Isnin, 24 Jun 2013

Puasa elak penyakit tingkatkan taqwa


Ahmad Baei Jaafar, 24 Jun 2013
Selalu kita dengar orang berkata, jangan pentingkan diri sendiri, malah ustaz-ustaz juga sering mengingatkan anak muridnya supaya selalu mementingkan orang lain. “Jika kita selalu memberi nanti kita akan mendapat pulangannya,” kata pakar motivasi.

Persoalannya berapa ramai yang selalu memberi dan terus memberi, tetapi tidak mendapat pulangan yang sewajarnya? Tidak dinafikan, terdapat beberapa orang yang sering menyumbang hingga akhirnya dia pula yang jatuh miskin. Di manakah silapnya teori di atas.

Jawapan yang sering diterima ialah, boleh jadi dia tidak ikhlas dalam memberi, apatah lagi kalau dalam memberi itu dia mengharapkan pulangan pula. Ya keikhlasan hati kita amat besar nilaiannya di sisi Allah. Oleh sebab itu betulkan hubungan dengan Allah zahir dan batin.

Isu di atas ada kaitan dengan formula berikut, “Dalam hubungan kita dengan Allah kita perlu pentingkan diri sendiri, tetapi dalam hubangan dengan manusia kita perlu pentingkan orang lain.” Pelikkan bunyinya, tetapi itulah kaedah yang sewajarnya dipraktikkan oleh umat Islam.

Oleh sebab kita sudah hampir masuk ke bulan Ramadan, formula ini cuba kita kaitkan dengan Ramadan dan amalan puasa. Sebaik sahaja kita melangkah masuk ke bulan Ramadan kita secara semula jadi akan berhadapan dengan Allah dan Manusia, malah akan lebih kerap mengadakan hubungan dengan dua pihak ini.

Hubungan dengan Allah

Puasa adalah ibadah yang menghubungkan manusia dengan Allah, sama juga dengan ibadah lain termasuk ibadah zakat.  Bukan itu sahaja, malah semua ibadah sunat mesti wujud hubungan antara manusia dengan Allah. Sebaliknya ibadah itu akan menjadi sia-sia jika dalam melakukan sesuatu ibadah hatinya terpaut kepada manusia.

Berdasarkan formula itu, apabila seseorang itu berpuasa, mereka perlu pentingkan diri sendiri. Maknanya mereka perlu pastikan bahawa sahur dilakukan mengikut peraturan yang sebaiknya. Semasa berpuasa pastikan mereka tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa. Pada masa yang sama jangan pedulikan orang lain sama dia puasa ke, dia bersahur ke, dia jaga mata ke, tidak perlu diberi komen. Biar urusan mereka dengan Allah.

Pada waktu malam pula, kita bersiap-siap untuk melakukan solat sunat tarawih. Jadi, pastikan kita hadir awal dan solat Isyak berjemaah dan sunatnya dengan sempurna. Kita perlu pastikan solat itu terbaik yang hendak kita persembahkan kepada Allah. Malah perlu kita pastikan yang solat sunat tarawih yang dilakukan terbaik dan paling sempurna. Sebaliknya jika terasa kurang disesali dan diusahakan peningkatannya.

Bayangkan jika semua umat Islam boleh jaga kepentingan diri sendiri dalam ibadah di atas, tentu mereka tiada masa untuk memikirkan kepentingan orang lain. Mereka tiada masa lagi untuk memikirkan ibadah orang lain sama ada betul atau tidak, sempurna atau tidak, sah atau tidak. Percayalah kalau kita tidak fikirkan kepentingan orang lain, kita telah selamat daripada dosa bertekak, dosa mengumpat dan dosa melakukan kerja yang sia-sia.

Kalau begitu kedudukannya, setiap kali kita berpuasa hubungan kita dengan Allah bertambah rapat dan tidak syak lagi dengan perhatian serius dalam hubungan ini akan menjadikan ibadah puasa kita itu lebih berkualiti. Ketika itu kita bukan sahaja sihat fizikal, malah sihat mantel dan segala-galanya. Hal ini kerana kita sudah tidak stres dalam memikirkan hal orang lain. Pada masa yang sama kita akan dianugerahkan sifat taqwa kerana takut untuk melakukan dosa terhadap manusia.
Hubungan dengan manusia

Dalam bulan Ramadan juga kita perlu melakukan hubungan dengan manusia seperti berniaga, bertolong bantu, berderma, memberi hadiah, nasihat ke arah kebaikan dan mengajar. Dalam menjayakan urusan ini, kita diminta supaya selalu menjaga kepentingan orang lain. Elak daripada mengambil kesempatan bagi faedah diri sendiri.

Seorang peniaga sebagai contoh, sewaktu menjual barangannya kepada pembeli perlu pastikan barangan itu berkualiti dan tidak rosak supaya pembeli mendapat manfaatnya. Tawaran harga yang ditetapkan perlu difikirkan nilainya berpatutan dan mampu dibayar oleh pembeli. Dan komunikasi antara penjual dan pembeli juga perlu dilunakkan agar tidak mengecilkan hati pelanggan.

Selain itu jika kita membuat juadah makanan untuk berbuka puasa pastkan baik, sedap dan banyak. Maka menjelang waktu berbuka puasa, bawakan sebahagian juadah itu ke rumah jiran. Semoga dengan itu mereka dapat merasai hasil kerja tangan kita. Biasanya jiran itu akan pulangkan kuih yang lain jika dia juga ada membuat kuih. Amalan seperti ini termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain.

Begitu juga kalau kita boleh mengajar atau memberi nasihat kepada kawan-kawan dalam soal makruf tentu perbuatan itu termasuk dalam menjaga kepentingan orang lain. Dan amalan yang paling bermanfaat ialah membantu orang susah dengan berderma atau bersedekah dalam bulan Ramadan. Amalan ini semua akan dinilai oleh Allah sebagai kebajikan.

Percayalah dengan amalan menjaga kepentingan orang lain ini, taqwa kita akan meningkat dan bertambah baik. Paling baik lagi kalau amalan itu diteruskan walaupun selepas bulan Ramadan. Jadi, mana-mana umat Islam yang dapat menjaga kedua-dua kepentingan itu, sahlah mereka akan beroleh sehat dan taqwa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan