Ahmad Lutfi Othman, | 31 Mei 2013 |
Pengerusi SPR bersama timbalannya, dan lima anggota yang lain (rujuk profil mereka dalam laman web SPR dan saya pernah mengulasnya dua tahun lalu) harus meletakkan jawatan. Keyakinan awam kepada anggota SPR. seperti dituntut Perkara 114 (2) Perlembagaan sudah lama terhakis. Gelagat SPR tidak lebih daripada komponen ke-14 BN!
Justeru, gema lantang suara rakyat yang ditunjukkan dalam siri jelajah "Blackout 505" mesti diteruskan secara lebih proaktif. Bukannya dengan niat untuk menjatuhkan kerajaan di luar proses demokrasi, tetapi mahu bangkit mengasak secara intensif agar kerajaan benar-benar serius melakukan pembaharuan politik.
Tidak lama lagi kita akan berdepan proses persempadan kawasan pilihan raya, yang selama ini menjadi instrumen paling ampuh buat BN mengekalkan kuasa. Tanpa majoriti dua pertiga, jumlah kerusi tidak dapat ditambah, namun SPR dibimbangi akan meneruskan "kerja jahat" selama ini, iaitu melakar semula kawasan pilihan raya semata-mata untuk memudahkan BN memenangi PRU14.
Sistem First-Past-The-Post telah dimanipulasi sepenuhnya, termasuk penyimpangan maksimum untuk jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya. Walhal, BN sepatutnya dapat bekerjasama dengan Pakatan Rakyat untuk mengimbangi kawasan Parlimen, dengan melakukan penambahan kerusi mengikut formula lebih demokratik merujuk prinsip satu orang satu undi, dengan mengambil kira kawasan luar bandar (rural weightage), tetapi dengan nisbah yang munasabah.
Saya tertarik dengan rumusan aktivis SAMM, Edy Noor Reduan: "Menyeru semua NGO dan aktivis supaya pastikan tiada lagi rapat himpunan, tiada lagi acara persembahan, tiada lagi ucapan pidato yang melampau, kini tiba masa untuk bergerak, kini tiba masa untuk berarak dengan berani."
Apa pun, saya juga teruja dengan persoalan dibangkitkan AJK PAS Pusat, Mazlan Aliman: "Apa lagi yang mahu dilakukan selepas jelajah "Blackout 505"? Presiden Anak itu lebih prihatin dengan proses koreksi diri dan langkah segera menjernihkan keadaan, sekali gus merumuskan hala tuju dan prioriti parti.
Saya berkongsi kerisauan melihat respons aktivis Pakatan, sebahagiannya terkeluar daripada batasan akhlak dan adab, ketika bermuhasabah terhadap keputusan PRU13. Pelbagai gelaran dan label buruk diluahkan. Memang pedih menerima kekalahan, namun usah ditutup ruang dan potensi PRU14 dengan menuding kesalahan kepada pihak lain, tanpa meremehkan prinsip pertanggungjawaban.
Parti harus terus disegarkan dan diremajakan. "PAS tidak lagi boleh berbangga dengan struktur parti yang kemas dan keahlian yang ramai, jika imiginasi pengundi tidak tertarik dengan keupayaan dan kemampuan barisan kepemimpinannya menangani cabaran semasa," kata seorang ahli akademik. Ya, rakyat sedang memerhati dan menilai ...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan