Khamis, 5 September 2013

Q&A: Bolehkah taja haji guna wang zakat


Ustaz Hamizul Abdul Hamid, 05 Sep 2013
Soalan: Saya mempunyai saudara-mara yang miskin dan merasa kasihan kerana mereka amat teringin menunaikan haji ke Mekah. Soalan saya, adakah boleh saya menggunakan wang zakat saya yang berjumlah kira-kira RM10,000 setahun untuk menaja mereka pergi menunaikan haji, dari seorang ke seorang setiap tahun? Harap sangat penjelasan daripada pihak ustaz.

Jawapan: Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi ‘dhuyufur rahman’ mendapat anugerah haji yang mabrur, amin. Dalam pada itu juga, memang timbul persoalan seperti ini di kalangan masyarakat awam. Tahniah juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.

Demi menjawab soalan ini, kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.

Ada pun syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Mampu (istita’ah). Yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.

Allah SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka.” (surah Ali-Imran : ayat 97)

Maka, secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu daripada aspek kewangan untuk ke sana.

Dalam hal ini, saudara menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?

Suka saya paparkan perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, susunan Dr Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji, diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan hajat berkenaan.

Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut: “Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah, sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji yang dilakukannya.’ (rujuk hal. 147)

Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.

Janganlah kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih menepati keperluan. Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat harta ma’din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua inil lebih sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.

Bahkan Ibn Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah, at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.

Seandainya kita meneliti lebih lanjut, maka pandangan fuqaha mengenai fisabilillah sebenarnya tidaklah terbatas kepada aspek peperangan semata-mata. Hal ini ada dikemukakan oleh T.M Hasbi as-Shiddieqy di dalam kitabnya, Pedoman Zakat dengan menyajikan pelbagai definisi fisabilillah oleh pelbagai fuqaha (rujuk hal. 169-172).

Umumnya, fuqaha menyatakan bahawa fisabilillah adalah bermaksud mempertahankan agama Islam dan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah). Maka, boleh jadi dalam mendefinisikan maksud taqarrub ilallah inilah, ada yang berpandangan bahawa orang yang mahu mengerjakan haji wajar dibantu, kerana mereka memang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Sedangkan, jika diteliti lebih mendalam, maksud taqarrub ilallah yang lebih tepat ialah, segala aktiviti yang bersifat kepentingan umum, misalnya untuk tujuan dakwah Islamiyah, menganjurkan program Islami, menerbitkan risalah penerangan Islam dan menangkis tohmahan musuh-musuh Islam, memperkukuhkan institusi-institusi keIslaman dan sebagainya.

Jika orang yang dalam proses menunaikan haji dan mereka kehabisan belanja untuk kembali ke tanah air, hakikatnya bagi mereka memang sudah tersedia peruntukan khusus buat menangani keperluan itu, iaitu di bawah asnaf ibn sabil.

Manakala dalam konteks semasa, di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, dana fisabilillah ini dimanfaatkan sama ada untuk tujuan pemerkasaan institusi agama dan juga menaja individu muslim menyudahkan sesuatu pekerjaan yang mana, natijah akhirnya kelak akan kembali kepada umat Islam secara umum.

Maka, berdasarkan pandangan dan huraian ini, menyalurkan wang zakat sebanyak RM10 ribu itu untuk menaja individu yang miskin menunaikan haji, dianggap tidak menepati kehendak dalam amalan haji itu sendiri, iaitu mestilah ‘mampu’. Manakala, di sisi zakat, terdapat asnaf lain yang lebih utama (asnaf muqaddam, seperti fakir dan miskin) yang wajar disantuni terlebih dahulu sebelum menyalurkannya terus kepada asnaf fisabilillah.

Maka, berdasarkan perbincangan di atas, pandangan fuqaha bahawa tidak boleh disalurkan wang zakat bagi menunaikan haji lebih menepati kehendak zakat dan syariat. Lalu, adalah disarankan agar saudara mengeluarkan wang lain bagi menaja individu berkenaan menunaikan haji, dan tidaklah menggunakan wang zakat. Andai setelah diberikan RM10 ribu (katakan diambil dari wang simpanan dan diberikan bukan atas nama zakat kepada individu berkenaan) dan dengan sebab itu wang simpanan saudara juga menyusut dan menyebabkan zakat juga menyusut, maka ia tidaklah menjadi apa-apa kesalahan di sisi Islam.

http://www.hamizul.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan