Isnin, 4 November 2013

Rakyat makin susah Umno makin bertapak


Muhammad Nuruddin Bashah,

UMNO dan BN hanya menang di kawasan rakyat susah. Di kawasan rakyat senang, BN kalah. Semakin susah rakyat makin mudah UMNO bertapak, demikian ucapan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu di Sungai Limau Dalam sebentar tadi. Penulis yang tekun mendengar amat bersetuju dengan hujah berkenaan.

Modus operandi dan taktik berzaman UMNO adaah menyerah bantuan atau sogokan wang secara one off. Wang one off pastinya lumayan jika diguna untuk 2 atau 3 hari. Jika wang itu dinilaikan perbelanjaan selama 5 tahun ia hanya buih di lautan, tiada harga.

Namun one off inilah yang menjadi kegilaan sebilangan besar pengundi Melayu yang rata-rata di kalangan orang luar bandar dan susah.

Jika rakyat makin membangun, makin maju, makin celik, maka modus operandi UMNO ini tidak relevan dan UMNO serta BN pasti bungkus rapi. Sebab rakyat yang agak sederhana pendapatan, yang ber ada di bandar atau tidak terlalu susah tidak bergantung harap dengan wang one off UMNO. Mereka terima wang, tetapi undi belum tentu.

UMNO tersepit antara perlu mengekalkan kesusahan rakyat dan mengekalkan strata sosial masyarakat luar bandar yang sederhana atau rendah demi mengekalkan kuasa dan pengundi mereka atau memajukan negeri seperti mana yang mereka laungkan dalam manifesto pilihanraya. Ayat pembangunan dan ayat maju adalah ayat tetap kempen UMNO. Jadi jika smua rakyat maju, bangun dan kaya pasti mereka celik dan lawan UMNO. Inilah yang menjadikan UMNO dilema.

“Lihat sahaja di Sarawak dan Sabah. Kenapa dua negeri ini menjadi fix deposit UMNO-BN? Semua kerana dua negeri ini adalah negeri pendalaman, negeri orang susah,” jelas Timbalan Presiden lagi.

Jadi apa yang UMNO lakukan selama ini adalah menjanjikan projek segera di kawasan pilihanraya kecil. Kemudian pembangunan itu ditangguh atau dilengahkan sehingga menjelang pilihanraya seterusnya atau terus dilupakan. Ada puluhan projek yang diisytihar dalam PRK tetapi hanya pembohongan tanpa dilaksanakan.

Dalam merealisasikan agenda pembangunan, sambil-sambil perayu undi UMNO akan selitkan wang ‘bantuan’ yang nilainya hanya ratusan ringgit dan pastinya idak sampai sebulan ia akan habis. Rakyat akan maju, moden, membangun dan kaya dalam masa sehari dua sahaja. Inilah taktik UMNO.

Lihat sahaja janji kerajaan BN untuk beri BRIM RM1,000 pada kempen pilihan raya umum lalu kini tinggal RM650 sahaja. Bukankah pembohong namanya.

Ya, PAS tiada wang  untuk suntik wang one off sebagaimana amalan UMNO malah ia bukan suatu cara pemerintahan yang baik. PAS Kedah sebaliknya meminta agar kerajaan  pusat menetapkan harga lantai kepada pengilang-pengilang yang membeli padi dari pesawah bagi tujuan membela nasib mereka. PAS Kedah juga mendesak kerajaan menetapkan harga dari RM750 satu tan kepada RM1150 satu tan. Harga subsidi padi wajar dinaikkan dari RM248 kepada RM372 untuk satu tan bersamaan RM3.72 sekilo.

Inilah cara membantu rakyat. Subsidi padi kali terakhir hanya dinaikkan oleh Datuk Seri Anwar pada tahun 1990 sahaja. Sehingga kini pesawah hanya anak tiri kerajaan.

Sebelum pulang daripada ceramah tadi penulis sempat melihat sehelai dua banner bantuan one off Mukhriz kepada para nelayan pula. Mungkin bantuan itulah yang dimaksudkan oleh Timbalan Perdana Menteri sebelum ini apabila  mengumumkan bantuan sebanyak RM500,000 untuk membaiki jeti nelayan di Sungai Limau serta RM743,900 untuk bantuan rakyat.

UMNO akan terus memberi ikan bukan kail, jala atau pancing. UMNO tidak mahu rakyat pandai usaha. Kaum Cina rata-rata tidak bergantung dengan subsidi, bantuan itu dan ini. Kaum Cina bebas membuat keputusan tanpa paranoid. Mereka sanggup mengundi siapa sahaja yang tertera pada kerta undi selama ini kerana mereka tidak harapkan wang seratus dua untuk kekal mandiri hingga kini.

Pilihanraya ini (Sungai Limau) tidak mengubah siapa perdana menteri. Tidak mengubah kedudukan Menteri Besar. Namun ia adalah pilihanraya maruah rakyat. Maruah rakyat menilai wang RM650 dengan tanah, masa depan dan bukti mereka menolak pemborosan, ketirisan, rasuah yang didedahkan mealui laporan Ketua Audit Negara 2012 yang lalu demikian mutiara kata terakhir Mohanad Sabu tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan