Selasa, 9 Oktober 2012

Umno sudah tidak boleh dikenali lagi

Umno sudah tidak boleh dikenali lagi

Aspan Alias, 09 Okt 2012
Najib akan tercatat dalam sejarah sebagai seorang ‘unelected Prime Minister’ negara ini kerana beliau tidak mengadakan pilihanraya sehingga  tamat penggal mandat Abdullah Badawi dahulu. Beliau tidak berapa yakin untuk mendapatkan sokongan rakyat. Berbagai-bagai cara dilakukan untuk mendapat kepastian yang BN masih diterima tetapi sehingga hampir habis saki baki penggal yang diperolehi oleh Abdullah Badawi dahulu Najib masih tidak berkeyakinan untuk menang dalam PRU yang akan datang ini. Ini sahaja sudah meyakinkan rakyat yang Najib belum berkeyakinan yang beliau akan mendapat sokongan rakyat.

Allahyarham Tun Razak juga memakan masa lebih dari empat tahun untuk memanggil pilihanraya. Tun Razak telah memanggil pilihanraya hanya pada bulan Ogos 1974 setelah beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri dari Tunku Abdul Rahman pada tahun 1970 dahulu. Tetapi perbezaan di antara Tun Razak dan Najib Tun Razak amat besar.

Tun Razak menghabiskan waktu selama empat tahun untuk menyelesaikan isu-isu yang tidak selesai dan akhirnya telah berjaya mendapat formula untuk mencapai perpaduan kaum dan melakukan inisiatif politik yang baru dan menubuhkan Barisan Nasional.(BN). Akhirnya semua rakyat berpadu dan memberikan mandat kepada BN yang melalui pilihanraya buat kali pertama di atas nama baru, iaitu Barisan Nasional. Tun Razak hanya mengetuai pilihanraya negara sekali sahaja kerana beliau telah meninggalkan kita pada Januari 1976 dahulu.

BN telah berjaya menautkan yang berbalah di antara kaum dan BN telah mendapat mandat yang begitu besar selepas Parlimen dipulihkan semula setelah negara ditadbir oleh MAGERAN sejak tercetusnya kejadian 13 Mei 1969. Oleh kerana kejadian itulah Tun Razak yang telah bertungkus lumus mencari formula untuk menyatukan kembali rakyat berbilang kaum dan kaum-kaum bukan Melayu telah memberikan sokongan  kepada Tun Razak dalam pilihanraya 1974 itu.

Tetapi ia amat jauh bezanya di era Najib Tun Razak. Di zaman dan era Najib Tun Razak pula terbalik. Rakyat yang berpadu sebelumnya telah berpecah mengikut lunas-lunas perkauman. Rakyat sedang dipisahkan oleh UMNO melalui isu perkauman yang menebal untuk menyatukan Melayu di bawah UMNO. Tetapi orang Melayu tidak juga mahu bersatu di bawah UMNO.

Orang Melayu sudah rimas berada di bawah UMNO kerana pemimpin-pemimpin mereka sudah tidak betul dan seolah-olah telah ditutup hijab mereka. UMNO sudah hilang hidayah sepenuhnya sehinggakan parti itu sudah tidak tahu lagi mengenali yang mana satu yang baik dan yang mana yang buruk. Yang buruk dikatakannya baik dan yang baik dianggap mereka sebagai buruk. Semuanya terbalik dan sekarang bertambah lah keyakinan saya yang UMNO itu adalah pembawa dalil hari hampir kiamat.

Apa yang dilakukan oleh UMNO dahulu, diterbalikkan oleh pimpinan UMNO sekarang. Kalau dahulu Felda ditubuhkan untuk memberikan orang miskin yang tidak bertanah sebidang tanah seluas sepuluh ekar dengan tanaman kelapa sawit dan getah, sekarang ini Felda telah membuka tanah seluas 1 juta ekar dan tidak menempatkan mereka yang bertanah ke dalamnya. Sebaliknya diurus sejuta ekar ini di bawah Felda Plantation. Semua tanah yang kaya dengan hasilnya ini disenaraikan dipasaran saham untuk kepentingan kapitalis dan kroni UMNO yang tidak pernah pun memasuki tanah rancangan Felda.

Seramai 80,000 rakyat yang tidak bertanah dan yang sepatutnya dimasukkan ke dalam Felda tidak dilakukan. Kalau dahulu pimpinan sibuk untuk membina ekonomi rakyat yang miskin kali ini UMNO membina ‘empire’ untuk kroni-kroninya dan rakyat yang miskin di minta nya untuk bersyukur dan berterima kasih dengan wang BRIM yang sejemput itu. Bagi UMNO rakyat tidak layak menjadi kaya raya. Kekayaan hanyalah untuk kroni dan keluarga pemimpin UMNO dan beberapa rakyat yang eksklusif sahaja.

Peneroka-peneroka Felda hanya diberikan saham sebanyak 800 unit sekeluarga. Jika ada sepuluh orang dalam keluarga itu mereka bahagi-bahagikan lah diantara sepuluh orang ahli keluarga itu. Peneroka hanya mendapat kuah sahaja tetapi mereka yang tidak kena mengena dengan peneroka mendapat dagingnya. Masih ada peneroka yang berpuas hati dengan mendapat kuah ini.

Agaknya mereka cukup dengan kuah sahaja. Kalau makan kuah, daging kuah itu rasa daging juga. Seorang peneroka yang sebaya dengan saya di Serting berkata dengan sindirannya, “Aspan, kito dapek kuah ajo.. Jadilah... Kok kuah gulai ayam pun, kuah tu pun ghaso ayam jugak. Daging ayam tu biarlah dia oghang mentekedaghah. Kalau kito nak ghaso daging ayam eh, kito tukarlah kerajaan yang boleh boghi kito makan daging eh.”

Kata-kata seperti ini meresap di kalangan masyarakat marhean kita. Mereka tidak bercakap kuat-kuat kerana mereka tidak tahu untuk berkata secara politik. Mereka hanya akan menunjukkan manifestasi mereka melalui peti undi. Seorang rakan peneroka saya di Felda Rokan pula marah-marah dengan akhbar Utusan dan beliau sudah berhenti membaca akhbar itu. Semasa beliau datang berjumpa dengan saya di Subang Jaya beliau berkata, “Utusan ni den buet mungkuih daging ajo bang. Den sokaghang baco Harakah dan Sinar Harian. Anak-anak den pun bilo balik kampung kato, yang kito kono tukar korajaan sekaghang ni. Lotih den negok UMNO ni”.

Keadaan ini berlaku di mana-mana dan tidak mampu UMNO untuk mengubatinya. UMNO sudah terlalu lekeh pada pandangan mereka walaupun bermacam-macam cara UMNO untuk menyekat mereka dari mencari pilihan kepada UMNO. UMNO sudah di pandang seperti haiwan kurap oleh mereka yang berfikir kerana kejahilan UMNO memahami perasaan rakyat bawahan sudah tidak ada lagi.

UMNO di peringkat bahagian-bahagian hanya dipenuhi dengan kroni ketua-ketua bahagian dan kebanyakkan mereka adalah kontraktor kelas F. Penjawat awan di daerah-daerah pun ada lesen kelas F. Mereka dengan menggunakan nama isteri atau anak-anak mereka. Kerja kontrak kecilan pun disapu bersih oleh penggiat UMNO dan ini berlaku di seluruh negara.

Dua tiga hari lagi Najib akan ke Sabah lagi kerana Sabah yang beliau anggap sebagai simpinan tetap untuk UMNO sudah menolak parti itu. Jika Najib berulang alik ke Sabah setiap hari pun keadaan amat sukar untuk diperbaiki. Takut-takut yang dikejar tidak dapat, yang dijinjing pula berciciran. Najib perlu sedar yang tidak semua pimpinan UMNO bersimpati dengan beliau kerana ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dari kelemahan Najib ini untuk menguasai kerajaan.

Tapi apa pun saya tetap merasakan Najib merupakan seorang Perdana Menteri UMNO yang terakhir dan beliau akan kekal tercatat sebagai ‘unelected Prime Minister’ negara kita.

Rakyat perlu bersedia untuk mengalami politik baru di bawah pentadbiran baru dan mula belajar memperbaiki sikap dan mentaliti mereka terhadap politik dan siasah negara. Kita memerlukan pimpinan yang mempunyai sahsiah yang baik dan kita perlu jauhi pemimpin yang sentiasa memenjarakan pemikiran kita.

Jika UMNO tidak lagi diberi mandat dalam PRU ini, ia bermakna kita akan mencapai kemerdekaan dan terlepas dari penjara dan mula membentuk pemikiran yang sesuai dengan keadaan dan zaman ini.

UMNO sudah tidak tentu lagi rupa dan bentuknya lagi. Pada hakikatnya UMNO sudah wujud lagi. UMNO hanya tinggal pada namanya sahaja. Macam P Ramlee yang hanya tinggal namanya sahaja. P Ramleenya sudah meninggalkan kita lama dahulu. - http://aspanaliasnet.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan