Khamis, 20 Februari 2014

Gugurnya Lt Adnan Saidi pada 14 Feb

Memperingati Tanggal 14 Februari

Salam…
14 Februari memang terkenal sebagai tarikh sambutan Hari Kekasih (Valentine’s Day). Bukan saja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia menyambutnya.. Dianggarkan semua jenis bunga termasuk bunga tahi ayam dan bunga kobis dijadikan korban sempena menunjukkan bukti cinta sang kekasih.
Tapi bukanlah Ustaz Love nak bincangkan isu Hari Kekasih ke, Hari Suami Isteri ke dsb, jauh sekali nak mengucapkan selamat kepada mereka2 yang menyambutnya. Ustaz Love ingin mengajak para pembaca sekalian menyoroti satu peristiwa yang agak penting yang berlaku pada tanggal 14 Februari.

Keberanian Leftenan Adnan Saidi dan rakan yang bertempur bermati-matian adalah episod yang kekal dalam lipatan sejarah tanah air.
“Biar Putih Tulang, Jangan Putih Mata”, itulah kata-kata pembakar dan menyemarakkan lagi semangat juangnya supaya tidak gentar menghadapi Jepun, demi mempertahankan Tanah Melayu sehingga titisan darah terakhir.
Apakah perjuangan dan pengorbanan Leftenan Adnan menggadaikan nyawanya dalam usia 27 berbaloi?
Masih adakah anak bangsa pada hari ini, mahu mengikut jejak langkahnya. Pastinya, jika Leftenan Adnan dapat melihat Malaysia hari ini, Allahyarham pasti tidak menyesal mempertahankan negara dengan darahnya.
Keberanian Leftenan Adnan turut diakui General Yamashita yang dikenali sebagai Harimau Malaya. Beliau mengatakan “Jika terdapat 10 Leftenan Adnan, pasti Malaya tak jatuh ke tangan Jepun”.
Iktibar dan pengajaran boleh peroleh dari kisah keberanian beliau adalah semangat cintakan negara hendaklah dengan sepenuh hati. Jika seluruh perajurit negara dan rakyat Malaysia mempunyai semangat seperti beliau, pastinya negara ini tidak mudah dijajah atau ditewaskan musuh. Rakyat Malaysia akan lebih bertanggungjawab dan tidak sesekali menggadaikan maruah demi kepentingan diri sendiri.
Rakyat Malaysia tidak akan sanggup memperjudikan nasib negara untuk perjuangan yang tidak jelas dan merugikan.
Kepada rakyat Malaysia khususnya generasi muda, mereka perlu didedahkan dengan kekuatan sejarah agar tidak sesekali alpa dengan kemakmuran dikecap.
Mereka harus menjadikan semangat Leftenan Adnan sebagai pemangkin kepada perpaduan dan cintakan negara.
Terima kasih kepada pahlawan dahulu yang berjuang untuk mempertahankan negara.
Sama ada nama mereka tercatat atau tidak dalam lipatan sejarah, jasa mereka pasti tidak akan dipersia-siakan.
Sesukar mana pun pengorbanan mencapai kemerdekaan, lebih sukar lagi tanggungjawab mempertahankan negara.
Pada hari ini tanggal 14 Februari, akan diangkat sebagai tarikh memperingati gugurnya pejuang tanah air, Leftenan Adnan Saidi dan marilah kita hadiah sekalung doa bagi memastikan Malaysia bebas, aman dan merdeka, Al-Fatihah.
Gugurnya pahlawan Melayu di Bukit Chandu
Pertempuran Bukit Chandu (14 Februari 1942) merupakan salah satu pertempuran hebat yang berlaku dalam sejarah Singapura semasa Perang Dunia Kedua.
Pertempuran ini merupakan lanjutan kepada pertempuran Pasir Panjang, yang berlaku sehari sebelumnya. Bukit Chandu dinamakan sempena kilang memproses candu yang dahulunya terletak di kaki bukit tersebut dan merupakan garisan pertahanan terakhir Tanah Melayu dari serangan Jepun ketika itu.
Pada 13 Februari 1942, Divisyen Chrysanthemum Tentera Imperial Jepun yang handal di bawah pemerintahan Leftenan Gen Renya Mutaguchi telah melancarkan serangan ke pesisiran selatan Singapura iaitu Pematang Pasir Panjang.
Lokasi tersebut dibedil dengan mortar dan meriam dengan hebatnya. Kompeni C dan Leftenan Adnan Saidi yang ditempatkan di Perkampungan Pasir Panjang membina benteng pertahanan Rejimen di kawasan tanah tinggi yang dikenali sebagai ‘Celah’ (Gap), telah memberikan tentangan hebat sehingga memaksa Jepun untuk beralah dan berundur, walaupun Pasukan Jepun di bawah Major Kimura mempunyai bilangan anggota yang jauh lebih ramai.
Namun bagi Leftenan Adnan, yang juga cedera parah ketika itu serangan hebat pihak Jepun tidak mampu melunturkan semangatnya.
Leftenan Adnan tewas akhirnya kerana tidak mampu menandingi bilangan Tentera Jepun yang ramai. Bukit Chandu akhirnya ditawan Jepun dan Leftenan Adnan sendiri menemui ajal setelah diikat dan digantung pada pokok, lalu ditikam berkali-kali dengan benet oleh tentera Jepun.
Kematian Leftenan Adnan adalah episod perjuangan anak Melayu berjiwa cekal dan kental mempertahankan tanah air tercinta.
- Adnan Saidi dilahirkan di Sungai Ramal, Kajang Selangor pada 1915
- Anak sulung dalam sebuah keluarga berketurunan Minangkabau
- Adik-adiknya, Ahmad dan Amarullah juga merupakan anggota tentera tetapi Ahmad terbunuh dalam pertempuran selepas dia memasuki angkatan laut pada tahun 1939 apabila kapalnya, HMS Pelanduk, ditenggelamkan Jepun dalam pelayaran ke Australia.
- Amarullah terselamat dari peperangan dan menetap di Kajang, Selangor.
- Pendidikan awal di Pekan Sungei Ramal dalam aliran Inggeris
- Memulakan karier sebagai Guru Pelatih selama 1 tahun sebelum memutuskan untuk menyertai tentera pada 1933 ketika berusia 18 tahun. Beliau merupakan salah seorang daripada 25 anak Melayu pertama yang dipilih untuk menyertai pasukan Askar Melayu dan berjaya menamatkan latihan serta turut terpilih sebagai rekrut terbaik.
- 1936: Dinaikkan pangkat Sarjan dan setahun kemudian Leftenan Adnan Saidi terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, beliau sekali lagi dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Mejar dan dihantar ke Singapura untuk kursus latihan pegawai. Setelah menamatkan kursus, beliau telah dinaikkan ke pangkat Leftenan Muda dan seterusnya dilantik sebagai ketua Platun ke-7, Kompeni C.
- Berkahwin dengan seorang guru, Sophia Pakih Muda serta dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata, dua lelaki, Mokhtar dan Zainudin dan seorang anak perempuan yang meninggal tidak lama setelah kejatuhan Singapura.
sumber
p/s: Ustaz Love memang suka baca kisah2 pejuang ni terutama semasa Perang Dunia Kedua (WWII).. tak kira perang di Pasifik ke, kat Europe ke, kat Malaya ke.. lebih menginsafkan kita betapa nikmatnya hidup dalam negara yang aman. Namun, keamanan ini mungkin takkan tercapai jika tiada orang yang sanggup untuk berkorban nyawa suatu masa dulu.
Jadi, hargailah keamanan yang ada. Jangan dirosakkan dengan maksiat hasil tangan2 kita.. kelak, jika ditimpakan bencana oleh Allah, tak kira orang jahat mahupun orang baik, semua akan terkena bahananya.
Al-Fatihah buat Allahyarham Lt. Muda Adnan bin Saidi serta para pejuang Islam yang lain.
WA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan