Ahad, 14 Julai 2013

[VIDEO] Ucapan Osama Mursi: Teruskan Langkahmu Wahai Ayahandaku!



Memakai t-shirt Polo berwarna ungu dan kaca mata hitam Ray Ban, Osama Mursi berjalan menuju ke ruang temu bual dengan tenang dan yakin.

“Apa yang saya nampak pada hari mendatang? Revolusi ini akan berjaya dan pemimpin yang sah bakal kembali.

“Rakyat Mesir tidak akan sesekali takut lagi dengan ancaman penahanan ini,” katanya dipetik CNN.

Lebih seminggu lalu, ayah Osama, Presiden Mesir, Mohamed Mursi telah diguling oleh pihak tentera Mesir.

“Ini adalah satu rampasan kuasa revolusi, rampasan terhadap demokrasi, rampasan kuasa Perlembagaan dan kehendak rakyat.

Sementara itu, Menteri Pertahanan pada dasarnya mengatakan kepada jutaan rakyat yang mengundi dalam pemilihan Presiden dan referendum Perlembagaan "anda tidak tahu apa yang terbaik untuk anda. Saya tahu apa yang terbaik untuk anda’,” katanya.

Menurut agensi berita Al-Ahram, kerajaan baru sedang dibentuk dan Presiden sementara, Hazem El-Beblawi berkata, 70 peratus pemilihan jawatan di kementerian telah selesai.

Pembentukan kerajaan baru dijangka diumumkan Isnin ini.

Jutaan rakyat Mesir memenuhi jalanan pada 30 Jun lalu dan melaungkan ‘pergi’ terhadap Mursi, .

Menurut Osama, perkataan ‘rampasan kuasa’ merupakan penghinaan dan istilah kotor yang merendahkan kepercayaan rakyat selama ini.

Ketika diminta mengulas mengenai Revolusi Redux Osama bagaimanapun tidak bersetuju jika menyamakan ia dengan krisis di Mesir.

“30 Jun bukan revolusi! Sejarah tidak akan pernah merekodkan itu sebagai revolusi.

"....tidak ada sesiapa pun, sama ada pentadbiran Amerika Syarikat (AS) atau sesiapa saja yang boleh memanggilnya revolusi.

"Kenapa? Kerana tidak ada revolusi di dunia ini yang membawa pemerintahan ketenteraan. Tidak ada revolusi di dunia ini yang membatalkan peti undi,” tegasnya.

Sebelum ini, pihak tentera telah memberikan Mursi tempoh 48 jam untuk menyelesaikan krisis.

Dalam pada itu, ulas Osama, bapanya sempat bercakap dengannya untuk kali terakhir sebelum berucap dalam sebuah program televisyen pada 2 Julai lalu.

“Saya beritahu kepada ayah sebagai anaknya untuk dia kekal ingkar dan maju ke depan dan tidak menyerah dengan pihak ketenteraan.

“Mohamed Mursi yang saya kenal ada lambang kebanggaan. Sebagai anak, sekiranya Mohamed Mursi itu berundur atau melarikan diri ia akan sangat memalukan kepada saya, walaupun dia kekal sebagai Presiden,” katanya.

Sementara itu, menurut jurucakap tentera Mesir, Kolonel Ahmed Ali, Mursi sedang ditahan di satu lokasi yang dirahsiakan atas alasan ‘keselamatan peribadi’ tapi untuk seorang anak yang kehilangan ayahnya, Osama menganggap jaminan itu seolah-olah tidak bermakna.

“Jangan risaukan keselamatan peribadinya. Tak ada sesiapa, bukan menteri pertahanan atau menteri dalam negeri patut risau tentang keselamatannya,” kata Osama dengan sinis.

Tambahnya, “jika situasi penahanan yang tidak bermoral dan menyalahi undang-undang, Mursi mesti dibebaskan.

"...dan jika ia berdasarkan penahanan yang sah di sisi undang-undang, saya mengalu-alukannya dan mari kita ikut undang-undang.

Ketika ditanya sama ada dia ada menghubungi ayahnya yang di dalam tahanan, Osama berkata, “saya sebahagian daripada revolusi dan saya cukup kuat dari seorang tentera, benarkan saya bercakap dengan ayah saya.

"Tidak. Kita dalam revolusi. Angin baru bagi revolusi 25 Januari...laluan demokrasi kita, kami tidak akan melepaskannya,” katanya.

Revolusi pada 25 Januari 2011 menyebabkan kejatuhan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak.

Ratusan penyokong Muslim Brotherhood kekal di dalam tahanan dan pendakwa raya telah mengeluarkan banyak waran tangkap untuk pimpinan atasan tapi Mursi muda ini memilih untuk bertemu di siang hari, di salah sebuah masjid terkenal di Kaherah.

“Revolusi ini akan berjaya. Revolusi yang membawa kepada berakhirnya pemerintahan Mubarak akan kekal kuat.

“Ini adalah revolusi keamanan melawan rampasan kuasa tapi revolusi ini akan menjadi lebih penting daripada 25 Januari kerana ia akan turut menghentam akar umbi.”

Sebelum mengakhiri temu bual, Osama memandang ke kamera dan menyampaikan mesej ini buat ayahnya.

“Ayah adalah pemimpin yang sah, ayah adalah pemimpin dan Presiden yang terpilih. Kami sokong sebarang keputusan yang ayah buat walaupun ayah memilih untuk meninggalkan pejabat.

"Keluarga ayah, kami semua bangga dengan ayah. Tuhan merahmati ayah.”


Anak Mursi turun gelanggang di Dataran Rab'ah


Usamah, anak kepada Presiden Dr. Muhammad Mursi berucap di hadapan jutaan penyokong di Dataran Rab’ah, menyatakan bantahan beliau terhadap rampasan kuasa: “Elakkan pertempuran atas nama Revolusi”.

Beliau turut menujukan ucapan kepada ayah beliau Dr Muhammad Mursi dengan berkata:

"Sesungguhnya aku tujukan seruan kepada ayahku, bertahanlah wahai ayahku, teruskanlah langkahmu dan jangan sesekali tunduk dengan mereka yang zalim, dan kami sekeluarga nazarkan dikau kepada kepada tanah air ini, cukup lah Allah bagi kami, dan janganlah terbeban Wahai Ayah terhadap dasar Revolusi kami”

Beliau juga dalam ucapannya di atas pentas Dataran Rab’ah menyeru Pakatan Nasional untuk mempertahankan syar’iyyah, “Aku katakan kepadamu Wahai ayahku, jika kamu dapat mendegarku sekarang, atau Allah pasti akan menyampaikannya kepadamu"

"Seluruh keluarga Mursi berada di dataran, dan aku datang hari ini ke Dataran Rab’ah, bukan untuk berucap atas nama individu atau parti, tapi aku aku berucap atas nama kebenaran, aku mengatakan kepadamu wahai ayah atas nama keluarga Presiden : Pergilah kamu wahai ayahku untuk berperang kerana Tuhanmu maka kami akan berperang bersamamu”.

Beliau menyambung lagi,"Aku berwasiat kepada ayahku dan berkata jika kamu melihat darahku mengalir, ketahuilah bahawa aku di atas jalan kebenaran, dan jika kamu melihatku serasi bersama mereka yang batil, maka ketahuilah bahawa aku bersama kebatilan".

Beliau juga memberi ucapan kepada rakyat Mesir, "Aku mengatakan kepada kamu Wahai rakyat Mesir yang mulia, revolusi ini atas nama Mesir, maka bangkitlah dan sempurnakanlah revolusi ini, maka dengan kehendak Allah dan takdirNya jua."

" Kita berada di pihak yang benar bermula hari ini sehinggalah Allah berkehendak melaksanakan suatu urusan yang harus dilaksanakan".
(nota: iaitu kemenangan kaum muslimin dan kehancuran kaum musyrikin)

Beliau kemudian meneruskan ucapannya kepada Dr. Muhammad Mursi presiden Mesir,"Aku titipkan kepadamu salam wahai ayah, dan aku berikan penghormatan yang mulia kepada seluruh rakyat Mesir, tetaplah atas jalan kamu, dan dengan nama Allah janganlah takut kepada celaan orang yang suka mencela, dan semoga Allah membantu kita memelihara revolusi ini dengan darah-darah kita". - ikhwanonline


KELAB GREENBOC: [VIDEO] Ucapan Osama Mursi: Teruskan Langkahmu Wah...

KELAB GREENBOC: [VIDEO] Ucapan Osama Mursi: Teruskan Langkahmu Wah...: M emakai t-shirt Polo berwarna ungu dan kaca mata hitam Ray Ban, Osama Mursi berjalan menuju ke ruang temu bual dengan tenang dan yakin. “A...

Ibnu Hasyim: David Teo Masuk Islam?

Ibnu Hasyim: David Teo Masuk Islam?: HALAMAN HIBURAN Betul Ke David Teo Masuk Anut Agama Islam? Blog Hiburan Mohdrohaizad.com telah lama mengetahui yang David Teo bel...

Ibnu Hasyim: AS Jangan Angkuh Dengan Kuasa -Nik Aziz

Ibnu Hasyim: AS Jangan Angkuh Dengan Kuasa -Nik Aziz: TINDAKAN Amerika SYARIKAT (AS) dan sekutunya menyokong rampasan kuasa adalah menghina umat Islam Mesir yang telah membuat keputusan mem...

Rampasan kuasa di Mesir, Amerika dalang?


Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 14 Jul 2013
Tindakan Amerika dan sekutunya (menyokong rampasan kuasa) adalah menghina umat Islam Mesir yang telah membuat keputusan memilih seorang presiden dari kumpulan Islamis secara sah. Sikap Amerika itu adalah kelangsungan daripada penghinaan yang pernah dilakukan oleh regim sekular Mesir sebelum ini yang dipimpinan oleh Gamal Abdel Nasir, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Sesungguhnya penghinaan Amerika itu samalah dengan puak-puak Ahli Kitab yang sentiasa bersikap suka menghina orang Arab dan sanggup berdusta terhadap Allah. Menurut Al-Quran, Ahli Kitab itu berkata: “Tidak ada jalannya kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi (ditujukan kepada orang-orang Arab), dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).” (Maksud Al-Quran Surah Ali-Imran ayat 75).

Berdasarkan firman Allah SWT ini, seharusnya umat Islam menganggap penghinaan Amerika itu sebenarnya turut menghina secara langsung persoalan hak dan akidah umat Islam Mesir, malah di seluruh dunia. Ini kerana umat Islam diajar untuk memilih kebenaran dalam melantik pemimpin yang benar-benar ingin melaksanakan Islam dalam urusan kerajaan. Maka sikap Amerika dan sekutunya itu sudah mencabar iman umat Islam kerana mendorong umat Islam mengikut telunjuk mereka.

Justeru atas prinsip keimanan (menjaga akidah) didoakan agar umat Islam di Mesir dibekalkan oleh Allah kekuatan dan kemenangan demi menjulang panji-panji perjuangan Islam terus subur di bumi anbiya’ itu. Kepada Amerika ingatlah, sehebat mana sekalipun kamu dalam mencaturi politik umat Islam Mesir, akan sampai ketikanya kamu pasti berdepan dengan kemusnahan. Lihatlah sebelum ini Rusia, salah satu kuasa besar dunia turut menjadi pencatur utama politik dunia, akhirnya Rusia tidak boleh gah lagi. Ia berpecah-belah setelah kebangkitan kuasa rakyat. Begitu juga bumi Mesir sebelum ini, paling bersejarah dengan kekuasaan kerajaan Firaun, berjaya mencipta tamadun piramid dan kemakmuran Lembah Nil, tetapi sampai ketikanya Firaun turut kecundangan berdepan dengan kebenaran yang dipimpin oleh Nabi Musa.

Justeru Amerika yang mengadu domba umat Islam Mesir hari ini pasti berdepan dengan kekecewaan. Berdasarkan perkembangan terbaru, menyaksikan kebangkitan dan kesediaan umat Islam Mesir mempertahankan kebenaran dan hak melawan campur tangan tentera Mesir dan Amerika. Kekentalan semangat jihad penyokong Morsi dan rakan Ikhwanul Muslimin yang tidak berganjak mendesak pemulihan kuasa rakyat dan pembelaan terhadap Morsi adalah lambang kuasa kebenaran (baca demokrasi) berdepan dengan percaturan Amerika dan tentera Mesir. Ia suatu kesedaran dan kebangkitan sekali lagi rakyat menolak pencabulan hak dan kebenaran demi mengembalikan maruah Islam yang tercalar. Semoga Allah menolong orang-orang yang beriman dan berjuang di atas jalan-Nya.

Nik Abdul Aziz Nik Mat,
AL-MURSYIDUL AM PAS.

5 Ramadhan 1434/14 Julai 2013.

Persempadanan semula: Apa lagi helah SPR?


Selangorku, 14 Jul 2013
Persempadanan semula kawasan pilihanraya di Malaysia dilakukan pada 1958, 1966, 1974, 1983, 1992 dan 2003.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan di bawah perkara 113, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) diberi amanah untuk melakukan kajian semula persempadanan kawasan pilihanraya setiap 10 tahun.

Persempadanan semula tersebut dilakukan berlandaskan kepada keadaan geografi dan topografi sesuatu kawasan, tahap pembangunan, demografi, kemudahan asas dan komunikasi.

Ia juga atas kemampuan Kerajaan (Negeri dan Persekutuan) untuk menampung kos yang terlibat dengan penambahan kerusi Parlimen dan DUN.

Tujuan persempadanan semula dilakukan bagi memastikan tidak berlaku ketidak seimbangan sesuatu kawasan berpenduduk yang menyulitkan pentadbiran disebabkan berlakunya pertambahan penduduk.

Keadaan ini lebih ketara berlaku di kawasan bandar akibat peningkatan proses pembangunan yang menjurus kepada migrasi penduduk secara aktif.

Maka asas utama persempadanan semula ini samaada Parlimen atau Dun perlu berpaksi kepada rasionaliti jumlah pemilih, keluasan sempadan kawasan dan aksessibiliti yang dapat memudahkan wakil rakyat untuk berhubung dan berkhidmat kepada pengundi.

Berdasarkan tahun akhir persempadanan semula pada 2003 maka SPR tidak ada pilihan selain melakukannya pada tahun ini. Walaupun ura-uranya mahu dilakukan pada 2011 lalu. SPR memberikan alasannya untuk dilakukan selepas PRU 13 kerana tidak mahu mengganggu perjalanan PRU tersebut.

Apapun alasannya SPR yang berada dibawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) mempunyai kuasa untuk menentukan tarikh dan masa untuk mengkaji semula dan menyiapkan persempadanan kawasan pilihanraya yang baru.

‘Gerrymandering’ Selamatkan Najib

Pada PRU 10 pada 1999, Ahli Parlimen Pekan yang kini menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 241 undi.

Akibat persempadanan semula pada 2003, SPR telah memasukkan beberapa kem tentera yang sebelum ini berada dikawasan parlimen Kuantan ke dalam kawasan pilihanraya parlimen Pekan.

Sejak itu Najib yang ketika itu menjadi Menteri Pertahanan berada dalam kemenangan selesa dalam setiap kali PRU walaupun Parlimen Kuantan akhirnya tergadai kepada Pakatan Rakyat sejak PRU 2008 hingga kini.

Cara inilah juga merupakan salah satu kaedah yang digunakan oleh SPR bagi memastikan kemenangan besar Umno-BN dalam PRU selepas melakukan persempadanan semula kawasan pilihanraya.

Walaupun kaedah ini terpaksa menggadai kawasan lain kepada pihak lawan. Dalam pengajian Sains Sosial dan Sains politik, kaedah yang digunakan oleh SPR untuk meneruskan kemenangan Najib itu disebut sebagai kaedah “Gerrymandering’

Gerrymandering ialah satu tindakan memanipulasi pihak yang mempunyai kuasa politik dalam sesuatu negara/negeri dalam penyusunan dan pengaturan semula kawasan-kawasan pentadbirannya bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang.

Tindakan ini adalah bertujuan mengurangkan undi parti pembangkang dan membolehkan parti pemerintah memperoleh lebih banyak undi dari keputusan sebelumnya.

Kaedah Gerrymandering ini diasaskan oleh Gabenor Massachusetts di Amerika Syarikat dari parti Republikan, Elbridge Gerry ketika beliau menguasai wilayah tersebut pada 1812.

Gerry telah meluluskan satu dasar undang-undang berkaitan dengan persempadanan kawasan pilihan raya di wilayahnya yang memberi kelebihan kepada partinya.

Tindakan beliau ini juga dikenali sebagai Salamender kerana perubahan yang beliau lakukan di wilayah itu telah menyebabkan peta kawasan tergambar seolah-olah bentuk seekor binatang “Salamender” yang berlekok-lekok.

Tiga Taktik Leburkan Pakatan

Terdapat tiga kaedah untuk memanipulasi persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

Pertamanya konsep ‘Excess Vote’, dimana Pakatan akan dihadkan menguasai sesuatu kawasan tertentu dengan kelebihan majoriti yang tinggi. Manakala dikawasan sekitarnya undi pembangkang akan ‘di tenggelamkan’ dalam undi majoriti parti pemerintah.

Contohnya, Kelantan ialah kawasan yang kuat menyokong pihak PAS oleh itu Kerajaan Pusat akan cuba menumpukan perhatian kepada negeri Pahang dan Terengganu dalam pilihan raya bagi memastikan kedua-dua negeri ini tidak akan ditawan oleh PAS.

Ini bermakna parti kerajaan mengehadkan kuasa pihak pembangkang keatas negeri Kelantan sahaja.

Keduanya kaedah ‘Wasted Vote’ iaitu usaha mengurangkan undi pembangkang secara memasukkan kawasan yang dijangka dimenangi BN kedalam kawasan yang dikuasai PR.

Contohnya kawasan A sebuah kawasan ramai penduduk yang menyokong PR manakala kawasan B pula lebih kepada BN.

Bagi memastikan BN dapat memenangi kawasan A, penstrukturan dibuat dengan memasukan satu atau lebih bahagian dari kawasan B ke dalam kawasan A dan mengeluarkan satu bahagian atau lebih kawasan A kepada kawasan C.

Tindakan ini akan membolehkan BN memenangi pilihan raya akan datang dengan nisbah 1:2.

Ketiga ialah melalui kaedah wang “stacked”. Melalui kaedah ini kawasan yang jauh dari bandar akan dijadikan kubu untuk parti pemerintah mengekalkan kuasanya.

Konsep ini boleh dikatakan seperti konsep ‘hutang budi’ dimana pemerintah akan menggunakan kaedah wang dan sogokan bagi membangunkan dan memperbaiki kemudahan infrastruktur di kawasan luar bandar.

Adat dan budaya masyarakat luar bandar di manipulasi untuk meletakkan orang kampung dalam situasi hutang budi dan perlu mengenang budi kepada pemerintah.

Pemerintah juga akan bertindak mengugut golongan luar bandar ini dengan tanggapan bahawa menyokong parti pembangkang mereka akan menghadapi masalah kerana rata-rata penduduk luar bandar terdiri dari penduduk miskin.

Persempadanan SPR Akhirnya Menikam BN

Sebelum berlaku tsunami politik pada 2008, BN menggunakan pengaruh etnik sebagai aset kemenangan dalam setiap PRU maupun pilihanraya kecil.

Pengundi Cina dan India sering dijadikan sandaran oleh BN untuk memastikan kemenangan selesa.

Namun gelombang kebangkitan rakyat selepas 2008 dimana hampir 90 peratus ethik Cina dan lebih 54 peratus pengundi India menyokong PR meletakkan BN dan SPR dalam keadaan serba salah untuk meletakkan batu sempadan baru.

Manakala kemenangan undi popular 51 peratus terhadap PR dan hanya 47 peratus kepada BN dalam PRU13 lalu menjadi penanda aras bahawa kesan persempadanan semula yang di buat SPR selama ini sedang memakan diri sendiri.

Berdasarkan kaedah Gerrymandering, tindakan pemerintah memanipulasi kawasan pilihanraya baru secara tidak sihat ini akan menyebabkan masalah dalaman jangka panjang yang akhirnya memberi kesan kepada pihak pemerintah.

Ini disebabkan keputusan yang diperoleh bukan berfakta dari keputusan sebenar tetapi kesan manipulasi persempadanan yang tidak adil.

Dilema SPR


Inilah juga realiti yang sedang dihadapi SPR dan Najib dalam memastikan kemenangan besar dalam PRU14 selepas persempadanan semula sebagaimana berlaku sebelum ini.

SPR boleh mencongak persempadanan semula kawasan pilihanraya bersandarkan kepada pemerhatian kemenangan dalam saluran-saluran tertentu yang dimenangi BN semasa PRU 13 lalu.

Kaedah ‘wasted vote’ yang digunakan sebelum ini telah menyumbang kemenangan kepada BN walaupun gagal memperoleh dua pertiga di parlimen.

Salah satu perbezaaan besar persempadanan semula kali ini adalah faktor etnik yang tidak lagi boleh di jadikan sandaran oleh SPR untuk menjamin kemenangan BN.

Isu besar dari persempadanan semula buat kali ke tujuh pada 2013 ini adalah berlakunya ketidak seimbangan jumlah pengundi dalam kawasan yang disempadankan.

Sedangkan tujuan persempadanan semula sepatutnya bagi mengelak dari berlakunya ketidakseimbangan saiz kawasan dan jumlah pengundi.

Contohnya, P125 Putrajaya mempunyai jumlah pengundi 15,791 manakala P109 Kapar mempunyai 144,369 pengundi berdaftar. Kapar mempunyai jumlah pengundi sepuluh kali ganda dari Putrajaya sedangkan dua kawasan tersebut masing-masing diwakili seorang wakil rakyat.

Perkara kedua yang menjadi dilema SPR juga berhubung berapakah jumlah penambahan kerusi Dun dan Parlimen di seluruh negara. Apakah 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi Dun yang dipertandingkan pada PRU13 lalu akan dikekalkan?

Apakah juga kalau ada penambahan kerusi-kerusi tersebut akan memihak kepada Umno-BN atau akan memberi lebih kemenangan kepada PR.

Sama ada secara sembunyi atau secara terang lagi bersuluh SPR merupakan junta yang mana BN bertaut untuk memastikan penerusan kuasa.

Persempadanan semula kawasan Pilihanraya tidak ubah seperti rencah, percaturan dan mekanisma SPR untuk memastikan kemenangan BN.

Inilah kesannya apabila agensi tersebut hilang kredibiliti dan keyakinan orang ramai terhadap badan yang sengaja dibentuk untuk kepentingan Umno-BN.

Beranikah kerajaan pimpinan Najib untuk meletakkan SPR dibawah kuasa parlimen sebagaimana di perjuangkan rakyat sekian lama.

Jawapannya, kita hanya mampu tunggu dan lihat buat ketika ini.

Pedang Salahuddin al-Ayubbi paling tajam di dunia?


http://aiyangdisayang.blogspot.com, 14 Jul 2013

Tahukah anda..PEDANG SALAHUDDIN AL-AYYUBI - Pedang Paling Tajam Di Dunia?




[BARAT SEDANG BERUSAHA MENGHURAI TEKNIK INI]

Salahuddin Al-Ayyubi -
Pedang yang diakui paling tajam di dunia oleh pakar metalurgi. Ketajamannya mampu menembus baju zirah crusader, memotong dua pedang lawan, membelah perisai dan batu tanpa mengalami kerosakan pada matanya. Kehebatan pedang buatan Damsyik dan terkenal dengan panggilan Pedang Persia ini telah mengatasi kehebatan pedang Katana dari Jepun dan pedang Excalibur milik Raja Arthur.Pedang ini diperbuat besi baja "damarcus" dengan teknik rahsia yang disaluti CNT (Carbon Nano Tubes) yang menjadikan ianya AMAT TAJAM dan LENTUR. Seni pembuatan pedang yang terahsia ini amat dikagumi oleh puak Barat dan kajian metalurgi moden setakat hari ini juga, masih tidak berkeupayaan untuk menghasilkan pedang berteknologi tinggi (teknologi NANO) dari peradaban Islam pada kurun ke-12 ini.

Apa itu CNT?

CNT merupakan suatu rantaian atom karbon yang terikat di antara satu sama lain secara heksagonal berbentuk silinder yang mempunyai diameter sekecil 1-2 nanometer. Silinder CNT ini boleh mencapai panjang sehingga berpuluh-puluh mikron dan tertutup di bahagian hujung seolah-olah sebatang paip yang ditutup dikedua-dua hujungnya.

Pencirian yang dilakukan terhadap bahan ini juga menjelaskan bahawa CNT mempunyai kekuatan paling tinggi berbanding bahan lain. Ia juga mempunyai sifat kekonduksian elektrik melebihi kuprum dan logam. Keunikan tiub karbon nano yang lain ialah mempunyai ketahanan terhadap suhu tinggi serta mempunyai jisim yang lebih ringan dari aluminium.

Teknologi NANO.
Kehebatan Pedang Salahuddin Al-Ayyubi telah dibongkar oleh Prof Dr. Peter Paufler dari Jerman. Prof tersebut menjumpai CNT di dalam pedang tersebut bersama senjata2 yang digunakan oleh tentera-tentera Islam pada ketika itu sewaktu perang Salib. CNT ini yang menjadikan pedang tentera Islam ini sangat tajam tetapi mudah lentur. Teknologi NANO ini menggunakan besi baja "damarcus" yang juga dipanggil wootz. Bijih besi ini mengandungi sejumlah peratusan unsur Karbon. Selain besi dan karbon, unsur-unsur seperti Kromium, Mangan, Kobalt juga ditambah bagi menambahkan lagi kekuatan, ketajaman dan kelenturannya.

Salahuddin Al-Ayyubi memimpin Tentera Islam dalam perang salib kurun ke-12.

Teknik pembuatan pedang ini begitu rahsia sehinggakan hanya beberapa keluarga tukang besi di Damsyik saja yang menguasainya. Akhirnya pada kurun ke-18, teknologi pembuatan pedang ini telah pupus. Apa yang tinggal hanyalah pedang-pedang, tombak dan Pisau yang kini tersebar di pelbagai Museum di seluruh dunia. Sekadar mengingatkan kita bahawa Teknologi Hebat Peradaban Islam ini telah hilang di telan zaman.

Wallahua'lam.