Isnin, 24 Jun 2013

Diariku dari parlimen: 24 Jun 2013


Nasrudin Hassan, 24 Jun 2013
Jam 9.20 am saya mula melangkah kaki memasuki dewan mesyuarat di bangunan Parlimen. Satu detik bersejarah bagi diri saya sebagai ahli parlimen yang baru dari P.088 Temerloh. "Pertama kali" adalah detik debar yang akan dirasai oleh saya dalam apa jua aktiviti dan penglibatan. Apatah lagi "pertama kali" itu adalah majlis rasmi yang penuh formal dan mempunyai tatacara yang tersendiri.

Masih segar dalam lipatan sejarah, bagaimana pertama kali saya masuk sekolah, pertama kali saya masuk Madrasah Muhammadiah Sungai Durian dan kemudiannya Madrasah Ad Diniah Al Bakriah, pertama kali saya memasuki Maahad Fathul Islami di Syria dan pertama kali saya melangkah kaki ke gerbang Universiti al Azhar dan kini memasuki Dewan Rakyat dengan gelar sebagai Ahli Yang Berhormat sangat mendebarkan.

Situasi serupa saya alami semasa mula-mula ke gerbang perkahwinan, pertama kali diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia dan kini mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen bagi sessi parlimen ke 13.

Sejuk dinginnya suhu dewan parlimen ini tidak mampu meredakan debaran pertama ini. Perasaan saya berbaur antara gementar kerana tidak biasa dan berdebar kerana tidak sabar untuk menyertai perbahasan sebagai ahli parlimen yang baru.

Mengakui bahawa hati ini sangat teruja terutama melihat kelibat dan gelagat rakan-rakan ahli parlimen senior yang membawa pelbagai wajah dan rentak sesekali mamanaskan dewan.

Hari pertama parlimen bermesyuarat bagi edisi 2013 yang berlangsung hari ini telah menyaksikan kekecohan melibatkan proses pengundian untuk memilih Yang Di Pertua Dewan Rakyat. Kertas undi diedar tetapi tidak rahsia kerana pengundinya mesti menulis nama dan menandatangani kertas undi tersebut.

Dua calon Yang Di Pertua Dewan telah dikemukakan. Pertama ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia atas cadangan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dan disokong oleh Yang Berhormat Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyidin Yassin. Sementara calon kedua ialah Datuk Abdul Kadir Sulaiman atas cadangan Tan Sri Khalid Ibrahim dan disokong oleh YB Karpal Singh.

Tan Sri Pandikar Amin terpilih sebagai Yang Di Pertua Dewan Rakyat dengan memperolehi 133 undi berbanding Datuk Abdul Kadir memperolehi 89 undi.

Lebih menarik pada hari ini apabila Tan Sri Pandikar Amin selaku YDP Dewan Rakyat memashyurkan slogan "Ubah" dan "Ini kali lah" sebagai memulakan ucapan sulong beliau mengendali mesyuarat Ahli Parlimen.

Saat ini, jam telah menunjuk detik 11.40 am dan saya masih menunggu gilliran untuk mengangkat sumpah. Kini giliran ahli parlimen Barisan Nasional membaca teks angkat sumpah di hadapan Yang Di Pertua Dewan.

Semangat untuk terus memperjuangkan risalah perjuangan parti sekaligus membawa suara rakyat ke dewan parlimen ini makin berkobar...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan