., | 01 Sep 2013 |
Perutusan Hari Kemerdekaan Negara ke-56
1. Kita sedia maklum walaupun Union Jack telah 56 tahun diturunkan, legasi sistem ciptaan manusia yang ditinggalkan penjajah masih terus menjadi amalan. Apa yang belum kita sedari sepenuhnya ialah sistem penjajah ini sedang terungkai, bukan sekadar di Malaysia malah boleh dilihat di mana-mana sahaja.
2. Kegagalan tersebut boleh disaksikan pada kecelaruan kapitalisme seperti yang berlaku di Wall Street, krisis keyakinan politik yang membungkam pentadbiran negara-negara Barat dan keruntuhan moral masyarakat yang secara wewenang mengamalkan budaya hidup liberal serta mencemuh nilai-nilai agama.
3. Malah di negara kita sendiri, peningkatan kadar hutang kerajaan dan isirumah, percukaian yang membebankan, peningkatan kadar jenayah, meluasnya rasa curiga rakyat terhadap tahap keselamatan awam, rasuah, peningkatan kos kehidupan dan gejala keruntuhan akhlak masyarakat juga merupakan simptom kepada kegagalan sistem legasi tersebut.
4. Yakinlah bahawa keruntuhan sistem legasi penjajah ciptaan manusia ini adalah satu kepastian maka perubahan akan menyusul. Persoalannya kini, apakah kita akan terus mencari sistem manusia lain untuk ditegakkan di atas keruntuhan tersebut atau kita kembali kepada fitrah dengan mengangkat sistem kehidupan bersyariat yang telah ditetapkan oleh Allah swt yang Maha Mencipta?
5. Pengisian kemerdekaan Malaysia untuk tahun-tahun mendatang akan tertumpu kepada konflik perubahan sistem ini. Ianya adalah pertembungan di antara ketulenan Islam dan ideologi pragmatik yang bersifat lokal yang kononnya lebih sesuai dari ideologi barat tetapi sebenarnya masih merupakan ciptaan manusia semata-mata yang penuh dengan khilaf. Demografi masyarakat, dasar langit terbuka dan faktor teknologi antara lainnya akan menjadikan pertembungan di antara Islam dan kejahilan lebih mencabar dan kompleks.
6. Oleh itu, sejauh manakah iktikad dan persediaan kita, khususnya golongan pemuda yang bakal mewarisi negara ini mampu mendepani perubahan ini?
7. Pada masa yang sama, kuasa penjajah tidak akan berpeluk tubuh melihat orde dunia mereka berkubur! Mereka akan terus menjaja polisi neo-kolonialisme baru bagi meneruskan kelangsungan dominasi mereka ke atas masyarakat antarabangsa khususnya dunia Umat Islam. Penjajahan ekonomi melalui mekanisme perdagangan antarabangsa seperti TPPA sebagai contohnya boleh melemahkan keutuhan nilai kemerdekaan negara.
8. Sebab itulah kebangkitan rakyat khususnya dari golongan muda di Palestin, Mesir, Syria dan negara-negara Arab lain yang dilanda fenomena Arab Spring untuk mencari makna baru kemerdekaan negara mereka amat menginsafkan kita.
Yang pertama, kerana ianya menyerlahkan perilaku musuh-musuh agama Allah swt. yang sanggup membelakangkan proses demokrasi yang mereka taja asalkan Islam tidak dapat bertapak.
Yang keduanya, kerana nilai kemerdekaan negara pada akhirnya bukan lagi direbut dari tangan penjajah tetapi dari tangan anak-anak watan sendiri yang keliru dan hilang kewarasan untuk melihat kegagalan sistem tajaan penjajah tersebut yang mereka anuti.
9. Selaku pendokong gerakan Islam kita mengimani akan kemenangan yang telah dijanji Allah, jika tidak di dunia maka di akhirat. Apa jua kesudahan konflik di Timur Tengah kelak, kebangkitan rakyat dan keazaman mereka menuntut hak dan keadilan sesungguhnya amat mengujakan dan seharusnya menjadi piawaian kepada kesungguhan golongan pemuda Islam di dalam mengisi kemerdekaan kita sendiri.
10. Saya dan seluruh saf kepimpinan Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-56 kepada seluruh rakyat Malaysia sambil mendoakan agar kita menemui makna kemerdekaan yang hakiki.
Nasrudin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Tiada ulasan:
Catat Ulasan