Larang kedai gunting unisex di Kelantan sejak 1991
Harakahdaily, | 25 Nov 2012 |
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, peraturan tersebut sebagai langkah awal kerajaan bagi membendung gejala tidak sihat membabitkan semua rakyat.
“Cuba bayangkan kalau rambut isteri atau anak perempuan kita digunting tukang gunting lelaki, begitu juga keadaan sebaliknya. Ini tentunya kita tidak mahu berlaku sedemikian.
“Peraturan itu diwujudkan bukan kerana sentimen agama semata-mata sebaliknya bagi membendung lebih awal gejala kurang sihat berlaku.
“Sepatutnya semua pihak faham termasuk juga rakan kita daripada DAP. Langkah yang dibuat kerajaan negeri bertujuan untuk mendidik rakyat,” katanya pada sidang media di Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam di sini, hari ini.
Semalam Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan mahu kerajaan Kelantan supaya menyelesaikan segera kekeliruan yang timbul apabila undang-undang Islam turut dilaksanakan terhadap orang bukan Islam.
Sebelum itu seorang pengurus kedai gunting Ong Lee Ting dilaporkan mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan MPKB BRI kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.
Takiyuddin berkata, peraturan kedai gunting lain jantina sudah dilaksanakan sejak lebih 20 tahun lalu, sebagai usaha kerajaan negeri mengurangkan gejala kurang sihat.
Menurutnya juga sekiranya ada pihak yang kurang berpuas hati dengan peraturan tersebut mereka boleh mencabar di mahkamah memandangkan peraturan tersebut sudah diterima umum rakyat Kelantan.
Baru-baru ini Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan sekumpulan peniaga Cina dari sini yang mencabar peraturan menghalang premis menjual nombor ekor. Peniaga terbabit difahamkan turut mendapat sokongan pemimpin MCA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan