamah:
“Tugas imamah (kepimpinan negara) itu diwujudkan bagi
melaksanakan kewajipan khilafah yang pernah dilakukan oleh kenabian bagi
memelihara agama dan siyasah (politik) mentadbir urusan keduniaan. Bagi
melaksanakannya, hukumnya wajib dengan Ijma’(para ulama).”
Urusan
politik termasuk dalam perkara ilmu fiqah dengan bab dan fasal serta
furuknya. Ada juga kalangan ulama menulis secara khusus dengan nama
imamah, atau ahkam sultaniyyah atau siyasah syar’iyyah. Kesemua aspek
ini tidak boleh dipisahkan antara satu sama lain. Ibnu Ato'illah
as-Sakandari menyebut dalam mukadimah kitab al-Hikam (kitab yang
terkenal dalam ilmu tasawwuf), menaqalkan kata-kata Imam Malik:
“Sesiapa
yang bertasawuf dalam keadaan tidak memahami ilmu fiqah, maka
sesungguhnya dia menjadi zindiq (ajaran sesat yang menyeleweng
akidahnya) dan sesiapa yang mendalami fiqah dalam keadaan tidak
mengambil kira ilmu tasawuf maka dia menjadi fasik dan sesiapa yang
menghimpunkan kedua-duanya maka dia berada dalam keadaan yang benar.”
Takrif Agama
Perkataan
agama dalam bahasa Melayu yang berasal daripada bahasa sanskrit, yang
diterjemahkan ke dalam bahasa Barat dengan perkataan religion.
Dihuraikan dengan makna ajaran dan kepercayaan yang berkait dengan
ketuhanan dan aspek yang berhubung dengannya seperti ibadat dan akhlak
atau kepercayaan kepada yang maha berkuasa dan perkara yang ada hubungan
dengannya dari segi ibadat.
Islam bermaksud yang lebih luas
daripada perkataan agama atau "religion". Al-Quran menyatakan ia adalah
daripada maksud perkataan al-din. Firman Allah Taala:
“Sesungguhnya
agama dan cara hidup (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. Dan
tidaklah menjadi pertelingkahan dalam kalangan penganut agama kitab
melainkan setelah datang kepada mereka ilmu (yang benar daripada Allah)
kerana sikap melampau kalangan mereka, dan sesiapa yang kufur (ingkar
terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah itu sangat segera
hisabnya.” (Surah ali-Imran : ayat 19)
Walaupun diterjemahkan
dengan perkataan agama, tetapi Islam memberi makna yang lebih luas
daripada perkataan agama, mengikut bahasa yang lain kerana ajaran yang
terkandung dalam al-Quran dan diajar serta ditunjuk cara pelaksanaan
oleh Rasulullah SAW merangkumi aspek yang tercakup di dalamnya ajaran
yang berhubung dengan ketuhanan dan cara hidup yang menyeluruh mengikut
fitrah kejadian manusia. Firman Allah, bermaksud:
“Maka
hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada Din Allah; (tetaplah atas)
fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak
ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) Din yang lurus tetapi
kebanyakan manusia tidak mengetahui.” (Surah ar-Rum : ayat 30)
Fitrah
ialah naluri atau sifat semula jadi manusia, berjasad, roh, ananiyyah
(individualistik), madani atau hadari (bermasyarakat dan bertamadun).
Dengan sifat ini mereka layak beribadah, berkhalifah dan beramanah. Maka
Allah menugaskan mereka dengan panduan ajaran Allah yang dinamakan
al-din yang menetapkan arahan dan peraturan dalam semua perkara yang
menjadi fitrah itu dan mereka wajib akur secara menyerah dan tunduk yang
diringkaskan dengan perkataan Islam.
Dengan huraian tersebut
menunjukkan bahawa Islam yang di sebut Din itu lebih luas daripada
takrif agama, lebih luas daripada tafsiran agama mengikut bahasa yang
lain daripada bahasa al-Quran (bahasa Arab).
Ajaran Islam itu
bukan sahaja dalam perkara hubungan manusia dengan Tuhan dalam aspek
ibadah dan perkara akhlak, bahkan menyatakan cara hubungan manusia
dengan dirinya dari segi roh dan jasad, individu, keluarga dan
masyarakat, hubungan dengan makhluk yang lain, sama ada yang berkait
secara langsung bagi keperluan diri manusia atau tidak langsung,
sehingga melibatkan seluruh alam semesta, yang nyata dan ghaib serta
berwawasan daripada dunia sehingga akhirat.
Rasulullah SAW
menghuraikannya apabila disoal oleh Malaikat Jibril dengan tiga
bahagian, iaitu Islam, Iman dan Ihsan. Para ulama menterjemahkannya
dengan akidah, syariat dan akhlak. Perkara akidah menjadi perbincangan
ilmu usul al-din atau akidah atau tauhid. Perkara syariat menjadi
perbincangan ilmu fiqah dan perkara akhlak menjadi perbincangan ilmu
tasawuf. Sehinggalah perkara asas dalam tiap-tiap aspek ini menjadi
fardu ain yang diwajibkan ke atas setiap penganut Islam Islam lelaki dan
wanita yang mukallaf.
Islam Risalah Semua Para Rasul
Semua Rasul SAW yang dilantik oleh Allah menganut Islam dengan maksud al-Din. Firman Allah Taala, bermaksud:
“Ketika
Tuhannya berfirman kepadanya; Tunduk patuhlah! (yakni Islam). Lantas
Ibrahim menjawab; Aku tunduk patuh (Islam) kepada Tuhan semesta alam.”
“Dan
Ibrahim telah mewasiatkan dengan perkara itu kepada anak-anaknya,
demikian pula Ya'qub. (Ibrahim berkata); Wahai anak-anakku! Sesungguhnya
Allah telah memilih ajaran ini bagimu, maka janganlah kamu mati kecuali
dalam memeluk Islam.” (Surah al-Baqarah : ayat 131-132)
Firman Allah lagi, bermaksud:
“Adakah
kamu hadir ketika Ya’qub didatangi (tanda-tanda) maut, ketika ia
berkata kepada anak-anaknya; Apa yang kamu sembah sepeninggalanku?
Mereka menjawab; Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan nenek moyangmu,
Ibrahim, Ismail dan Ishaq, (iaitu) Tuhan yang Maha Esa dan kami hanya
tunduk patuh kepada-Nya (Islam).” (Surah al-Baqarah : ayat 133)
Firman Allah lagi, bermaksud:
“Dan
berjihadlah kamu pada jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya,
Dia telah memilih kamu dan sekali-kali Dia tidak menjadikan untuk kamu
dalam agama suatu kesempitan. (Ikutilah) ajaran orang tuamu Ibrahim, dia
(Allah) telah menamai kamu sekalian orang-orang Muslim dari dahulu, dan
(begitu pula) dalam (al-Quran) ini, supaya Rasul itu menjadi saksi atas
dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka
dirikanlah solat, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali
Allah, dia adalah Pelindungmu, maka dialah sebaik-baik pelindung dan
sebaik-baik penolong.” (Surah al-Hajj : ayat 78)
Perkataan agama
dipakai kepada Islam hanya satu pendekatan untuk memudah faham, tetapi
perlu kepada huraian yang lain supaya difahami dengan betul dan sahih
bahawa Islam itu berbeza daripada takrif agama dan ajaran yang lain.
Hubungan Politik Dengan Agama
Keseluruhan
agama yang lain daripada Islam, samada agama samawi yang telah diubah
daripada ajaran para Rasul atau agama ciptaan manusia sendiri atau
ideologi politik ciptaan manusia juga, menegaskan bahawa politik tidak
ada hubungan dengan agama. Dengan maksud perkara politik tiada kaitan
dengan agama dan ia berasingan daripada agama, maka dalam urusan politik
manusia boleh mencipta dengan akal dan ilmu sendiri tanpa bergantung
kepada agama.
Adapun teori politik ciptaan manusia pula tidak ada
kaitan dengan agama dan agama tidak boleh menguasainya. Ada juga
kalangan yang mengaitkan politik dengan agama tetapi agama tidak boleh
mengatasi keputusan politik.
Dalam masyarakat Barat yang menganut
agama kristian secara jelas mengisytiharkan pegangan mereka kepada
fahaman yang dinamakan sekularisme yang memisahkan politik daripada
urusan agama, sehingga ada negara menjadikannya prinsip perlembagaan
yang dipertahankan.
Sebahagian mereka menidakkan agama dalam
perlembagaan dan ada yang mengumum agama rasmi ataupun agama negara
tetapi dengan kuasa yang terbatas. Maka lahirlah dalam kalangan mereka
ideologi dan teori politik yang jelas, sama ada mengharamkan agama
secara mutlak seperti komunisme yang didokong oleh Karl Marx dan
pengikutnya, atau membenarkan agama dianut secara bebas, tetapi politik
dibebaskan daripada agama seperti yang diamalkan dalam negara liberal
demokrasi.
Apabila Barat menjadi kuasa besar dunia, maka fahaman
ini mempengaruhi masyarakat antarabangsa yang menganut berbagai agama.
Malangnya, kalangan umat Islam juga terpengaruh dengannya sama ada
secara jahil atau mencari jalan mudah untuk bebas daripada tekanan
politik globalisasi.
http://www.tarbawi.my