Sabtu, 1 Disember 2012

PAS perlu terus di posisi menyerang

PAS perlu terus di posisi menyerang

Ahmad Lutfi Othman, 01 Dis 2012
Perhimpunan Agung Umno 2012 merupakan medan terakhir buat Najib Razak memperagakan "penampilan bergaya" parti itu bagi meraih sebanyak mungkin sokongan pengundi Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Ketika kelompok bukan Melayu, khususnya orang Tionghua, kelihatan berpatah arang untuk kembali mengundi BN, hanya masyarakat Islam menjadi sandaran utama Umno mempertahankan Putrajaya. Justeru, "solekan agama" lebih diperlukan supaya orang Melayu terus terkeliru atau sekurang-kurangnya berada dalam keadaan serba-salah untuk mengundi Pakatan Rakyat.

Dijangka dalam perhimpunan terbesar itu, Umno akan mengambil pendekatan menyerang dan cuba menganjak daripada posisi bertahan, termasuk membelasah saingan terdekatnya, PAS, dengan hujah-hujah agama, bagi mempamerkan ia lebih Islamik, sekali gus membawa retorik lama, iaitu menjaga dan mempertahan kepentingan  Melayu.

"Hari ini kami pakai baju merah... ini petanda kami nak pergi berperang," kata Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan kepada Bernama, di PWTC, 27 Nov lalu, semasa mengatur persiapan terakhir perhimpunan.

Sambil berusaha mengoyak imej PAS dengan terus mendakwa telah lari daripada landasan perjuangan asalnya -- dibantu secara tidak langsung oleh beberapa bekas pemimpin kanan PAS -- Umno sebenarnya tiada jalan keluar selain mempromosi dirinya sebagai pembela agama, termasuk dengan mengeksploitasi isu-isu antarabangsa umat Islam seperti Palestin (hubungan dengan Hamas) dan Selatan Filipina (MILF).

"Najib juga dijangka menekankan kepentingan mendekati generasi muda, terutama pemilih yang baru kali pertama mengundi. Begitu juga dengan berusaha mengekalkan sokongan pengundi wanita," ujar seorang pemimpin gerakan pelajar.

"Mahasiswa akan diperalatkan dalam kempen PRU13, lihat saja program TPM Muhyiddin Yassin baru-baru ini dengan pemimpin pelajar, bendera Umno dikibar tanpa segan silu, sedangkan ia program rasmi kerajaan," tegasnya.

Para perwakilan daripada 191 bahagian Umno seluruh negara telah diperingatkan awal-awal lagi agar tidak menimbulkan isu-isu yang boleh masalah kepada parti dan juga rakan-rakan komponen dalam BN semasa perbahasan, selain memastikan perjalanan perhimpunan dapat menyuntik semangat dan komitmen tinggi berdepan pilihan raya paling mencabar sejak merdeka.

"Tentunya Umno tidak mahu perhimpunan ini membawa mesej salah kepada pengundi, sepertimana berlaku sedikit kekecohan dalam muktamar PAS baru-baru ini," kata seorang pemerhati politik yang mengikuti dari dekat perkembangan PAS.

"Umno lebih bernasib baik kerana ia mengawal media, tetapi harus diingat, dengan teknologi maklumat terkini, sebarang kesilapan kecil semasa perbahasan boleh mengundang padah," tambahnya.

"Masa berbaki yang cukup singkat ini, paling lama 15 minggu, tetapi saya jangka Parlimen dibubar lebih awal itu sekitar selepas Tahun Baru Cina, mesti digunakan Umno untuk menyerang, bukannya bertahan atau terpaksa menjawab serangan Pakatan. Saat-saat akhir adalah tempoh paling kritikal dan cukup penting," katanya lagi.

Seperti diramal, PAS yang bakal mencabar Umno di kebanyakan kerusi yang ditandinginya, menjadi sasaran utama kecaman Muhyidin, semasa serentak merasmikan perhimpunan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno, pada malam Rabu lalu.

Logiknya mudah ditelah; peluang Umno untuk terus menerajui kuasa hanya cerah apabila PAS ditolak pengundi Melayu. Musuh ketat Umno yang mesti ditumpaskan -- melebihi DAP dan KeADILan -- adalah PAS! Oleh itu, wibawa dan integriti Parti Islam itu mesti diruntuhkan, walaupun terpaksa membuat seribu satu pembohongan dan pendustaan.

Justeru, ketika Dr Mahathir Mohamad berkata Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat layak menjadi Perdana Menteri, berbanding Anwar Ibrahim, saya kira ahli-ahli PAS tidaklah begitu naif untuk membaca muslihat bekas PM itu. Ia hanyalah untuk memecah-belahkan persefahaman oposisi, suatu ilusi yang begitu didambakan pemimpin Umno.

Dalam pada itu, kehadiran PAS dalam Pakatan diibaratkan "lebai malang dan melukut di tepi gantang". Muhyidin berkata: "PAS tidak berkongsi kuasa dengan DAP dan KeADILan. Sebaliknya, kuasa yang sepatutnya diberikan kepada PAS dirampas oleh DAP dan KeADILan. ... PAS hanyalah kuda tunggangan, tukang sorak dan tukang takbir untuk mereka merebut kuasa."

Sempat saya menonton sekilas liputan langsung ucapan Muhyiddin itu. Nampak sangat penekanan dan intonasinya serba tidak menjadi. Jika ia bertujuan untuk menghidupkan kembali semangat Pemuda, Wanita dan Puteri, yang berada di tahap rendah berdepan PRU13, saya yakin objektif itu gagal dicapai.


Sambil mengakui masih ada segelintir masyarakat Melayu yang mungkin terpedaya dengan tohmahan yang sering dikitar semula itu, terutama yang tidak terdedah dengan ledakan muklumat, namun saya yakin, bilangannya semakin kecil dan ia mudah dipatahkan jika jentera penerangan PAS bertindak lebih efisyen dan sistematik.


"Dan pemimpin PAS pula jangan terlalu defensif menjawab serangan Umno itu sehingga melupakan isu-isu rakyat yang jauh lebih besar dan menekan kehidupan seharian warga," seorang profesor sains sosial mengingatkan saya.

"Maaf, saya kira banyak juga perbahasan dalam muktamar PAS yang lalu, hanya menjawab persoalan dibangkitkan bekas pemimpinnya, yang sebenarnya sudahpun ditolak ahli-ahli dan ini amat membazirkan masa, sedangkan perhimpunan tahunan terbesar itu menjelang PRU13 amat kritikal untuk membuat persiapan dan pecutan terakhir yang meyakinkan," tambahnya.

Ia mengingatkan saya pertemuan dengan  Tengku Seri Paduka Raja Tengku Ibrahim, di rumahnya, di Kuala Terengganu, petang Jumaat, 23 Nov lalu. Beliau yang pernah aktif dalam Semangat 46, bekas Adun Tanggol (1990-95) dan baru saja menyertai PAS, mahu "Harakah lebih proaktif menangani masalah rakyat, termasuk mendedahkan secara terperinci salahguna dan korupsi pemimpin Umno, termasuk Menteri Besar Ahmad Said".

"PAS mesti lebih agresif menyerang, banyak isu-isu perlu dibongkar untuk pengetahuan orang ramai, selain lebih kerap mendekati rakyat, menyantuni masalah seharian mereka. Dan pemimpin PAS juga harus bersikap lebih terbuka," ujarnya sambil menunjukkan beberapa risalah memaparkan graf kenaikan kos hidup dan hipokrasi Dr Mahathir Mohamad (serta Najib) dalam isu George Soros.

Pantun seloka PAU 2012

Pantun seloka PAU 2012

Nasrudin Hassan, 01 Dis 2012
Anak muda disaji pelbagai tawaran, Turunkan harga kereta, lesen motor nak dikurang,
Kalau tak kerana PR mula langkah kanan,
Agak-agaknya Khairy sibuk nak bagi peluang?
Ke Timur Tengah Pemuda UMNO bakal berjalan,
Mencari Ulama' muda tambah keahlian,
Sekarang zaman Islam, assabiyyah ditinggalkan,
Gunalah ilmu bezakan kaca dari intan.

Ulama muda UMNO dah keluar pandangan,
Perang Palestin bukan Jihad perjuangan,
Hah! Tu wakil Hamas kan ada dalam dewan,
Kalau berani pergilah cakap depan-depan!  
Tiada lembu tiada juga kandang,
Duit NFC lesap hasil negara berkurang,
Bicara Ketua Wanita menakutkan orang,
BN kalah, 13 Mei berulang?

Tak payahlah Kak Ijat takutkan orang,
Rakyat nak tukar cara aman,
Tak nak gaduh, tak nak perang,
Cuma lembu tumbang tanda kesyukuran.

RM40 juta ke kantung Musa Aman,
Kononnya untuk UMNO dibuat sumbangan,
Jangan hanya ampu wahai perwakilan,
Bangkitlah soal tuntut penjelasan!

RM40 juta bukannya sikit wahai cik abang,
Duit marhaen tu bukannya hak korang,
Rakyat dah bising, dah mula bosan, "Ini kalilah!" Sabah kita tukar kerajaan.

GTP, ETP transformasi ekonomi,
Dulu sedikit kini hutang dah tinggi,
"Menteri Kewangan terbaik!" PM bangga diri,  
Ibarat masuk bakul, angkat sendiri.

Deepak mengeluh Rosmah lupakan kawan,
Tugas polis dikacau orang kementerian,
Najib,Hishammudin jadilah "gentleman",
Letak jawatan jawablah tuduhan.

Najib, Hishammudin tak duduk senang, Deepak, Musa Hassan, loyar Perancis semua dah bagi amaran,
Khairy, Muhyiddin nampak girang, Baling batu, sorok tangan

Kapal selam timbul tenggelam,
Kah Mah pula joget Hindustan,
Masa depan UMNO nampak kelam, PAS ganti UMNO,kita corak masa depan.

Nukilan Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia

Najib lebih lemah dari Pak Lah

Mohon maaf: Najib lebih lemah dari Pak Lah



16 Muharram 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak buat kali ketiga memohon maaf kepada rakyat 'atas kekhilafan kerajaan' menggambarkan beliau lebih teruk 'gagal' berbanding Perdana Menteri sebelumnya, Abdullah Ahmad Badawi.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau yakin permohonan Najib itu kerana kegagalannya mengurus tadbir negara dengan baik.

"Najib sedar beliau tidak dapat menyempurnakan tugas dengan baik untuk mengangkat negara ke arah yang lebih baik.

"Dan ini menunjukan beliau rasa beliau lagi gagal dari Pak Lah (Abdullah Ahmad Badawi)," kata beliua ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, pada Mac lalu ketika satu majlis di Baling Kedah, Najib juga pernah membuat rayuan momohon maaf kepada rakyat negeri itu atas kesilapan dalam pilihan raya umum lalu yang menyebabkan mereka ditolak di negeri itu.

Dalam satu majlis di Pelabuhan Kelang dua minggu sebelum itu, Najib juga memohon maaf dan mengakui bahawa BN ada melakukan beberapa kesilapan di negeri Selangor sehingga mereka ditolak oleh rakyat dalam pilihanraya 2008 lalu.

Mengulas lanjut, Salahuddin juga berkata, rakyat boleh memaafkan Umno BN atas kegagalan mereka namun tidak bermaksud rakyat akan terus memilih parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13.

"Mungkin rakyat boleh memaafkan Umno BN tapi tidak bermaksud rakyat akan terus memberi peluang kepda mereka. Memaafkan dan terus memilih dua perkara berbeza," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Justeru katanya, tiada masalah bagi rakyat memaafkan Umno BN tapi jangan sampai memberi peluang kepada parti yang terbukti gagal.

"Memaafkan itu boleh tapi pastikan rakyat tidak memilioh parti yang gagal lagi dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.

Najib dalam ucapan dasaranya dilaporkan sebagai berkata,"bumi mana tak ditimpa hujan, laut mana tidak bergelora, bahagian dunia manakah yang wujudnya orang, atau pimpinan, atau persyarikatan atau parti yang tidak pernah tersandung atau tersalah. Di atas segalanya, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, kami menyusun jari nan sepuluh memohon maaf atas kekhilafan"

PKR kemuka fakta banding pencapaian Najib-Anwar

PKR kemuka fakta banding pencapaian Najib-Anwar

Harakahdaily, 30 Nov 2012
KUALA LUMPUR: PKR hari ini mengemukakan fakta sebagai perbandingan bagi menjawab siapa sebenarnya lebih bijak mengurus kewangan negara antara Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Fakta berupa angka pertumbuhan Kadar Domestik Negara Kasar (KDNK) kedua-dua zaman Anwar dan Najib menjadi menteri kewangan itu di kemukakan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali.

Menurut Azmin, ketika Anwar menteri kewangan, negara mencatatkan pertumbuhan KDNK yang kukuh pada kadar 8.8 peratus pada tahun 1992,  9.9 peratus (1993), 9.2 peratus (1994), 9.8 peratus (1995), 10 peratus (1996) dan 7.3 peratus pada 1997 apabila krisis ekonomi bermula.

Sebaliknya, di bawah Najib, KDNK negara merosot sebanyak 1.5 peratus pada 2009, dengan pertumbuhan berikutnya sebanyak 7.2 peratus pada 2010 dan 5.1 peratus pada tahun 2011.

Pendedahan secara perbandingan itu dipercayai bagi menyangkal kenyataan Najib ketika berucap di perhimpunan agung Umno semalam bahawa beliau (Najib) mampu menguruskan ekonomi negara lebih baik daripada Anwar.

"Sejak menjadi Menteri Kewangan, pencapaian ekonomi Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah sekali pun mengatasi pencapaian Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Pada kala Datuk Seri Anwar berjaya memacu pertumbuhan ekonomi negara sehingga mencecah 9% - 10% hampir sepanjang beliau menjadi Menteri Kewangan, tahun pertama Datuk Seri Najib (2009) mengemudi ekonomi negara menjunamkan negara ke kancah kegawatan ekonomi, sedang negara jiran seperti Indonesia kekal berkembang pesat," katanya.

Beliau turut mengemukakan angka perbandingan belanjawan defisit dan jumlah hutang negara yang memperlihatkan hutang negara pada zaman Najib ketika ini melonjak sehingga RM456 bilion berbanding zaman Anwar yang menunjukkan trend penurunan setiap tahun dari 1992 sebanyak RM97 bilion kepada RM89 bilion pada 1997.

Pisah kuasa dari Umno seperti pisah kulit dengan daging

Pisah kuasa dari Umno seperti pisah kulit dengan daging

Aspan Alias, 30 Nov 2012
Perhimpunan Agung UMNO kali ini merupakan perhimpunan yang paling penting bagi UMNO kerana perhimpunan itu adalah perhimpunan terakhir sebelum pilihanraya ini. Perhimpunan kali ini menampakkan yang UMNO begitu tertekan dengan ucapan yang bergegar-gegar yang melambangkan perasaan kurang kepastian untuk mempertahankan kuasa yang ada kepada mereka itu.


Berbagai isu yang dilemparkan kepada pembangkang dengan kuat tetapi isu-isu itu jugalah isu yang pembangkang lemparkan kepada BN khususnya UMNO selama ini. UMNO nampaknya tidak tenang menghadapi cabaran demokrasi. UMNO membidas pembangkang seolah-olah penawaran pimpinan gantian di Putrajaya itu seperti melakukan jenayah, sedangkan negara ini memberikan peluang kepada mana-mana parti untuk menjadi kerajaan.Itu sebab diadakan pilihanraya setiap lima tahun sekali.

Seperti biasa UMNO menekankan yang UMNO adalah parti yang berpengalaman. Kerajaan tidak perlu ditukar kerana UMNO telah membangunkan negara ini dari sebuah negara miskin kepada sebuah negara yang berpendapatan sederhana dan bakal menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020 nanti. Bagi UMNO apabila negara itu maju maka rakyat tidak payah menukar kerajaan lagi kerana kononnya rakyat akan menghadapi risiko yang tinggi jika kerajaan gantian itu tidak mampu melakukan apa yang BN telah lakukan.

Tetapi dalam pada itu Najib menjadikan Amerika Syarikat sebagai contoh tetapi hanya mengambil kemenangan Obama yang kekal menjadi Presiden buat penggal kedua itu sahaja. Najib patut mengambil iktibar dan rakyat mesti memahami yang politik ini adalah berdasarkan kepada keadaan sekarang dan masa depan rakyat dan negara. Rakyat AS telah menukar kerajaan puluhan kali walaupun negara itu adalah negara maju. Jika inilah alasan Najib untuk rakyat negara ini tidak boleh menukar kerajaan dan elok di batalkan sahaja pendaftaran parti-parti yang lain dari BN di negara ini.

Dalam pada itu kita telah nampak sikap ahli-ahli Parlimen BN pada hari ini kerana tidak hadir dalam persidangan hari ini kerana menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung UMNO. Mereka (ahli-ahli Parlimen BN) tidak bertanggungjawab kerana perhimpunan agung UMNO itu sepatutnya dihadiri oleh mereka yang menjadi perwakilan sahaja sedangkan ramai dari MP-MP BN itu bukan pun ahli-ahli UMNO atau perwakilan ke perhimpunan itu.

Berbalik kepada Perhimpunan Agung UMNO yang kita jelas terlihat ialah perasaan gusar dan takut jika rakyat mengalihkan sokongan mereka kepada pembangkang. Apa yang Najib gagal memahami ialah orang Melayu sekarang mahukan perpaduan Melayu dan kali ini berpadu di luar UMNO. Tetapi apa yang Najib mahukan orang Melayu ini tunduk dan menjadi bangsa yang ‘subservient’ kepada parti. Sepatutnya parti-parti politiklah yang patut ‘subservient’ kepada rakyat dan ahli-ahlinya.

Najib masih memaparkan politik memenjara pemikiran orang Melayu seolah-olah orang Melayu tidak boleh memandang parti lain dan apa yang orang Melayu patut lakukan ialah untuk sentiasa mengangguk dan mengikut sahaja apa yang UMNO mahukan walaupun rasuah yang terlampau yang pimpinan UMNO itu sudah tidak terkawal lagi. Negara kita adalah sebuah negara yang terlalu deras menuju kehancuran kerana rasuah yang sudah tidak terkawal kerana hampir kesemua pimpinan, terutamanya dalam kerajaan itu terlibat dalam kegiatan hina itu.

Pengakhir kata Najib dalam ucapan beliau tadi, beliau telah memohon maaf di atas segala kesalahan yang UMNO dan pimpinannya telah lakukan. Tidak pula beliau mengulas apa kesalahan-kesalahan yang UMNO dan beliau lakukan. Beliau meminta rakyat memaafkan  UMNO dan kepimpinan parti di atas segala kesalahan.

Najib tidak pula meminta maaf di atas semua salah laku rasuah yang dilakukan oleh pimpinan kerajaan. Jika rasuah adalah salah satu dari kesalahannya dan meminta rakyat memaafkannya ia sepatutnya pimpinan UMNO melakukan tindakan yang berani dan berjanji memulangkan kembali wang rakyat yang telah dibawa lari dari perbendahaaraan negara secara sistematik selama ini. Sementara memulangkan kembali harta rakyat yang dilarikan itu UMNO sepatutnya berehat dan melakukan ‘soul searching’ yang intensif terhadap diri mereka.

Kalaulah ini dilakukan ia boleh menyejukkan hati rakyat yang sayangkan negara. Misalnya jika keluarga Dr Mahathir boleh memulangkan kembali wang rakyat yang hampir RM2 billion yang digunakan oleh anaknya untuk menyelesaikan masalah perniagaannya dahulu ada juga lah nampak keinginan untuk bertaubat dan meminta maaf kepada rakyat. Semasa Lemahn Bros di AS menggunakan wang kerajaan semasa kejatuhan ekonomi dunia dahulu, sekarang syarikat gergasi itu sedang beransur-ansur memulangkan kembali semua wang rakyat yang di gunakan untuk ‘bailout’ syarikat itu dahulu. Sudah sampai masanya Mirzan Mahathir mengembalikan kembali wang rakyat yang digunakan itu seperti apa yang dilakukan oleh Lemahn Bros itu.

Apa lagi kesalahan yang dimaksudkan oleh Najib yang dilakukan oleh kepimpinan UMNO itu. Adakah isu komisyen Scorpene yang melibatkan ratusan juta itu salah satu dari kesalahan yang Najib memohon maaf? Bolehlah rakyat maafkan, tetapi pulangkanlah balik wang  sejumlah itu kepada rakyat.

Bolehkah Najib menggunakan pengaruh beliau untuk membayar royalti minyak kepada Kelantan untuk melayakkan beliau mendapat kemaafan? Ada lebih dari RM7 billion wang royalti  yang sepatutnya di bayar kepada rakyat Kelantan. Itu merupakan kesalahan yang sangat besar terhadap rakyat negeri Kelantan yang mana 98% rakyat terdiri dari orang Melayu.

Inilah di antara ratusan isu yang sengaja dilakukan oleh pimpinan kita dan jika mereka mahukan kemaafan adalah elok UMNO duduk di kerusi pembangkang dan memperbaiki diri dan kembali mendapatkan mandat dalam pilihanraya yang akan datang jika rakyat bersetuju.

Kalaulah BN mendapat kemaafan dengan segala kejahatan rasuah yang mereka lakukan, maka BN akan terus melakukannya setelah mendapat kuasa nanti.  UMNO akan kembali meminta maaf dalam pilihan raya yang selepas PRU ini dan rakyat memberikan kemaafan lagi. Jika ini keadaannya maka BN akan lebih bebas melakukan kerja hina yang sudah menjadi kerja  biasa dan ‘normal’ bagi parti yang sudah lusuh ini.

Belum kita lihat sikap UMNO yang percaya kuasa hanya untuk mereka sedangkan itu adalah kuasa rakyat yang akan memberikan ketentuan siapa yang patut mentadbir kali ini. Tetapi pimpinan UMNO ini tidak mahu menerima yang partinya sudah lemah. Usaha UMNO untuk bertahan sudah terlalu kotor perlakuannya. Untuk memisahkan kuasa dari mereka (UMNO) tidak ubah seperti memisahkan daging dengan kulit.

Apabila mereka (UMNO) terfikir sahaja tentang kehilangan kuasa mereka menjadi separuh gila, sedangkan peralihan dan giliran kuasa itu adalah perkara lazim dalam demokrasi. Sesungguhnya UMNOlah yang gila kuasa sehinggakan mereka dan pimpinannya berkata mereka akan bertahan walau dengan cara apa sekali pun. Padahal kita bukan hendak memisahkan nyawa dari tubuh mereka. Kita hanya hendak melaksanakan demokrasi mengikut sistemnya yang ada dengan cara terbuka.

Kepada Najib beliau tidak payah bercakap seperti halilintar memecah bumi kerana berucap secara itu sudah ketinggalan zaman. Zaman sekarang rakyat mahu melihat ‘content’ bukannya gaya berucap. Ia akan hanya menampakkan kelemahannya lebih jelas dari yang sudah jelas kita lihat selama ini.

Kata perpatah, ‘patah tumbuh hilang berganti’ Rakyat bukan saja-saja hendak mematahkan, tetapi rakyat mahu mematah atau mencantas pokok itu untuk ia bercambah dan rimbun daunnya serta lebat buahnya.

Kalau hendak sangat berucap bergegar-gegar itu, eloklah berbahas secara terbuka dengan Ketua Pembangkang. Ini tidak…bercakap bergegar-gegar seorang diri. Kalau bercakap bergegar-gegar tetapi tidak memberi mana-mana pihak menjawabnya orang itu adalah pemimpin yang lemah dan tidak berketerampilan sebagai pemimpin sebenar.

'A genuine leader does not wail and scream'. - http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Dituntut bayar RM302.05 walau tak guna internet

Dituntut bayar RM302.05 walau tak guna internet

Khairil Abdul Rahim, 30 Nov 2012
TEMERLOH: “Harapkan apabila dapat netbook daripada kerajaan dapatlah membantu pelajaran anak, tetapi rupa-rupanya langsung tidak boleh digunakan kerana ketiadaan internet.


“Sudahlah begitu, kini sampai pula surat saman minta dijelaskan walhal netbook itu tidak pernah digunakan,” demikian keluh seorang pesara kerajaan ketika mengadu di pejabat PAS Pahang di sini hari ini.

Rameli Kassim, 57, berkata pada April tahun lalu anaknya Raida Syahiza menerima netbook percuma melalui Sekolah Menengah Dato Bahaman Lanchang, tetapi tidak boleh digunakan kerana kawasan internet percuma hanya berada 60 kilometer dari rumahnya di Taman Bunga Raya.

(Gambar: Rameli menunjukkan surat tuntutan tunggakan bil internet yang tidak pernah beliau gunakan.)

Menurutnya, kira-kira sebulan selepas anaknya menerima netbook, telah sampai bil menuntut bayaran caj internet sebanyak RM25 (sebulan) sedangkan ia tidak pernah digunakan.

“Saya kemudian pergi ke pejabat TM di Mentakab mengadu hal berkenaan dan minta ditamatkan perkhidmatan kerana tidak pernah sekalipun menggunakan internet,” jelasnya.

Tambahnya, bil tuntutan tetap sampai setiap bulan sehinggalah beliau menerima notis tuntutan daripada peguam TM yang meminta dijelaskan tunggakan sebanyak RM302.05 dalam masa tujuh hari.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, yang beliau kesalkan ialah tidak ada pihak sekolah ataupun TM sendiri yang menerangkan kepadanya tentang pakej atau syarat tertentu semasa menerima netbook itu dulu.

Tegasnya lagi, beliau sudah mengadu kepada unit aduan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tetapi tiada sebarang respons.

“Apa yang saya harapkan ialah keadilan kepada saya. Wang RM300 itu mungkin dianggap kecil oleh sesetengah orang, tetapi dalam keadaan kos hidup yang melambung tinggi ini tentulah tidak patut untuk saya bayar apa yang saya tidak pernah guna,” tegasnya.