Khamis, 5 September 2013
Berjimat suruhan Islam, bukan kerana defisit tinggi
i
| Nik Abdul Aziz Nik Mat, | 05 Sep 2013 |
Barangkali Tun Dr Mahathir baru sedar bahawa selama ini kerajaan Malaysia sudah banyak membazir di dalam perbelanjaannya. Apabila minyak terpaksa dinaikkan 20 sen hanya untuk mendapatkan pulangan sebanyak RM3.3 billion yang lebih daripada itu dihabiskan untuk tujuan lain, barulah Tun bersuara.
Suka untuk saya menyebut bahawa berjimat cermat ini ialah perintah Islam. Ia bukan kerana defisit tinggi atau harga minyak naik, tetapi kerana ia memang merupakan suruhan Islam. Di waktu mewah pun Islam memerintahkan agar kita berjimat apatah lagi di waktu susah. Inilah didikan Rasulullah SAW kepada para sahabat. Bacalah teguran Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang bernama Saad Radhiallahuanhu ketika beliau sedang berwudhuk, setelah dilihat ada unsur pembaziran di dalam wudhuk Saad Radhiallahuanhu, Rasulullah SAW bersabada :
مَا هَذَا السَّرَفُ فَقَالَ أَفِي الْوُضُوءِ إِسْرَافٌ قَالَ نَعَمْ وَإِنْ كُنْتَ عَلَى نَهَرٍ جَارٍ
Yang bermaksud : Apakah pembaziran in? Lalu Saad berkata : Adakah di dalam wuhduk pun ada pembaziran? Rasulullah SAW bersabda : Ya, sekalipun kamu berada di dalam sungai yang mengalir - Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad.
Jika di dalam sungai yang mengalir pun, mengambil wudhuk dengan air yang berlebihan dianggap membazir, apatah lagi jika di dalam keadaan air yang tidak mencukupi. Demikianlah perbelanjaan negara, projek-projek besar yang terbengkalai, pelaburan di luar negeri yang menggunakan duit rakyat yang merugikan bernilai ratusan juta ringgit akhirnya dipaksakan ke atas bahu rakyat untuk menanggungnya jelas sekali merupakan satu pilihan yang zalim dan tidak kena pada tempatnya.
Ketika saya mula-mula mentadbir negeri Kelantan pada tahun 1990, dasar jimat cermat inilah yang saya arah digunapakai dalam semua urusan kerajaan. Gaji bulanan Menteri Besar, ahli exco dan wakil rakyat kerajaan dipotong, sebahagiannya dijadikan sumbangan tetap untuk parti. Saya mengarahkan agar amalan memberikan cenderamata kepada pemimpin kerajaan ketika lawatan rasmi ke jabatan dan agensi kerajaan. Tujuannya tidak lain hanyalah untuk untuk mengelakkan pembaziran dan perbelanjaan ke atas tujuan yang tidak perlu.
Saya menolak peruntukan untuk keraian Hari Raya dan Juadah Berbuka Puasa yang masing-masing berjumlah RM30,000 dan RM15,000 setiap tahun bermula tahun 1990. Saya tidak mendiami kediaman rasmi Menteri Besar di JKR10 bagi mengelakkan perbelanjaan mengurustadbir rumah tersebut dan menyelamatkan kantung kerajaan. Pada masa itu, Tun Dr Mahathir masih Perdana Menteri Malaysia yang seringkali mempertikaikan apa jua langkah positif yang dibuat oleh kerajaan negeri Kelantan.
Bahkan masih terngiang-ngiang di telinga saya tuduhan yang menyatakan bahawa amalan memberikan cuti dua hari seminggu kepada kakitangan kerajaan negeri hanya akan menyebabkan mereka menjadi malas. Tanpa segan dan tanpa silu, itulah yang ditiru kemudiannya oleh kerajaan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir. Dari sudut penjimatan, tambahan cuti sehari dalam seminggu ini menjimatkan banyak bekalan eletrik yang digunakan di pejabat-pejabat kerajaan.
Saya sokong saranan Tun Dr Mahathir agar kerajaan berjimat. Ia bagus namun agak lewat. Tetapi lewat itu lebih baik dari langsung tiada. Barangkali Tun Dr Mahathir berpegang kepada prinsip better late then never. Tahniahlah, namun sesekali apabila memberikan saranan yang sesuai dengan Islam, saya kira apa salahnya berikan kredit kepada Islam.
Ertinya, berjimat cermat bukan hanya kerana defisit naik, bukan kerana perbelanjaan meningkat tetapi berjimat cermat kerana itulah suruhan agama. Saya tidak rasa lidah kita terlalu kekok sehingga menghalang untuk menyebut Islam.
Itulah Islam, agama yang syumul dan menyeluruh. Islam bukan hanya agama kopiah dan serban sahaja. Inilah yang wajib diketahui oleh pemimpin parti politik sekular yang hari ini dilihat banyak memakai kopiah dan menghiasi dada-dada akhbar dengan gambar berkopiah mereka.
Sekian.
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Semalaysia (PAS)
Q&A: Bolehkah taja haji guna wang zakat
| Ustaz Hamizul Abdul Hamid, | 05 Sep 2013 |
Jawapan: Alhamdulillah, musim haji tiba lagi, mudah-mudahan mereka yang terpilih untuk bertamu sebagai pengunjung ke Baitullah dan menjadi ‘dhuyufur rahman’ mendapat anugerah haji yang mabrur, amin. Dalam pada itu juga, memang timbul persoalan seperti ini di kalangan masyarakat awam. Tahniah juga kerana mempunyai kesedaran untuk menaja orang-orang yang kurang berkemampuan menunaikan haji ke Mekah.
Demi menjawab soalan ini, kita sepatutnya terlebih dahulu mengetahui apakah syarat-syarat wajib haji yang telah ditetapkan oleh Islam. Seseorang yang tidak mempunyai cukup syarat bagi menunaikan haji, maka di sisi Allah SWT mereka tidak dikira berdosa jika tidak dapat ke Mekah menunaikan haji.
Ada pun syarat menunaikan haji ada lima, iaitu Islam, Baligh, Berakal, Merdeka dan Mampu (istita’ah). Yang perlu difahami, kewajipan haji ini tertakluk atas kemampuan individu berkenaan, yang mana antara kemampuan itu ialah, mampu menyediakan perbelanjaan yang cukup untuk menyempurnakan haji dan juga biaya mereka yang ditinggalkan di tanah air.
Allah SWT tidak murka kepada orang yang tidak berkemampuan, seperti mana firman-Nya yang bermaksud: “Dan menjadi kewajipanlah bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka.” (surah Ali-Imran : ayat 97)
Maka, secara umumnya jika orang Islam yang sudah sememangnya miskin, maka mereka tidak berdosa jika tidak dapat menunaikan haji. Melainkan jika mereka mampu, misalnya ada harta beku seperti tanah yang banyak, maka wajiblah mereka mencairkan harta berkenaan untuk menjadikan mereka mampu daripada aspek kewangan untuk ke sana.
Dalam hal ini, saudara menyatakan bahawa individu berkenaan adalah orang miskin, maka tidak berdosa jika dia tidak menunaikan haji. Namun, bolehkah kita menyalurkan wang zakat kepadanya untuk ke Mekah?
Suka saya paparkan perbincangan fiqh yang lebih luas. Di dalam kitab Ensaiklopedia Fiqh Wanita Jilid 2, susunan Dr Abdul Karim Zaidan, ada dinyatakan bahawa terdapat ulama yang membolehkan orang-orang yang mahu menunaikan haji, diberikan wang zakat atas nama fisabilillah agar mereka dapat menunaikan hajat berkenaan.
Dinyatakan oleh Imam Ahmad seperti berikut: “Ibadah haji merupakan bahagian daripada perjuangan fisabilillah, sehingga orang fakir dapat diberi bahagian zakat ini untuk melaksanakan ibadah haji, sebagaimana orang-orang yang kehabisan bekal dalam menunaikan haji dapat diberikan bantuan untuk menyempurnakan ibadah haji yang dilakukannya.’ (rujuk hal. 147)
Walau bagaimanapun, pandangan ini tidak bersifat muafakat dalam kalangan fuqaha, kerana ramai yang menyanggahinya, bahkan menurut Ibn Qudamah, Imam Ahmad juga pernah mengeluarkan pendapat bahawa zakat atas nama fisabilillah tidak boleh diberikan kepada orang yang mahu menunaikan haji.
Janganlah kita terkejut jika ulama yang sama mengeluarkan pandangan kedua yang berbeza dengan pendapat awal, kerana adakalanya wujud keperluan dan rasional yang melahirkan pendapat kedua berkenaan dan ia selalunya lebih menepati keperluan. Imam Syafie sendiri penah menyatakan kadar zakat harta ma’din (galian) adalah 2.5 peratus dan kemudian pendapat keduanya adalah 20 peratus, dan penulis melihat pandangan kedua inil lebih sejalan dengan fuqaha yang lain serta lebih kuat dalilnya.
Bahkan Ibn Qudamah turut memperkuatkan pandangan berkenaan, atas alasan ia disepakati oleh fuqaha lain misalnya Imam Syafie, Malik, Abu Hanifah, at-Tswari dan lain-lain. Mereka selanjutnya menyatakan, bahawa pendapat yang paling tepat mengenai tujuan fisabilillah, adalah merujuk semata-mata bagi tujuan peperangan menegakkan Islam.
Seandainya kita meneliti lebih lanjut, maka pandangan fuqaha mengenai fisabilillah sebenarnya tidaklah terbatas kepada aspek peperangan semata-mata. Hal ini ada dikemukakan oleh T.M Hasbi as-Shiddieqy di dalam kitabnya, Pedoman Zakat dengan menyajikan pelbagai definisi fisabilillah oleh pelbagai fuqaha (rujuk hal. 169-172).
Umumnya, fuqaha menyatakan bahawa fisabilillah adalah bermaksud mempertahankan agama Islam dan mendekatkan diri kepada Allah SWT (taqarrub ilallah). Maka, boleh jadi dalam mendefinisikan maksud taqarrub ilallah inilah, ada yang berpandangan bahawa orang yang mahu mengerjakan haji wajar dibantu, kerana mereka memang mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Sedangkan, jika diteliti lebih mendalam, maksud taqarrub ilallah yang lebih tepat ialah, segala aktiviti yang bersifat kepentingan umum, misalnya untuk tujuan dakwah Islamiyah, menganjurkan program Islami, menerbitkan risalah penerangan Islam dan menangkis tohmahan musuh-musuh Islam, memperkukuhkan institusi-institusi keIslaman dan sebagainya.
Jika orang yang dalam proses menunaikan haji dan mereka kehabisan belanja untuk kembali ke tanah air, hakikatnya bagi mereka memang sudah tersedia peruntukan khusus buat menangani keperluan itu, iaitu di bawah asnaf ibn sabil.
Manakala dalam konteks semasa, di Lembaga Zakat Selangor (LZS) sendiri, dana fisabilillah ini dimanfaatkan sama ada untuk tujuan pemerkasaan institusi agama dan juga menaja individu muslim menyudahkan sesuatu pekerjaan yang mana, natijah akhirnya kelak akan kembali kepada umat Islam secara umum.
Maka, berdasarkan pandangan dan huraian ini, menyalurkan wang zakat sebanyak RM10 ribu itu untuk menaja individu yang miskin menunaikan haji, dianggap tidak menepati kehendak dalam amalan haji itu sendiri, iaitu mestilah ‘mampu’. Manakala, di sisi zakat, terdapat asnaf lain yang lebih utama (asnaf muqaddam, seperti fakir dan miskin) yang wajar disantuni terlebih dahulu sebelum menyalurkannya terus kepada asnaf fisabilillah.
Maka, berdasarkan perbincangan di atas, pandangan fuqaha bahawa tidak boleh disalurkan wang zakat bagi menunaikan haji lebih menepati kehendak zakat dan syariat. Lalu, adalah disarankan agar saudara mengeluarkan wang lain bagi menaja individu berkenaan menunaikan haji, dan tidaklah menggunakan wang zakat. Andai setelah diberikan RM10 ribu (katakan diambil dari wang simpanan dan diberikan bukan atas nama zakat kepada individu berkenaan) dan dengan sebab itu wang simpanan saudara juga menyusut dan menyebabkan zakat juga menyusut, maka ia tidaklah menjadi apa-apa kesalahan di sisi Islam.
http://www.hamizul.com/
Selasa, 3 September 2013
Perbezaan Antara Ekonomi Islam Dan Ekonomi Kapitalisme
السلام عليكم ورحمة
الله وبركاته
بسم الله الرحمن
الرحيم
1.0 Objektif
Segala puji bagi Allah SWT, tuhan sekalian alam, selawat
dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para ahli keluarganya dan para
sahabatnya serta mereka yang menurutinya dengan kebenaran.
Tujuan kertas kerja di buat ialah untuk memenuhi kehendak
kerja kursus bagi subjek Aliran Pemikiran Moden. Saya memilih untuk mengupas
dan menganalisa topik tentang perbezaan antara ekonomi Islam dan ekonomi
kapitalisme. Saya berminat untuk menulis
rencana berkenaan dengan perbezaan kaedah dan pendekatan. Di Malaysia,
masyarakat kita dihidangkan dengan dua pilihan iaitu sama ada memilih
perlaksaanaan ekonomi Islam ataupun ekonomi kapitalisme ataupun lebih dikenali
sebagai sistem ekonomi konvensional. Diharap dengan sedikit kajian dari
pembacaan, dapatlah saya sedikit sebanyak saya memahami dan berkongsi buah
fikiran saya berkenaan dengan perbezaan antara ekonomi Islam dan kapitalisme,
sejarah sistem ekonomi kapitalisme serta hubungkaitnya dengan zaman Renaissance
dan bagaimana ianya wujud di Malaysia.
2.0 Sejarah
Kemunculan Ekonomi Kapitalisme
Kapitalisme merupakan sistem ekonomi dan sosial
yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan bermatlamatkan
keuntungan. Takrif individu di sini tidak semestinya merujuk kepada orang
perseorangan tetapi juga termasuk sekumpulan individu seperti syarikat. Sistem
ekonomi kapitalis digerakkan oleh kuasa pasaran dalam menentukan pengeluaran,
kos, penetapan harga barang dan perkhidmatan, pelaburan dan pendapatan.
Pengkritik sistem kapitalis berpendapat sistem ini mewujudkan jurang perbezaan
yang ketara antara yang kaya dengan yang miskin. Sistem yang bertentangan
dengan ideologi ini ialah komunisme dan sosialisme.
Kapitalisme berasal dari perkataan kapital (bahasa Inggeris: capital) yang
bermaksud "modal". Istilah kapitalisme mula diperkenalkan pada
pertengahan abad ke-19 oleh Karl Marx, iaitu seorang Yahudi
yang juga pengasas komunisme. Pasaran bebas dan sistem pasaran adalah antara istilah
yang sering bertukar ganti dengan kapitalisme untuk menerangkan ekonomi moden
bukan komunis.
Amalan ekonomi kapitalis telah bertapak di England di antara kurun ke-16
Masehi dan 19 Masehi. Walaubagaimanapun telah wujud ciri-ciri kapitalis sejak
dulu lain terutamanya di kalangan saudagar Zaman Pertengahan. Kapitalisme menjadi
dominan di Barat semenjak berakhirnya era Feudalisme. Dari England,
kapitalisme merebak ke seluruh Eropah dan pada abad ke-19 dan 20, dan menjadi
sistem ekonomi utama dunia yang mencetuskan revolusi industri di Eropah.
2.1 Definasi
Ekonomi Kapitalisme
Sebelum
kita membincangkan isu ini dengan lebih mendalam, suka saya huraikan
sedikit apakah yang dimaksudkan dengan ekonomi kapitalisme. Menurut John
Sloman dalam bukunya Economics, ekonomi kapitalisme boleh dirujuk
sebagai:
a. Kapitalisme
merupakan sistem ekonomi dan sosial yang cenderung ke arah pengumpulan kekayaan
oleh individu tanpa gangguan kerajaan dan berasaskan keuntungan. Takrif
individu di sini juga boleh merujuk kepada sekumpulan individu seperti
syarikat. Sistem ekonomi kapitalis berdasarkan kuasa pasaran bebas dalam
menentukan pengeluaran, kos, menetap harga barang dan perkhidmatan, pelaburan
dan pendapatan.
b.
Dikenali
sebagai laissez faire
c.
Ianya juga
merupakan satu cabang bidang sains sosial yang mengkaji tingkahlaku pengguna
(consumer behaviour) dalam aspek menentuan harga dan bagaimana perubahan harga
menentukan penawaran dan permintaan dipasaran
d.
Kapitalisme
ialah sistem yang menggalakkan pengumpulan modal, kebebasan ekonomi, hak milik
persendirian, kebebasan pasaran dan perniagaan untuk keuntungan dan
meminimumkan kos
e.
Dalam
ekonomi kapitalisme, individu dan syarikat-syarikat yang mempunyai modal dan
harta mempunyai hak dan kebebasan menjalankan perdagangan.
f.
Matlamat
utama Kapitalisme ialah memaksimakan keuntungan sebanyak mungkin dan
mengurangkan kos
g.
Ringkasnya
Kapitalisme adalah sistem ekonomi bebas berasaskan pemilikan harta sendiri
serta perniagaan atau perusahaan bermatlamatkan keuntungan, kewangan dan
kebendaan.
2.2 Faktor-Faktor Wujudnya Perkembangan Ekonomi Kapitalisme
Terdapat
beberapa faktor yang telah membawa kepada perkembangan ekonomi kapitalisme di
Eropah Barat dari tahun 1400M hingga 1700M. Antaranya ialah:
A.
Perkembangan institusi
kewangan :
·
Perkembangan institusi kewangan seperti
insurans dan bank di bandar-bandar telah menggalakkan perkembangan
Kapitalisme di Eropah.
· Menjelang abad ke-15 M, kegiatan meminjam
wang untuk mendapatkan keuntungan menjadi satu perniagaan yang menguntungkan.
· Bank-bank penting dikuasai oleh keluarga
Medici (di selatan) dan keluarga Fuggers di Ausberg (di utara). Bank-bank ini
mempunyai peranan yang besar dalam menjana ekonomi dan terkenal di peringkat
antarabangsa.
· Bank-bank ini telah bertindak membuka pejabat
cawangan di Paris, London, Barcelona, Marseilles, Tunis, pelabuhan Afrika
Utara, Naples dan Rom.
· Bank-bank kerajaan seperti Bank Sweden (1657)
dan Bank England (1654) turut ditubuhkan.
·
Keuntungan yang diperolehi melalui pinjaman
pelaburan dan pertukaran wang disalurkan kepada perkembangan sektor
perindustrian.
· Institusi bank memberikan pinjaman bagi
membantu golongan kapitalis mendapatkan modal yang besar untuk meluaskan
kegiatan perdagangan.
B.
Penubuhan negara bangsa :
·
Penubuhan negara bangsa pada abad ke-16
Masehi juga turut menggalakkan perkembangan Kapitalisme.
· Raja-raja negara bangsa berperanan dalam
menggerak dan mempelopori perkembangan Kapitalisme dengan mengumpulkan kekayaan
demi untuk mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan masing-masing.
· Untuk mencapai hasrat tersebut, raja-raja
negara bangsa turut menjalankan dasar ekonomi merkantilisme dengan tujuan
mengumpulkan kekayaan untuk negara mereka pada sekitar abad ke-16 dan 17
Masihi.
· Perubahan dasar ekonomi ini menyebabkan
negara-negara bangsa terlibat dengan aktiviti penjelajahan dan penerokaan.
Mereka berlumba-lumba untuk mencari kekayaan dengan melakukan pelayaran ke
seberang laut dengan sokongan kuat daripada raja. Contoh : Putera Henry dari
Portugal dan Raja Ferdinand dari Sepanyol telah membiayai dan memberi galakan
kepada aktiviti tersebut.
· Kegiatan penjelajahan dan penerokaan ini
dipelopori oleh Portugal, Sepanyol, Perancis dan Inggeris.
· Kesan daripada aktiviti ini,
negara-negara bangsa menubuhkan koloni-koloni dan menguasai kekayaan ekonomi di
negara tanah jajahan yang memberi keuntungan kepada mereka.
C.
Dasar Merkantalisme :
· Revolusi perdagangan melalui campurtangan
kerajaan negara bangsa pada abad ke-16 dan ke-17 telah menggalakkan pertumbuhan
kekayaan dalam negara bangsa.
· Menerusi dasar ini kerajaan berusaha
mewujudkan sektor pertanian dan perindustrian yang produktif dan pasaran luar
yang luas .
· Untuk tujuan tersebut kerajaan mengadakan
dasar melindungi pelabur dan pedagang tempatan
·
Ratu Elizabeth (1558-1603) telah memperkenalkan
akta seperti akta perantis 1563, undang-undang kemiskinan 1600 dan akta
perkapalan 1650 .
D.
Pembukaan koloni / Dasar
Kolonialisme :
· Perluasan dasar merkantalisme telah
menyebabkan golongan kapitalis menubuhkan koloni-koloni baru untuk tujuan pertanian
dan perladangan ke atas kawasan di Timur dan Amerika Latin.
· Hal ini memperluaskan lagi sistem ekonomi
kapitalisme. Perkembangan ini menyebabkan permintaan untuk buruh meningkat
dengan mendadak.
·
Kesannya telah membawa kepada penghijrahan
manusia dari pelbagai tempat untuk bekerja sebagai buruh ke kawasan-kawasan
pertanian dan perladangan tersebut.
·
Penggunaan buruh asing telah mengembangkan
ekonomi negara Eropah dan merancakkan sistem Kapitalisme di koloni-koloni
tersebut.
· Segala hasil kekayaan daripada koloni juga
mengalir ke Eropah dan merancakkan perkembangan ekonomi di sana.
E.
Pertembungan dan
perkembangan perdagangan dengan dunia timur :
· Perang Salib telah mengakibatkan berlakunya
pertembungan dunia Eropah dengan dunia timur.
· Selepas tamat Perang Salib, hubungan
perdagangan antara Eropah dengan dunia timur terus berkembang dengan pesat.
· Kesan daripada itu, bandar-bandar utama di
Itali seperti Venice, Genoa, Florence dan Milan telah menjadi pusat-pusat
aktiviti perdagangan yang penting.
· Bandar-bandar tersebut mendapat keuntungan
yang besar hasil daripada hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan Eropah
Utara.
· Perkembangan pesat dalam aktiviti perdagangan
menyebabkan institusi perbankan khususnya bank-bank gereja ditubuhkan di Itali.
· Perkembangan ini merangsangkan perkembangan
ekonomi kapitalisme di Eropah.
F.
Kemunculan bandar-bandar
baru :
· Zaman kemuncak pertengahan memperlihatkan
pertumbuhan bandar-bandar baru hasil daripada kepesatan aktiviti perdagangan di
sepanjang laluan perdagangan Eropah Barat.
· Kepesatan perdagangan ini telah
memperkembangkan bandar-bandar lama yang sedia ada dan turut melahirkan
bandar-bandar baru.
· Bandar-bandar seperti Venice, Genoa, Florence
dan Milan menjalinkan hubungan perdagangan dengan Timur Tengah dan Eropah
Utara.
·
Bandar-bandar ini mengeksploit kedudukan
sebagai persimpangan semulajadi antara timur-barat untuk meraih keuntungan yang
besar.
· Perkembangan bandar-bandar baru melahirkan
golongan baru dalam masyarakat feudal, iaitu pedagang dan tukang-tukang yang
bergantung kepada aktiviti perdagangan.
· Cara kehidupan di bandar telah merintis jalan
kepada tuntutan rakyat bandar termasuk hak pentadbiran dan hak menjual barangan
secara bebas di pasar.
· Masyarakat bandar juga menuntut kebebasan
untuk mencari nafkah tanpa sekatan dan halangan yang tidak berasas yang
diamalkan dalam institusi manor.
·
Perubahan ini telah merintis jalan ke
arah perkembangan sistem kapitalisme di Eropah.
G.
Gerakan Renaissance :
· Gerakan Renaissance pada abad ke-14M telah
memperkembangkan sistem kapitalisme
· Gerakan Renaissance telah melahirkan fahaman
yang berbeza daripada sebelumnya seperti sifat individualisme, humanisme,
sekularisme dan pemikiran kritis yang meransang ke arah perkembangan sistem
kapitalisme.
· Kesannya, fahaman-fahaman ini melahirkan
masyarakat yang bersifat materialistik dalam kehidupan khususnya dalam ekonomi
yang menekankan aspek kemewahan, kekayaan dan kebendaan.
· Selain itu, fahaman-fahaman ini juga
menggalakkan individu membaiki taraf hidup dan mengumpul kekayaan mengatasi
kemampuannya.
· Perkembangan ini melahirkan golongan
kapitalis yang berlumba-lumba mengumpul modal untuk mengejar kekayaan
material yang turut menggalakkan sistem monopoli.
H.
Kesan Gerakan Reformasi :
·
Ahli-ahli sosiologi seperti Max Weber
berpendapat perkembangan kapitalisme dapat dikaitkan dengan kesan dari
kemunculan gerakan reformasi khususnya selepas kemunculan mazhab Protestan.
·
Max Weber dalam bukunya The Protestant Ethic and The Spirit of
Capitalisme menyatakan bahawa ajaran mazhab Protestan
bertanggungjawab membentuk sistem kapitalis.
· Salah satu doktrin mazhab Protestan yang
dikenali sebagai The Calling
menyeru penganutnya agar melibatkan diri secara bersungguh-sungguh
dalam kegiatan ekonomi.
· Hal ini bermakna, ajaran mazhab ini
menggalakkan penganutnya berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari kekayaan dan
keuntungan. Ajaran ini mentakrifkan kejayaan dalam bidang ekonomi sebagai satu
tuntutan keagamaan.
· Kebanyakan golongan yang terlibat dalam ekonomi
di Eropah seperti pengusaha bank, pengusaha industri, saudagar-saudagar dan
tenaga mahir adalah daripada kalangan penganut mazhab Protestan.
I.
Fahaman Calvinisme :
· Gerakan Reformasi yang dibawa oleh John
Calvin dalam pemikiran agama Kristian di Eropah telah mendorong kepada
perkembangan ekonomi kapitalisme
· Ajaran Calvin membenarkan amalan riba dengan
tujuan menggalakkan masyarakat bekerja keras
· Fahaman ini menyebabkan negara mazhab
Protestan mengenepikan Common
Law dan membolehkan pedagang membebaskan diri daripada kawalan
paderi dan peraturan lama dalam ajaran Katholik.
Gambar John
Calvin
3.0 Sistem Ekonomi Islam
Ekonomi Islam adalah
ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan kehendak syariat dari
segi mendapatkan, mengguna atau mengurus sumber-sumber alam secara kebendaan
dan kerohanian untuk kebaikan semua pihak demi mendapat keredhaan Allah S.W.T.
Ekonomi Islam adalah
berteraskan syariah bagi melindungi ketidakadilan dalam pemerolehan dan
penggunaan sumber alam dengan memenuhi keperluan manusia untuk melaksanakan
tanggungjawab terhadap Alllah S.W.T. dan masyarakat seluruhnya. Konsep ekonomi
Islam adalah bersandarkan kepada pegangan dan keyakinan bahawa rezeki yang
dikurniakan oleh Allah S.W.T. di muka bumi ini adalah cukup untuk seluruh
makhluk-Nya. Oleh itu, sifat tamak atau mementingkan diri tidak perlu wujud
pada diri seseorang Muslim. Ajaran Islam juga menggariskan semua umatnya agar
berusaha dalam mencari rezeki di bumi Allah. Tugas mukmin di muka bumi selain
daripada tunduk dan patuh kepada Allah SWT, juga memakmurkan dunia.
3.1 Falsafah
Islam telah
menggariskan bahawa konsep muamalat dalam Islam adalah:
·
Berasaskan pegangan pada ajaran-ajaran Islam
dan boleh dilihat dari sudut tauhid, rububiyyah, tazkiyyah, manusia sebagai khalifah
dan persaudaraan antara manusia.
· Tauhid adalah perkara asas dalam falsafah
ekonomi Islam melibatkan hubungan antara manusia dengan dengan tuhan dan
manusia dengan manusia, serta hubungan manusia dengan alam sekeliling.
· Rububiyyah adalah konsep yang menekankan
Allah S.W.T. sebagai penguasa yang membuat peraturan-peraturan yang bertujuan
untuk menjaga dan menampung kehidupan makhluk demi kebahagiaan di dunia dan
akhirat.
·
Tazkiyyah ialah konsep kesucian jiwa dan
ketinggian akhlak. Jiwa yang bersih dan akhlak yang mulia akan menghindari
perkara-perkara tidak baik dalam aktiviti ekonomi.
· Umat Islam perlu percaya bahawa manusia
dicipta oleh S.W.T. untuk dijadikan sebagai khalifah di muka bumi ini. Melalui
kesedaran ini, manusia akan menjalankan amanah dan peranan untuk memakmurkan
bumi sesuai dengan peranan mereka sebagai khalifah Allah S.W.T.
· Konsep persaudaraan sejagat tanpa batasan
keturunan atau warna kulit ini akan mewujudkan suasana kehidupan yang lebih
harmoni tanpa sebarang bentuk pemerasan, eksploitasi, penindasan atau
penyelewengan.
3.2 Matlamat
·
Aktiviti ekonomi Islam bertujuan memenuhi
keperluan asas setiap manusia. Keperluan asas ini termasuklah mempunyai pakaian
yang sesuai, tempat tinggal yang selesa, makanan yang mencukupi dan
keperluan perubatan.
·
Ekonomi Islam bermatlamatkan untuk mencapai
penggunaan sumber yang optimum, cekap, berkesan dan tidak membazir.
· Ekonomi Islam juga berhasrat untuk
melaksanakan pengagihan kekayaan yang saksama dan adil. Kekayaan yang
dimaksudkan ini termasuklah dari segi pendapatan, harta benda dan pembangunan.
· Ekonomi Islam juga bertujuan untuk menjamin
hak dan peluang yang sama untuk semua orang tanpa mengira keturunan, bangsa
atau warna kulit.
4.0 Perbezaan Ekonomi Islam dan Ekonomi Kapitalisme
Menurut pandangan Islam
: ekonomi ialah satu ilmu yang mengkaji kegiatan manusia yang selaras dengan
tuntutan sejarah Islam sama ada di peringkat perolehan, penggunaan atau
pengurusan sumber untuk kebaikan diri, masyarakat dan negara dari segi rohani
dan jasmani bagi mendapat keredaan Allah s.w.t. Manakala Ekonomi menurut pandangan Barat
ia merupakan Kajian sains sosial tentang bagaimana sumber – sumber ekonomi yang
terhad digunakan untuk memenuhi kehendak manusia yang tidak terhad. Ciri-ciri
perbezaan yang ketara dapat kita lihat seperti:
4.1 Kebebasan
Terhadap dan Menurut Nilai-nilai Akhlak :
ISLAM: Tidak sahaja
memberi kebebasan tetapi terhad dalam ekonomi malah ia juga memberikan
perlindungan terhadap apa yang diperolehi. Nilai – nilai akhlak dan sifat –
sifat menjadi asas pengisian prinsip berkenaan.
BARAT: kebebasan
tidak terhad dan mementingkan keuntungan yang maksimum dan mengurangkan kos.
4.2 Cara
Mendapatkan Harta :
ISLAM: Cara
mendapatkan harta haruslah dengan jalan yang halal ( bukan dengan melakukan
amalan riba, penipuan, rasuah, ekspolitasi dan cara – cara yang bertentangan
dengan syarak ) tertakluk kepada syariat Islam.
BARAT: Harta
merupakan hak milik persendirian secara mutlak boleh digunakan secara bebas
untuk mendapatkan keuntungan dan tiada kawalan dari sudut perundangan.
4.3 Peranan
Pihak Berkuasa:
ISLAM: SYARIAH Islam
mengharuskan berlakunya campurtangan pihak pemerintah dalam kegiatan – kegiatan
ekonomi, sama ada dalam bentuk pengurusan, penyusunan, agihan dan perancangan.
Canpurtangan pihak pemerintah adalah bertujuan untuk melindungi dan menjamin
kestabilan serta keadilan sosial dengan syarat ia mestilah berlandaskan
syariah.
BARAT: Peranan
pemerintah adalah minimum selagi pemilik harta mengikut saluran undang–undang.
4.4 Sistem
Percukaian :
ISLAM : sistem
percukaian Islam disyariatkan. Pemilik harta dikenakan bayaran zakat mengikut
kadar dan cukai-cukai yang lain untuk diagihkan kepada pihak – pihak yang
berhak bagi mengurangkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
BARAT: Pembayaran
cukai tidak disyariatkan dan bertanggungjawab membayar cukai kepada pemerintah
serta tanggungjawab lain (derma dan sumbangan berdasarkan budi bicara).
4.5 Prinsip permuafakatan :
ISLAM : Menekankan
semangat muafakat untuk mengurangkan pertelingkahan antara majikan dengan
pekerja, penjual dengan pembeli, pengeluar dengan pengguna. Ini kerana
pertelingkahan adalah haram disisi Islam.
BARAT: Hubungan
antara majikan dengan pekerja dalam bentuk kontrak yang diwujudkan bagi
melicinkan hubungan antara mereka. Kerajaan campurtangan bagi mewujudkan
kerjasama antara majikan dengan pekerja. Dengan itu wujud hubungan tiga hala
antara kerajaan majikan dan pekerja.
4.6 Prinsip
Istikhlaf (pertanggungjawaban) :
ISLAM : Manusia
adalah khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini dan pemegang amanah untuk
memakmurkan dunia. Prinsip ini menggariskan pemilikan harta hendaklah melalui
cara diredai oleh Allah s.w.t
KAPITALIS: prinsip
ini hanya wujud di kalangan majikan dengan pekerja, penjual dengan pembeli
tanpa dikaitkan dengan tuhan.
4.7 Prinsip
Berkerja dan Ganjaran :
ISLAM: untung dan
rugi adalah lumrah dalam muamalah islam, malah ia menjadi asasnya. Berdasarkan
prinsip ini, mekanimse seperti ini mudarabah dan syarikat digalakkan dalam
aktiviti ekonomi.
BARAT: Meminimumkan
kos dan memaksimumkan keuntungan untuk mengelakkan kerugian dan mengambil keuntungan
lebih banyak untuk menyelamatkan keadaan semasa berhadapan dengan kerugian.
4.8 Prinsip
Menjauhkan Perbuatan Merosakkan :
ISLAM: Melarang
segala bentuk keruntuhan akhlak, kerosakan masyarakat, kepincangan keluarga dan
kerosakan masyarakat dalam kegiatan ekonomi.
BARAT: Juga melarang
kerosakan tetapi tiada kawalan syariat, cuma dilakukan di atas tanggungjawab
moral.
4.9 Matlamat Ekonomi :
ISLAM : Syariat
tidak digugurkan (dikekalkan). Setiap kali kegiatan ekonomi sama ada kecil atau
besar akan menjadi ibadah dan diberi ganjaran pahala jika dilakukan mengikut
kehenda –kehendak syarak’
BARAT: berbentuk
sekular dan syariat digugurkan bermula pada abad ke – 16 dan seterusnya.
5.0 Analisa Tentang Kaedah Pembelajaran Ekonomi Di Malaysia
Pada masa kini
Malaysia telah menerapkan banyak terma-terma yang berlandaskan Islam dalam
ekonomi negara umpamanya insuran takaful, perbankan Islam, pajak gadai secara
Islam (Ar-Rahnu), sewa beli secara Islam dan sebagainya. Malahan banyak
kegiatan perniagaan yang dilarang Islam dilarang di Malaysia contohnya
perdagangan manusia, pengedaran najis dadah, pelacuran dan judi (terhad kepada
orang Islam sahaja). Namun kita mestilah bersikap optimis bahawa kita mesti
sentiasa menambahbaik fenomena ekonomi negara kita berlandaskan syariat Allah
s.w.t.
Jika kita rujuk
kepada sukatan pelajaran untuk matapelajaran ekonomi yang diajar di
sekolah-sekolah Menengah di seluruh negara dan pada peringkat pengajian tinggi,
para pelajar kita telah didedahkan dengan pendidikan sistem ekonomi
kapitalisme. Kita tidak dapat menolak secara total bahawa kaedah perniagaan
yang diterimapakai pada semua peringkat dewasa ini samada di peringkat domestik
mahupun antarabangsa, kaedah ekonomi kapitalisme adalah lebih mendominasi
pasaran.
Apa yang saya amati
bahawa dalam objektif pengajaran ekonomi di Malaysia,apa yang perlu ditambah
nilai ialah menghubungkaitkan kegiatan ekonomi mestilah berlandaskan kepada
syariat Allah s.w.t. Cadangan ini bukanlah untuk memperkecilkan sukatan
pelajaran yang sedia ada, tetapi untuk manafaat generasi para pelajar negara
kita agar mereka dapat mendalami ilmu secara syumul. Disertakan Sukatan
Pelajaran bagi Ekonomi Asas untuk tujuan perbandingan.
6.0 Kesimpulan
Asas-asas
ekonomi Islam jelas menunjukkan keadilan masyarakat dapat dipelihara berasaskan
falsafah dan matlamat sistem ekonomi Islam itu sendiri. Falsafah ekonomi Islam
adalah berasaskan pegangan pada ajaran-ajaran Islam dan boleh dilihat dari
sudut tauhid, rububiyyah, tazkiyyah, manusia sebagai kahlifah dan persaudaraan
antara manusia. Tauhid adalah perkara asas dalam falsafah ekonomi Islam
melibatkan hubungan antara manusia dengan dengan tuhan dan manusia dengan
manusia, serta hubungan manusia dengan alam sekeliling. Sistem pendidikan di Malaysia terutamanya bagi
matapelajaran ekonomi telah dipengaruhi oleh pemikiran aliran berorientasikan
kapitalisme dan barat. Namun begitu, saya menyokong penuh usaha-usaha kerajaan
yang sentiasa prihatin tentang kepentingan masyarakat terutama sekali golongan
pengguna dengan mengadakan “control measure”supaya bentuk ekonomi yang lebih
Islamik diterapkan dalam semua kegiatan eknomi di Malaysia. Marilah kita
sama-sama berdoa semoga kita menjadi masyarakat yang bukan sahaja berjaya di
dunia dalam aspek ekonomi, malahan berjaya di akhirat. InsyaAllah.
7.0 Rujukan
1. Economics, John
Soloman, Prentice Hall, New Jersey, 1991
2.
Ensiklopedia Agama & Mazhab-Mazhab Moden, Yahya Nuryadi, Pustaka Al-Shafa,
Kuala Lumpur, 2008
3.
Gerakan Orientalisme dan Kristianisasi, Hj Nik Azran Mohamed & Hj Mohd
Mahadi Hj. Isa, Hijjaz Record & Publishing, K. Lumpur, 2009
4.
Microeconomics, Robert S. Pindyck & Daniel L. Rubinfeld, Prentice Hall, New
Jersey, 2001
5.
Salah Faham Tentang Islam, Nik Salida Nik Suhaila Nik Salleh & Mohammad Nidzam
Abdul Kadir, Telaga Biru Sdn Bhd, Kuala Lumpur, 2008
6. Sukatan
Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah, Ekonomi Asas, Kementerian Pendidikan Malaysia, Pusat
Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dewan Bahasa Dan
Pustaka, 2000
7. The
Choice Islam & Christianity, Debat Islam & Kristian Volume 1 & 2,
Ahmed Deedat, Jasmin Enterprise, 2008
Langgan:
Catatan (Atom)


