Selasa, 28 Mei 2013

Alkisah seorang malas…

Tuan Ibrahim Tuan Man, 27 Mei 2013

Abtawi seorang budak yang malas. Disebabkan malas, segala projeknya terbengkalai kerana tiada pengurusan yang baik. Tapi tiada ramai yang tahu Abtawi seorang pemalas kerana lakonannya hanya hebat, selalu menunjuk dia sibuk di depan orang ramai.

“Redha sajalah. Ini takdir Allah. Allah nakkan begitu, nak buat macam mana.” – Itulah jawapan Abtawi setiap kali ditanya Ustaz Ibrahim yang diamanahkan menjaga segala projek di kampung Gunung Senyum.

Setiap kali Abtawi berkata sedemikian, Ustaz Ibrahim akan terasa sedih kerana duit warga kampung telah terbazir lagi.

Satu hari, Ustaz Ibrahim mula menubuhkan pasukan pemantau rahsia untuk memantau projek-projek di kampung. Analisa yang dibuat oleh pasukan pemantau yang pertama, 80 peratus projek yang tak jadi semuanya dimiliki oleh Abtawi.

“Tak mungkin. Budak itu rajin. Saya kenal dia sejak kecil. Cuba nasib tak menyebelahinya,” kata Ustaz Ibrahim yang mempertahankan Abtawi yang dididiknya dengan agama sejak kecil.

Setelah 3 bulan memantau, pasukan pemantau Ustaz Ibrahim memaklumkan bahawa Abtawi sebenarnya tidak melakukan kerja-kerja yang diamanahkannya.

“Sebab dia tahu Ustaz selalu akan melawat pukul 10 pagi dan 4 petang, Abtawi hanya masuk kerja hampir-hampir dengan dua waktu itu dan menunjukkan dia membuat kerja. Semua projeknya dijalankan tanpa ada apa-apa pelan tindakan dan jadual,” kata ketua pemantau rahsia Ustaz Ibrahim.

Ustaz Ibrahim masih was-was mendengar laporan itu. Beliau ingin meninjau diri sendiri.

Besok harinya, Ustaz Ibrahim menukar masa melawat ke 9 pagi.

Setiba di tapak projek, Abtawi tiada di sana. Ustaz Ibrahim menemubual beberapa pekerja di sana.

“Dia hanya datang 2 jam sahaja sehari untuk menunggu kedatangan Ustaz. Kami cuma buat ikut pengetahuan kami. Tak pasti bila nak siap, bahan apa yang nak digunakan. Biasanya bahan yang diperlukan tak dibeli, katanya duit projek tak cukup,” kata seorang pekerja Abtawi.

Ustaz Ibrahim sedih dan terus meninggalkan tapak kerja itu sebelum kehadiran Abtawi. Beliau memberitahu pekerja-pekerja Abtawi jangan memberitahu bahawa beliau pernah datang.

Abtawi yang tiba di pukul 10 pg cemas menunggu untuk sejam kerana Ustaz Ibrahim tidak hadir. Kerana bimbang apa-apa terjadi pada Ustaz Ibrahim, Abtawi terus ke pejabat Ustaz Ibrahim untuk mencarinya.

Apabila Abtawi memasuki pintunya, Ustaz Ibrahim senyum – “Maaf tak sempat pergi hari ini.”

“Ustaz ada apa-apa ke? Sakit ke?” tanya Abtawi.

“Tak. Cuma hati tak sedap sikit. Projek bagaimana, boleh siap minggu depan?” tanya Ustaz Ibrahim.

Abtawi senyap seketika.

“Saya tak tahu mengapa malang sangat nasib saya dan Allah melayan saya sedemikian. Semua projek saya ada masalah. Projek ini, maaf Ustaz, saya dah cuba, tapi masih gagal disiapkan mengikut jadual,” terang Abtawi.

Memandang pada Abtawi, Ustaz Ibrahim bertanya pada dia, apakah beliau sedar Allah sedang melihat setiap perbuatan manusia di bumi ini?

Abtawi terdiam seketika.

“Saya sangat kecewa hari ini. Sebenarnya saya tak nak pergi tapak projek hari ini adalah untuk mengurangkan dosa kamu supaya kamu kurang menipu untuk sehari. Nampaknya tidak berjaya.

Ungkapan redha dengan ketentuan dan takdir Allah biasanya hanya digunakan untuk mengubati jiwa mereka yang telah berusaha bertungkus-lumus sedaya upaya untuk mencapai sesuatu tetapi gagal. Tapi ramai yang salahgunakan ungkapan ini. Jangan samakan kelemahan mengurus dengan takdir Allah. Jangan menghina Allah berkata kegagalanmu adalah takdirnya tatkala kamu malas, kurang berusaha dan mudah berputus asa.

"Kamu tak layak berkata kegagalan projek dan membazirkan wang kampung ini ketentuan Allah tatkala kamu bekerja sambil lewa selama ini. Yang kamu bersungguh-sungguh selama ini hanya menipu saya yang mempercayai kamu telah bekerja sedaya upaya untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

"Tahu tak mengapa kamu dapat menipu saya? Kerana saya mempercayai kamu – sebab sayalah yang mendidik kamu sejak kecil. Rupanya saya silap, sangat silap,” kata Ustaz Ibrahim.

Abtawi terkedu dan tidak berkata apa-apa. Sejak itu, Abtawi berhenti menjadi malas dan mula bertanggungjawab terhadap apa yang dipertanggungjawab kepadanya.

Senyum.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan