|
Mahdzir Ibrahim Roketkini,
|
31 Ogs 2013
|

Filem
Tanda Putera telah pun saya tonton di pawagam. Selain mahu melihat
sendiri gembar-gembur tentang filem ini, ia juga saya anggap sebagai
sumbangan peribadi saya kepada penerbit filem tersebut demi menyokong
kemajuan filem tempatan. Mudah-mudahan dengan wang tiket yang saya bayar
itu, sedikit sebanyak akan dapat membantu memajukan lagi filem
tempatan.
Saya sebagai penonton mempunyai pandangan sendiri, saya akan cuba berlaku adil menilai filem ini.
Menurut
laporan media, kos filem ini sekitar RM4.5 juta, ia dibiayai oleh
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebanyak RM2.5 juta
dan RM2 juta lagi daripada Perbadanan Kemajuan Multimedia (MDeC). Tidak
termasuk penajaan dari syarikat kerajaan seperti syarikat penerbangan
Malaysia (MAS).
Dengan kos tersebut, saya fikir hasil dari aspek
teknikalnya tidaklah begitu memuaskan. Penggunaan teknik CGI atau
Computer Generated Image yang digunakan tidak sempurna dan tidak kemas
malah jika difikir-fikirkan, ianya tidak perlu bagi filem sebegini.
Namun terpulanglah kepada pengarah kerana itu haknya.
Begitu juga
dalam dalam aspek rekabentuk produksi, props dan costume. Ia tidak
cukup sempurna untuk menggambarkan suasana di zaman tersebut sedangkan
filem ini berlatarkan suasana di era 60/70-an. Jauh bezanya dengan props
dan costume filem Bukit Kepong atau Leftenan Adnan. Adakah kerana
penerbitnya ingin berjimat, kita tidak pasti.
Selepas menonton, saya tertanya-tanya adakah filem ini mahu bercerita tentang sejarah 13 Mei atau apa?
Babak
kencing tiang bendera Selangor ada dipaparkan. Tetapi tidak jelas
adakah adegan ini benar-benar wujud dan bersumberkan dari fakta sejarah.
Jika benar-benar bersumberkan dari sejarah, di mana dan apakah
sumbernya? Sama ada dari laporan polis atau catatan sejarawan, saya
ingin tahu.
Jika ia fiksyen, bendera Selangor itu bukan fiksyen.
Malah, tiang bendera dalam babak tersebut tidak jelas berada di mana, di
dalam kawasan rumah Datuk Harunkah (Menteri Besar Selangor ketika itu)
atau di tepi longkang pejabat kerajaankah atau di sebelah warungkah?
Kita
tak pasti sama sekali. Jika ada yang mengaitkan ianya di kawasan
kediaman Menteri Besar Selangor, mungkin itu hanya tanggapan saja kerana
bendera di tiang itu bendera Selangor atau banyak babak 13 Mei dalam
filem itu berlaku di sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Atau,
adakah babak kencing tiang bendera itu sebenarnya adalah imaginasi
pengarah berdasarkan dengar cakap dari sumber yang tidak jelas?
Jika
kita rujuk penjelasan Sdr. Ahmad Habib dalam temubual oleh Roketkini di
sini
(http://www.roketkini.com/2012/09/14/kencing-tiang-bendera-kit-siang-difitnah-saksi-13-mei/)
yang berada di lokasi rusuhan (Kampung Baru) pada ketika itu, jelas
sekali bahawa hampir mustahil peristiwa kencing tiang bendera Selangor
itu dilakukan di kediaman Menteri Besar Selangor pada ketika itu.
Jadi,
jika bukan berlaku di kediaman Menteri Besar, maka ia berlaku di mana?
Adegan ini bukan adegan lagak ngeri (stunt) yang boleh difiksyen-fiksyen
sesuka hati. Adegan ini berkaitan langsung dengan sejarah 13 Mei.
Bagi
saya, peristiwa 13 Mei yang digempakkan di awal babak dalam filem ini
kelihatan hanya digunakan untuk memancing sentimen kemarahan dengan
menggambarkan seolah-olah pembangkang dan komunis itu sama atau
bekerjasama. Pembangkang dan komunis itu cuba digambarkan dengan imej
satu kaum sahaja iaitu Cina di samping logo DAP terpampang di sana-sini
dalam babak tersebut.
Sedikit selingan buat pengarahnya – DAP
bukan komunis apatah lagi menyokongnya, malah penubuhan DAP adalah bukti
penolakan DAP akan perjuangan komunis yang menggunakan senjata.
Bertolak
dari imej-imej ini, maka pada awalnya saya menyangka filem ini ingin
menceritakan kembali peristiwa 13 Mei mengikut kronologi dan laporan
saksi-saksi secara jelas. Ketika menontonnya saya cuba bersangka baik
dan mencari lojik tentang paparan imej tersebut yang mungkin dapat
memberi gambaran jelas kepada penonton tentang apa sebenarnya yang telah
berlaku dalam peristiwa 13 Mei ini.
Tetapi ia tidak berlaku
begitu. Pengarah mematikan peristiwa 13 Mei ini setengah jalan (tak
sampai separuh sebenarnya). Tinggalah imej-imej logo DAP, Cina dan
Komunis melekat dimemori penonton tanpa apa-apa penjelasan dan
pertanggungjawaban. Permulaan yang mendebarkan tiba-tiba hilang lenyap
tak berkesudahan.
Yang lain hanya drama hubungan keluarga dan
persahabatan Tun Razak dengan Tun Dr. Ismail dan beberapa babak pendek
tentang usaha beliau mewujudkan Felda, usaha Tun dalam perlaksanaan
Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan kisah komunis yang diselitkan
serba-sedikit.
Watak dan pemilihan pelakon (casting) Tun Razak
dan Tun Dr Ismail agak berjaya, ia dilakonkan dengan baik dan berkesan,
tahniah buat pelakonnya, Rusdi Ramli dan Zizan Nin.
Namun akhir
semua ini, babak 13 Mei yang digempakkan itu terhenti, tergantung dan
ghaib entah ke mana. Filem sejarah apakah ini? Saya tidak nampak atau
memahami signifikan antara babak-babak 13 Mei dengan sejarah ketokohan
Tun Razak dalam filem ini.
Jika ini bukan filem sejarah 13 Mei,
adakah ia filem sejarah mengenai ketokohan Tun Razak dan rakannya Tun
Dr. Ismail? Jika benar, pasti sumbangan terpenting Tun seperti penubuhan
Felda digarap dengan lebih jitu lagi berbanding garapan peristiwa 13
Mei. Tetapi tidak begitu.
Filem ini tidak mengangkat dengan jelas
sumbangan Tun dalam penubuhan Felda atau pun usaha Tun dalam Dasar
Ekonomi Baru (DEB). Maka kita keliru arah cerita ini.
Atau,
adakah filem ini memang bukan filem sejarah langsung. Hanya filem
fiksyen yang mencedok sedikit fakta sejarah dan ditempelkan ke atas
susuk Tun Razak hingga menjadi filem fiksyen agar pengarah atau
penerbitnya tidak perlu dipertanggungjawabkan oleh penghayat atau
sesiapa.
Memang kita memahami bahawa adaptasi dari sumber pertama
(asal) kepada medium lain akan diolah kembali dengan elemen-elemen
fiksyen sebagai penyedap atau penarik. Ini kita bersetuju.
Namun
demikian, nuansa antara fakta dan fiksyen seharusnya jelas. Dalam filem
Tanda Putera ini, fiksyen dan fakta bercampur-baur dan berkecamuk, bagi
yang tidak membaca atau menyelidiki sejarah 13 Mei ini, pasti akan
menganggap semua babak dalam filem ini adalah seratus peratus
berdasarkan fakta.
Akhirnya kita ingin sekali bertanya kepada
pengarahnya, Datin Paduka Shuhaimi Baba, filem ini filem apa? Filem
sejarah atau fiksyen?
Saya fikir saya berhak mendapat penjelasan
daripadanya kerana filem beliau ini dibiayai dari wang cukai rakyat,
bukan sedikit tetapi banyak. Wang cukai rakyat ini dikutip oleh kerajaan
dari semua kaum, Melayu, Cina India, ahli DAP, ahli Umno, PKR, orang
Islam, bukan Islam, orang miskin dan kaya malah semuanya. Jika ia filem
sejarah, maka ia milik rakyat dan rakyat berhak menuntut penjelasan.
Jika fiksyen, maka penerbit harus bersedia bertanggungjawab atas paparan
imej atau babak-babak dalam karyanya.
Saya mendukung prinsip
kebebasan berkarya, berekspresi dan berkreativiti. Saya akan pertahankan
hak saudari Shuhaimi Baba jika dia benar.
Di sebalik semua ini,
saya juga tertanya-tanya, bagaimana Finas menjustifikasikan filem ini
hingga sanggup melabur jutaan ringgit dengan mempertaruhkan prinsip
keharmonian kaum. Untuk apa? Kebenaran?