Oleh RUSTAM A SANI
Dr Kua Kia Soong sebagai penulis buku May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots 1969 (Suaram:
Kuala Lumpur, 2007) sungguh beruntung. Beberapa hari sebelum
diterbitkan, dan beberapa hari setelah diterbitkan, bukunya masih meluas
diperkatakan – dari posting di laman-laman blog hinggalah kepada
kenyataan oleh timbalan perdana menteri.
Para pegawai dari Kementerian Keselamatan Dalam Negeri sudah mulai
bertindak merampas beberapa naskah buku itu dari sebuah toko buku yang
ternama di Kuala Lumpur. Meskipun ada kata-kata yang bermaksud mengancam
daripada timbalan menteri tentang kemungkinan buku itu diharamkan,
namun sehingga waktu rencana ini ditulis pengharaman itu tampaknya masih
belum terjadi.
Bahawa rakyat Malaysia begitu berminat terhadap kandungan buku ini
tidaklah terlalu menghairankan saya. Peristiwa rusuhan kaum yang telah
tercetus di beberapa kawasan Kuala Lumpur-Petaling Jaya dan beberapa
bandar besar di Semenanjung Malaysia 38 tahun lalu itu memanglah merupakan peristiwa hitam yang penting dalam sejarah semasa negara ini.
Namun peristiwa itu tetap merupakan peristiwa yang penuh rahsia dan
sukar ditafsirkan secara saksama implikasi dan pengertiannya terhadap
realiti sosial dan politik negara itu.
Sehingga kini pun masih terlalu banyak yang tidak kita ketahui tentang
peristiwa itu – sebahagiannya kerana banyak fakta yang sengaja
dirahsiakan daripada kita untuk memberikan kredibiliti kepada
penceritaan "rasmi" tentangnya, dan sebahagiannya kerana pentafsirannya
yang diputarbelitkan pihak-pihak tertentu demi kepentingan politik
mereka sendiri.
Buku terbaru Kua ini menarik minat umum kerana penceritaan dan
analisisnya didasarkan pada dokumen-dokumen yang sudah tidak dilindungi
dan dirahsiakan lagi di Pejabat Rekod Awam di London.
Sejak dua tiga hari sebelum buku itu dilancarkan, Malaysiakini telah menyiarkan banyak bahan promosi tentang buku ini (termasuk wawancara dengan Kua). Pada 13 Mei lalu
(sempena "perayaan" peristiwa itu dan Hari Ibu) pelancaran buku
tersebut telah berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Selangor di Kuala
Lumpur.
Turut terlibat dalam forum pelancaran dan pembicaraan buku itu ialah
beberapa penulis dan ahli akademik seperti Dr Syed Husin Ali, Dr S
Nagarajan dan Beth Yaph – selain pembicaraan oleh Kua sendiri.
Saya sendiri sejak semula telah membuat telahan bahawa buku tersebut
akan merupakan buku yang penting lagi menarik – dan akan menimbulkan
perbincangan yang mendalam dan meluas di kalangan masyarakat. Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu
merupakan peristiwa yang penting, meskipun getir, untuk difahami kerana
implikasinya yang mendalam terhadap ciri-ciri suasana sosial dan
politik di negara kita hingga kini.
Secara kebetulan, tahun lalu (9 September 2007) saya telah memasang sebuah "posting" di laman blog saya dalam bahasa Inggeris yang berjudul: Are We Heading Towards Another May 13? Rencana itu mulanya ditawarkan kepada Malaysiakini yang enggan menyiarkannya – tetapi kemudiannya disiarkan oleh Aliran Monthly (September 2007).
Kegusaran yang telah mendorong saya menulis rencana itu ialah tanggapan
saya bahawa ciri-ciri serta keriuhan wacana dan percaturan yang
seringkali terjadi sekitar waktu itu amat kuat mengingatkan saya akan
persamaannya yang mengerikan dengan suasana sekitar waktu tercetusnya
peristiwa rusuhan kaum pada Mei 1969.
Percaturan politik yang saya maksudkan itu ialah peristiwa saling kecam
mengecam – dan saling menuntut permohonan maaf – antara para pemimpin
pemuda Umno (seperti Khairy Jamaluddin dan Hishamuddin Hussein yang
menghunus keris) dan para pemimpin parti-parti Cina seperti MCA dan
Gerakan, isu-isu yang bersifat keagamaan, isu peratusan habuan untuk
pelbagai kaum sebagai kesan DEB, dan sebagainya.
Oleh itu saya berasa khuatir bahawa percaturan politik yang demikian itu
akan membawa kepada kesan politik dan sosial yang sama seperti yang
telah terjadi pada tahun 1969 itu.
Setelah membeli, dan membaca buku Kua itu secara sambil lalu, pada
majlis pelancaran itu, memang saya akui bahawa buku tersebut merupakan
suatu sumbangan penting terhadap kefahaman kita tentang sejarah sosial
dan politik terkini negara ini. Namun demikian, saya tidaklah begitu
yakin bahawa penerapan bahan-bahan "declassified" itu dengan sendirinya akan menaikkkan taraf maupun nilai analisis buku tersebut.
Seperti yang dinyatakan oleh Syed Husin dalam forum pelancaran buku itu,
laporan para diplomat Inggeris dan para diplomat Komanwel (Australia
dan New Zealand, misalnya) maupun laporan para wartawan Barat tidak
semestinya lebih tepat, lebih peka malah lebih telus daripada
pemerhatian orang tempatan atau penganalisis tempatan.
Bagi saya, kesimpulan paling menarik yang dikemukakan Kua dalam buku
yang memanfaatkan bahan-bahan tersebut ialah bahawa peristiwa 13 Mei itu merupakan hasil daripada sebuah coup d'etat yang berhasil yang telah dilancarkan oleh beberapa pemimpin Umno lainnya dan sekumpulan para kapitalis tunjangan negara (state capitalists) terhadap Tunku Abdul Rahman yang mereka anggap terlalu berlembut dengan kaum Cina.
Selain itu, kelompok itu juga menjadi gempar oleh kedudukan mereka yang
terasa goyah oleh keputusan pilihan raya umum tahun 1969 yang baru
sahaja berakhir, dengan keputusan yang begitu menggalakkan bagi pihak
pembangkang.
Oleh kerana golongan ini turut menguasai jentera negara, maka beberapa
alat negara seperti polis dan tentera tidaklah dapat dianggap sebagai
unsur-unsur yang berkecuali dalam peristiwa itu. Para "hoodlums" (samseng) Melayu dari luar juga telah diangkut ke Kuala Lumpur untuk terlibat dalam peristiwa itu.
Saya memang senantiasa menyokong seruan agar Peristiwa 13 Mei itu
dikaji dengan mendalam dan terperinci – dengan mengutip sebarang bahan
bukti yang mungkin dan sebarang bahan dokumen yang mungkin. Namun,
kajian yang demikian itu mestilah mantap dari segi pemikiran analitisnya
dan mantap perspektif intelektualnya – bukan sekadar untuk menuduh
sesuatu pihak sebagai bertanggungjawab.
Bagi saya, sekarang pun – sewaktu buku Kua ini sedang mendapat perhatian
dan perbincangan yang mendalam – terlalu banyak nada perbincangan yang
tidak sihat yang dapat saya kesan. Dan nada perbincangan seperti itu –
yang berlangsung dalam suasana dan iklim politik Malaysia yang amat
perkauman (racist) sifatnya ini – tidaklah akan membawa kita kepada kefahaman yang bermanfaat.
Malah saya khuatir perbincangan yang bernada demikian itu – seperti yang telah saya nyatakan dalam posting
di laman blog saya tahun lalu itu – lebih banyak kemungkinannya
mencetuskan lagi peristiwa getir yang sama juga seperti Peristiwa 13 Mei itu.
Pada asasnya saya dapat melihat dua perspektif yang terbit daripada perbincangan yang telah dicetuskan oleh buku Kua ini.
Di satu pihak terdapat golongan racist Melayu. Mereka ini tetap melihat Peristiwa 13 Mei itu
sebagai sesuatu yang wajar dicetuskan oleh orang Melayu – demi
mempertahankan kedudukan dan hak mereka sebagai kaum peribumi.
Jika ada para ahli politik Melayu yang sebenarnya mengambil kesempatan
daripada suasana keruh tahun 1969 itu, maka mereka itu harus dianggap
sebagai wira dan penyelamat Melayu. Oleh itu, perbuatan jahat mereka itu
tidak harus diungkit-ungkit dan diperkatakan lagi – malah harus
disanjung atau sekurang-kurangnya dilupakan begitu sahaja.
Di hujung yang lain pula terdapat pandangan golongan racist bukan Melayu yang menganggap Peristiwa 13 Mei itu
sesungguhnya sebagai suatu pertanda jelas tentang sifat perkauman dan
sikap menindas di kalangan orang Melayu (atau satu kelompok pemimpin
mereka yang bersifat fascist).
Bagi sudut pandangan ini, Peristiwa 13 Mei itu harus terus menerus dikaji
dan diperkatakan – sehingga hakikat sebenarnya (yakni sikap perkauman
orang Melayu itu) disedari dan dikecam – dan sikap "tidak perkauman"
orang bukan Melayu, serta keperluan mereka membela diri dan
menyelamatkan budaya mereka, diberikan pengikhtirafan yang sewajarnya.
Pandangan saya sendiri cenderung untuk menolak kedua-dua perspektif ini.
Bagi saya sikap perkauman dalam politik Malaysia bukanlah monopoli
orang Melayu atau parti pemerintah sahaja. Sikap itu, hingga ke hari
ini, merupakan ciri asasi kehidupan sosial dan politik yang dominan di
kalangan semua pihak dan kelompok di negara ini.
Penerusan sikap ini, bagi saya, merupakan bukti kegagalan kolektif kita
semua untuk melakukan penyimpangan daripada struktur sosial yang telah
diwariskan oleh situasi kolonial dalam proses pembinaan bangsa kita
selepas kemerdekaan. Penerusan sikap perkauman yang masih wujud hingga
kini merupakan pertanda tentang kegagalan cendekia kita semua.
Bagi saya, Peristiwa 13 Mei itu sekadar merupakan satu bukti tentang kegagalan tersebut. Yang bersikap racist
sekitar peristiwa tersebut, sehingga mencetuskan rusuhan, bukanah
sekadar Melayu dan bukan juga sekadar bukan Melayu – tetapi semuanya.
Jerit pekik para hoodlum Melayu di depan kediaman Harun Idris di
Princess Road memanglah bersikap perkauman, tetapi demikianlah juga
perarakan kelompok bukan Melayu di Chow Kit Road dan di Imbi Road. Di
kedua-dua pihak memang terdapat para "pemimpin" jahat yang senantiasa
menunggu peluang untuk memanfaatkan situasi yang genting seperti itu.
Sehingga kini realiti sosial dan politik kita masih terus berkeadaan
demikian, masih belum berubah – semata-mata kerana kedangkalan cendekia
kita semua. Sehingga kini juga para pemimpin yang demikian memang
terdapat di semua pihak, bersiap sedia untuk memanfaatkan sebarang
suasana genting yang bakal dicetuskan oleh kecetekan cedekia kita
bersama itu.
Realiti inilah yang sepatunya merisaukan kita, mencemaskan kita, bukan
sekadar bercakap kosong berulang-kali tentang Peristiwa 13 Mei yang
sama – meskipun dengan menggunakan bukti-bukti baru dari sumber-sumber
baru tetapi dengan terus menggunakan pemikiran dan kefahaman kita yang
terus menerus cetek dan dangkal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan