Selasa, 3 September 2013

Perbezaan Antara Ekonomi Islam Dan Ekonomi Kapitalisme


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
بسم الله الرحمن الرحيم

 
1.0       Objektif
Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para ahli keluarganya dan para sahabatnya serta mereka yang menurutinya dengan kebenaran.
Tujuan kertas kerja di buat ialah untuk memenuhi kehendak kerja kursus bagi subjek Aliran Pemikiran Moden. Saya memilih untuk mengupas dan menganalisa topik tentang perbezaan antara ekonomi Islam dan ekonomi kapitalisme.  Saya berminat untuk menulis rencana berkenaan dengan perbezaan kaedah dan pendekatan. Di Malaysia, masyarakat kita dihidangkan dengan dua pilihan iaitu sama ada memilih perlaksaanaan ekonomi Islam ataupun ekonomi kapitalisme ataupun lebih dikenali sebagai sistem ekonomi konvensional. Diharap dengan sedikit kajian dari pembacaan, dapatlah saya sedikit sebanyak saya memahami dan berkongsi buah fikiran saya berkenaan dengan perbezaan antara ekonomi Islam dan kapitalisme, sejarah sistem ekonomi kapitalisme serta hubungkaitnya dengan zaman Renaissance dan bagaimana ianya wujud di Malaysia. 
2.0       Sejarah Kemunculan Ekonomi Kapitalisme
Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang perseorangan tetapi juga termasuk sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran, kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan. Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin. Sistem yang bertentangan dengan ideologi ini ialah komunisme dan sosialisme.
Kapitalisme berasal dari perkataan kapital (bahasa Inggeris: capital) yang bermaksud "modal". Istilah kapitalisme mula diperkenalkan pada pertengahan abad ke-19 oleh Karl Marx, iaitu seorang Yahudi yang juga pengasas komunisme. Pasaran bebas dan sistem pasaran adalah antara istilah yang sering bertukar ganti dengan kapitalisme untuk menerangkan ekonomi moden bukan komunis.
Amalan ekonomi kapitalis telah bertapak di England di antara kurun ke-16 Masehi dan 19 Masehi. Walaubagaimanapun telah wujud ciri-ciri kapitalis sejak dulu lain terutamanya di kalangan saudagar Zaman Pertengahan. Kapitalisme menjadi dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme. Dari England, kapitalisme merebak ke seluruh Eropah dan pada abad ke-19 dan 20, dan menjadi sistem ekonomi utama dunia yang mencetuskan revolusi industri di Eropah.
2.1       Definasi Ekonomi Kapitalisme
Sebelum kita membincangkan isu ini dengan lebih mendalam, suka saya huraikan sedikit apakah yang dimaksudkan dengan ekonomi kapitalisme. Menurut John Sloman dalam bukunya Economics, ekonomi kapitalisme boleh dirujuk sebagai:
a.  Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan. Takrif individu di sini juga boleh merujuk kepada sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem ekonomi kapitalis berdasarkan kuasa pasaran  bebas dalam menentukan pengeluaran, kos, menetap harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan.
b.    Dikenali sebagai laissez faire
c.     Ianya juga merupakan satu cabang bidang sains sosial yang mengkaji tingkahlaku pengguna (consumer behaviour) dalam aspek menentuan harga dan bagaimana perubahan harga menentukan penawaran dan permintaan dipasaran 
d.    Kapitalisme ialah sistem yang menggalakkan pengumpulan modal, kebebasan ekonomi, hak milik persendirian, kebebasan pasaran dan perniagaan untuk keuntungan dan meminimumkan kos
e.     Dalam ekonomi kapitalisme, individu dan syarikat-syarikat yang mempunyai modal dan harta mempunyai hak dan kebebasan menjalankan perdagangan.
f.     Matlamat utama Kapitalisme ialah memaksimakan keuntungan sebanyak mungkin dan mengurangkan kos
 
g.    Ringkasnya Kapitalisme adalah sistem ekonomi bebas berasaskan pemilikan harta sendiri serta perniagaan atau perusahaan bermatlamatkan keuntungan, kewangan dan kebendaan. 
 
 2.2       Faktor-Faktor Wujudnya Perkembangan Ekonomi Kapitalisme
Terdapat beberapa faktor yang telah membawa kepada perkembangan ekonomi kapitalisme di Eropah Barat dari tahun 1400M hingga 1700M. Antaranya ialah:
A.    Perkembangan institusi kewangan :
·         Perkembangan institusi kewangan seperti insurans dan bank di bandar-bandar telah  menggalakkan perkembangan Kapitalisme di Eropah. 
·  Menjelang abad ke-15 M, kegiatan meminjam wang untuk mendapatkan keuntungan menjadi satu perniagaan yang menguntungkan. 
·    Bank-bank penting dikuasai oleh keluarga Medici (di selatan) dan keluarga Fuggers di Ausberg (di utara). Bank-bank ini mempunyai peranan yang besar dalam menjana ekonomi dan terkenal di peringkat antarabangsa. 
·      Bank-bank ini telah bertindak membuka pejabat cawangan di Paris, London, Barcelona, Marseilles, Tunis, pelabuhan Afrika Utara, Naples dan Rom.
·      Bank-bank kerajaan seperti Bank Sweden (1657) dan Bank England (1654) turut ditubuhkan. 
·         Keuntungan yang diperolehi melalui pinjaman pelaburan dan pertukaran wang disalurkan kepada perkembangan sektor perindustrian. 
·  Institusi bank memberikan pinjaman bagi membantu golongan kapitalis mendapatkan modal yang besar untuk meluaskan kegiatan perdagangan.
B.    Penubuhan negara bangsa :
·       Penubuhan negara bangsa pada abad ke-16 Masehi juga turut menggalakkan perkembangan Kapitalisme. 
·   Raja-raja negara bangsa berperanan dalam menggerak dan mempelopori perkembangan Kapitalisme dengan mengumpulkan kekayaan demi untuk mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan masing-masing. 
·       Untuk mencapai hasrat tersebut, raja-raja negara bangsa turut menjalankan dasar ekonomi merkantilisme dengan tujuan mengumpulkan kekayaan untuk negara mereka pada sekitar abad ke-16 dan 17 Masihi. 
·    Perubahan dasar ekonomi ini menyebabkan negara-negara bangsa terlibat dengan aktiviti penjelajahan dan penerokaan. Mereka berlumba-lumba untuk mencari kekayaan dengan melakukan pelayaran ke seberang laut dengan sokongan kuat daripada raja. Contoh : Putera Henry dari Portugal dan Raja Ferdinand dari Sepanyol telah membiayai dan memberi galakan kepada aktiviti tersebut. 
·        Kegiatan penjelajahan dan penerokaan ini dipelopori oleh Portugal, Sepanyol,  Perancis dan Inggeris. 
·      Kesan daripada aktiviti  ini, negara-negara bangsa menubuhkan koloni-koloni dan menguasai kekayaan ekonomi di negara tanah jajahan yang memberi keuntungan kepada mereka.
C.   Dasar Merkantalisme :
·     Revolusi perdagangan melalui campurtangan kerajaan negara bangsa pada abad ke-16 dan ke-17 telah menggalakkan pertumbuhan kekayaan dalam negara  bangsa. 
·   Menerusi dasar ini kerajaan berusaha mewujudkan sektor pertanian dan perindustrian yang produktif dan pasaran luar yang luas . 
·    Untuk tujuan tersebut kerajaan mengadakan dasar melindungi pelabur dan pedagang tempatan 
·         Ratu Elizabeth (1558-1603) telah memperkenalkan akta seperti akta perantis 1563, undang-undang kemiskinan 1600 dan akta perkapalan 1650 . 
D.   Pembukaan koloni / Dasar Kolonialisme :
·  Perluasan dasar merkantalisme telah menyebabkan golongan kapitalis menubuhkan koloni-koloni baru untuk tujuan pertanian dan perladangan ke atas kawasan di Timur dan Amerika Latin. 
·    Hal ini memperluaskan lagi sistem ekonomi kapitalisme. Perkembangan ini menyebabkan permintaan untuk buruh meningkat dengan mendadak. 
·         Kesannya telah membawa kepada penghijrahan manusia dari pelbagai tempat untuk bekerja sebagai buruh ke kawasan-kawasan pertanian dan perladangan tersebut. 
·         Penggunaan buruh asing telah mengembangkan ekonomi negara Eropah dan merancakkan sistem Kapitalisme di koloni-koloni tersebut. 
·  Segala hasil kekayaan daripada koloni juga mengalir ke Eropah dan merancakkan perkembangan ekonomi di sana.
E.    Pertembungan dan perkembangan perdagangan dengan dunia timur :
·    Perang Salib telah mengakibatkan berlakunya pertembungan dunia Eropah dengan dunia timur. 
·      Selepas tamat Perang Salib, hubungan perdagangan antara Eropah dengan dunia timur terus berkembang dengan pesat. 
·    Kesan daripada itu, bandar-bandar utama di Itali seperti Venice, Genoa, Florence dan Milan telah menjadi pusat-pusat aktiviti perdagangan yang penting. 
·    Bandar-bandar tersebut mendapat keuntungan yang besar hasil daripada hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan Eropah Utara. 
·   Perkembangan pesat dalam aktiviti perdagangan menyebabkan institusi perbankan khususnya bank-bank gereja ditubuhkan di Itali. 
·    Perkembangan ini merangsangkan perkembangan ekonomi kapitalisme di Eropah.
F.    Kemunculan bandar-bandar baru :
·      Zaman kemuncak pertengahan memperlihatkan pertumbuhan bandar-bandar baru hasil daripada kepesatan aktiviti perdagangan di sepanjang laluan perdagangan Eropah Barat. 
·     Kepesatan perdagangan ini telah memperkembangkan bandar-bandar lama yang sedia ada dan turut melahirkan bandar-bandar baru. 
·   Bandar-bandar seperti Venice, Genoa, Florence dan Milan menjalinkan hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan Eropah Utara. 
·         Bandar-bandar ini mengeksploit kedudukan sebagai persimpangan semulajadi antara timur-barat untuk meraih keuntungan yang besar. 
·  Perkembangan bandar-bandar baru melahirkan golongan baru dalam masyarakat feudal, iaitu pedagang dan tukang-tukang yang bergantung kepada aktiviti perdagangan. 
·      Cara kehidupan di bandar telah merintis jalan kepada tuntutan rakyat bandar termasuk hak pentadbiran dan hak menjual barangan secara bebas di pasar. 
·    Masyarakat bandar juga menuntut kebebasan untuk mencari nafkah tanpa sekatan dan halangan yang tidak berasas yang diamalkan dalam institusi manor. 
·         Perubahan ini telah merintis  jalan ke arah perkembangan sistem kapitalisme di Eropah.
G.   Gerakan Renaissance :
·      Gerakan Renaissance pada abad ke-14M telah memperkembangkan sistem kapitalisme 
·   Gerakan Renaissance telah melahirkan fahaman yang berbeza daripada sebelumnya seperti sifat individualisme, humanisme, sekularisme dan pemikiran kritis yang meransang ke arah perkembangan sistem kapitalisme. 
·  Kesannya, fahaman-fahaman ini melahirkan masyarakat yang bersifat materialistik dalam kehidupan khususnya dalam ekonomi yang menekankan aspek kemewahan, kekayaan dan kebendaan. 
·    Selain itu, fahaman-fahaman ini juga menggalakkan individu membaiki taraf hidup dan mengumpul kekayaan mengatasi kemampuannya. 
·  Perkembangan ini melahirkan golongan kapitalis yang berlumba-lumba mengumpul modal  untuk mengejar kekayaan material yang turut menggalakkan sistem monopoli. 
H.   Kesan Gerakan Reformasi :
·         Ahli-ahli sosiologi seperti Max Weber berpendapat perkembangan kapitalisme dapat dikaitkan dengan kesan dari kemunculan gerakan reformasi khususnya selepas kemunculan mazhab Protestan. 
·         Max Weber dalam bukunya The Protestant Ethic and The Spirit of Capitalisme menyatakan bahawa ajaran mazhab Protestan bertanggungjawab membentuk sistem kapitalis. 
·     Salah satu doktrin mazhab Protestan yang dikenali sebagai The Calling menyeru penganutnya agar melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dalam kegiatan ekonomi. 
·    Hal ini bermakna, ajaran mazhab ini menggalakkan penganutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kekayaan dan keuntungan. Ajaran ini mentakrifkan kejayaan dalam bidang ekonomi sebagai satu tuntutan keagamaan. 
·    Kebanyakan golongan yang terlibat dalam ekonomi di Eropah seperti pengusaha bank, pengusaha industri, saudagar-saudagar dan tenaga mahir adalah daripada kalangan penganut mazhab Protestan.
I.      Fahaman Calvinisme :
·    Gerakan Reformasi yang dibawa oleh John Calvin dalam pemikiran agama Kristian di Eropah telah mendorong kepada perkembangan ekonomi kapitalisme 
·  Ajaran Calvin membenarkan amalan riba dengan tujuan menggalakkan masyarakat bekerja keras 
·        Fahaman ini menyebabkan negara mazhab Protestan mengenepikan Common Law dan membolehkan pedagang membebaskan diri daripada kawalan paderi dan peraturan lama dalam ajaran Katholik.
 Gambar John Calvin

3.0       Sistem Ekonomi Islam

Ekonomi Islam adalah ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat dari segi mendapatkan, mengguna atau mengurus sumber-sumber alam secara kebendaan dan kerohanian untuk kebaikan semua pihak demi mendapat keredhaan Allah S.W.T. 
Ekonomi Islam adalah berteraskan syariah bagi melindungi ketidakadilan dalam pemerolehan dan penggunaan sumber alam dengan memenuhi keperluan manusia untuk melaksanakan tanggungjawab terhadap Alllah S.W.T. dan masyarakat seluruhnya. Konsep ekonomi Islam adalah bersandarkan kepada pegangan dan keyakinan bahawa rezeki yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. di muka bumi ini adalah cukup untuk seluruh makhluk-Nya. Oleh itu, sifat tamak atau mementingkan diri tidak perlu wujud pada diri seseorang Muslim. Ajaran Islam juga menggariskan semua umatnya agar berusaha dalam mencari rezeki di bumi Allah. Tugas mukmin di muka bumi selain daripada tunduk dan patuh kepada Allah SWT, juga memakmurkan dunia.

3.1       Falsafah

Islam telah menggariskan bahawa konsep muamalat dalam Islam adalah:
·        Berasaskan pegangan pada ajaran-ajaran Islam dan boleh dilihat dari sudut tauhid, rububiyyah, tazkiyyah, manusia sebagai khalifah dan persaudaraan antara manusia. 
·     Tauhid adalah perkara asas dalam falsafah ekonomi Islam melibatkan hubungan antara manusia dengan dengan tuhan dan manusia dengan manusia, serta hubungan manusia dengan alam sekeliling. 
·       Rububiyyah adalah konsep yang menekankan Allah S.W.T. sebagai penguasa yang membuat peraturan-peraturan yang bertujuan untuk menjaga dan menampung kehidupan makhluk demi kebahagiaan di dunia dan akhirat.
·         Tazkiyyah ialah konsep kesucian jiwa dan ketinggian akhlak. Jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia akan menghindari perkara-perkara tidak baik dalam aktiviti ekonomi. 
·     Umat Islam perlu percaya bahawa manusia dicipta oleh S.W.T. untuk dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Melalui kesedaran ini, manusia akan menjalankan amanah dan peranan untuk memakmurkan bumi sesuai dengan peranan mereka sebagai khalifah Allah S.W.T. 
·        Konsep persaudaraan sejagat tanpa batasan keturunan atau warna kulit ini akan mewujudkan suasana kehidupan yang lebih harmoni tanpa sebarang bentuk pemerasan, eksploitasi, penindasan atau penyelewengan.

3.2       Matlamat

·         Aktiviti ekonomi Islam bertujuan memenuhi keperluan asas setiap manusia. Keperluan asas ini termasuklah mempunyai pakaian yang  sesuai, tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi dan keperluan perubatan. 
·         Ekonomi Islam bermatlamatkan untuk mencapai penggunaan sumber yang optimum, cekap, berkesan dan tidak membazir. 
·   Ekonomi Islam juga berhasrat untuk melaksanakan pengagihan kekayaan yang saksama dan adil. Kekayaan yang dimaksudkan ini termasuklah dari segi pendapatan, harta benda dan pembangunan. 
·      Ekonomi Islam juga bertujuan untuk menjamin hak dan peluang yang sama untuk semua orang tanpa mengira keturunan, bangsa atau warna kulit.

4.0       Perbezaan Ekonomi Islam dan Ekonomi Kapitalisme

 Menurut pandangan Islam : ekonomi ialah satu ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan tuntutan sejarah Islam sama ada di peringkat perolehan, penggunaan atau pengurusan sumber untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara dari segi rohani dan jasmani bagi mendapat keredaan Allah s.w.t. Manakala Ekonomi menurut pandangan Barat ia merupakan Kajian sains sosial tentang bagaimana sumber – sumber ekonomi yang terhad digunakan untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad. Ciri-ciri perbezaan yang ketara dapat kita lihat seperti:
4.1       Kebebasan Terhadap dan Menurut Nilai-nilai Akhlak :
ISLAM: Tidak sahaja memberi kebebasan tetapi terhad dalam ekonomi malah ia juga memberikan perlindungan terhadap apa yang diperolehi. Nilai – nilai akhlak dan sifat – sifat menjadi asas pengisian prinsip berkenaan. 
BARAT: kebebasan tidak terhad dan mementingkan keuntungan yang maksimum dan mengurangkan kos.
4.2       Cara Mendapatkan Harta :
ISLAM: Cara mendapatkan harta haruslah dengan jalan yang halal ( bukan dengan melakukan amalan riba, penipuan, rasuah, ekspolitasi dan cara – cara yang bertentangan dengan syarak ) tertakluk kepada syariat Islam.
 BARAT: Harta merupakan hak milik persendirian secara mutlak boleh digunakan secara bebas untuk mendapatkan keuntungan dan tiada kawalan dari sudut perundangan.
4.3       Peranan Pihak Berkuasa:
ISLAM: SYARIAH Islam mengharuskan berlakunya campurtangan pihak pemerintah dalam kegiatan – kegiatan ekonomi, sama ada dalam bentuk pengurusan, penyusunan, agihan dan perancangan. Canpurtangan pihak pemerintah adalah bertujuan untuk melindungi dan menjamin kestabilan serta keadilan sosial dengan syarat ia mestilah berlandaskan syariah.
 BARAT: Peranan pemerintah adalah minimum selagi pemilik harta mengikut saluran undang–undang.
4.4       Sistem Percukaian :
ISLAM : sistem percukaian Islam disyariatkan. Pemilik harta dikenakan bayaran zakat mengikut kadar dan cukai-cukai yang lain untuk diagihkan kepada pihak – pihak yang berhak bagi mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
BARAT: Pembayaran cukai tidak disyariatkan dan bertanggungjawab membayar cukai kepada pemerintah serta tanggungjawab lain (derma dan sumbangan berdasarkan budi bicara).
4.5       Prinsip permuafakatan :
ISLAM : Menekankan semangat muafakat untuk mengurangkan pertelingkahan antara majikan dengan pekerja, penjual dengan pembeli, pengeluar dengan pengguna. Ini kerana pertelingkahan adalah haram disisi Islam.
BARAT: Hubungan antara majikan dengan pekerja dalam bentuk kontrak yang diwujudkan bagi melicinkan hubungan antara mereka. Kerajaan campurtangan bagi mewujudkan kerjasama antara majikan dengan pekerja. Dengan itu wujud hubungan tiga hala antara kerajaan majikan dan pekerja.
4.6       Prinsip Istikhlaf (pertanggungjawaban) :
ISLAM :  Manusia adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini dan pemegang amanah untuk memakmurkan dunia. Prinsip ini menggariskan pemilikan harta hendaklah melalui cara diredai oleh Allah s.w.t
KAPITALIS: prinsip ini hanya wujud di kalangan majikan dengan pekerja, penjual dengan pembeli tanpa dikaitkan dengan tuhan.
4.7       Prinsip Berkerja dan Ganjaran :
ISLAM: untung dan rugi adalah lumrah dalam muamalah islam, malah ia menjadi asasnya. Berdasarkan prinsip ini, mekanimse seperti ini mudarabah dan syarikat digalakkan dalam aktiviti ekonomi.
BARAT: Meminimumkan kos dan memaksimumkan keuntungan untuk mengelakkan kerugian dan mengambil keuntungan lebih banyak untuk menyelamatkan keadaan semasa berhadapan dengan kerugian.
4.8       Prinsip Menjauhkan Perbuatan Merosakkan :
ISLAM: Melarang segala bentuk keruntuhan akhlak, kerosakan masyarakat, kepincangan keluarga dan kerosakan masyarakat dalam kegiatan ekonomi.
BARAT: Juga melarang kerosakan tetapi tiada kawalan syariat, cuma dilakukan di atas tanggungjawab moral.
   

 4.9      Matlamat Ekonomi :
ISLAM : Syariat tidak digugurkan (dikekalkan). Setiap kali kegiatan ekonomi sama ada kecil atau besar akan menjadi ibadah dan diberi ganjaran pahala jika dilakukan mengikut kehenda –kehendak syarak’
BARAT: berbentuk sekular dan syariat digugurkan bermula pada abad ke – 16 dan seterusnya.

5.0       Analisa Tentang Kaedah Pembelajaran Ekonomi Di Malaysia

Pada masa kini Malaysia telah menerapkan banyak terma-terma yang berlandaskan Islam dalam ekonomi negara umpamanya insuran takaful, perbankan Islam, pajak gadai secara Islam (Ar-Rahnu), sewa beli secara Islam dan sebagainya. Malahan banyak kegiatan perniagaan yang dilarang Islam dilarang di Malaysia contohnya perdagangan manusia, pengedaran najis dadah, pelacuran dan judi (terhad kepada orang Islam sahaja). Namun kita mestilah bersikap optimis bahawa kita mesti sentiasa menambahbaik fenomena ekonomi negara kita berlandaskan syariat Allah s.w.t.  
Jika kita rujuk kepada sukatan pelajaran untuk matapelajaran ekonomi yang diajar di sekolah-sekolah Menengah di seluruh negara dan pada peringkat pengajian tinggi, para pelajar kita telah didedahkan dengan pendidikan sistem ekonomi kapitalisme. Kita tidak dapat menolak secara total bahawa kaedah perniagaan yang diterimapakai pada semua peringkat dewasa ini samada di peringkat domestik mahupun antarabangsa, kaedah ekonomi kapitalisme adalah lebih mendominasi pasaran. 
Apa yang saya amati bahawa dalam objektif pengajaran ekonomi di Malaysia,apa yang perlu ditambah nilai ialah menghubungkaitkan kegiatan ekonomi mestilah berlandaskan kepada syariat Allah s.w.t. Cadangan ini bukanlah untuk memperkecilkan sukatan pelajaran yang sedia ada, tetapi untuk manafaat generasi para pelajar negara kita agar mereka dapat mendalami ilmu secara syumul. Disertakan Sukatan Pelajaran bagi Ekonomi Asas untuk tujuan perbandingan. 

6.0       Kesimpulan

Asas-asas ekonomi Islam jelas menunjukkan keadilan masyarakat dapat dipelihara berasaskan falsafah dan matlamat sistem ekonomi Islam itu sendiri. Falsafah ekonomi Islam adalah berasaskan pegangan pada ajaran-ajaran Islam dan boleh dilihat dari sudut tauhid, rububiyyah, tazkiyyah, manusia sebagai kahlifah dan persaudaraan antara manusia. Tauhid adalah perkara asas dalam falsafah ekonomi Islam melibatkan hubungan antara manusia dengan dengan tuhan dan manusia dengan manusia, serta hubungan manusia dengan alam sekeliling.  Sistem pendidikan di Malaysia terutamanya bagi matapelajaran ekonomi telah dipengaruhi oleh pemikiran aliran berorientasikan kapitalisme dan barat. Namun begitu, saya menyokong penuh usaha-usaha kerajaan yang sentiasa prihatin tentang kepentingan masyarakat terutama sekali golongan pengguna dengan mengadakan “control measure”supaya bentuk ekonomi yang lebih Islamik diterapkan dalam semua kegiatan eknomi di Malaysia. Marilah kita sama-sama berdoa semoga kita menjadi masyarakat yang bukan sahaja berjaya di dunia dalam aspek ekonomi, malahan berjaya di akhirat. InsyaAllah. 

7.0       Rujukan

1. Economics, John Soloman, Prentice Hall, New Jersey, 1991
2. Ensiklopedia Agama & Mazhab-Mazhab Moden, Yahya Nuryadi, Pustaka Al-Shafa, Kuala Lumpur, 2008
3. Gerakan Orientalisme dan Kristianisasi, Hj Nik Azran Mohamed & Hj Mohd Mahadi Hj. Isa, Hijjaz Record & Publishing, K. Lumpur, 2009
4. Microeconomics, Robert S. Pindyck & Daniel L. Rubinfeld, Prentice Hall, New Jersey, 2001
5. Salah Faham Tentang Islam, Nik Salida Nik Suhaila Nik Salleh & Mohammad Nidzam Abdul Kadir, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2008
6. Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Ekonomi Asas,  Kementerian Pendidikan Malaysia, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa Dan Pustaka, 2000
7. The Choice Islam & Christianity, Debat Islam & Kristian Volume 1 & 2, Ahmed Deedat, Jasmin Enterprise, 2008

Tiada ulasan:

Catat Ulasan