Selasa, 3 September 2013

Minyak naik: Kerajaan Najib terus jerut leher rakyat


Harakahdaily, 02 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Malam ini, apa yang dibimbangi oleh kelompok besar masyarakat menjadi kenyataan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menaikkan harga RON95 sebanyak 20 sen seliter berkuatkuasa 3 September 2013 untuk terus menjerut leher rakyat.

AMK Selangor menyelar sebarang tindakan sumbang yang mengheret rakyat dalam beban ekonomi yang lebih teruk.

“Kegagalan Najib Razak dan kabinetnya dalam menyusun atur ekonomi dengan baik menjadi penyebab atas kenaikan harga bahan api ini,” kata Naib Ketua AMK Malaysia, Azmizam Zaman Huri dalam satu kenyataan.

Katanya, Najib dan kerajaan Barisan Nasional belum lagi berupaya memberi peningkatan wajar kepada kestabilan ekonomi negara.

Seperti dijangka, kata beliau kelemahan itu akhirnya terpaksa ditutup dengan 'penyelarasan subsidi' yang  ditelan oleh semua.

Beliau yang juga Ketua AMK Selangor berkata, pihaknya yakin kesan kenaikan bahan api itu akan memberi refleks secara langsung terhadap kenaikan beberapa barang keperluan sedikit masa lagi.

“Inilah yang membimbangkan di mana akhir sekali rakyat paling bawah akan memikul segala kebodohan urustadbir dan terus hidup melarat,” ujarnya.

Katanya lagi, ketika kenyataan ini ditulis; di semua stesen minyak terutama di bandar bandar besar sedang terjadinya tumpuan dan tekanan dengan puluhan ribu pemilik kenderaan beratur panjang untuk mengisi minyak pada harga RM1.90 seliter bagi kali terakhir.

“Tidakkah Najib merasai tekanan tersebut? Tidakkah kerajaan Barisan Nasional merasai derita tersebut?” tanya beliau.

Tambahnya, inilah golongan pemerintah yang akan terus membutakan mata, dan memekakkan telingan atas kepayahan rakyat dengan tangan terus mengaut laba keuntungan.

Justeru, ujarnya AMK Selangor melahirkan rasa dukacita atas beban yang rakyat terpaksa hadapi ini, menjadi harapan kami untuk membantu mengurangkan resah dan beban tersebut.

“Regim ini harus terus diasak hingga tumbang, kerana kita tiada masa lagi untuk hidup dalam penghambaan ekonomi yang mendesak,” tegasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan